Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 30 November 2011

Gambar Hari Ini -- Cambahan Bawang Merah

Cambahan Bawang Merah selepas 1 minggu disemai.

Cambahan Bawang Merah selepas 10 hari disemai.

Bawang merah adalah antara pokok yang mudah disemai.  Anda mungkin tertanya, mengapa semai bawang sedangkan bawang mudah diperolehi di kedai runcit.  Sebenarnya daun bawang sangat enak dimasak terutamanya sebagai ramuan dalam jejemput bawang.  Tumbuhan ini cepat membesar dan tidak perlu penjaan yang rapi.  Saya semai bawang ini menggunakan bawang yang dijual dengan harga yang sangat murah (yellow tag) kerana telah mula bercambah.  Bawang disemai dalam pasu plastik panjang menggunakan tanah campur.  Daun bawang boleh dituai sehingga 3 kali sebelum daunnya menjadi kering.  Jika anda tuai daun bawang, isi bawang yang membiak tidak besar.  Tetapi ini bukannya masalah kerana selepas dikeringkan, anda boleh semai semula bebawang tersebut.

Untuk cara tanam bawang, klik di sini.

Isnin, 28 November 2011

Gambar Hari Ini -- Cambahan Lobak Kampung, Lobak Putih

Cambahan Lobak Putih
Dah lama tak menyemai lobak putih (Raphanus sativus).  Kalau tanam sendiri, lobak ini lebih enak dari yang beli di pasar, kerana petik terus makan.  Rasanya lebih manis dan daunnya lebih rangup.  Ya, kalau tanam sendiri daunnya boleh dibuat sayur.  Saya gemar jeruk dalam cuka asli.  :)

Untuk cara tanam lobak putih/lobak kampung, klik di sini.
Untuk lihat posting terdahulu tentang lobak putih, klik di sini.

Ahad, 27 November 2011

Gambar Hari Ini -- Roselle dalam Tetrapek

Anak Roselle tumbuh cantik.
Kalau diperhatikan nisbah ketinggian cambahan dan saiz daun kotiledon, lokasi tempat cambahan ini sesuai kerana anak pokok mendapat cahaya yang secukupnya.  InsyaAllah 12 minggu lagi kami akan mendapat bekalan buah roselle yang tidak putus-putus.

Tanah, Bahagian 6 Dari 40


Tanah Liat
Zarah tanah yang paling halus adalah zarah tanah liat yang berbentuk leper seperti piring.  Zarah-zarah tersebut terbentuk secara kimia kesan dari luluhawa induk batuan oleh air dan asid lemah dan bukan secara mekanik. 
Saiz zarah tanah liat adalah 1000 kali lebih halus dari zarah-zarah pasir.  Saiz zarah tanah liat adalah lebih kecil daripada 0.002 mm dan mempunyai jumlah luas permukaan 800 meter persegi bagi setiap gram tanah.  Jumlah ini tersangat luas.  

 Anda pasti tahu bagaimana rasanya apabila menyentuh tanah liat.  Jika anda pegang tanah liat yang basah, ia merasa seolah-olah memegang plastisin.  Setiap zarah tanah liat amat kecil sehingga setiap zarah mempunyai cas negatif.  Ini menjadikan tanah liat aktif secara kimia. Ia sentiasa bertukar ion dengan larutan air di dalam tanah serta dan akar tumbuhan.  

 Tanah liat adalah terdiri dari zarah-zarah yang mempunyai sumber C.E.C. yang tinggi dan zarah tanah liat adalah satu-satunya sumber C.E.C. dalam tanah yang rendah C. E.C., sebab itu zarah tanah liat dikenali sebagai penjana aktiviti kimia di dalam tanah.

Walau pun setiap zarah tanah liat adalah halus, keupayaan elektrik bahan tersebut adalah kuat menjadikan zarah-zarah tanah liat berada di dalam gumpalan yang membentuk agregat yang lebih besar.

Walaupun zarah-zarah tanah liat sangat halus, zarah-zarah tanah liat mampu menggumpal membentuk agregat.

Zarah tanah liat adalah adalah elemen tekstur yang sangat penting.  Tanah hanya perlukan 40% zarah tanah liat untuk menjadikannya "tanah liat". Tanah pasir perlukan 90% zarah pasir untuk menjadikannya "tanah pasir".  Kebanyakan tanah yang subur mengandungi 20% zarah tanah liat.

Sabtu, 26 November 2011

Gambar Hari Ini -- Anak Kobis Cina, Hari ke 11

Pembesaran anak pokok ini agak cepat.  InsyaAllah akan dialih ke dalam pasu dalam satu hari lagi.

Permukaan daun jelas menunjukkan ada makhluk perosak yang kecil telah memakan daun tersebut.

Walau apa pun, saya berpuas hati dengan batch ini.  

Benih Sawi Pak Choy

Benih sawi adalah suatu yang menakjubkan.  Walaupun bersaiz kecil sebesar zarah pasir, ia mampu bercambah menjadi sayur yang enak dimakan.  Bayangkan, semua kod untuk menghasilkan sayur yang menjadi hidangan kita tersimpan di dalam biji benih yang bertindak seperti kapsul maklumat. Bayangkan jika saya semai semua benih tersebut, barang kali berapa tan sawikah yang akan dihasilkan?

