Halaman

Cari Blog Ini

Selasa, 31 Julai 2012

Ujian Cambahan

Saya telah menguji semula benih bendi singa, betik kampung, cili solok serta cili kulai king untuk mempastikan benih dalam stok saya masih bernas.

Benih tersebut telah direndam dalam air suam, air diganti setiap 12 jam dan direndam selama 48 jam.  Kemudian benih disemai dalam tanah semaian yang lembap.  Ketika direndam, benih bendi singa telah keluar akar dalam masa 24 jam.  Benih betik kampung tidak keluar akar tetapi keluar akar pada hari kedua selepas disemai.  Benih cili kulai keluar akar 24 jam selepas disemai dan benih cili solok keluar akar selepas 48 jam disemai.

Cambahan Cili Solok pada hari ke 5 selepas di rendam, iaitu 3 hari disemai.


Jadi jika direndam dengan air suam,
cambahan (keluar akar dalam 1 cm) sebagaimana berikut.

Bendi singa, 1 hari
Betik kampung, 4 hari
Cili kulai king, 3 hari
Cili solok, 4 hari

Patch Depan Rumah

Alhamdulillah, masih terdapat sedikit ruang di seberang jalan di depan rumah.  Semoga Bulan Ramadhan ini dikurniakan lebih tenaga agar dapat dimanfaatkan ruang tersebut sepenuhnya.  Ruang tersebut telah dibersihkan.  Mak oii banyaknya sampah hadiah dari penduduk setempat.  jang buang sampah dapur siap dalam guni lagi.  Tin arak, tin soda, botol mineral, semua ada.  

Sekarang sdah berjaya bersihkan kawasan tersebut.  Tiba masa untuk merancang tanaman apa yang akan ditanam serta kaedah penanaman yang akan digunakan.

Kawasan seberang jalan depan rumah, dulunya jadi kawasan semak petai padang kini selesai ditebas.

Tanah padat dan tidak dalam.  mungkin perlu guna raise bed.

Banyak juga sayur dapat ditanam di sini kalau dirancang betul betul

Kerek ni boleh dijadikan bekas untuk kompos. :)

Gambar -- Bunga Matahari

Bunga Matahari dari baka besar ini ditanam di halaman depan rumah.  Ketinggiannya melebihi pintu pagar depan.


Bayam Malabar Mampu Membaiki Organ Dalaman Yang Rosak

Anak pokok Bayam Malabar Putih
 
Terdapat dua jenis Bayam Malabar iaitu Bayam Malabar Putih (Basella alba) dan Bayam Malabar Merah (Basella rubra).  Pokok Bayam Malabar Putih mempunyai batang dan biji benih yang berwarna hijau manakala Bayam Malabar Merah mempunyai batang dan biji benih yang berwarna ungu kemerahan.  Teradapat sedikit perbezaan dari segi rasa, namun tidak terlalu ketara.  Bayam Malabar lazimnya dimakan sebagai sayur.  Ia enak digoreng bersama bawang putih.  Oleh kerana Bayam Malabar mengandungi lendir, ia enak kalau tidak digoreng hingga terlalu masak kerana jika sayur ini hancur, ia akan mengeluarkan banyak lendir.  Bayam Malabar juga enak jika dimakan sebagai ulam.  Sayur ini kaya dengan Vitamin A, Vitamin C, Besi dan Kalsium.

Sayur ini telah dibuat kajian secara mendalam secara saintifik.  Bayam ini dikatakan mampu membantu membaiki pankreas dan buah pinggang yang rosak akibat diabetes dan darah tinggi.  Untuk maklumat lanjut sila rujuk posting terdahulu tentang sayur ini.

Saya ada tanam Bayam Malabar di patch belakang rumah.  Sayur ini boleh ditanam menggunakan keratan batang atau biji benih.  Benih Bayam Malabar Merah boleh diperolehi daripada blog tanamsendiri.com. 

Koleksi Mentimun

Sekiranya rakan-rakan ada ruang untuk tanaman memanjat, atau mempunyai pasu yang besar, satu daripada tamnaman yang mesti ditanam ialah timun batang, atau mentimun.  Tanaman ini seronok ditanam kerana ia cepat mendatangkan hasil.  Lagi pun, timun yang ditanam sendiri sangat rangup dan enak jika dibandingkan dengan timun yang dibeli di pasaraya atau di pasar.  Ini kerana timun tanamsendiri dapat dimakan ketika ia masih segar.  Tanamsendiri.com menawarkan 6 jenis timun.  Timun Symphony adalah timun terbaru yang masuk dalam senarai benih untuk dijual.  Senarai timun yang ada termasuk:

Timun Symphony 747
Timun Tempatan (OP)
Timun Batu
Timun Mini
Timun Mini Siam, dan
Timun Jepun 505

Benih Untuk Dijual -- Timun Batang Hibrida F1, Symphony, 747

Benih Timun Batang (Mentimun) Symphony menghasilkan buah bnerwarna jijau dengan jalur hijau muda di sepanjang buah.  Isinya padat dan rangup.

