Halaman

Cari Blog Ini

Rabu, 3 Oktober 2012

Tanah Semaian, Bahagian 3 Daripada 6



Rakan-rakan pasti pernah dengar istilah tanah bakar.   Ini kira nak ambil jalan mudah.  Lazimnya pembekal tanah semaian (nurseri) bakar tanah untuk bunuh kulat yang menyebabkan penyakit reput batang (damping off).  Masalahnya bukan sahaja kulat dan benih (spora) kulat yang mati, hidupan lain yang baik juga mati.  Tanah itu sendiri mati.  Dah tak elok untuk menyemai.

Bukan tak boleh bakar, masalahnya kalau tanah dibakar, adakah suhu pembakaran dikawal?  Pembekal tanah biasanya membakar tanah sehingga suhu 80 darjah celsius.  Pada suhu ini seluruh hidupan dalam tanah akan mati.  Kalau bertanam secara organik, amat tak elok kerana keseimbangan tanah telah terganggu.  Kalau nak bakar juga, suhu perlu dikawal setakat 60 hingga 70 darjah celsius sahaja.  Pada suhu ini hanya kuman pembawa penyakit yang mati. Kuman yang baik pada cambahan selamat. 

Alahai tak perlu risau sangat tentang penyakit reput batang. Ia boleh diselesaikan mengan mengawal kelembapan tanah dan meletakkan semaian di tempat pengudaraan yang elok (kawasan berangin).  Jadi, kalau tanya, perlukah bakar tanah semaian?  Jawapan saya, tak perlu.

Ayak dan tapis tanah menggunakan pengayak yang dibuat daripada kasa dawai yang dilekatkan pada bingkai kayu.  Tujuan mengayak dan menapis tanah ialah supaya zarah tanah lebih sekata, terlerai dan juga untuk mengasingkan batu dan ranting daripada tanah semaian.  Kasa dawai 0.6 hingga 1.2 cm adalah sesuai.

Pastikan tanah mempunyai lembapan yang sesuai, maksud saya tidak terlalu kering atau terlalu basah.  Untuk uji kelembapan tanah, mudah aja.  Genggam tanah dan kepal (mampatkan dalam tangan).  Tanah patut menggumpal dan tidak terlerai.  Bila di kuis dengan jari, ia akan terlerai.  Tanah sebegini cantik untuk dijadikan tanah semaian terutamanya jika digunakan dalam dulang semaian.

Tanah semaian lazimnya hasil daripada adunan daripada beberapa medium.  Ada yang menggaul dalam kereta sorong.  Saya sendiri gaul sedikit sahaja, jadi saya gunakan baldi besar.  Tapi lebih selesa kalau gaul dalam kereta sorong menggunakan penyodok tanah.  Kalau masukkan ke dalam legeh (barrel) yang tertutup dan kemudian golek elok juga. Tujuannya supaya bahan dalam tanah semaian bercampur dengan sekata.

Tanah semaian seeloknya dibuat hanya apabila diperlukan.  Sebab kalau ia kering, kualiti tanah tersebut semakin berkurang.  Lagipun baja atau tanah kompos yang berada dalam keadaan ideal akan mula terurai.  Bahan yang terhasil mampu merosakkan biji benih.  Itulah kadang-kadang tanah semaian yang dibeli gagal mencambahkan benih.  Makhluk perosak dan kuman penyebab penyakit pada cambahan boleh membiak ketika tanah semaian disimpan.

Jadi, kalau nak simpan juga, simpan dalam bekas yang tertutup.

Bersambung esok.
     

4 ulasan:

  1. 'simpan dalam bekas tertutup + tupperware kedap udara'... hihihi... macam simpan biskut raya pulak dah... nak jaga tanah je... ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya simpan dalam tong sampah plastik yang besar. Bekas yang tertutup adalah untuk pastikan patogen (kuman)tak masuk. Pengudaraan perlu ada. Tanpa udara aktiviti tanpa udara akan bermula. Ini akan menyebabkan komuniti hidupan berubah kepada aktiviti tanpa udara dan mengganggu keseimbangan. Tanah akan menjadi busuk seperti bau paya. :P

      Padam
  2. Semalam en.is tak post Tanah Semaian, Bahagian 3 Daripada 6,jadinye en.is hutang satu episode bahagian 4 daripada 6...... hehe.... :)

    BalasPadam
  3. He he ni tgh menaip pakai mobil sambil makan nasi lemak kat warung yg dipenuhi pokok ulam. Mak oii keciknya keypad ni.

    BalasPadam