Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Isnin, 31 Oktober 2011

Gambar Hari Ini -- Belimbing Buloh, Averrhoa bilimbi

Bunga belimbing buloh

Buah belimbing buloh.

Daun belimbing buloh perpelepah.

Jika halaman rumah luas, belimbing buloh mampu ditanam untuk redupkan kawasan terutamanya ruang aktiviti keluarga.  Terdapat dua jenis belimbing buloh, satu yang manis dan satu lagi masam.  Pokok di halaman rumah saya adalah dari jenis masam.  Buah ini enak dimakan mentah dicicah garam.  Ia juga enak dijadikan asam dalam sambal dan singgang.  Pokok ini juga sesuai di tanam di dalam pasu atau bekas yang besar.

Benih Untuk Dikongsi (November) -- Kacang Buncis, French Bean, Pole Bean, Phaselus vulgaris

Benih untuk dikongsi untuk bulan November ialah benih kacang buncis (french bean, pole bean).  Benih ini lazimnya tumbuh selepas 3 atau 4 hari disemai.  Ia tumbuh subur di lokasi yang menerima banyak cahaya matahari.  Anda boleh tanam di atas tanah atau dalam bekas.  Pokok kacang buncis memanjat dengan melilit jadi anda perlu letakkan pancang.

Kacang buncis perlukan banyak nutrien untuk hasilkan buah yang banyak.  Kalau anda masak sendiri di rumah, siram tanah dengan air basuhan ikan sekurang-kurangnya dua minggu sekali.  Anda boleh juga gunakan baja organik, misalnya pellet tinja kambing atau ayam dua minggu sekali.

Kacang buncis akan mula boleh dituai 6 hingga 8 minggu selepas disemai.  Buah kacang buncis yang ditanam sendiri jauh lebih enah dari kacang buncis yang dibeli kerana buah tersebut segar.  Bunga kacang buncis juga cantik dan pokok ini sesuai dijadikan hiasan.

Untuk dapatkan 1 pek benih kongsi,emelkan nama penerima dan alamat ke iskandar.abdulrashid@gmail.com.  Benih kongsi adalah percuma untuk semua pengunjung.

1 pek benih kacang buncis
Kacang buncis berbuah selepas 6 minggu disemai.
Bunga kacang buncis cantik menyerlah.
Pokok kacang buncis memanjat.  Anda perlu sediakan pancang.

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 17 dari 20

Besi
Besi atau ferum diperlukan dalam kuantiti yang lebih dari mikronutrien yang lain. Ia tersedia ada dalam tanah. Jarang berlaku kekurangan besi dalam tumbuhan.

Kegunaan Besi
Besi diperlukan dalam penghasilan enzim, protein dan klorofil.  

Kekurangan Besi
Oleh kerana besi diperlukan untuk membuat klorofil, kekurangan besi mempunyai tanda-tanda yang serupa dengan kekurangan magnesium. Tanda-tanda bermula dengan klorosis urat daun dan ada sesetengah menjadi putih secara keseluruhan. Daun-daun tersebut tidak akan luruh. Daun tua akan kekal hijau. Hanya daun dari pucuk yang baru sahaja akan terkena klorosis. Ini kerana klorofil tidak mudah alih dalam tumbuhan. Batang bokok mungkin kelihatan seperti melingkar dan pucuk mungkin mati.  

Sebab Kekurangan Besi
Kealkalian yang tinggi adalah sebab utama besi tidak dapat diserap oleh tumbuhan kerana besi hanya boleh dicapai dalam tanah yang berasid iaitu pH 4.0 hingga 5.5.  

Sumber Besi
Sumber besi termasuk kompos, tinja dan serbuk darah. Asid dari bahan organik akan membantu tumbuhan menyerap besi.

Kuprum 
Kuprum atau tembaga digunakan untuk pengaktifan enzim, penghasilan klorofil, metabolism, respirasi dan aktiviti mengikat nitrogen.  