Setiap pek mengandungi 10 biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.

Cara Memesan Benih Benih Untuk Dijual

Isnin, 30 Julai 2012

Tuaian Hari Ini -- Peria Katak, Bendi dan Kacang Panjang

Tuaian hari ini cukup untuk dijadikan ulam berbuka nanti. :)  Semuanya diperoleh daripada patch di belakang rumah.

Tuaian hari ini adalah daripada patch di belakang rumah.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Gambar Hari Ini -- Peria Katak

Pokok peria katak di belakang rumah telah mula mengeluarkan hasil.  Ada yang ranum di pokok kerana dah beberapa hari tak meninjau di belakang rumah.

Buah ketika begini enak dibuat ulam.

Buah Peria Katak ini mengandungi biji benih yang bernas.

Buah Peria Katak yang ranum berwarna oren.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Khamis, 26 Julai 2012

Resepi -- Nasi Kerabu Tanamsendiri

Nasi kerabu amat enak jika dijadikan juadah untuk berbuka puasa.

Nasi Kerabu
Nasi Kerabu
(Hidangan untuk 4 orang)

Bahan-bahan
2 cawan beras
2 cawan air
25 kuntum bunga telang

Cara Membuat
1. Basuh beras
2. Masukkan beras dan air ke dalam periuk elektrik.
3. Asingkan kelopak bunga telang daripada tangkainya.  Ambil kelopak sahaja.
4. Masukkan kelopak bunga telang ke  dalamperiuk tersebut.
5.  Pasangkan suis untukmemasak nasi.  Apabila nasi telah masak, keluarkan sisa kelopak bunga telang daripada periuk.
6.  Hidangkan.  Rujuk cara menghidang.

Kuah Lemak Kuning
Bahan-bahan
2 peket serbuk santan dicampur dengan 1 cawan air (atau 1 cawan santan pekat)
1 cm lengkuas tanamsendiri
1 1/2 cm halia tanamsendiri
1 1/2 cm kunyit tanamsendiri
3 biji bawang besar saiz sederhana
3 ulas bawang putih
1 sudu besar air asam jawa
1 batang serai tanamsendiri diketuk
2 sudu teh garam

Cara-cara
1. Lengkuas, halia, kunyit, bawang besar dan bwang putih dikisar halus.
2. Masukkan bahan-bahan kisar, serai, dan santan ke dalam periuk.
3. Masak dengan api sederhana sambil dikacau sehingga mendidih.
4. Apabila mendidih, masukkan garam dan terus mengacau perlahan-lahan.
5. Masukkan air asam jawa.
6. Kecilkan api dan masak hingga pekat, lebih kurang 5 minit.

Solok Cili
Bahan-bahan
4 biji cili solok (merah) tanamsendiri
2 ekor ikan sardin saiz sederhana
1/4 cawan kelapa parut
1 cm halia tanamsendiri
4 ulas bawang merah
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu besar air asam jawa

Cara-cara
1. Belah tengah cili tetapi jangan sampai putus
2. Buang biji dan bersihkan.
3. Rendam cili dalam semangkuk air selama 1 jam.  Lepas rendam, cili tersebut akan terbuka.  Ketepikan.
4. Bersihkan ikan sardin dan ambil isinya sahaja.
5. Tumbuk bawang merah dan halia hingga lumat.
6. Tambahkan isi ikan dan tumbuk lagi hingga isi ikan hancur.
7. Tambahkan kelapa dan tumbuk hingga lumat.
8. Campurkan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi dengan garam, gula dan air asam jawa.  Gaul hingga sebati.
9. Sumbuat bahan-bahan di atas ke dalam cili solok.
10. Kukus cili selama lebih kurang 15 minit.

Ikan Celup Tepung
12 ekor ikan selar kuning
4 sudu besar (tablespoon) tepung beras
6 sudu besar air
1/2 sudu besar kapur (kapur makan dicampur dengan air)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
1/2 cawan minyak masak (untuk menggoreng)

Cara-cara
1. Ikan dicuci bersih (jangan buang ekornya).  Ketepikan.
2. Bancuh tepung beras dengan 4 sudu besar air air. Kacau hingga sebati. Tambahkan 2 sudu air lagi. Kacau lagi.
3.  Masukkan serbuk kunyit, garam, dan air kapur.  Kacau sehingga sebati.
4. Apabila telah selesai, pegang ekor ikan dan celupkan ke dalam bancuhan tepung. (Ikan dipegang di bahagian ekor supaya ikan disaluti tepung dengan rata.)
5. Panas minyak masak dalam kuali dan goreng hingga garing dengan api sederhana.
6.  Setelah garing, keluarkan ikan.

