TOMATO YANG JUGA dikenali sebagai “love apple” adalah
tumbuhan perennial yang ditanam dalam masa yang singkat. Saya pernah terjumpa orang yang menanam pokok
ini sehingga 4 tahun (ketika bertemu) dan pokok menjadi amat tinggi tetapi buah
tetap lebat. Buah tomato adalah
berisi, lembut dan berair dengan biji yang halus di dalamnya. Buah tomato kaya dengan beta karotena,
vitamin C dan vitamin B.
 |
Buah tomato kaya dengan beta karotena, vitamin B dan vitamin C. |
Tomato
dipercayai berasal dari banjaran Andes di Amerika selatan. Ia dibawa masuk ke Amerika Utara kira-kira
2000 tahun dahulu. Tomato dibawa ke
Eropah sekitar abad ke 16. Ketika itu
tomato ditanam sebagai pokok hiasan kerana orang eropah percaya buah tomato
beracun kerana mempunyai warna merah terang serta ada bau yang kuat.
Orang
Itali mula makan tomato melalui masakan.
Mereka percaya tomato boleh dijadikan ubat kuat (aphrodisiac) dan menggelarnya pommi
dei mori yang bermaksud “epal cinta”.
Terdapat
dua jenis pokok tomato, dikelaskan mengikut cara pertumbuhan pokok iaitu jenis
memanjat (vine) dan merimbun (bush). Pokok tomato jenis
memanjat mempunyai batang yang tegak, tinggi, dan lurus yang tumbuh tinggi,
manakala pokok tomato jenis merimbun tumbuh dengan banyak ranting, renek dan
merimbun.
Buah yang
dihasilkan oleh pokok tomato jenis memanjat lazimnya lebih besar berbanding
dengan buah tomato jenis merimbun. Sebenarnya ada
pokok tomato jenis ketiga, iaitu perantaraan jenis memanjat dan merimbun.
Pokok ini lebih besar dari pokok jenis merimbun. Pokok ini tumbuh tinggi
dan memerlukan pancang tetapi akan tumbuh ke arah sisi jika tunas tidak dicubit
buang.
Tomato perlukan banyak perhatian iaitu menyiram, membaja, memasang pancang,
mencubit dan sebagainya.
Tempat Menanam
Pokok
tomato tidak cerewet. Anda cuma perlukan tempat yang menerima cahaya yang
banyak, terutama cahaya pagi. Boleh letak kawasan yang terhadang dari
cahaya panas terik, terutamanya di waktu tengah hari.
 |
Tomato boleh ditanam dalam bekas. |
Jenis
tanah yang boleh digunakan adalah bebas asalkan kaya dengan organik (kompos
dengan humus) dan mempunyai saliran yang elok. Tomato tidak tahan air yang
bertakung kecuali kalau air mengalir seperti dalam sistem hidroponik.
Anda boleh juga tanam dalam bekas. Gunakan bekas atyau polibeg yang
dalam, sekurang-kurangnya 30 cm. Jika
tanam di atas tanah, gali sedalam 30 cm (12 inci) dan masukkan kompos
atau baja kandang yang telah terurai dengan banyak. Anda boleh juga
gunakan baja biasa yang kaya dengan fosfat.
Tomato
tumbuh elok dalam tanah dengan pH 5.8 hingga 7.00 pH. Jika tanah terlalu
berasid (kurang dari pH 5.5), taburkan sedikit serbuk kapur. Selepas ini
anda tidak lagi perlu membaja sehingga pokok mengeluarkan bunga.
Jika
tanam dalam bekas dan sediakan tanah sendiri, campurkan 3 bahagian tanah gembur
(tanah lom) dengan 1 bahagian tanah pasir. Gaulkan dengan 7 hingga 10g
baja NPKMg (12:12:12:17) jika gunakan baja komersial atau 1 bahagian baja
kompos yang telah terurai.
Menyemai
Semai
biji benih dengan tidak terlalu rapat dalam kotak semaian atau satu biji benih
dalam setiap sel dulang semaian dalam lubang sedalam 13 mm (0.5 inci) dan tutup
lubang. Gunakan tanah kompos yang reput sepenuhnya. Siram dengan
berhati-hati. Atau elok basahkan dari bawah dengan merendam bekas semaian
dalai tray berisi air. Tutup bekas semaian di bawah plastik hitam supaya
gelap selama 48 jam. Benih akan bercambah dalam masa 6 hingga 8 hari.