Kesan Kekurangan Kuprum
Daun muda kelitan erot, kuning, layu atau terdapat bintik nekrotik. Pertumbuhan juga terbantut.  

Sebab Kekurangan Kuprum
Jarang berlaku kekurangan kuprum. Mikronutrien ini boleh dicapai di dalam tanah berasid iaitu antara pH 4.0 hingga 5.5. Kekurangan kuprum mungkin disebabkan oleh terlebih mencampur kapur menyebabkan pH tidak seimbang dan tanah terlalu beralkali.
Kekurangan kuprum mungkin juga disebabkan sememangnya tiada kuprum dalam tanah. Ini kerana kuprum boleh sebati dengan bahan organik dan tidak dapat dicapai oleh tumbuhan. Sebab itu kuprum kadang kala gagal dicapai dalam tanah gambut.  

Sumber Kuprum
Cara terbaik untuk mempastikan kuprum dapat dicapai oleh tumbuhan adalah dengan cara mengimbang pH dan mencampur banyak bahan organik ke dalam tanah terutamanya tinja haiwan ternakan yang telah diproses. Apabila pokok menunjukkan tanda-tanda kekurangan kuprum ia sudah terlambat untuk diselamatkan.

Sabtu, 29 Oktober 2011

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 16 dari 20

Mangan 
Mangan adalah unsur yang digunakan dalam proses membina klorofil, iaitu bahan hijaju yang digunakan dalam proses fotosintesis, membina enzim dan asid nukleik. Mangan juga diperlukan dalam proses metabolism nitrogen dan mengikat nitrogen.  

Kesan Kekurangan Mangan

Tanda-tanda kekurangan Mangan kurang ketara kerana tanda-tandanya seakan-akan sama dengan kesan kekurangan besi, nitrogen atau sulphur. Pokok dari jenis berlainan juga menunjukkan tanda-tanda yang berbeza. Mangan mudah dialih daloam tumbuhan, jadi kekurangan Mangan tidak ketara dalam bahagian tumbuhan yang muda. Kesan yang ketara ialah daun tua mempunyai rintik atau belakan (mottling) disebabkan oleh kehilangan warna pada urat-urat daun, yang kemudiannya akan bertukar menjadi lesi nekrotik (necrotic lesion). Ini tidak berlaku dalam kekurangan zat besi. Kemudiannya, seluruh daun akan bertukar menjadi kuning. Ada kalanya seluruh pokok bertukar menjadi kuning. Pertumbuhan amat perlahan dan terbantut. Kebiasaannya, cambahan tidak terjejejas kerana bekalan Mangan yang mencukupi ada tersimpan di dalam biji benih.  

Kesan Terlebih Mangan
Mangan lazimnya boleh diperolehi dalam tanah berasid dan mungkin menjadi toksik kerana terlebih terutamanya dalam tanah yang mempunyai pH yang kurang dari 5.5. Untuk menghindar keadaan ini, anda boleh tambah sedikit kapur ke dalam tanah untuk meningkatkan pH tanah. Sebab Kekurangan Mangan pH yang tinggi menyebabkan Mangan tidak boleh dicapai oleh tumbuhan. Satu lagi kemungkinan kekurangan Mangan adalah apabila unsur Mangan tiada dalam tanah tersebut. Lazimnya tanah gambut atau tanah berpasir kekurangan Mangan., Ketidakseimbangan nutrient juga boleh menjadi punca kekurangan Mangan. Kumprum, besi, kalium dan zink yang berlebihan boleh menghalang tumbuhan dari menyerap Mangan.

Sumber Mangan
Anda boleh pulihkan masalah penyerapan Mangan dengan menambah kapur untuk mengurangkan keasidan tanah. Rumpai laut juga adalah sumber Mangan, jadi anda boleh tambahkan rumpai laut ke dalam tanah.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pucuk Moringa dijadikan makanan ternakan?