Kerabu
1. Ulam-ulaman
Bahan-bahan
3 tangkai sweet basil tanamsendiri diambil daunnya
segenggam kangkung tanamsendiri
5 batang kacang panjang tanamsendiri

Cara-cara
1. Semua ulam dimayang halus.
 2. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan.

2. Kerabu Kelapa
Bahan bahan
2 cawan kelapa parut

Cara-cara
1. Goreng kelapa parut tanpa minyak sehingga garing.
2. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan.

Sambal
1. Sambal Cili
Bahan-bahan
5 cili merah kampung tanamsendiri
5 biji cili padi tanamsendiri
1 sudu besar gula
1 sudu teh garam
1 biji limau nipis diperah airnya

Cara-cara
1. Kisar semua bahan di atas sehingga lumat.
2. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan.

2. Budu
Bahan bahan
3 sudu besar budu
2 sudu besar air masak
1/2 biji limau nipis diperah airnya
5 biji cili padi tanamsendiri dihiris halus

Cara-cara
1. Campurkan bahan-bahan di atas hingga sebari.
2. masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan.

Cara Menghidang Nasi Kerabu
1. Masukkan nasi ke dalam pinggan.
2. Tambahkan solok cili, ikan celup tepung dan telur asing rebus.
3. Taburkan kerabu ke atas nasi.
4. Siramkan sambal ke atas nasi.

Selamat mencuba dan menikmati Nasi Kerabu tanamsendiri. :)


 









Isnin, 23 Julai 2012

Resepi -- Sup Tomato dan Sweet Basil/Kemangi

Pada rakan-rakan yang dapat menuai buah tomato serta sweet basil atau kemangi/tulasi, oregano, bolehlah cuba sediakan sup ini untuk juadah berbuka.  Masakan ini memerlukamn masa memasak sekurang-kurangnya 2 jam.  Perlu dimasak awal. Anak-anak pasti gemarkan hidangan ini.  Amat enak jika dicicah roti.  Saya gunakan sup ini untuk umpan anmak-anak yang tinggal di luar untuk pulang berbuka bersama. :)



Bahan-bahan untuk hidangan 4 orang
2 sudu besar minyak zaitun atau minyak masak
1 biji bawang besar dihiris
1/2 sudu besar gula galus (gula caster)
1 batang lobak merah tanamsendiri dipotong kecil
1 ketul kentang dipotong kecil
1 labu bawang putih (dalam 5 ulas) dilumatkan
2 biji tomato saiz besar atau 2 biji tomato tanamsendiri saiz sederhana dipotong halus
2 sudu besar tomato puri
1 helai daun salam
1 tangkai thyme tanamsendiri
1 tangkai oregano tanamsendiri
4 helai daun sweet basil atau kemangi/tulasi dikoyak dengan tangan
4 cawan stok ayam
3 hirisan tomato kering yang disimpan dalam minyak 
2 sudu besar daun sweet basil/kemangi yang dipotong halus
1 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar garam
1 buku roti

Alatan
Periuk bertudung rapat
Penapis

Cara Membuat
1. Panaskan minyak zaitun atau minyak masak dalam periuk menggunakan api kecil.  Masukkan bawang dan tabur gula halus.  Teruskan memasak selama 5 minit.
2. Masukkan lobak dan kentang yang telah dihiris ke dalam periuk.
3. Tutup periuk rapat dan teruskan memasak selama 10 minit.
4. Masukkan bawang putih, puri tomato, daun salam (bay leaf), thyme, oregano, stok ayam, garam dan serbuk lada hitam.  Kacau campuran supaya serasi.
5.  Tutup periuk dan teruskan pemanasan selama 30 minit.
6. Alih periuk daripada dapur dan tapis kandungan periuk.  Ketika tapis, tekan untuk memerah cecair di dalam nya.  Kembalikan sup ke dalam periuk.  Simpan pepejal tapisan dalam bekas untuk masakan yang lain.
7. Panaskan sup dan masukkan hirisan tomato kering yang telah dipotong halus.  Tambah 1 sudu besar sweet basil/kemangi yang telah dipotong halus. 
8. Hidangkan sup bersama hirisan roti dengan segera. Anda boleh ubahsuai kandungan herb menggunakan herba tempatan.

Membuat Benih Sendiri -- Betik Bahagian 2 daripada 2


Seeloknya hasilkan pokok hermafrodit kerana hampir semua bunga yang dihasilkan lekat dan menjadi buah.  Kadangkala mungkin berlaku penjarangan kerana musim kemarau dan pokok tidak mendapat air secukupnya.  Buah yang dihasilkan oleh pokok hermafrodit juga bermutu tinggi.

Betik kampung dari jenis hermafrodit berbuah lebat.

Bayangkan kalau tanam di tepi rumah, 2 pokok sudah mencukupi.