Sawi Pak Choy amat digemari oleh rakan-rakan bertanam kerana sawi ini mempunyai rasa yang enak.  "Manis" kata mereka.  Rasa manis amat ketara jika kita tanam secara organik.  Pembekal benih menjelaskan kepada saya, rasa sawi dipengaruhi oleh jenis tanah serta baja yang digunakan.

Benih Sawi Bak Choy

Dari gambar di atas sukar untuk kita bayangkan saiznya.  Gambar berikut diambil menggunakan kamera dengan setting makro berdekatan dengan syiling 10 sen.  Kecilnya benih Sawi Bak Choy.

Bandingan saiz benih Sawi Hong Kong dengan duit syiling 10 sen.
Jika dibesarkan, biji sawi kelihatan seperti gambar berikut.  Kalau diperhatikan, kulitnya kelihatan seperti kulit buah mata kucing.

Benih Sawi Pak Choy dilihat di melalui mikroskop cahaya.


Benih Sawi Bak Choy cepat bercambah.  Benih berikut direndam selama 2 jam kemudian dibiarkan di atas kertas selama 24 jam.  Lihatlah betapa galaknya percambahan.  Akar tumbuh sepanjang diameter biji benih.  Jika disemai, benih tersebut akan membesar menjadi Sawi Pak Choy.
Biji benih Sawi Pak Choy 24 jam selepas direndam selama 2 jam dilihat melalui mikroskop..

Gambar berikut menunjukkan cambahan pak choy pada hari ke 3 selepas disemai.



Bagaimanakah rupa Sawi Pak Choy?  Benih dah ada di genggaman.  Jom kita semai. :)

Jumaat, 25 November 2011

Guna Semula - Kotak Air Minuman

Satu dari kelebihan bertanam sendiri ialah kita tidak membazir.  Banyak benda yang lazimnya dibuang boleh diguna semula jika bertanam sendiri.  Benda yang saya maksudkan ialah barang-barang pembungkus, misalnya bekas telur, botol minuman, kotak kayu, dan kotak minuman.  Puteri, anak kecil saya tidak dapat minum susu tepung biasa sebab sembelit.  Kami terpaksa beri susu dalam kotak, iaitu kotak kecil yang dikhaskan untuk kanak-kanak.  Dia minum 5 kotak satu hari, jadi setiap hari kami ada 5 kotak susu (kotak tetra-pek).  Kotak ni boleh dipulangkan ke pusat membeli belah untuk dikitar semula.  Saya mengambil keputusan untuk cuba-cuba semai benih dalam kotak ini.

Kotak dikerat dua menggunakan gunting dapur.  Satu bahagian dah ada lubang, iaitu lubang penyedut minuman.  Satu bahagian lagi tiada lubang, jadi saya buat lubang kecil dengan menggunakan gunting dapur.  Kemudian saya isikan tanah yang diambil dari tepi rumah dan saya semai dengan biji benih roselle.  Kotak diisi dalam tray dan untuk menyiram, saya isikan tray dengan air.  Jadi air memasuki kotak (sekarang dah jadi pot semaian) saya melalui lubang di bawah kotak.

Guna semula.  Kotak minuman (tetrapek) sesuai dijadikan pot.

Satu tray semaian roselle dalam pot yang dibuat dari kotak minuman.

Setiap semaian perlu dilabelkan dan dicatakan dalam buku jurnal.  Ini dapat membantu mencari kaedah terbaik untuk menghasilkan tanaman dengan butu yang terbaik.  Maklumat seperti tarikh menyemai, jenis tanah, tarikh, lokasi, tarikh mengalih, tarikh serta jenis baja dan sebagainya. 

Gambar Hari Ini -- Cambahan Kacang Panjang Silver White

Pertumbuhan cambahan kacang panjang amat galak.  Cambahan ini berumur 4 hari.

Tanah Bahagian 5 dari 40


Tanah Kelodak atau Tanah Lanar
Zarah-zarah tanah kelodak terbentuk seperti tanah pasir, iaitu melalui luluhawa secara mekanik, tetapi saiz tanah kelodak adalah lebih halus daripada tanah pasir.  Zarah-zarahnya yang halus tidak mudah dilihat dengan mata kasar.  Tanah kelodak yang kering rasanya seperti tepung gandum yang kering apabila disentuh.  Saiz setiap zarah tanah kelodak ialah 0.002 mm hingga 0.02 mm.  Gabungan luas permukaan bagi setiap gram tanah kelodak ialah 450 cm persegi.  Jika dibandingkan dengan tanah jenis yang lain, nilai ini masih kecil, jadi tanah kelodak mempunyai nilai C.E.C. yang rendah.

Kelodak lazimnya tidak banyak di dalam tanah, jadi kadar kandungannya dalam tanah lazimnya rendah, kecuali di kawasan persinggahan aliran air, misalnya di muka kuala atau muara sungai.

Zarah-zarah kelodak tidak menggumpal menjadi agregat dengan mudah dan kalau terbentuk juga, agregat kelodak tidak stabil dan mudah dileraikan.  Ini boleh menyebabkan permukaan tanah diliputi kelodak dan terserap masuk ke dalam tanah dan menyumbat liang-liang permukaan tanah.  Zarah-zarah kelodak mudah bergerak di dalam tanah.