Dari bahan bacaan, pokok Moringa dikatakan adalah penyelamat ketika perang dunia ke 2.  Ketika itu orang kebuluran kerana makanan ruji tidak sampai ke semua tempat dan makanan dicatu.  Di India ramai mula mati akibat kebuluran.  Untuk menyelamatkan nyawa orang mula berkongsi batang pokok moringa untuk dicucuk tanam (propagate).  Pokok moringa mudah ditanam, pertumbuhannya galak dan setiap bahagian pokok boleh dimakan.  Ini termasuk pucuk, daun, bunga, buah dan akar.  Akar Moringa digunakan untuk menggantikan sayur horseradish kerana rasanya yang seakan-akan.

Di kedai-kedai kesihatan daun moringa dijadikan serbuk untuk dimakan sebagai supplement dalam bentuk kapsul kerana ia dapat membantu ibu-ibu menghasilkan lebih banyak susu.  Satu botol kecil dijual dengan harga hampir RM150!

Selain dari menanam saya ada juga membela beberapa ekor ayam belanda, itik dan angsa sebagai hobi.  Niatnya, kalau anak-anak berkumpul di hujung minggu ada juga sesuatu untuk dipanggang (barbeque).  Apa yang saya perhatikan, dari segi perbelanjaan makanan, haiwan ternakan ni tak viable langsung.  Maksud saya, harga makanannya agak mahal.  Tak berbaloi jika dibandingkan dengan berat haiwan setelah disembelih nanti.  Elok beli daging di pasar aja, jauh lebih murah.  Nasib baik ada jiran yang bekerja kedai makan yang pulang dari kerja membawa nasi yang tidak habis untuk diberi makan pada haiwan tersebut.

Terlintas juga, bagaimana kalau ruang-ruang kosong di sekitar taman saya pergi cucuk aja batang moringa?  Jiran-jiran dapat kutip bunga dan buah untuk kari.  Saya dapat kutip daun, selain dijadikan sayur, dapat direbus dan dicampur lebihan sayur yang lain untuk diberi makan haiwan ternakan.  Makanan tersebut pasti kaya dengan protein.  Lagi pun lebihan daun tersebut boleh dijadikan kompos.  Green manure, dalam bahasa Inggeris.  Baja percuma kata orang kampung macam saya. :)

Cara ini memang dipraktikkan di kampung tempat saya dibesarkan.  Ibu saudara saya membiarkan keladi tumbuh melata di tepi sungai.  Ubi diambil untuk makan.  Batang keladi direbus bersama lebihan nasi, pucuk kayu, sisa udang dan ikan dari sungai direbus dengan sedikit garam dalam kawah besar.  Hasilnya, makanan berkhasiat untuk santapan itik di sebelah petang.   Upahnya, bangun pagi bergoleh telur itik di bawah rumah. :)

Pucuk Moringa kaya dengan protein.

Khamis, 27 Oktober 2011

Tanam Sendiri -- Kacang Buncis, Pole Bean, Phaselus vulgaris

Kacang buncis adalah antara tumbuhan yang mudah ditanam.  Tumbuhan ini amat sesuai untuk pekebun baru dan kanak-kanak.  Kacang buncis cepat bercambah dan dapat dituai dalam masa yang singkat.

Tanam pada lokasi yang mendapat cahaya matahari pagi dengan saliran yang baik.  Sebelum menyemai, campurkan tanah kompos atau baja organik hingga kira-kira 2.5 cm atau 1 inci ke atas tanah. 

Semai benih ke dalam lubang sedalam 2 hingga 3 cm (1 inci) di atas batas dengan jarak 60 cm (2 kaki) di antara baris.  Jarakkan benih 12 hingga 15 cm (4 hingga 6 inci).  Siram untuk lembapkan tanah.  Benih akan bercambah antara dua hingga empat hari. 