Pokok betik betina tidak menghasilkan buah yang lebat kerana bunga yang dihasilkan tidak mengandungi debunga.  Ia bergantung pada debunga daripada bunga jantan dan bunga hermafrodit.  Jika tiada serangga pendebunga, bunga betina gagal disenyawakan dan akan luruh.

Bunga jantan tidak mengandungi ovule dan tidak akan membentuk buah.  Kadangkala ada bunga yang mengandungi ovule dan membentuk buah tetapi buahnya kecil.

Pokok betik jantan menghasilkan bunga dengan tangkai yang panjang. 

 
Jika ingin buat benih sendiri, pastikan benih diambil dari pokok hermafrodit.  Untuk pastikan tiada pendebungaan luar, anda perlu halan pendebungaan luar.  Cara nya begini.

Bahan
Stapler
Kertas minyak (dipotong dang dilekatkan membentuk sampul.)
 
Cara-cara
1. Pilih bunga hermafrodit yang belum terbuka.
2. Sarungkan sampul dari kertas minyak dan stapler sarung.  Pastikan sampul dapat menghalang serangga pendebunga (misalnya lebah) dapat masuk ke dalam sampul.
3. Apabila bunga telah menjadi putik buah, buka sampul dan tandakan buah.
4. Apabila buah ranum, petik dan proses biji benih sebagaimana dibincangkan dalam artikel bahagian 1.

Saya harap artikel ini dapat membantu rakan-rakan yang ingin cuba buat benih betik sendiri.

 


Ahad, 22 Julai 2012

Membuat Benih Sendiri -- Betik Bahagian 1 daripada 2

Saya tertarik dengan saranan EjaMaria yang syorkan rakan-rakan untuk membuat benih sendiri iaitu dengan menggunakan biji daripada buah yang dibeli.  Memang ini cara paling pantas untuk dapatkan biji benih betik. Tujuan artikel ini adalah untuk membantu rakan-rakan menyediakan benih yang terbaik untuk disemai menggunakan benih yang dikutip sendiri daripada buah.

Secara asasnya biji benih betik diselaputi membran dan di dalamnya terdapat jeli.  Di hujung biji benih pula terdapat sedikit isi betik yang terlekat.  Jeli yang terdapat di dalam membran tersebut adalah sejenis enzim yang menghalang  biji benih dari bercambah.  Pada pendapat saya, jeli tersebut dapat membantu menghalang biji benih daripada bercambah ketika masih di dalam buah.

Setelah mengutip biji benih, basuh dulu biji benih untuk meleraikan isi yang terlekat pada biji benih.  Ini akan dapat mempastikan biji benih tidak dimakan semut ketika menyemai nanti.

Kemudian picit biji benih untuk pecahkan membran dan membebaskan enzim penghalang percambahan.  Basuh biji benih dengan sabun pencuci pinggan dan rendam dengan thiram atau ubat antikulat dan jemur.

Anda sedia untuk menyemai.  benih yang disediakan mengikut kaedah ini akan bercambah dengan lebih seragam.

Tentang Pemilihan Benih Betik
Secara asasnya pokok betik ada tiga jenis iaitu betik yang menghasilkan bunga jantan, betik yang menghasilkan bunga betina dan betik yang menghasilkan bunga hermafrodit.  Pokok betik jantan juga dikenali sebagai betik rambai yang hanya menghasilkan bunga jantan.  Tangkai bunga panjang kadang-kadang hingga mencecah 90 cm (3 kakli).  Anda akan hanya mengetahui jantina pokok apabila pokok berbunga.  Jika tersalah pilih benih, anda akan hanya membuang masa kerana pokok betuik jantan tidak akan berbuah.  Kalau berbuah pun tidak banyak.

Pokok betik betina menghasilkan bunga yang hanya mengandungi bunga betina.  jadi tidak semua bunga yang terhasil akan berbuah kerana peelukan debunga daripada pokok betik jantan atau pokok hermafrodit.  Jadi pokok ini tidak berbuah lebat.

Pokok betik hermafrodit pula menghasilkan bunga yang mengandungi bahagian betina dan debunga.  Oleh sebab itu semua bunga daripada pokok ini akan disenyawakan dan akan berputik.  Pokok sebegini akan menghasilkan buah yang lebat.

Jadi, rakan-rakan perlu pilih buah dari pokok hermafrodit yang tidak didebunga oleh pokok jantan untuk mempastikan benihnya adalah daripada jenis hermafrodit.  Ini perlu ditekankan kerana ada rakan saya yang menghabiskan masa dalam 6 bulan menanam biji benih hanya mendapati kesemuanya pokok jantan. 





Resepi -- Sirap dan Halwa Roselle

Ketika berbuka enak juga kalau berbuka dengan sirap roselle yang kaya dengan khasiat serta anti oksidan.  Halwa pula boleh dimakan ketika menonton selepas tarawikh.


