Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 23 Ogos 2012

Dua Tahun, 136 Jenis Benih

Kita telah hampir ke penghujung bulan Ogos tahun 2012. Ini bermakna blog tanamsendiri telah berusia hampir 2 tahun.  Dalam masa yang singkat ini, banyak perkara baru yang kami temui.  Banyak yang kami sekeluarga pelajari daripada rakan-rakan semua.  

Blog yang pada mulanya dibangunkan untuk tujuan mencari maklumat bertanam, idea untuk penulisan buku bertanam serta menjadi hub rakan-rakan bertanam tepi rumah, mendapatkan maklumat tentang bertanam kecil-kecilan, kini juga menjadi tempat rakan-rakan mendapatkan benih yang sebelum ini hampir mustahil diperolehi untuk peminat bertanam seperti kita.  Saya gunakan istilah bertanam, bukan berkebun kerana 99% daripada kita tidaklah bernasib baik memiliki ruang yang luas.  Walaupun dengan kawasan yang sempit kami percaya ia dapat dimanfaatkan.  Di tanamsendiri.com sesiapa sahaja boleh menikmati hasil tanaman sendiri, asalkan ada keinginan dan sedikit kesungguhan. 

Untuk menghilangkan rasa gusar rakan-rakan yang masih waswas untuk bertanam, serta menyemarakkan rakan-rakan untuk terus bertanam kami telah usahakan supaya setiap bulan bekongsi benih.  Walaupun jumlahnya kecil, hanya 2,000 pek kecil sebulan, kami berharap ia dapat mencapai objektif yang kami harapkan.   Ada yang menghubungi saya bertanya samada saya mendapat bantuan dari mana-mana pihak.  Sebenarnya tiada.  Ia adalah kehendak kami sendiri.  Tiada hasrat tersorok di sebalik benih yang dikongsi. Kepuasan yang kami perolehi dengan berkongsi melalui blog ini amat berbaloi. Kadang-kadang ada juga rakan yang memasukkan sejumlah wang untuk menampung kos pos serta pembelian benih kongsi. Alhamdulillah, terima kasih.  Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik rakan-rakan.

Sejak dari mula dulu kami telah dapat menyebarkan 136 jenis benih sayur serta bunga.  Pantang jumpa pokok yang pelik, kami akan singgah dan berbincang dengan pemiliknya.  Dalam tempoh tersebut kami juga belajar tentang 136 jenis tanaman, kerana setiap benih yang disebarkan, kami juga menyemai benih tersebut.   Kini kami tahu sawi bukan hanya sawi.  Setiap jenis ada keistimewaannya.

Banyak manfaat kami peroleh daripada blog ini.  Misalnya, ketika kanak-kanak saya benci sayur bendi.  Maklum sajalah, makanan asrama.  Ia dimasak terlalu lama atau denagn api yang kuat hingga yang tinggal hanya lendir.  Dengan bertanam sendiri kini saya tahu bendi bukan hanya bendi.  Ada berwarna gelap, ada berwarna cerah.  Rasanya pula tidak hanya bergantung pada jenis benih; jenis tanah yang digunakan, jenis baja, mikroklimat, waktu menuai juga mempengaruhi rasa bendi.  Kini saya dapat menikmati bendi tanpa dimasak.  Bendi tanamsendiri, enak seenak makanan restoren eksotik.

Dulu bendi adalah bendi.  Pokoknya cepat besar, buahnya cantik.  Satu pokok dapat tuai 2 hingga 3 biji sehari.  Saiz tak sekata, tapi alhamdulillah, bila tanam 5 pokok, dapat 10 hingga 15 biji sehari.

Kemudian kami dapat benih bendi singa.  Walaupun sekali tuai 2 hingga 3 biji sepokok saiz buahnya besar, sehingga 13 inci dan masih tetap lembut.  Puas makan.


Pokok bendi, dapat tuai buah hampir setiap hari.


Pokok bendi berbunga di bahagian pucuk.  Jadi pokok semakin  tinggi. 

Untuk lebatkan buah, ada rakan-rakan mencadangkan agar batang dikerat, setiap cabang yang tumbuh akan berbuah.  Kalau 4 cabang baru, dapat tuai 8 hingga 12 biji sehari walaupun pokok semakin tua.  Buah dari cabang semakin kecil.  Tak apalah, buah bendi yang kecil tetap enak.

Kadang-kadang terfikir juga, bagaimana kalau dapat pokok yang berbunga di seluruh batang, tidak di pucuk sahaja.  Pasti buah lebih lebat dengan saiz yang lebih sekata.  Bila dibuat carian, memang kini telah ada pokok bendi sebegini, baka Kemboja.  Benih F1 juga ada beredar di India atas nama  Gold Bhindi.  Bila bertanya, ada terjumpa bendi lebat dengan buah lebih lembut tanpa duri halus.  Alhamdulillah.  Begitulah kami di tanamsendiri, sentiasa mencari benih baru.  Memanglah harganya lebih mahal dari bendi biasa.  Tapi ia berbaloi.


Gold Bhindi, pokok bercabang, bunga sepanjang batang, buah lebat dengan saiz yang sekata.