Khamis, 24 November 2011

Gambar Hari Ini -- Anak Kobis Cina, Hari Ke 10

Anak Kobis Cina pada hari ke 10.

Semaian Baru -- Bendi Singa

Anak Bendi Singa disemai dalam tray semaian.

Semaian pada hari ke 3.
Pokok Bendi Singa dah dicabut.  Buat masa ni kami kehabisan bekalan sayur buah bendi yang segar.  InsyaAllah bila semaian ini menjadi nanti kami akan dapat menikmati semula bendi segar.  Saya perhatikan, kalau tanam dalam bekas, saiz pokok bendi ada kaitan dengan saiz bekas.  Mungkin kerana bila tanam dalam bekas, jumlah air yang tersimpan dalam tanah bergantung pada kuantiti tanah.  Bekas kecil, sedikitlah kandungan air.  Begitu juga dengan nutrien.  Tapi tak mengapa, buah bendi sememangnya enak kalau dituai ketika masih muda kerana isinya lembut.  
InsyaAllah akan saya aturkan pasu berisi bendi sepanjang pagar depan rumah.  Bunganya pun cantik dijadikan hiasan, macam pokok bunga juga. :)

Cara Buat Sabun Sendiri -- 8

Lye, iaitu bahan alkali yang digunakan dalam proses membuat sabun ialah natrium hidroksida.  Rakan-rakan pasti ingat bahan ini ketika belajar sains atau kimia ketika di bangku sekolah.  Lye ada dijual di kedai hardware sebagai cecair yang digunakan dalam sinki yang tersumbat. 

Cecair lye adalah bahan yang sangat megkakis, jangan terkena kulit.  Jika terkena kulit, basuh dengan air yang banyak. Oleh kerana lye sangat mengkakis, perlu berhati-hati ketika mengendalikannya ketika membuat sabun.Disyorkan rakan-rakan mengambil langkah keselamatan sepenuhnya.  Pakai sarung tangan getah untuk melindungi tangan, goggle untuk melindungi mata dan apron.  Ketika membuat sabun, pastikan berada berdekatan dengan sinki atau sumber air yang banyak.

Natrium hidroksida (NaOH) yang belum dibancuh.  Bahan ini diperolehi dari pembekal bahan makmal sekolah.  Lye juga dijual di kedai hardware sebagai cecair untuk sinki tersumbat.

Apa itu Kapasiti Pertukaran Kation?


Kapasiti Pertukaran Kation atau Cation Exchange Capacity (akronim C.E.C.) adalah ukuran tempat kation (ion bercas positif) bertukar di dalam tanah.  Ia digunakan untuk menentukan keupayaan tanah menyimpan nutrien.   

Ukuran C.E.C. adalah berguna untuk menentukan kadar kesuburan tanah.  Maksud tempat pertukaran kation ialah ampaian (colloid) yang bercas negatif dalam tanah liat atau bahan organik yang mampu menarik dan melekatkan kation, iaitu zarah-zarah bercas positif.  Zarah-zarah nutrien yang bercas positif termasuk zarah-zarah ion ammonium, kalsium, besi (ferum), magnesium, mangan dan kalium akan terlekat pada lokasi tersebut.   

Proses menarik dan melekatkan kation dikenali sebagai proses penyerapan.  Tempat pertukaran kation dapat membantu tanah dari kehilangan nutrien akibat dibawa oleh arus air ketika hujan atau ketika menyiram.  

Tanah yang mempunyai C.E.C. yang rendah perlu dibaja selalu manakala tanah yang mempunyai nilai C.E.C. yang tinggi mampu menyimpan nutrien sehingga diserap oleh tumbuhan.  

 C.E.C ditentukan oleh jumlah bahan organik dan tanah liat dalam tanah tersebut dan diukur dalam unit milliequivalents per 100 g tanah.

Tanah pasir, 2 hingga 4 meq
Tanah gembur, 10 – 20 meq
Tanah liat, 25 – 50 meq
Tanah humus, 30 – 300 meq

Rabu, 23 November 2011

Hasil Semaian Puteri, Kacang Panjang Silver White


Inilah hasil semaian Puteri (2 1/2 tahun) sehari kemudian.  Benih diletak dalam sel yang Puteri suka aja.  Yang lain dibiarkan kosong.  Bila saya tunjukkan sel yang kosong, Puteri buat tak dengar aja.  Barangkali Puteri tak mahu Papa kacau.  Dari satu tray, hanya ada 6 sel biji benih yang bercambah.  Ada sel yang diletak hingga 3 biji benih.

Bila melihat kacangnya tumbuh, bukan main suka lagi Puteri.  Barulah dibenarkan Papa semai sel yang selebihnya. :)  Gambar menunjukkan cambahan selepas 2 hari disemai.

Kacang panjang selepas sehari disemai Puteri.  Perhatikan sel lain kosong.

Ada sel yang disemai sehingga 3 biji benih.

Kacang panjang mudah bercambah dan pertumbuhannya galak.  Sesuai untuk melatih anak-anak menanam sayur.  Perhatikan sel-sel yang kosong telah saya semai dengan biji benih yang baru.