Apabila cambahan mencapai 20 cm (8 inci) dan sedia untuk memanjat, pasangkan pancang.  Pokok kacang buncis adalah tumbuhan yang memanjat.  Tutup permukaan tanah dengan bahan kompos atau rumpai yang kering untuk membunuh rumpai.

Jika anda ingin mendapatkan buah yang tidak putus-putus, sema benih kacang bncis setiap 2 minggu.

Baja dengan baja organik atau air ikan kira-kira dua minggu sekali.  Siram sekurang-kurangnya sekali sehari.  Ketika cambahan belum mencecah 15 cm (6 inci), merumput selalu untuk mempastikan tiada persaingan cahaya antara pokok kacang buncis dengan rumpai.

Untuk menghasilkan pokok kacang buncis yang bercabang, patahkan pucuk utama apabula pokok mencapai ketinggian 45 cm (18 inci).

Pokok kacang buncis akan mula berbuah kira-ira 40 hari selepas disemai.  Tuai buah apabila ia mencapai 12 cm (5 inci) hingga 12 cm (8 inci).


Rabu, 26 Oktober 2011

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 15 dari 20

Boron 
Boron berguna dalam aktiviti enzim, mengalih nutrient, membina protein, menyerap air, pembahagian sel, penghasilan debunga dan pembuahan. Ia memberi kesan terhadap penyerapan kalsium. Kesan Kekurangan Boron Kesan kekurangan Boron tidak kelihatan pada daun, jadi ia agak sukar dikesan secara kasar. Bagaimanapun ia mudah dikesan pada akar. Akar tumbuhan yang kekurangan Boron pecah atau retak dari dalam. Tanda-tanda lain termasuk tunas mati, pertumbuhan terbantut, batang dan ranting yang pendek dan daun utama erot. Cara terbaik untuk uji kehadiran Boron adalah melalui ujian tanah. Jika anda tanam kalian atau kobis, tumbuhan yang kekurangan Boron mempunyai agar yang gelonggong iaitu kosong di bahagian dalam. 

Terlebih Boron 
Kuantiti Boron yang banyak boleh berlaku secara semula jadi di kawasan tanah yang kering. Jika tanah terlalu berasid dan mempunyai kandungan organik yang rendah, Boron mungkin berlebihan iaitu dalam tanah pH antara 5.0 hingga 7.0. Mujurlah kawasan yang kering lazimnya beralkali. Masalah terlebih Boron jarang berlaku di Negara kita kerana kita menerima banyak hujan dan Boron mudah dibawa air. Terlebih Boron adalah toksik kepada tumbuhan. Ia menyebabkan pertumbuhan yang perlahan, pertumbuhan kurang galakj dan mudah diserang penyakit. Bahan organik membantu mengurangkan jumlah Boron.  

Sebab Kekurangan Boron 
Boron tidak boleh dicapai dalam tanah yang melebihi pH 7.0. Ini lazimnya berlaku jika anda terlebih menambah kapur ke dalam tanah. Ketidakseimbangan nutrient, iaitu terlebih kalsium di dalam tanah boleh memberi kesan terhadap penyerapan Boron. Ada tumbuhan yang menyerap banyak Boron dan jika tumbuhan yang sama ditanam secara berterusan akan menyebabkan kehabisan Boron di dalam tanah. Ini lazimnya berlaku dalam tanah berpasir dan tanah beris yang mudah dibawa air. 

Sumber Boron 
Boron terdapat di dalam bahan organik. Jadi, anda boleh tambah kuantiti Boron dengan secukupnya dengan menggunakan baja organik. Serbuk granite juga mengandungi Boron dan boleh digunakan. Anda boleh juga gunakan air basuhan kerana kebanyakan detergen mengandungi Boron. Bagaimanapun jumlahnya perlu dikawal kerana terlebih Boron adalah toksik kepada tumbuhan.