Membuat Sirap Roselle

Bahan-bahan

10 biji buah roselle
1/2 mangkuk (2 cawan) gula pasir
1 mangkuk (4 cawan) air.


Cara Membuat
1. Ceraikan kelopak (kaliks) roselle daripada buahnya.  Buangkan buah tersebut.
2. Masukkan kelopak roselle dan 4 cawan air ke dalam periuk dan panaskan.
3. Campurkan 2 cawan gula pasir dan teruskan pemanasan sehingga mendidih.  Kacau untuk larutkan gula.
4. Kecilkan api dan reneh sehingga 10 minit iaitu sehingga larutan menjadi pekat.
5.  Tutup api dan biarkan sejuk.
6. Tapis larutan untuk mengasingkan kelopak dan sirap.
7. Tuang sirap roselle ke dalam botol dan simpan di dalam peti sejuk.
8.  Simpan kelopak untuk dibuat halwa roselle.

Cara membancuh sirap roselle
1. Tuangkan air sejuk ke dalam gelas.
2. Tambahkan 2 sudu besar sirap roselle dan kacang sehinggal larut.
3. Tambahkan 2 kiub air dan hidangkan.

Cara Membuat Halwa Roselle

Bahan-bahan
Kelopak roselle hasil tapuisan daripada sirap roselle
1 sudu besar gula
1 sudu besar air

Cara Membuat
1. Panaskan 1 sudu besar gula pasir dan 1 sudu besar air di dalam periuk menggunakan api sederhana.
2. Bila gula telah larut, masukkan kelopak roselle dan kacau hingga kering.
3. Tutup api dan keringkan kelopak roselle.
 


Sabtu, 21 Julai 2012

Resepi -- Sayur Lemak Lada Hitam Mulukhiya


Sayur Lemak Lada Hitam Mulukhiya

Tiada kenikmatan berbuka puasa senikmat masakan sendiri dari sayur yang ditanam sendiri.  Resepi kali ini menggunakan Daun Mulukhiya atau Bayam Palestin, sayur yang diperolehi dari benih kiriman I Wong. Ikan bilis juga dari jenis istimewa dari Kota Belud, Sabah kiriman Puteri Purnama.  Terima kasih daun keladi kepada Sdr I Wong dan Cikgu Puteri Purnama. :)

Bahan-bahan
3 cawan daun mulukhiya tanamsendiri
1 sudu besar lada hitam dilumatkan
2 sudu besar ikan bilis
1 peket serbuk santan
3 sudu besar bawang besar yang dikisar
4 cawan air air
1 sudu besar garam

Cara-cara
 Campurkan serbuk santan, air, lada hitam, garam dan ikan bilis ke dalam periuk.
Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
Kecilkan api, dan teruskan memasak selama 3 minit.
Masukkan daun sayur mulukhiya dan kacau. 
Masak sehingga daun kelihatan layu tetapi jangan sampai hancur.
Hidangkan bersama nasi.

*Daun sayur mulukhiya boleh diganti dengan sayur pucuk manis, bayam hijau daun tajam, pucuk ubi, kangkung, atau pucuk keledek.

 

Tuaian Hari Ini -- Mulukhiya

Mulukhiya yang dituai adalah hasil daripada benih yang telah dikongsi oleh Sdr I Wong.  Sebelum inio saya cuba dapatkan benih daripada pokok yang disemai.  Pokok berbunga tetapi saya tidak berpeluang mengutip benihnya.  Apabila dicabut rumput pagi tadi, kelihatan berceracak tumbuh anak-anak mulukhiya, entah bila benihnya gugur ke tanah. :)

Daun Mulukhiya, sedia untruk dimasak dijadikan lauk ketika berbuka.

Resepi -- Sirap Biru

Sirap biru begitu popular di Thailand.  Sirap ini terdiri daripada rebusan bunga telang dan sirap daun pandan.  Sirap berwarna biru.  Apa yang menarik adalah sirap bertukar warna daripada biru kepada merah jambu apabila dipecah limau nipis.  Sirap ini enak diminum sejuk.  Rasa lembut bunga telang dan pandan begitu serasi.  Apa lagi perubahan warna dari biru ke merah jambu serta rasa limau nipis betindak “like magic.” Mmmmm.... Enak dihidangkan ketika berbuka. 



Bahan-bahan
30 kuntum Bunga Telang tanamsendiri
½ mangkuk gula (2 cawan)
3 helai Daun Pandan tanamsendiri
2 mangkuk air
1 biji Limau Nipis tanamsendiri


Bahan-bahan Sirap Biru

Cara-cara
1. Buang tangkai Bunga Telang.  Simpan kelopaknya.


Buang tangkai Bunga Telang dengan menarik tangkai seperti ini.