Cuba-cuba Ikan Patin dan Koi Singapura

Ahad lepas ke pekan Kajang, jenguk-jenguk apa yang ada kat pasar sambil-sambil hantar kereta untuk dibasuh.  Seperti biasa di kaki lima depan pasar terdapat beberapa orang penjaja meniaga hasil titik peluh mereka.  Ada yang jual anak pokok bangun-bangun, racun cicak, kayu keramat, dan Mr Lee, menjual ikan hiasan untuk akuarium.  Saya selalu juga siggah di gerai Mr Lee, berborak tentang breeding ikan.  Belum pernah beli anak ikan dari Mr Lee.  

Pagi tersebut dia tawarkan 4 ekor anak patin, dengan harga RM6.  Tiada akuarium, saya balas.  Mana-mana pun boleh bela, pujuk Mr Lee.  Ikan patin, lepas 3 bulan boleh makan.  Dalam berseloroh, saya berkata, anak ramai, empat ekor mana cukup.  Berapa you ada, hantar ke rumah saya.

Pagi Isnin Mr Lee telefon, mau hantar anak patin.  Saya termenung, mana nak letak anak ikan patin yang bakal dihantar Mr Lee.  "Tangki air yang lama tu mungkin berguna," isteri memberi saranan.  Kita boleh tampal dengan penampal zink kalau bocor.  Kami mula membersihkan 2 tangki lama dan menampal bahagian yang bocor.  Pukul 12.30 pm Mr Lee tiba dengan 230 ekor anak patin dan 6 ekor anak koi singapura.  

Alamak, nasib baik ada tangki lama.  Mr Lee membantu menyediakan cecair anti klorin dan menjelaskan cara memberi makanan.  Katanya, saya boleh breed ikan ni.  Kalau breed, boleh bekalkan kepada dia.  Lama juga Mr Lee tersangkut kat laman rumah kami.  Dia berjanji akan kembali dengan 2 tangki dan 2,000 ekor ikan keli.  Alamak Mr Lee, kami barbeku ikan keli 10 ekor aja sekali barbeku.  Kalau 2,000 ekor, berapa kali mau barbeku.  Mr Lee pujuk, tak apa, kalau menjadi tolak semula pada saya, boleh jual kat pasar.  OK lah tu, tapi tangki jangan besar sangat.  Itu patch heba saya.  Nanti tak ada tempat tanam herba. :)

Nasib baik sekarang dah musim cuti sekolah, anak-anak pun turun ke halaman rumah membantu kami melepaskan ikan ke dalam tangki.  Elok juga, kalau tidak masih-masing terlekat depan komputer main game.  Puteri pun bukan main semangat lagi menolong.   
   
 
Menyediakan kolam menjadi family affair di musim cuti sekolah.



Puteri bersemangat mengisi air ke dalam tangki.



Anak patin di atas tapak tangan Muhammad.  Hati-hari sirip patin tajam!



Tangki dah hampir penuh. Terima kasih Puteri.


Tanah Bahagian 4 dari 40

Tanah Pasir
Tanah pasir mengandungi zarah-zarah tanah yang paling besar iaitu zarah-zarah yang sebesar zarah-zarah gula pasir. Saiz zarah pasir kasar ialah antara 0.002 mm hingga 2 mm. Kalau digabungkan kawasan permukaan pada zarah-zarah pasir, jumlah kawasan permukaan tanah pasir ialah 23 cm persegi bagi setiap gram tanah pasir. Saiz zarah pasir halus ialah antara 0.2 mm hingga 0.002 mm, dengan luas kawasan permukaan 91 cm persegi. Ini adalah jumlah luas permukaan yang kecil, jadi keupayaan atau kapasiti tanah pasir untuk kation adalah rendah dan liang antara zarah-zarah pasir adalah besar. Inilah sebabnya tanah pasir tidak mampu menyimpan air yang banyak. Zarah-zarah pasir juga adalah terlalu besar dan tidak mudah beralih di dalam tanah.

Selasa, 22 November 2011

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebung

Dah menjadi rutin untuk Puteri, sebelum Papa pergi kerja, akan ke halaman rumah dulu.  Kegemaran Puteri, kutip buah kacang panjang, tomato yang ranum atau apa-apa saja yang boleh dimakan dan terus makan di situ juga.  Bila Papa berkebun, Puteri pun mahu patchnya sendiri.  Sebab itulah setiap alatan yang dibeli, pasti ada alatan versi kecil yang dibeli sama.  Pueri paling gembira kalau dapat menyemai dan menyiram benih menggunakan penyiram kegemarannya.

Hari ini Puteri akan semai benih kacang panjang silver white.  Saya pilih benih ini kerana akan tumbuh dalam masa 24 jam.  Kalau semai pagi, petang dah bercambah.  Ini akan menyemarakkan lagi semgangat Puteri untuk bertanam.  Ini juga akan dapat membantu Puteri mengaitkan cambahan dengan biji benih yang disemai.

Puteri belum dapat bertutur dengan petah, tapi dah mahir berkebun.  That's my garden angel.

Puteri dengan penyodok kegemarannya.

Gaul tanah tu Puteri, gaul...

Puteri memasukkan tanah ke dalam sel seed tray.

Banyak lagi sel kosong tu Puteri.

Alatan -- Penyodok, Shovel

Digunakan untuk menggali dan mengalih tanah.  Jika membeli penyodok, pilih penyodok yang berkualiti.

Penyodok dengan pemegang-D.