Gambar Hari Ini -- Lantana camara

Siapa sangka pokok Bunga Bebusuk yang tumbuh melata di kampung ketika dibesarkan di Kemaman adalah pokok istimewa yang popular sejak berkurun lamanya.  Bunga ini dikenali sebagai Bunga Bebusuk kerana bau daunnya yang kuat dan kurang enak.  Di tempat lain, pokok ini dikenali sebagai pokok Lantana, Lantana camara dan dijual dengan harga yang tinggi.  Ia sesuai ditanam di tanah beris dan di dalam bekas.

Bunga Lantana istimewa kerana warnanya yang bertukar dari ungu, merah, oren dan akhirnya kepada kuning apabila mekar membuatkan orang dulu-dulu percaya ia mempunyai keajaiban.  Busuk kata suri rumah di kampung saya masa kecil-kecil dulu.  Apa yang mereka tidak tahu, di kurun ke 19, wanita di Eropah mandi bunga menggunakan air rebusan pokok Lantana.  

Air bunganya kalau dibuat basuh rambut, warna rambut bertukar menjadi ungu.  Nada ungu yang berbeza-beza menyebabkan rambut yang dibasuh dengan air bunga Lantana unik.  Ia menjadi fesyen kegilaan wanita di zaman itu.

Bunga Lantana

Bunga Lantana, kecil tetapi menarik.

Buah lantana sebesar bebola bering, apabila ranum bertukar menjadi hitam dan gemar dimakan burung.

Selasa, 25 Oktober 2011

Herba di Halaman Rumah

Tanam herba di halaman rumah mudah dan seronok.Daunnya boleh dikeringkan dijadikan perisa.  Daun juga boleh dimasukkan ke dalam minyak untuk dijadikan herbal oil atau dimasukkan ke dalam botol cuka asli untuk menambah perisa.  Kalau masak sendiri, herba boleh terus ambil aja di halaman dan terus dijadikan ramuan.  Daging goreng, ikan goreng, telur goreng, sup, ayam panggang, ikan bakar, sebut aja... tidak akan seenak kalau guna herba yang segar.... fresh.

Pudina, mint

Tarragon

Tarragon yang dicucuk telah mula bertunas dengan banyak.

Basil, Tulasi

Rosemary

Kari

Isnin, 24 Oktober 2011

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 14 dari 20

Mikronutrien 
Mikronutrien adalah nutrien yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Walaupun diperlukan sedikit sahaja ini tidak bermakna ia tidak penting. Mikronutrien amat penting untuk pertumbuhan pokok yang sihat.

Mujurlah, jika tanah yang anda gunakan kaya dengan bahan organik, kebiasaannya mikronutrien yang diperlukan ada di dalamnya. Jika tanah yang anda gunakan kurang bahan organik, elok ditambah bahan kompos atau tinja haiwan ternakan yang telah diproses.

Anda juga patut pastikan pH tanah hamper kepada neutral, supaya nutrient yang ada di dalam tanah dapat dicapai dan digunakan oleh tumbuhan. Ada yang berpendapat mengapa tidak tambah aja mikronutrien tulen ke dalam tanah. Ini kurang elok kerana mikronutrien diperlukan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Jika terlebih akan merosakkan tumbuhan.

Antara mikronutrien yang dimaksudkan ialah Boron, Mangan, Besi (Ferum), Tembaga (Kuprum), Zink, Molibdenum, Klorin , dan Kobalt.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Gambar Hari Ini -- Labu Manis, Pumpkin

Labu Manis, Pumpkin sedia untuk dituai.

