Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Selasa, 7 Ogos 2012

Kisah Mencari Lokan

Mungkin rakan-rakan telah biasa melihat dan memakan isi Lokan, iaitu hidup penapis yang bercangkerang yang biasanya boleh diperolehi dengan mencari di dalam lumpur di muara sungai air payau. Kalau zaman sekarang, tidak lagi perlu susah-susah kalau nak makan lokan kerana ia ada dijual di pasar.

Ketika kanak-kanak dulu, kami terpaksa mencari lokan kalau ingin memakannya.  Biasanya saya mencari lokan dengan mengais di dalam lumpur menggunakan parang atau pisau yang panjang.  Oleh kerana bahagian kaki tersemat di dalam lumpur, saya tidak dapat bergerak dengan cepat, bergerak langkah demi langkah.

Kebiasaannya saya akan pergi mencari lokan dengan abang sepupu atau mana-mana surirumah yang mempelawa.  Kebiasaannya mereka tak berani ajak kerana mak saya marah mencari lokan.  Ia terlalu berbahaya.  Maklum sajalah, air boleh menjadi pasang dan kami mungkin terbengkalai di seberang sungai, atau mungkin terpijak ikan lebu atau ular sungai yang berbisa. Ini tidak  termasuk ancaman buaya air masin yang ganas (Saya hanya mendengar cerita tentang kehadiran buaya sebegitu, tidak pernah melihat sendiri di sungai di kampung) serta beruang madu.

Kali terakhir saya mencari lokan, saya tersempak dengan benda lain.  Waktu itu seingat-ingat saya, masih di dalam darjah 4 atau 5.  Seperti biasa, apabila mencari lokan, saya akan tersasar jauh dari kumpulan.  Ini kerana terlalu banyak hidupan dalam barang (paya air masin) yang menarik minat saya.

Hari itu kami mencari lokan di tepi Sungai Bukit Kuang.  Kalau mak tahu pasti kena bedal sebab tempat itu dah kira jauh daripada rumah.  Mak selalu ingatkan kawasan tersebut ada Pak Belang.  Tak boleh sebut nama, pantang kata mak.

Sedang seronok mengais dalam lumpur, tiba-tiba terdengar bunyi... "Plup!"

Seperti ada benda jatuh ke dalam sungai.  Bila pandang ke depan, alamak!  Seekor harimau sedang menenung saya.  Terkejut tapi tak boleh buat apa-apa sebab kaki berada dalam lumpur hingga ke paras paha.  Saya hanya mampu menenung harimau tersebut sambil menala parang (yang dah patah sekerat) ke arah harimau tersebut.

Dari cara harimau tenung saya, saya rasa ia pun terkejut sebab terserempak dengan manusia.  Perlahan-lahan ia undur dan bila berada pada jarak yang selamat ia masuk ke dalam hutan bakau dan tidak lagi kelihatan.  

Saya keluar dari lumpur dan terus desak saudara yang lain balik ke rumah.  Tak berani nak buka cerita takut dibedal mak.  Selera makan lokan bakar pun dah patah.  

Malam tu tidur berkelubung dengan kain batik mak.

Kalau ada sesuatu yang tak kena, itulah cara "getaway" saya, tidur berkelubung dalam kain batik mak.  Terdengar suara ayah bertanya mak,apa salah saya hari tu.  Mak kata, "Tak tahu, tapi dia ada pergi main sungai."  Dulu saya selalu hairan macamana mak tahu saya main sungai.  Apa tidaknya, bau lumpur pasti lekat walaupun berkali-kali badan disental dengan sabun.

Lokan biasanya terdapat dalam lumpur di tepi sungai air payau.

19 ulasan:

  1. As salam tuan,
    Bukit Kuang lokasinya di mana ye? Lokan ni ada jual di tepi jalan pantai Semerak, Pasir Puteh. Ramai yg mati lemas masa cari lokan di lagun Semerak tp org tetap terus mencari.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di Kemaman, dah tiada orang turun ke dalam lumpur cari lokan. Lagipun amat bahaya. Yg saya cerita ni lebih 3 dekad yg lalu. :)

      Padam
  2. aduhaiii...baca je pun dah rasa semacam dalam perut bab terserempak dengan rimau tu.. apa lagi la perasaan bertentang mata... tapi dengar juga petua orang tua kalau jumpa rimau, jangan pusing belakang...tapi undur pelan-pelan. saya jumpa rimau kat zoo je...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kanak kanak zaman dulu mengalahkan Steve Erwin. Ular sungai kami tangkap dengan tangan aja. Bila ingat ingat syukur tak jadi apa apa.

      Padam
  3. Kenangan mengusik jiwa... saya juga begitu ketika kecil tp org tua benarkan saya mencari lokan sbb tiada ancaman spt tpt En Is. Jadi mencari lokan umpama satu usaha untuk jimatkan belanja dapur. 'Pencapaian terbaik' saya dlm hal ini bila mampu mencari lokan hanya menggunakan deria mata dan tangan. Kini hanya rindu mencari lokan yg bersarang dlm jiwa

    BalasPadam
    Balasan
    1. lokan diternak? manisnya sama mcm yg liar tu ke?

      Padam
    2. Lokan dalam gambar di atas saya beli dari Pasar Kajang. Ia adalah lokan ternak dari Johor. Rasanya sama aja sebab diternak dalam lumpur di muara sungai.

      Padam
    3. Owhh... begitu... mcm kerang yang diternak di sungai jugalah kalau begitu.

      Padam
  4. seram dengar cerita bertembung dgn rimau! Saya pun pernah beli lokan dekat pantai Semerak! Saya kalau dapat lokan yg pasti dibuat bubur lambuk, dicampur pucuk miding/niding (byk sekali) - pasti seperiuk besar sekejap sahaja selesai. Kalau bubur lambuk kat KL anak-anak tak makan - mrk mahukan bubur lambuk lokan juga!!

    BalasPadam
  5. emak saya selalu bercerita kalau mencari lokan ni seolah2 berhantu.... kadang2 kita leka2 mencari sampai tak sedar dah ke tengah(makin lama makin banyak dapat, jadi seronok dan tak sedar keadaan sekeliling) tengok2 air da naik...

    apa apa pun memang tak rasa la pengalaman cari lokan sebab duduk jauh dari laut....emak ngan arwah abah je la rasa sebab dulu duduk dekat2 ngan pantai....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tersasar jauh tu memang perkara biasa.

      Padam
  6. aduhai, nostalgia itu manis, hanya dirasa oleh hati, air berkaca dimata..berkelubung 'kain batik emak' menghadapi alam tidur yg.sunyi..aura perlindungan ibu,amat terasa..

    kenapa tetiba hati terasa sepi membaca entry memori ini..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ini mesti rindu mak ni. Saya pun belum balik jenguk mak lagi bulan puasa ni.

      Padam
  7. Saya nak tanya bape harga lokan 1kg...

    BalasPadam
  8. Hari minggu yang lepas..saya ada ge cari lokan,Sekejap je boleh dapat satu guni lebih.....

    BalasPadam
  9. Saya nak tanya bape harga lokan 1kg...

    BalasPadam