Isnin, 21 November 2011

Gambar Hari Ini -- Pokok Bunga Tongkeng

Pokok Bunga Tongkeng

Bunga dari pokok ini yang entah kenapa dinamakan Bunga Tongkeng amat enak digoreng bersama telur atau dibuat sup.  Pokok ini dah lama terabai kerana pasunya jatuh ke dalam semak dan baru ditemui semula.  InsyaAllah akan dipulihkan hingga berbunga semula.

Tanah Bahagian 3 dari 40


Tekstur Tanah
Tanah adalah terdiri dari zarah-zarah mineral dan batuan yang menentukan sifat semula jadi tanah.  Nisbah mineral dalam tanah tidak boleh diubah tetapi struktur zarah-zarah tersusun dalam tanah boleh diatur.  Membina dan mengekalkan struktur tanah adalah aspek yang penting untuk mengekalkan mutu tanah seterusnya kesuburan tumbuhan yang ditanam dalam tanah tersebut.  Tanah yang sukar dikerjakan pun boleh diubah untuk menampung tumbuhan yang subur.  Yang penting ada tanah di kawasan yang mendapat cahaya secukupnya untuk kita bertanam.  

Apabila disebut tekstur tanah, apa yang saya maksudkan adalah saiz zarah-zarah mineral yang terkandung di dalam tanah tersebut.  Tekstur adalah faktor penting yang menentukan kesuburan tanah.  Ini kerana struktur tanah yang sesuai mampu menyimpan nutrien, udara, air, mengaliran air, suhu dan struktur.  Tekstur juga menentukan samada tanah mudah dihakis.

Saiz zarah-zarah (kalau kecil, kalau besar itu tongkol atau ketul ;)) berbeza mengikut tekstur.  Terdapat batuan dalam tanah.  Batu tongkol (boulder) mempunyai saiz dengan diameter melebihi 60 cm (24 inci).  Batu (stone) mempunyai saiz 25.4 hingga 60 cm (10 hingga 24 inci).  Batu buntar (cobble) mempunyai saiz 7.6 cm hingga 25.4 cm (3 inci hingga 10 inci).  Batu kerikil pula mempunyai saiz dari 2mm hingga ke 7.6 cm (0.08 hingga 3 inci).  Walaupun batuan tidak memberi kesan terhadap tekstur tanah, ia memberi kesan terhadap keadaan fizikal tanah tersebut. 

Zarah-zarah yang besar dalam tanah (hingga 10% dari kandungan tanah) adalah baik untuk tanah yang berat.  Ini kerana batuan mampu menyerap haba (penting di negara yang mempunyai musim dingin) atau di kawasan tanah tinggi, meningkatkan keupayaan air untuk telap masuk ke dalam tanah, meningkatkan mutu keupayaan saliran dan menyediakan habitat untuk hidupan iaitu organisma dalam tanah.

Batuan biasanya tidak memberi kesan terhadap pertumbuhan pokok kerana akar lazimnya akan tumbuh di bahagian luar batuan.  Pasti anda akan kata, kalau tanah terdapat banyak batuan, sukar menyediakan tanah untuk bertanam.  Ini memanglah benar kerana anda terpaksa lebih menyangkul kalau tanah berbatu.
Zarah-zarah yang kurang dari 2 mm misalnya pasir, kelodak dan lumpur memberi kesan terhadap sifat tanah dalam berbagai cara.  Zarah-zarah ini dikenali sebagai tanah halus dan perkadaran zarah-zarah tersebut menentukan tekstur tanah.

Ahad, 20 November 2011

Gambar Hari Ini -- Cambahan Kobis Cina, Hari 8

Cambahan Kobis Cina, Hari 8.

Pertumbuhan agak galak, dalam masa 8 hari 2 set daun sebenar telah tumbuh.

Terdapat tanda-tanda permukaan daun dimakan makhluk perosak yang bersaiz kecil.
Tidak sabar menunggu pokok kobis cina matang tetapi kobis cina jenis ini tidak menghasilkan jantung. 

Alatan -- Kayu Tugal

Kayu yang mempunyai pemegang-D dan hujung yang runcing digunakan untuk membuat lubang (menugal) ketika menyemai biji benih di atas tanah.  Kayu tugal yang saya gunakan adalah diubah suai dari tangkai penyodok.

Kayu tugal yang digunakan untuk membuat lubang biji benih.

Tanah Bahagian 2 dari 40


Sifat Tanah
Sebagai seorang yang minat berkebun, saya amat kagum kerana tanah dapat menampung tumbuhan untuk terus hidup.  Ini seterusnya dapat membantu hidupan lain untuk terus hidup di muka bumi ini.  Banyak perkara yang perlu diteliti dan diamati supaya keupayaan tersebut dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan tuaian yang sebaik mungkin.  

Saya amat berminat untuk terus mempelajari cara yang terbaik untuk menghasilkan tanah yang subur yang dapat membantu tumbuhan tumbuh dengan sihat.  Untuk mencapai matlamat tersebut, kita perlu faham tentang proses-proses asas yang berlaku dalam tanah atau sekitar tanah.  Posting sebegini mungkin agak membosankan tetapi saya rasakan ia penting jika kita ingin manfaatkan tanah dengan sebaik mungkin.