Labu manis menarik kalau ditanam, tapi pokok ini merayap dan memerlukan kawasan yang luas.  Pokok yang saya tanam mula menceroboh ke patch tanaman lain dan menguasai patch tersebut.  Ini tidak menjadi masalah kerana pucuk labu manis enak dibuat sayur.  Jadi mana-mana bahagian yang tersasar keluar dari kawasan akan dijadikan sayur.  Lagipun apabila dipotong, akan keluar lebih banyak pucuk.
Untuk batch berikutnya saya akan tanam dalam bekas.  Adakah pokok labu yang ditanam dalam bekas akan tumbuh subur?  Pokok ini perlukan nutrien yang banyak.  Berapa kerapkah perlu dibaja dan baja apakah yang paling sesuai?  Akan dicuba jua tanam dalam bekas menggunakan tanah kompos. :)

Jumaat, 21 Oktober 2011

Markisa Tumbuh Subur

Alhamdulillah musim hujan ni banyak pokok buah menjadi.  Markisa, kemunting, betik, malberi, bidara, belimbing, ciku... Cuma masalahnya, seperti hilang kawalan.  Pokok berebut kawasan dan mula menceroboh kawasan.  Yang paling teruk ialah pokok yang menjalar dan memanjat.  Tidak cukup kawasan pagar, markisa mula menceroboh para pokok kacang botor dan memanjat pokok betik.

Apa masalahnya, potong sajalah.  Setelah mencapai gunting kebun untuk pangkas ranting-ranting yang tersasar jauh, terlintas pula rasa rugi kalau dipotong.  Apa tidaknya, di setiap ketiak daun pada ranting tersebut ada bunga.  Kalau satu ranting ada 12 bunga, kalau separuh menjadi, dipotong juga, paling kurang akan kerugian 6 biji buah markisa.  Kalau semua menjadi, satu ranting yang dipotong akan kerugian 12 biji buah markisa.

Nak dibiarkan, pencerobohan pokok markisa dah tahap melampau.  Nak potong.... rezeki tu. 


Buah markisa

Pokok markisa meman jat pokok betik.  Sepanjang ranting tersebut terdapat bunga.

Gambar Hari Ini -- Bunga Mulberi

Bunga Malberi, Mulberry

Malberi mudah tumbuh, dan dengan sedikit penjagaan akan menghadiahkan kita dengan bunga dan buah yang banyak.  Malangnya saya sering terlupa untuk memberikan perhatian.  Mungkin kerana daun malberi sentiasa hijau dan segar tidak menunjukkan ia meminta perhatian.
Malberi perlu dipangkas selalu untuk menghasilkan bunga yang banyak yang kemudian akan menjadi beri.  Kalau tidak mahu makan pun, kita boleh mengundang burung ke taman kerana burung gemar memakan buah mulberi yang ranum.  Sambil-sambil itu bolehlah burung mengutip ulat yang meratah daun-daun sayur. :)
Saya suka pokok ini kerana anak kecil saya, si Puteri  gemar mengutipnya.  Jadi, adalah alasan untuk kami meluangkan masa bersama di halaman rumah.

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 13 dari 20

Kalsium 
Kalsium amat penting untuk tumbuhan. Kita tidak sedar tumbuhan amat memerlukannya kerana jarang berlaku kekurangan kalsium dalam tumbuhan. Mengapa Kalsium Diperlukan? Kalsium diperlukan oleh tumbuhan untuk membantu menyerap nitrogen. Kalsium juga diperlukan untuk membina protein, pertumbuhan meristem, aktiviti enzim, menutralkan toksid dan untuk menyerap fosforus dan kalium. Kalsium juga penting untuk membina dinding sel yang boleh dilalui air dan membuatkan tumbuhan yang dituai tahan lama jika disimpan. Tanda 

Kekurangan Kalsium
Tunas bengkok seperti cankuk dan mati. Hujung pucuk daun juga kelihatan seperti melecur. Pertumbuhan akar juga terbantutu.

Sebab Kekurangan Kalsium
Tanah beralkali kaya dengan kalsium. Biasanya tanah dengan pH 6.5 hingga 8.5 kaya dengan kalsium. Tanah berasid yang dirawat dengan menabur serbuk kapur juga kaya dengan kalsium. Tanah kekurangan kalsium kerana nutrium ini dibawa air terutama di musim hujan. Ini kerana kalsium karbonat (bahan yang mengandungi kalsium dalam tanah) larut di dalam air.