2. Campurkan air, gula, Kelopak Bunga Telang, dan Daun Pandan di dalam periuk dan panaskan sehingga air mendidih.

3. Teruskan pemanasan selama 5 minit sehingga air surut sedikit.

4. Biarkan campuran sejuk dan tapis sirap.

5. Masukkan larutan sirap ke dalam botol dan sejukkan di dalam peti sejuk.

Sirap Biru yang belum dibancuh.



Cara Membancuh
1. Masukkan 2 sudu besar sirap biru ke dalam gelas.

2. Tambahkan air dan ais.  Perhatikan warna sirap biru.

Sirap Biru yang telah dibancuh.

3. Hidangkan bersama hirisan limau nipis.

4. Sebelum diminum, perahkan hirisan ke dalam gelas.

Perah satu hirisan Limau Nipis.

5. Kacau sirap.  Warna sirap bertukar ke warna merah jambu dan sedia untuk dinikmati.

Sirap Biru bertukar menjadi merah jambu dan sedia untuk dinikmati.


Jumaat, 20 Julai 2012

Tuaian Hari Ini -- Bendi, Roselle, Terung dan Bunga Matahari

Hari ini bersemangat menuai buah-buah yang ada, sejak pokok mulai segar semula setelah seminggu hujan.  Bendi dan terung untuk makan hari ini, roselle untuk dibuat sirap dan biji martahari.... atas permintaan anak, akan dibuat kuaci. :P


Tuaian Hari Ini

Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Khamis, 19 Julai 2012

Gambar Hari Ini -- Setelah Beberapa hari Hujan


Alhamdulillah, hujan mula turun setiap hari.  Tanah yang gersang mula tersenyum lagi.  Tumbuh-tumbuhan mula ceria berebut ruang bersama rumpai.  Semangat bertanam semuncak kembali. :)

Tomato ceri mula berputik.

Pokok Bunga Telang mula menghasilkan banyak bunga yang mekar.

Bunga Matahari tunduk berat menanggung air.

Bendi rebah ke laman jiran kerana ditiup angin.

Bendi masih galak menghasilkan buah yang enak.

Roselle yang terabai ketika panas dulu rebah ke tanah kerana berat buah yang tidak dituai.  InsyaAlllah bekalan jus roselle tidak akan putus Ramadan ini.

Terung pendek Bride menghasilkan buah yang berkilau ungu.

Pertumbuhan Kailan begitu galak.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Resepi -- Singgang Ikan Selayang

Singgang Ikan Se4layang enak dihidang ketika sahur di Bulan Ramadhan.

Singgang Ikan Selayang (Sardin)

Bahan-bahan
  •          3 ekor ikan selayang (sardin) disiang
  •          5 ulas bawang putih
  •          2 keping asam gelugor (asam keping)
  •          2 cm kunyit tanamsendiri
  •          1 cm lengkuas tanamsendiri
  •          5 cawan air
  •          1 sudu besar garam
  •          5 biji cili padi atau cili wangi tanamsendiri

Cara Memasak
  1. Cuci ikan, potong 2 jika ikan bersaiz besar
  2. Hiris bawang putih, kunyit hidup dan lengkuas tanamsendiri
  3. Masukkan air, ikan selayang, bawang putih, lengkuas, kunyit, cili padi dan asam gelugor ke dalam periuk.
  4.  Masak sehingga mendidih.
  5. Kecilkan api dan masak lagi selama 5 hingga 10 minit sehingga air surut sedikit.
  6. Masukkan 1 sudu garam.
  7. Teruskan memasak selama 3 minit.
  8. Sediakan untuk hidangan.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Rabu, 18 Julai 2012

Gambar hari Ini -- Bunga Matahari Besar

Bunga Matahari dari baka besar dah mula mekar.  Malangnya saiz yang saya dapat tidak sebesar yang saya harapkan.  Mungkin kerana tanah tempat saya tanam tohor dan kurang bahan organik.  Saya juga tidak siram secukupnya.  Untuk dapatkan bunga yang saiz lebih besar boleh cuba booster berikut.

1 sudu besar garam epsom dilarutkan dalam 1 gelen air (~ 4 1/2 liter).  Siram 2 kali seminggu.  InsyaAllah pokok akan lebih subur dengan saiz bunga yang lebih besar.

Bunga Matahari


Bunga Matahari
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Benih Untuk Dijual -- Chinese Kale, Kai Lan, Baka Hibrida F1, 55

Kai lan atau chinese kale adalah sayur hijau dari keluarga brassica (kobis) dengan daun bewarna hijau tua.  Sayur ini mahal sedikit jika dibandingkan dengan sayur jenis kobis yang lain.  Namun begitu, kai lan amat popular di kalangan penggemar sayur kerana rasanya dan daun yang tebal dan rangup.  Kai Lan, enak kalau digoreng dengan ikan masin atau dimakan mentah cicah sambal. Jangan cabut hingga ke akar ketika tuai, kerat batangnya, daun baru akan tumbuh.  Sesuai ditanam dalam bekas.  Benih yang ingin dijual adalah dari baka 55.