Tanah adalah sumber yang penting dalam halaman di sekitar rumah.  Ada kawasan yang mempunyai tanah yang elok untuk bertanam.  Bagi kawasan peumahan yang barun pula, tanag mungkin dipenuhi batu hasil dari pembina rumah tersebut.  Jika ini berlaku, jangan risau.  Orang lain pun mendapat kawasan yang begitu.  Keadaan tanah boleh diubah sehingga menjadi sesuai untuk bertanam.  Anda boleh lakukannya dengan perlahan-lahan bila ada masa.

Tanah adalah entiti kehidupan.  Nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan dikitar oleh hidupan mikro serta cacing dan semut.  Semua hidupan perlukan air, udara dan makanan.  Dengan menggunakan baja organik serta kompos anda mampu kekalkan kesihatan tanah.

Sebelum anda mula menanam sayur di sekeliling rumah, anda perlu pastikan tanah sesuai untuk bertanam supaya tumbuhan dapat tumbuh dengan subur.  Meneliti jenis tanah, menambah nutrien dengan jumlah yang mencukupi serta menggembur tanah dapat membantu tumbuhan untuk tumbuh dengan subur. Antara sifat tanah yang saya maksudkan ialah struktur, pH (keasidan atau kealkalian) serta kandungan nutrien.

Sabtu, 19 November 2011

Gambar Hari Ini -- Patch Baru untuk Tanam Sayur

Patch baru untuk menanam sayur.

Tanah digemburkan menggunakan cangkul.  Untuk memecahkan ketulan tanah, pencakar dgunakan.
Baja organik ditabur untuk memperkaya nutrien dalam tanah serta meningkatkan mutu struktur tanah.

Tips Menyemai Benih Dalam Tray Semaian

1.  Semai hanya sedikit biji benih dalam setiap sel tray semaian.  Gunakan hujung pensel yang dilembapkan untuk mengendali biji benih yang kecil.  Jangan semai terlalu banyak biji benih dalam setiap sel.  Kalau terlalu banyak biji benih, kerja menipis cambahan amat rumit dan membazir biji benih.
2.  Tutup tay semaian dengan penutup plastik lutsinar untuk tingkatkan suhu dan elakkan tanah menjadi kering.  Jika suhu tinggi, biji benih lebih cepat bercambah.  Apabila benih bercambah, tanggalkan penutup plastik.
3.  Letakkan tray semaian di tempat yang menerima banyak cahaya matahari.  Ini dapat mengelakkan cambahan menjadi terlalu panjang dan pucat.
4.  Jangan letak baja.  Membaja hanya setelah cambahan menghasilkan 2 set daun sebenar.
5.  Apabila akar memenuhi sel, alih cambahan ke dalam bekas yang lebih besar.  Alih anak benih yang sihat sahaja.
6.  Sebelum mengalih cambahan ke lokasi yang tetap, keraskan cambahan dulu dengan meletakkannya di tempat yang panas kira-kira 2 jam sehari.


Jumaat, 18 November 2011

Alatan -- Penggerat

Penggerat mempunyai fungsi yang sama dengan pencakar serta dapat melakukan beberapa tugas lagi.  Jejarinya yang lebih keras mampu menusuk tanah menjadikan alat ini sesuai digunakan untuk mengudara, meratakan serta menggaul tanah.


Penggerat mempunyai jejari yang lebih kukuh dari pencakar.

Benih Baru

Setelah sekian lama menunggu benih bunga matahari, akhirnya saya terima satu batch benih dari pembekal.  Tak sangka pula susah nak dapatkan benih bunga matahari sedangkan kuaci dijual di merata tempat.  :)  Sebenarnya saya pesan benih bunga matahari dari jenis yang extra besar, tetapi beniih yang saya terima agak berlainan.  Bunga matahari dari jenis bunga saiz biasa.  Tetapi b unga ini ada kelebihannya kerana variety ini mempunyai warna bercampur antara kuning dan merah.  Saya harap bunga ini akan menjadi daya tarikan di laman rakan-rakan nanti.  Kuantiti benih adalah terhad, jadi jangan ketinggalan.

Satu lagi benih baru yang saya perolehi ialah benih petola segi.  Saya sengaja pesan benih ini di musim hujan kerana nilai nostalgia.  Ketika zaman kana-kanak dulu, anak cambahan petola segi tumbuh melata di tepi rumah kami di kampung.  Mungkin benih-benh tersasar ini bercambah bila mendapat air hujan yang secukupnya.  Pokok petala adalah tumbuhan memanjat.  Anda perlu bina pancang atau para kayu bila menanamnya nanti.

Selain dari itu saya juga menambah stok sawi hong kong, bayam daun bulat serta salad hawaii (top world).  Benih-benih tersebut amat laku dijual melalui blog ini.  Rakan-rakan yang membelinya menyatakan benih-benih tersebut cepat bercambah dan dapat dituai dalam masa yang singkat.  Saya sendiri gemarkan rasa sawi hong hong serta salad hawaii yang muda kerana rasanya yang manis dan enak dijadikan ulam serta salad.

Semua benih yang tersenarai pada panel kanan laman ini ada dijual kecuali benih cocmos.  InsyaAllah benih tersebut akan dijual semula apabila saya memperolehinya melalui pebekal benih.


Tanah bahagian 1 dari 40


Ada orang mengganggap tanah suatu yang kotor.  Bagi mereka yang bertanam sendiri pula pasti tahu, tanah bukannya kotoran.  Dari tanah kita bermula, dengan hasil tanah kita terus hidup dan di situlah kita akan berakhir.  Perkataan human (manusia) dan humus (tanah organik) adalah berasal dari umbi berkataan yang sama.  

