Ketika mengajar dulu, saya pernah berbual dengan seorang kawan, iaitu guru senior di kantin ketika rehat. Saya memulakan perbualan tentang apa rancangan dia selepas pencen. "Ingin buka nurseri," katanya. "Kalau buka nurseri, cikgu akan grounded. Kan cikgu suka travel. Tak mati ker kalau tinggal pokok lama-lama?" Soalan saya tujukan kepada cikgu tersebut.
"Iskandar, kalau aku mau tinggal lama-lama, masa siram, aku cakaplah pada pokok aku, supaya jimat minum air. Nanti pokok faham, ia akan guna air baik-baik dan tak mati kering. Jiran aku, pokoknya tak pernah mati kalau dia pergi melancong. Dia pesan dulu pada tanamannya."
Alamak! Bergurau atau serious ni? Ingatkan nak bina sistem pengairan. Guna drip dengan timer ker, upah pekerja ker?
"Jiran cikgu tanam kaktus, mana pakai air banyak..." balas saya secara berseloroh.
"Kau tahu tak, pokok faham cakap kita? Kalau kita bercakap dengan pokok, pokok akan tumbuh lagi besar." Ujar guru tersebut lagi.
Saya terdiam dan tak berani nak sambung. Tapi perbincangan tadi bersambung dalam fikiran. Pokok berjimat air ketika ditinggalkan lama? Kalau sayur habislah. Tapi di nurseri orang tanam pokok bunga. Pokok bunga tidak perlukan air atau nutrien sebanyak pokok sayur. Atau mungkin sahabat saya tu nak tanam kaktus. Atau saya terlalu lurus, dia bergurau dan saya tak menangkap gurauannya.
Bercakap dengan pokok, pokok boleh jadi besar? Hmmm mungkin ada kebenarannya. Kalau difikirkan, kalau seseorang sampai tahap bercakap dengan pokok, dia mesti seorang pekebun yang ... to the next level. Silap-silap, keluarga cekup hantar ke "Wad Dahlia." Tumbuhan miliknya pasti akan mendapat air, cahaya serta baja yang cukup. Kalau pokok bunga, pasti dipangkas selalu. Mana mungkin pokok tidak akan besar. Lagipun bila bercakap, pekebun tersebut pasti akan hembuskan karbon dioksida ketika bercakap. Mungkin ini akan menyebabkan pokok lebih besar kerana pokok perlukan karbon dioksida untuk proses membuat makanan.
Kalau karbon dioksida dari udara hembusan ketika bercakap boleh menyebabkan pokok lebih besar, mengapa tidak suap aja pokok dengan karbon dioksida? Wah ini dah kira extreme ni. Baru-baru ini saya ada terbaca artikel tentang seorang garderner dari Jerman yang suap udara greenhousenya dengan karbon dioksida. Beliau gunakan ais kering (pepejal karbon dioksida). Apabila ais kering memejalwap menjadi gas karbon dioksida, dia menyalurkan gas tersebut ke arah pokok sayur. Dia mengatakan pertumbuhan pokoknya menjadi lebih galak dan daun lebih besar.
Extreme? Ya. Tapi inilah keistimewaan pekebun dan peladang. Mereka bebas explore mencari teknik baru untuk mendapat tuaian yang lebih baik.
Pada mulanya saya fikir ini dah tahap "terlebih." Kemudian saya sendiri teringat beberapa tahun sebelum itu, saya sendiri pernah suap tumbuhan dengan karbon dioksida dan sememangnya pokok yang disuap lebih sihat. Ketika itu saya memiliki sebuah akuarium. Saya ingin tanam rumpai dalam akuarium tersebut. Selepas menanam rumpai, ia menjadi melecur dan mati. Bila mengadu masalah saya kepada penjual akuarium, dia syorkan saya gunakan kit yang dia jual. Saya beli kit tersebut dengan harga RM45.
Selepas memasang kit tersebut, barulah saya sedar tentang konsep disebalik kit tersebut. Tak apalah, RM45 tu, kira beli idealah. Kalau idea, harganya jauh lebih mahal dari RM45 tersebut. Kit tersebut mengandungi serbuk nutrien, satu pek mikrob, botol 1L, penutup yang disambung dengan salur getah kecil dan batu buih. Selepas baca instructions, saya campurkan mikrob, serbuk nutrien dan air suling dan tuang ke dalam botol. Kemudian saya pasangkan salur ketah ke liang pada penutup botol. Di hujung salur, saya pasangkan batu buih. Kemudian saya lekatkan botol diluar akuarium dan batu buih saya ketakkan di dalam akuarium, pada pangkal pokok yang saya tanam dalam air dalam akuarium tersebut.
Selepas seketika buih yang terdiri daripada gas karbon dioksida mula keluar dan berterusan sehingga sebulan. Pokok mula subur dan akuarium kelihatan sangat cantik. Pencipta kit tersebut merahsiakan kandungan serbuk nutrien dan mikrob tetapi sebagai seorang yang dilatih sebagai biologist, saya straight away tahu, bahan nutrien tersebut adalah serbuk glukosa dan mikrob tersebut adalah yis, atau ibu roti. Apabila yis bercampur dengan glukosa, penapaian akan berlaku dan membebaskan gas karbon dioksida. Cecair yang tinggal di dalam botol adalah alkohol.
Apa yang saya ingin sampaikan di sini, apa yang kawan saya cakap tu ada kebenarannya. Cuma, adakah kita akan lakukan hinggga ke tahap itu untuk gardening? Err, dah berborak dengan tumbuhan hari ni? Hai pokok, kita nak berborak tentang apa yer?