Apabila
dua atau 3 set daun sebenar telah tumbuh alih cambahan ke dalam pasu kecil,
seeloknya pasu bioterurai bersaiz 5 hingga 8 cm (2 - 3 inci) dan letakkan di
tempat yang cerah dan pengudaraan yang elok. Ini untuk mengelakkan
jangkitan kulat. Jika gunakan tanah yang kaya dengan kompos, anda tidak
perlu membaja. Jika tidak, siram baja air ikan 2 kali seminggu.
Mengalih
Alih
tomato ke dalam pasu yang lebih besar apabila perlu. Jika tanam tomato
jenis memanjat, alih apabila pokok mula mengeluarkan bunga. Jarakkan
pokok kira-kira 60 - 90 cm (24 - 36 inci) jika tanam dengan bebas atau 38 cm
(15 inci) jika memasang pancang.
Memasang
Pancang
Jika
tanam tomato jenis memanjat, pasang pancang kayu sebagai alat sokongan untuk
mempastikan pokok tidak rebah. Jika tanam pokok merimbun, tidak perlu pasang
pancang kayu.
Pembajaan
Jika anda
gunakan tanah yang kaya dengan kompos anda tidak perlu membaja sehingga pokok
mula berbunga baru membaja. Bagaimanapun
jika anda ingin membaja, gunakan baja yang kaya dengan nitrogen.
Apabila
pokok mula berbunga, baja dengan baya cecair (air ikan atau cecair rumpai laut)
atau gunakan baja kompos. Jika gunakan
baja komersial, gunakan baja cecair yang kaya dengan kalium (bahasa inggeris, potassium).
Mencampur
Tanaman
Anda boleh campur pokok tomato dengan pokok kacang buncis, bawang dan ubi
kentang. Elakkan tanam dengan kacang pea, lobak putih dan mentimun.
Untuk halau lalat buah dan lalat putih (whitefly),
tanam selang seli dengan pokok dari keluarga basil iaitu tulasi, selasih, atau kemangi.
Penjagaan
Anda perlu kerap menyiram tetapi jangan sampai air bertakung. Merumput
sekurang-kurangnya seminggu sekali. Jika tanam tomato jenis memanjat,
cubit tunas sisi supaya pokok tumbuh ke atas. Cubit buang bunga yang
tumbuh pada ranting yang telah berbuah untuk mempastikan nutrien tertumpu pada
buah sahaja.
Masalah
Perhatikan
putik buah. Jika bahagian bawah buah
berwarna hitam, keras dan lekuk ke dalam, buah telah terkena penyakit reput
buah (blossom end rot). Ini disebabkan tanah kekeringan ketika pokok
berbunga atau berputik. Pokok tomato
gagal menyerap kalsium menyebabkan penyerapan ion kalium dan ion kalium tidak
seimbang. Kutip buang putik buah yang
terkena penyakit dan pastikan pokok disiram selalu tetapi jangan pula berlebihan.
 |
Buah tomato terkena penyakit Reput Hujung Buah |
 |
Di bahagian hujung buah menjadi telung berwarna hitam. |
Perhatikan
di bawah daun. Jika terdapat lalat
putih, koya (mealy bug), atau kutu merah, sembur daun dengan cecair larutan sabun
cecair, minyak masak dan air sebagaimana dibincangkan dalam posting terdahulu.
Perhatikan
daun. Jika daun tua mula berwarna kuning
berdekatan urat daun dan daun muda juga mula menunjukkan tanda yang sama, ini
menunjukkan pokok kekurangan magnesium.
Gunakan baja booster dengan ramuan berikut:
Campurkan
2 sudu besar Garam Epsom (MgSO4) dalam 5 liter air. Siram ke
atas tanah di sekeliling pokok.
Jika daun
bergulung secara memanjang ke arah bawah, ini menunjukkan pokok terdedah kepada
cahaya yang terlalu banyak. Hadang pokok
supaya tidak terkena cahaya secara terus di waktu tengah hari atau alih ke
tempat yang teduh sedikit.
Menuai
Biasanya tomato boleh dituai selepas 7 hingga 9 minggu selepas dialih.
 |
Buah tomato yang hampir ranum berrwarna merah muda bercampur oren. |
 |
Buah tomato tumbuh banyak dalam setangkai. |
Di mana nak dapatkan benih
tomato?