Manusia sejak dulu lagi hormati tanah, terutamanya golongan petani.  Mereka tidak sewenang-wenangnya mencemar tanah.  Cuma sekarang apabila manusia tidak lagi bergantung kepada pertanian, mereka telah mula lupa bahawa mereka masih lagi perlukan tanah.  Kalau boleh, semua ruang terdedah ingin disimen, dijadikan batu.  Sedangkan secara semulajadi batu melalui proses luluhawa dan menjadi tanah.  Manusia mula lupa tentang kaitan antara mereka dengan tanah.  Mereka lupa bahawa tanah yang sihat lagi subur ada kaitan dengan kesihatan manusia.  Hinggakan ada antara manusia yang cuba mengasingkan pertanian dari tanah.  Mungkin mereka rasakan dengan adanya tanah dalam pertanian mereka hilang kawalan terhadap apa yang mereka ingin suap kepada tumbuhan yang mereka tanam. 

Apabila kita membaiki struktur tanah untuk bertanam, kita dapat tingkatkan mutu tumbuhan yang kita makan, secara tidak langsung kita membaiki mutu kesihatan diri kita.

Tanah adalah sebahagian dari kerak bumi yang menampung tumbuhan dan benda hidup yang lain.  Jangan lupa, tumbuhan juga benda hidup.  Ia membuat makanan dengan sendiri menggunakan matahari dan air  dalam proses yang dikenali sebagai fotosintesis (sambil menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen), bernafas (disebut respirasi) dengan menyerap oksigen dan membebaskan gas karbon dioksida, mencerna bahan organik untuk mendapatkan nutrien, bertumbuh dan membiak.

Kalau kita menanam dalam bekas sekalipun, kita masih akan perlukan tanah.  Kecualilah kalau menanam secara hidroponik dan fertigasi, mungkin anda tidak memerlukan tanah.  Namun begitu, bertanam cara sedemikian tidak banyak membantu memulihkan bumi ini kerana penanaman tersebut memerlukan tenaga elektrik.  Di negara kita, tenaga elektrik dihasilkan melalui pembakaran bahanapi fosil.  Gas dari bahan bakar yang terbebas ke udara adalah antara penyebab bumi kita semakin panas dan cuaca yang tidak menentu.  Malang kerana bertanam sepatutnya membantu memulihkan bumi kita.

Khamis, 17 November 2011

Pokok Lidah Buaya Penuh Pasu

Pokok Lidah Buaya atau Aloe vera adalah sejenis tumbuhan sukulen, iaitu tubuhan yang berair.  Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Sudan.  Cecair dari daun Pokok Lidah Buaya berlendir dan dipercayai mempunyai kegunaan dalam kosmetik dan perubatan.  Cecair Pokok Lidah Buaya boleh dijadikan pelembap kulit (moisteriser).  Cecair tersebut dipercayai mempunyai ciri anti kulat dan digunakan untuk mengubat kulit yang dijangkiti penyakit kulat misalnya kurap dan panau.

Lazimnya Pokok Lidah Buaya ditanam sebagai tubuhan hiasan di dalam pasu.  Ia boleh ditanam dari tunas pada akar iaitu sulur.   
Pokok Lidah Buaya atau  Aloe vera

Pokok Lidah Buaya tumbuh penuh dalam pasu dan perlu dialih.

Pokok Lidah Buaya digunakan dalam perubatan, terutamanya untuk mengubat penyakit kulit.
Pokok-pokok ini dah penuh pasu.  Ia akan dikeluarkan dan diasingkan.  Mungkin akan semai disemaikan sebahagian aja.  Selebihnya akan diproses.

Rabu, 16 November 2011

Hujan Lagi

Pagi sebelum keluar ke tempat kerja, penyangkul sedikit.  Bina patch baru untuk sayur.  Tnah dari jenis berlumpur.  Nampaknya kena kerjakan struktur tanah dulu.  Bila kira-kira jumlah cacing yang terdedah, tak banyak.  Biasanya kalau tanah subur dan kaya dengan organik, jumlah cacing banyak.  Baja organik ditabur dan tanah dibiarkan dulu supaya baja terhadam sedikit.  Lagipun tak boleh tanam terus, perlu buat penghadang dulu. Ayam, itik, dan arnab bebas berkeliaran.  Kalau tidak dipasang penghadang, pasti sayur yang disemai diratah hingga ke umbi.

Niatnya petang ni pulang awal sedikit.  Mungkin akan dapat semai benih dalam pasu dulu.  Kailan, kangkung, bawang, roselle, bendi singa, kacang panjang, sawi bak choy, salad selada, kobis cina, dan lobak putih.  Mana-mana yang sempat.  Dah lama tak merasa lobak putih goreng bawang putih.  Stok salad pun dah lama nipis.  Sejak musim hujan ni yang tinggal tanaman dalam pasu aja.

Bila tiba di rumah, langit pula mendung.  Capai aja cangkul, dum dam dum dam petir memberi amaran.  Ribut petir (elektrik) jangan bergurau.  Terpaksa menyemai di plot depan rumah aja.  Bekas semaian pun belum sempat diisi dengan tanah.  Hari ini cuma sempat semai bendi dalam tray semaian.  Hanya 33 pot dalam satu tray, satu pot semai dua biji, jadi 66 biji benih sahaja.  Satu bekas semaian disemai kailan dan satu bekas disemai dengan lobak putih.

