Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Khamis, 12 April 2012

Tanam Sendiri -- Kangkung

Kangkung (Ipomoea aquatica)  adalah antara sayur yang popular dalam masyarakat kita.  Ia dimakan sebagai ulam, dicelur dan dicicah sambal lada atau budu (dimakan bersama nasi), dimasak dan dihidang bersama yong tau foo, pecal dan pelbagai lagi.  Sayur ini juga mempunyai banyak khasiat.

Kangkung adalah tumbuhan dari keluarga kembang pagi. Sebab itu rupa bunganya sama.  Kalau ditanam dalam keadaan kurang air dan panas, kangkung akan memanjat, sama seperti pokok kembang pagi.

100g kangkung (daun dan batang) mengandungi khasiat berikut:

Tenaga, 29.0 kCal, air 90.0g, Protein 3.1g, lemak 0.2g, karbohidrat, 3.6g, Serat, 1.0g, Kalsium, 0.088g, Fosforus, 0.009g, Besi, 0.0052g, Natrium, 0.065g, Kalium, 0.078g, beta-karotena, 4760 mikrogram, Vitamin B1, 0.001g, Vitamin B2, 0.006g, Niacin, 0.006g, dan Vitamin C, 0.0485g.  (Sumber:  Nutrient Composition of Malaysian Food, 1982 melalui N. Sahadevan, Green Fingers, 1987)

Tidak hairanlah kangkung dikenali sebagai "Raja Sayur" di Internet.

 Kangkung boleh ditanam menggunakan biji benih atau melalui keratan batang.  Ia sesuai ditanam di atas tanah, atau kalau tiada ruang, dalam pasu pun boleh juga.  Asalkan disiram selalu dan diletak di tempat yang cerah.


Menyediakan Tanah
Gemburkan tanah dan gaulkan dengan baja organik.  Biarkan selama beberapa hari.  Jika gunakan bekas, gunakan tanah liat yang dicampur baja organik dan sedikit pasir.  Atau gunakan tanah yang kaya dengan organik.


Menyemai Dengan Benih
Semai biji benih ke dalam lubang sedalam 3 cm.  Jarangkan semaian kira-kira 15 hingga 20 cm antara pokok.  Saya semai 3 benih satu lubang.  Dua dari pokok akan dicabut muda untuk dibuat ulam kira-kira 2 minggu selepas disemai.

Benih kangkung

Jika semai dalam bekas, semai 3 biji satu lubang dan jarakkan kira-kira 5 cm (2 inci).  Ini kerana bekas mempunyai ruang yang lebih terhad dan jarang dipenuhi rumpai.  Jadi boleh tanam lebih rapat.

Menyemai Menggunakan Keratan Batang
Kangkung boleh disemai dari biji atau batang lebihan sayur yang dibeli di pasar.  Jika tanam melalui batang, gunakan batang tanpa daun dengan panjang kira-kira 10cm. Pastikan tiada bahagian batang yang rosak (buruk) untuk elakkan jangkitan penyakit. Cucuk batang sedalam 5 cm. Tunas akan keluar dalam masa 2 hari. Sebenarnya kalau tanam melalui batang, anda dapat tuai dengan lebih cepat berbanding dengan tanam melalui biji.  Cuma tekstur kangkung yang ditanam melalui keratan batang lebih berserat jika dibandingkan dengan kangkung yang ditanam menggunakan biji benih.


Percambahan
Kebiasaannya benih yang disemai akan bercambah selepas 3 hari.  Siram dan pastikan benih tidak kekeringan.  Kangkung perlukan banyak cahaya dan air.   

Cambahan kangkung selepas 3 hari disemai.



Kangkung pada hari ke 10.

Kangkung pada hai ke 14.



Kangkung adalah tanaman sayur yang mudah ditanam sendiri.  Daun dan batang boleh dimasak atau dimakan mentah sebagai ulam atau salad.  Kangkung ini ditanam dengan mencucuk batang lebihan sayur yang dibeli dari pasar.


Penjagaan
Di hari yang tidak hujan, siram dua kali sehari. Jika gunakan tanah yang digaul dengan kompos, tidak perlu pembajaan tambahan. Jika gunakan tanah tanpa ditambah kompos, baja seminggu sebelum disemai, dan selepas 3 minggu disemai.

Membaja
Baja apa yang sesuai? Jika anda ingin tanaman organik, baja tinja ayam, kambing atau lembu sesuai digunakan. Saya gunakan baja cecair, iaitu perut ikan yang dikisar. Untuk rakan-rakan yang ingin gunakan baja kimia, boleh gunakan baja 15;15:15 NPK. Larutkan satu sudu dalam 2 liter air (2 botol air mineral besar).

Merumput
Jika tanam dalam bekas, buang rumpai apabila kelihatan. Jika tanam atas tanah, merumput kira-kira seminggu sekali.


Jika tanam di atas tanah, perlu merumput selalu untuk elakkan persaingan baja.


Menuai
Potong bahagian pucuk selepas 4 hingga 6 minggu selepas dituai. Tinggalkan batang kira-kira 5cm atas tanah dan biarkan ia tumbuh semula untuk dituai kira-kira 2 minggu kemudian.

Kangkung cepat membesar, selepas 4 minggu ia sedia untuk dituai.



Kangkung yang baru dituai enak rasanya.



Penyakit
Kangkung adalah tanaman yang tahan dan jarang terkena penyakit. Kadang-kadang terdapat tompok-tompok putih jangkitan kulat white rust (Albungo ipomoeae-panduratae). Petik dan bakar daun yang dijangkiti kulat. Masalah ini tidak ketara kerana lazimnya penyakit tersebut akan menyerang hanya selepas jangka masa pokok telah dituai. Ulat dan kumbang busuk serta milkweed bug (Oncopeltus fasciatus) suka memakan daun dan batang kangkung. Kutip dan buang jika temui ulat. 



2 ulasan:

  1. Penerangan yang mudah dan ringkas bersertakan gambar-gambar yang berkaitan. Nampaknya sudah tiada alasan untuk saya tak tanam kangkung lagi.

    Teringat saya ketika tanam kangkung ni pasti akan ditanam bersama dengan bawang sebagai tanaman penghalau walaupun tahu kangkung ni kurang diserang serangga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. :)
      Yang saya perasan, ada juga belalang yang singgah. Tapi jumlah yang dirosakkan tak lah ketara.

      Padam