Kesimbangan Nutrien
Kalsium, magnesium dan kalium perlu seimbang untuk kesihatan tumbuhan.  

Cara Menambah Kalsium
Tambahkan kapur. Ini akan mengurangkan keasidan tanah dan menambah kalsium. Jika anda tidak mahu kurangkan keasidan tanah, tambah kompos yang diperkaya dengan kulit telur yang telah dilumatkan.

Tanam Sendiri -- Kobis Cina Ong King

Kobis Cina Ong King adalah sepupu kobis biasa (dari keluar Brassica) dengan rupa seakan-akan salad romaine.  Rasanya enah, kuat sedikit dan pasti digemari.  Kobis ini bukan dari jenis yang menghasilkan jantung, maksudnya kobis ini mempunyai daun yang terbuka.  Ia enak dipetik terus makan, iaitu sebagai ulam dicicah sambal ketika makan bersama nasi atau dimasak sebagai lauk.

Tanah
Sama seperti jenis kobis dan sawi yang lain, Kobis Cina Ong King perlukan tanah yang subur yang mampu menyimpan lembapan.  Tanah gambut atau tanah liat yang diperkaya dengan baja kompos amat sesuai digunakan. pH tanah yang sesuai, 6.0 - 7.0

Menyemai
Semai ditempat semaian atau di dalam bekas.  Seeloknya semai dalam pot kecil (10 cm) 2 biji benih dalam satu pot sedalam 0.5 hingga 1.5 cm.  Anak benih akan bercambah dalam masa 7 hari selepas disemai.  Apabila cambahan keluar dan menghasilkan 2 set daun baru, gunting cambahan yang kurang cantik.  Biarkan 1 cambahan sahaja dalam satu pot.

Mengalih
Apabila akar memenuhi pot, iaitu kira-kira 2 hingga 3 minggu selepas menyemai, alih ke dalam pot yang lebih besar atau ke tanah.  Jarakkan  antara cambahan kira-kira 30 - 45 cm iaitu 12 hingga 18 inci.   Pokok ini sangat sensitif, jadi pastikan akar tidak cedera ketika mengalih.    Pastikan tanah mendapat cahaya matahari pagi sepenuhnya atau jika tanam dalam bekas di dalam rumah, letakkan pot di tepi tingkap mengadap cahaya matahari pagi.

Menyiram
Siram rata tetapi jangan sampai air bertakung.  Di musim kering, siram setiap hari terutamanya di sebelah pagi.  Jangan biarkan tumbuhan kering untuk mengelakkan dari tumbuhan mengeluarkan bunga.  Apabila ia berbunga, daun akan menjadi lebih kecil, batang akan berserat dan kurang enak dibuat ulam.

Merumput
Merumput sekurang-kurangnya 2 minggu sekali untuk mengelakkan persaingan cahaya dan baja.

Membaja
Gunakan baja kompos (organik) dan tambahkan dua minggu sekali.  Seminggu sekali, siram dengan air ikan untuk pastikan pertumbuhan yang cepat.  Tumbuhan ini perlukan Nitrogen, fosforus dan kalium yang banyak.  Jika gunakan baja kimia, gunakan baja NPK.

Tuaian
Tuai antara 8 hingga 12 minggu.  Anda boleh potong daun atau tuai menggunakan teknik potong dan tumbuh lagi.


Selasa, 18 Oktober 2011

Projek Musim Hujan 2 -- Menyemai Garden Pea dalam Seed Starter Pot

Dalam aktiviti ini saya menyemai benih garden pea ke dalam pasu yang dibuat dari gentian asli yang biodegradable.  Pasu ini dinamakan Seed Starter Pot telah saya beli dengan harga RM7.50 untuk 23 pot saiz kecil.  Jadi kalau dibandingkan dengan harga peat pot yang telah ditunjukkan dalam posting sebelum ini, Seed Starter Pot adalah lebih murah tetapi anda perlu sediakan tanah.