Di plot depan rumah sempat semai bawang merah satu baris dan roselle 30 biji benih.  Harap-harap tidak dibawa air.  

InsyaAllah, besok akan sambung menyemai...   

Gambar Hari Ini -- Tarragon

Tarragon menghasilkan bunga kuning yang kecil dan comel.
Tarragon bukan sahaja enak dijadikan ramuan masakan.  Tumbuhan ini juga mengeluarkan bunga kuning yang cantik.  Pati cantik kalau ditanam dalam pasu kecil kerana saiz bunganya juga kecil, dengan diameter dari kelopak ke kelopak dalam 2 cm sahaja.  Ia kelihatan seperti bunga marigold yang kecil.

Selasa, 15 November 2011

Gambar Hari Ini -- Alamanda

Bunga Alamanda
Lama saya semai pokok ini, hampir 3 tahun barulah berbunga.  Alhamdulillah, cantik.

Isnin, 14 November 2011

Semaian Baru -- Kobis Cina hari 6

Pada hari ke 6, satu set daun sebenar telah kelihatan pada cambahan kobis cina.  Daun ini seperti daun tumbuhan dewasa dengan saiz mini.  Set daun pertama tidak sama dengan daun sebenar.  Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, set daun pertama bukan daun sebenar.  Ia adalah daun biji benih atau daun kotiledon.  

Pokok sawi dan kobis mempunyai dua helai daun kotiledon.  Ini kerana tumbuhan tersebut mempunyai biji benih yang mempunyai dua kotiledon.  Satu biji benih terbahagi dua.  Ada tumbuhan hanya mempunyai satu kotiledon sahaja, misalnya jagung manis.  Cambahan jagung manis hanya mempunyai satu helai daun kotiledon.

Kalau diperhatikan cambahan kacang pea, set daun pertama yang kelihatan mempunyai ciri-ciri daun sebenar.  Set pertama yang anda lihat tersebut (sebagimana posting tentang kacang pea sebelum ini) adalah daun sebenar.  Ini kerana, daun kotiledon kacang pea tumbuh di bawah tanah.

Pada hari ke 6, set daun sebenar telah kelihatan.

Gambar Hari Ini -- Marjoram, Origanum marjorana

Marjoram
Marjoram adalah herba yang berasal dari Mediteranean yang digunakan dalam perisa makanan itali dan sup.  Pokok ini mudah ditanam dan cepat membiak.

Ahad, 13 November 2011

Cahaya Pagi

Ketika kanak-kanak saya dibesarkan di kampung nelayan. Saya dikira bernasib baik kerana ayah minat berkebun.  Walaupun kebun jaraknya hampir satu jam setengah perjalanan dengan sekuter (Vespa),  balik dari mengajar, ayah akan bawa saya ke kebun.  Di situlah banyak saya belajar tentang gardening.  Banyak peraturan dan pantang larang yang diturunkan oleh ayah.  Kadang-kadang bercanggah.  Di situlah saya belajar bahawa tiada "rule" sebenar dalam gardening.  Yang ada ialah panduan yang kita perlu faham "mengapa" dan kemudian  "improvise."  Suasana di kebun tidak mungkin akan selalu berpihak kepada kita hinggakan kita boleh ikut peraturan tanpa mengambil kira faktor sekeliling.  Kita perlu faham sebab mengapa petua itu wujud dan ubah suai mengkikut keadaan.

Satu dari peraturan yang ayah minta saya patuh ialah bina batas melintang (90 darjah) kepada arah matahari naik.  Kadang-kadang dia suruh bina batas melintang arah kiblat (90 darjah kepada arah matahari jatuh).  Sama lah tu.  Syarat yang dikenakan tu sebenarnya ada benarnya.  Bila kita bina batas 90  darjah pada arah matahari naik, seluruh tumbuhan di atas batas yang sama akan menerima cahaya yang sama keamatannya, jadi pertumbuhan tumbuhan akan sekata.

Itu kalau di kebun, tanah luas.  Kalau di tepi rumah, apa-apa ruang yang ada terpaksa digunakan.  Kalau tanam di atas tanah tidak mendapat cahaya pagi, kita terpaksa fikir bagaimana untuk mendapatkannya.  Kalau tanam secara mendatar (atas tanah) tidak dapat cahaya pagi, mungkin kita boleh tanam secara menegak, mencacang kata orang Ganu.  Kalau di tepi rumah tiada cahaya yang cukup, mungkin kita boleh tanam di atas rumah.  Kalau tak boleh juga, terus aja tanam di tanah.  Bataspun tidak semestinya lurus, kita boleh buat batas melengkong, bengkang bengkok mengikut kesesuaian kawasan.  Kalau pokok tidak dapat tumbuh ke tahap maksima, tumbuh sederhana pun tidak mengapa.  Kita bertanam secara hobi bukan secara komersial.  Cukup untuk makan sendiri.  Bebas racun, rasa pun enak.


Arah bayang di waktu pagi dapat membantu kita menentukan arah cahaya matahari pagi dan membuat keputusan tentang posisi patch tanaman.