5 pek - RM10.00
1 pek - 1/4 sudu teh, iaitu 50-80 biji benih.





Cara Memesan Benih Benih Untuk Dijual

Selasa, 17 Julai 2012

Kailan OP

Selain daripada Kalilan baka F1, iaitu baka 55 dan 117, saya juga ada stok benih Kailan OP atau pendebungaan terbuka.  Benih tersebut ada saya kongsikan beberapa bulan yang lalu.  Saya perhatikan benih tersebut juga ok.  Daripada 100 biji benih yang saya cambahkan dalam dulang semaian, semua tumbuh.  Sebahagian daripada cambahan tersebut telah saya tuai kecil dan makan sebagai baby kai lan kerana ruang yang terhad.  Saya hanya alih dalam 10 pokok ke dalam bekas pasu panjang dan bekas gabus.

Sebagaimana posting yang lalu, sebahagian saya letakkan di tempat teduh dan sebahagian lagi di tempat panas.  Pokok yang diletak ditempat teduh menghadapi masalah serangan makhluk perosak dan kulat menyebabkan sebahagian terkena penyakit reput batang (damping off).  Pokok yang diletak ditempat panas (direct sunlight) tumbuh subur.  

Saya ada terima banyak pertanyaan berkenaan di mana nak letak tanaman kailan mereka kerana pokok ini kelihatan manja.  Letak di tempat yang mendapat cahaya matahari terutamanya cahaya pagi.


Kailan OP
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Isnin, 16 Julai 2012

Jika Pokok Kering Celup Dalam Air

Kadang kala pokok menjadi sangat kering kerana hari sangat panas atau terlupa siram,.  Walaupun daun kelihatan seperti terbakar pokok tersebut mungkin masih boleh diselamatkan.  Isikan air di dalam baldi, kemudia celup pokok yang kekeringan di dalam air.  Biarkan beberapa kari.  Daun yang kering mungkin akan luruh dan tunas baru akan keluar,.

Pokok Alamanda ini telah kering.  Apabila dicelup ke dalam baldi berisi air, ia segar semula.

Benih Chrysenthemum dan Dahlia Kehabisan Stok

Benih bunga Chrysenthemum dan Dahlia telah kehabisan stok.  Benih ini akan dikeluarkan daripada senarai sehingga stok baru tiba.

Sabtu, 14 Julai 2012

Ikan Pelaga Jantan

Nampaknya ikan pelaga dah sedia untuk mengawan.  Pelaga jantan bukan main lagi kembang menunjukkan kejantanannya.  Nah lihatlah sendiri. Ikan pelaga ini diperolehi daripada En Ahmad Fuad di Kemaman.  Ikan tersebut adalah antara model yang digunakan dalam ilustrasi ebook yang sedang kami bangunkan.




Kepada rakan-rakan yang ingin mendapatkan ikan pelaga jantan atau betina sila hubungi breeder En Ahmad Fuad di nombor 09 8595725 atau datang sendiri ke Lot 2540 Gong Limau, Chukai, Kemaman, Terengganu.  

Hujan Dah Turun, Kacang Panjang Mula Berbuah

Dua tiga minggu lepas cuaca panas dan kering.  Banyak pokok tidak berbunga dan buah mula berkurang.  Alhamdulillah, minggu ini hujan mula turun setiap hari.  Pokok mula keluarkan putik bunga.  Di pagar belakang rumah, putiik buah kacang panjang mula kelihatan.  InsyaAllah dua tiga hari lagi dapatlah bekalan kacang panjang yang tak putus.





Cara Menyemai Dahlia

Pokok dahlia boleh disemai menggunakan biji benih. Untuk menyemai, ikut langkah berikut.

1. Isikan tanah kompos serbaguna ke dalam bekas semaian atau dulang semaian.  Jangan mampatkan tanah.
2. Sembur tanah dengan air untuk lembapkan tanah menggunakan penyembur (spray).
3. Buat lubang sedalam 2 cm (0.8 inci)  di tengah tanah dalam bekas semaian.
4. Masukkan satu benih ke dalam lubang tersebut dengan bahagian tirus di bawah dan bahagian lebar di atas.
5. Tabur kompos serbaguna di dalam lubang untuk menutupnya.
6. Letakkan bekas semaian ditemp[at cerah.  Pastikan tanah lembap selalu.  Anda boleh letakkan bekas semaian di dalam dulang berisi air iaitu kira-kira 2 cm (0.8 inci) atau sembur setiap hari.
7. Biji benih akan bercambah dalam masa 4 hingga 7 hari.



Cambahan dahlia selepas 4 hari disemai.
8. Alih cambahan ke dalam bekas yang lebih besar atau ke atas tanah apabila terdapat 6 helai daun (2 set daun sebenar).  Gunakan tanah yang kaya dengan kompos.

