Coca Cola sememangnya menjadi minuman kegemaran saya sejak kecil lagi. Ketika di sekolah rendah, Coca Cola adalah minuman tetap sementara menunggu beca ketika pulang dari sekolah. Menu ketika menunggu, nasi lemak dengan sambal, seekor ikan goreng dan sebatang keropok goreng celup tepung, 5 sen, dan sebotol Cocal Cola, 15 sen. Habis duit belanja 20 sen sehari. Ketika rehat makan bekal yang di bawa dari rumah, biasanya 5 biji jejemput bawang suam dan segelas teh suam yang diisi dalam bocong makanan.
Resepi hari ini ada menggunakan Coca Cola sebagai ramuannya. Ayam panggang Coca Cola enak. Ketika membenamkan gigi ke dalam isi ayam, rasa manis keluar melekat ,pada lidah. Nikmatnya tiada perkataan boleh menjelaskannya. Ayam yang saya gunakan ialah ayam penelur yang hampir "pencen" untuk menggantikan ayam kampung. Ayam panggang dihidangkan bersama kuah atau gravy yang dibuat daripada stok ayam yang asli serta lada hitam. Gravi ini juga enak dihidangkan bersama roti ketika sahur.
 |
Ayam Panggang Coca Cola |
 |
Hidangan Ayam Panggang Coca Cola bersama Gravi Lada Hitam |
Alatan
Periuk saiz sederhana
Periuk tekanan saiz sederhana
Penapis tepung
Bahan-bahan
2 ekor ayam kampung atau ayam penelur "pencen" bersaiz sederhana yang dikerat 5
Segenggam herb thyme tanamsendiri (boleh diganti daun kari tanamsendiri)
Segenggan daun sweet basil tanamsendiri (boleh diganti dengan daun kemangi tanamsendiri)
2 helai daun salam kering (boleh diganti dengan daun 2 helai daun limau purut tanamsendiri)
2 sudu besar garam
1 sudu teh serbuk vanilla
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 cawan bawang dilumatkan
2 cawan tomato dilumatkan
1 cawan tepung gandum
1 labu bawang putih, diketuk dan dihiris
3 biji bawang besar, dikupas dan dihiris
1 botol Coca Cola
3 cawan air
2 sudu besar minyak zaitun (boleh diganti dengan minyak masak)
Cara Menyediakan Stok Ayam
1. Masukkan ayam yang telah dibasuh, serta lemak ke dalam periuk tekanan.
2. Masukkan daun thyme (dikerat kerat), daun sweet basil (di cubit potong untuk mengeluarkan rasa), daun bay, satu sudu besar garam, dan satu sudu teh serbuk vanilla ke dalam periuk tekanan tersebut.
3. Isikan air sehingga paras 1/2 periuk tekanan.
4. Tutup periuk tekanan dan panaskan dengan api perlahan. Apabila wap mula keluar, biasanya selepas 5 hingga minit pemanasan, kecilkan api dan teruskan pemanasan selama 30 minit.
5. Selepas setengah jam, keluarkan tombol injap pemanasan untuk memaskan tekanan secara perlahan. jangan buka tudung periuk. Wap di dalam tekanan tinggi amat panas. Biarkan periuk hingga kandungannya tidak lagi panas (lebih kurang 20 minit) dan buka tudung periuk.
6. Asingkan ayam untuk diperap. Tapis cecair untuk dijadikan stok ayam.
Cara Menyediakan Ayam Panggang
1. Letakkan ayam di dalam periuk saiz sederhana.
2. Gaulkan dengan bawang putih dan hirisan bawang besar.
3. Tuangkan 1 botol Coca Cola ke dalam campuran.
4. Tutup periuk dan panaskan sehingga mendidih menggunakan api sederhana.
5. Kecilkan api dan teruskan pemanasan selama 5 hingga 10 miinit sehingga cecair menjadi pekat.
6. Tutup api, dan keluarkan ayam dan letakkan di atas talam logam.
7. Panaskan oven 350 darjah F.
8. Masukkan ayam panggang dan panaskan selama 15 minit.
9. Tutup api oven dan keluarkan ayam.
10. Hidangkan bersama kuah gravi.
Cara Membuat Kuah Gravi
1. Panaskan 2 sudu besar minyak zaitun dengan api sederhana.
2. Tuangkan 2 cawan bawang lumat dan teruskan menumis sehingga bawang berwarna perang.
3. Tuangkan 2 cawan tomato lumat dan kacau rata.
4. Tuangkan 3 cawan stok ayam (yang baru dibuat) dan kacau campuran.
5. Campurkan serbuk gandum dengan menapis sedikit demi sedikit sehingga habis 1 cawan. Teruskan mengacau campuran untuk elakkan teung daripada menjadi berketul.
6. Tambahkan 3 cawan air dan teruskan mengacau campuran.
6. Campurkan serbuk lada hitam dan teruskan mengacau campuran.
7. Apabila campuran mula mendidih, masukkan 1 sudu besar garam dan kacau sehingga garam terlarut.
8. Kecilkan api dan teruskan pemanasan sehingga paras gravi tinggal separuh dan pekat iaitu selama 5 hingga 10 minit.
9. Tutup api dan hidangkan.
Cara Menghidang
1. Siram kuah gravi di atas ayam.
2. Hidangkan ketika masih suam.