Sebagai kanak-kanak saya memang dikenali kerana minat bertanam. Nak kata berkebun, tanah belakang rumah hanya sekangkang kera. Bila ada yang tak kena ketika bermain, saya akan pulang dan menyangkul tanda lepas geram. Bila semua ok, pokok kemana, kebun kemana.
Saya ingat lagi suatu hari ketika panas terik, mak bertanya,
"Tak menyangkul hari ni?"
Mungkin sebab hari sebelumnya saya menyangkul dengan bersungguh-sungguh, selepas bergaduh dengan sepupu kerana kalah main getah. Hari ni, bila semua dah ok, cangkul terperosok dalam batas yang separuh siap. Cuma anak-anak ayam mengais batas menikmati cacing tanah dan anai-anai yang terdedah kerana sarangnya dicangkul ketika membuat batas di hari sebelumnya.
"Tak, hari ni panas."
Jawab saya mencari alasan.
"Dulu tak menyangkul, sebab hujan, tunggu hari panas. Sekarang tak menyangkul sebab panas, tunggu hari hujan?"
Ayat mak selalu bermain di telinga bila saya cari alasan untuk tidak bertanam. Aktiviti ini bagus.
Sebenarnya kita dikurniakan dengan cuaca yang cukup baik jika minat bertanam. Saya sendiri pun tidak menyedari hakikat ini hinggalah diberi kenikmatan dapat sambung belajar di negara empat musim. Makcik-makcik di sana terpaksa korek pokok letak dalam pasu dan angkut masuk ke apartment ketika musim sejuk. Mereka tunggu musim panas. Pokok sayur yang cantik-cantik yang mereka tanam bukannya ditanam ketika sejuk. Mengapa pula kita beri alasan sayur di negara mereka cantik sebab sejuk.
Ok, negara kita panas. Apa buktinya kalau panas elok untuk bertanam, tak kan main cakap aja? Nah itu soalan yang saya tunggu dari tadi. Ini buktinya...
Pokok sweet basil lebar daunnya, bukan berasal dari tempat kita. Di ambil pucuknya hampir setiap hari untuk dibuat ulam, tetap segar. Kata orang pokok ini berasal dari tempat sejuk. Lihatlah sendiri. Kangkung yang sememangnya dahagakan air, walaupun ini musim panas, lihatlah sendiri betapa suburnya. Yang tinggi sebelah bucu kiri tu mulukhiya, siap berbunga. Kesum juga tetap subur. Ruang ini tidak terlindung ketika terik matahari. Rumpai juga turut menghijau subur. Bila nak merumput ni.
 |
Ruang depan rumah ketika musim panas. |
Jadi, tak mau merungut lagi. Nanti bulan ramadhan, kita nak makan makanan sihat. Makanan hasil tanamsendiri. Capai topi, capai sarung tangan.