9. Di peringkat awal, letakkan di tempat teduh atau pasang sungkup sehingga pokok telah kukuh.
10.  Apabila pokok telah kukuh, dedahkan kepada cahaya matahari sepenuhnya.


Air Kencing Sebagai Baja

Saya perhatikan sebelum ini ada antara rakan-rakan yang membuat ulasan tentang penggunaan air kencing sebagai baja.  Secara peribadi saya sendiri tidak tergamak untuk gunakan bahan tersebut sebagai baja.  Saya juga ada mene rima beberapa permintaan agar saya sentuh tentang topik ini.

Pada pendapat saya, air kencing adalah satu daripada potensi sumber baja yang besar malangnya telah diabaikan.  Sebaliknya kerana tidak dimanfaatkan sepenuhnya, air kencing telah menjadi satu daripada sumber pencemaran.  

Adakah air kencing kotor secara biologi?

Secara biologi, air kencing adalah steril dan boleh digunakan sebagai baja secara terus, kecuali jika anda mengidap penyakit hepatitis.  Penyakit hepatitis boleh berjangkit m,elalui air kencing.

Secara purata, setiap hari seorang dewasa menghasilkan 12g nitrogen melalui larutan ammonia, 1.0 g fosforus, 2.5g kalium, 1.0g sulfur dan 5.0g natrium.  Oleh kerana pemakanan seseorang adalah berbeza, kuantiti kandungan mikronutrien di dalam air kencing adalah berbeza mengikut individu.

Cara terbaik menggunakan air kencing adalah sebagai sumber nitrogen di dalam timbunan kompos.  Cairkan 1 bahagian air kencing dengan 4 bahagian air dan siram di atas timbunan kompos. Jangan gunakan air kencing yang tidak dilarutkan kerana kandungan garam yang tinggi di dalam air kencing akan menyebabkan tanaman terbakar.

Ada juga orang gunakan larutan air kencing (1:4) sebagai baja foliar.  Larutan tersebut juga boleh bertindak sebagai racun kulat yang berkesan.

Jumaat, 13 Julai 2012

Alatan -- Chia Gourmet Herb Garden

Ada rakan meminta saya kumpulkan benih dan medium yang sesuai dan edarkan sebagai kit.  Alasannya, dia tak tahu macamana nak pilih tanah, benih yang mudah tumbuh serta kaedah menanam.  Katanya lagi, bila dah sekali praktis, lain kali bolehlah pilih sendiri tanah, baja dan benih yang macamana yang sesuai.  Bagus juga idea tu, mungkin saya cuba celah-celah dulu masa dan bina kit prototaip dulu.  Ada saya berjanji dengan sebuah syraikat untuk bangunkan kit sedemikian, tapi masa belum mengizinkan lagi. 

Semalam sempat ke kedai dan capai satu kit bertanam.  Kit ini dinamakan Chia Gourmet Herb Garden.  Kit ini mengandungi tiga pot semaian serta piring dan pengalas dibuat daripada plastik,  tiga span bernutrien berbentuk pot semaian, 6 penanda jenis semaian,  dan 6 sampul kecil benih.  Benih tersebut ialah benih daun sup, dill, kucai, sweet basil, ketumbar dan marjoram.

Cara menyemai bergambar dicetak pada sisi kotak.  Menarik.  Saya belum cuba semai lagi.  Tapi harganya agak tinggi.  Saya bel;i dengan harga RM80++.  Tapi, kalau nak tarik anak-anak bertanam herb, kira berbaloi lah sebab bagi saya RM80 tak sepadan dengan ilmu yang kita peroleh bila menggunakan kit tersebut.  Tapi kandungan nutrien span tak diberitahu.  

Hmmmm.... Ini macam pergi kursus fertigasi juga, 

"Larutkan sepaket baja A dan baja B dalam ...." 

Tapi apa ada dalam baja A dan baja B tak diberitahu. 

Kit Chia (R )Gourmet Herb Garden
 

Gambar Hari Ini -- Bendi

Kacang bendi dah banyak mengeluarkan hasil.  Ada pokok yang tinggi sehingga paras dada.  Pokok yang tinggi saya kerat hingga separas lutut.  Tunas baru tumbuh di sisi batang pokok dan alhamdulillah telah mengeluarkan hasil. 

Pokok berbuah lebat.  Saiz sebegini paling enak dibuat ulam.

Buah ini enak kalau digoreng celup tepung.  Siapa yang tanam bendi boleh buka gerai BCT, "Bendi Celup Tepung." Pasti laris petang-petang.

Tunggu lagi 2 hari akan ku tuai dikai wahai putik bendi.

Buah ini sedia dituai.

Yang ini nampak berserat sedikit.  Sedap dibuat gulai.