Mungkin kami tak akan dapat benih Gold Bhindi yang beredar di India, tapi inilah kelebihan bertanam sendiri.  Pilihan dan kaedah yang digunakan mampu mencapai objektif yang sama.  Begitulah kami sekeluarga di tanamsendiri, sentiasa bergembira dengan mencari idea baru.

Terima kasih kerana memberi semangat untuk kami terus berblog sambil bertanam -- bertanam tepi rumah.


23 ulasan:

  1. Terima kasih en. Is

    BalasPadam
  2. selamat hari raya tuan..tahniah atas kejayaan blog utk menginspirasikan rakan2 yg meminati perkebunan..

    btw tuan, bendi nie kalau ditanam subur dengan air siraman tiap hari atau lebih baik dibiarkan dgn siram air jarang2..

    thanks en. is..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat Hari Raya Pn Ummuaidan,
      Terima kasih.
      Dari pengalaman saya pukok bendi tidak memerlukan air yg banyak. Ketika menyemai saya pastikan tanah lembap sedikit tetapi tidak terlalu basah.
      Lepas pokok dialih ke tanah saya hanya siram sekali setiap 2 hari di pangkal pokok kerana akar bendi tak dalam. Jika pokok kelihatan layu di tengahari saya akan sirsm lebih kerap. Kalau hujan walaupun renyai renyai, hari itu saya tak siram.
      Pokok dalam bekas saya siram dua kali sehari dengan air yg banyak. Sekali di sebelah pagi, sekali lagi di waktu tengahari.

      Padam
    2. thanks en. is..masalah saya bendi yg sy tanam & jaga siram 2X sehari slalu kurus2, mcm tak cukup makan..yg tumbuh sendiri benih tercampak atau hanyut air lg besar & subur-byk buah pulak tu..sbb tu ingat pokok ni tak perlukan air sgt kot...

      Padam
    3. Mungkin kekurangan baja atau tanah terlalu mampat menyebabkan akar tidak dapat menyerap nutrien atau udara (oksigen).

      Saya sendiri tidak pernah membaja pokok bendi, kecuali ketika mula menyemai saya gunakan medium yang kaya dengan organik. Jika ingin pokok yang subur dengan buah yang gemuk, baja dengan baja organik setiap dua minggu.

      Padam
  3. Selamat Hari Raya...

    semoga perkongsian yg baik ini akan terus berpanjangan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat Hari Raya, ejaMaria. InsyaAllah akan diteruskan.

      Padam
  4. Bendi, kawan saya ada membuat projek tahun akhir mengenainya. Dia menanam 16 varieti bendi. Menurutnya, untuk mendapat pure breed bendi, perlu 6 kitaran bendi back-cross. Satu bendi boleh hidup 3-4 bulan sebelum menghasilkan benih.

    6 x 4 = 24 bulan. Wahh! Sekurang-kurangnya 2 tahun perlu tunggu untuk dapat baka bendi asli. Kemudian barulah kacukkannya untuk dapatkan hibrid. =.="

    Dari situ jugalah baru saya tahu, yang bendi merah tidak mendapat pasaran sangat. Orang Malaysia lebih suka makan bendi hijau.

    Apapun, terima kasih en. Is. Kerana melawat blog ini jugalah, saya mula berhasrat menghasilkan buku-buku hortikultur seperti en Is. Mudah untuk pembacaan umum, semestinya. Yang pasti, en Is akan keluarkan buku itu dahulu sebelum saya. =)

    Dan yang penting, biji benih percuma untuk semua. =P

    BalasPadam
    Balasan
    1. 24 bulan terlalu lama untuk kita yang tanamsendiri untuk makan di rumah. Asalkan dapat pokok yang cepat berbuah, buah yang lebat dengan saiz yang sekara, buahnya pula lembut dan enak, itu sudah memadai. Silap silap dapat niaga bendi celup tepung pula petang-petang. Buka gerai sebelah gerai pisang goreng. :)

      Padam
  5. ya en.iskandar teruskan penulisan blog nie,saya sendiri pun tak pernah jemu membaca blog en iskandar. semoga Allah memberkati segala usaha en iskandar InshaAllah....amin

    BalasPadam
  6. insyaallah akan selalu mengikuti perkembangan blog ini..terima kasih atas segala perkongsian

    BalasPadam
  7. Terima kasih en is kerana perkongsian ilmu bertanam yang amat berguna pada saya yang baru belajar bertanam.. Semoga Allah memberkati segala usaha en is sekeluarga.. Amin..

    BalasPadam
  8. tahniah tuan iskandar... alangkah untungnya saya bertemu dengan blog tanam sendiri ni. memang betul2 bg motivasi pada saya untuk bertanam ni..

    BalasPadam
  9. sudah 2 tahun rupanya.... saya pun hampir setahun mengikuti blog tuan iskandar ni...

    sentiasa bersemangat untuk membaca dan belajar benda baru...

    apa apa pun, tanaman saya banyak yang kena ganti baru.... bendi, petola dan juga cili...yang best pokok terung masih berbuah walaupun usianya lebih tua dari pokok cili dan bendi...

    BalasPadam