Seed Starter Pot dibuat dari gentian asli yang upaya bioterurai.
Tanah yang saya gunakan adalah dari jenis kompos yang dijaul di pasaraya.

Tanah yang digunakan ialah tanah kompos yang dijual di pasaraya.


Tarikh: 7/10/11
9:00 am
Merendam benih dalam air suam.
1.00 pm
Keluarkan benih dari rendaman dan menyemai ke dalam seed starter pot.

Benih disemai pada 7/10/11.

Tarikh: 11/10/11
4 dari 5 pot menunjukkan tanda percambahan.

Benih mula bercambah.



Tarikh: 13/10/11
Cambahan mencapai 2 cm.  Tunas daun kelihatan tetapi daun belum kembang.
4 dari lima pot bercambah.


Tarikh: 15/10/11
Dua set daun mula tumbuh.  Sulur paut pertama kelihatan menunjukkan cambahan sedia untuk memanjat untuk mendapatkan lebih sinar suria.  Cambahan mencecah 16 cm.
4 dari 5 pot bercambah.

Sulur paut mula kelihatan.

Pertumbuhan amat galak.  Cambahan mencecah 16 cm.

Tarikh: 16/10/11
Tiga set daun telah kelihatan.  Cambahan mencecah 20 cm.
4 dari 5 pot bercambah.

Cambahan mencapai 20 cm






Tarikh: 18/10/11
Cambahan mencecah 24 cm dan sedia untuk dialih.  Cambahan akan dialih ke dalam pasu dan diletakkan di tempat yang menerima banyak cahaya matahari.
Satu pot tidak menunjukkan percambahan.  Apabila diperiksa ada tanda-tanda benih bercambah tetapi tunas tidak kelihatan.





Ahad, 16 Oktober 2011

Semaian Baru -- Bunga Matahari

Cambahan benih bunga matahari pada hari ke 3 selepas disemai.
Benih bunga matahari telah disemai pada 13/10/11 menggunakan pasu plastik dan tanah campuran.  Tanda-tanda pertumbuhan kelihatan pada dari ke 2 iaitu pada 15/10/11.  Pada hari ke 3, benih telah melonjak keluar dari pasu.

Pada hari ke 5, set dau pertama telah kembang dan pertumbuhan terus berlaku.  Batch benih kali ini bukan sahaja bercambah dengan cepat malah pertumbuhan cambahan juga amat galak.

Cambahan di hari ke 5.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Projek Musim Hujan 1 -- Menyemai Garden Pea Dalam Peat Pot

Untuk Projek Musim Hujan 1, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini akan menggunakan produk komersial.  Produk yang dimaksudkan ialah peat pot, iaitu tablet yang mengandungi tanah gambut yang telah dimampatkan.  Produk ini saya beli dari kedai DIY dengan harga RM3.50 satu pek, yang mengandungi 4 keping peat pot.


Peat Pot bersaiz kecil dijual dalam set 4 keping.

Peat Pot bersaiz kecil dengan diameter 4 cm (1.5 inci).


Untuk benih pula saya pilih benih garden pea.  Sebelum ini saya semai garden pea secara terus ke atas tanah tetapi malangnya benih tersebut tidak sempat tumbuh kerana dimakan oleh semut api.  Benih ini menjadi kesukaan semut kerana rasanya yang manis dan kaya dengan protin dan karbohidrat.  Jadi garden pea lebih sesuai ditanam dalam bekas yang bebas semut.

Sebelum mula menyemai saya telah rendam benih kacang pea garden dalam air suam selama 4 jam.

Tarikh: 7/10/11
Waktu merendam benih: 9:00 am
Waktu akhir merendam: 1.00 pm
Jumlah waktu merendam: 4 jam



Benih direndam di dalam air suam selama 4 jam.

Benih ditapis keluar dari  bekas rendaman.

Apabila benih telah sedia untuk disemai, saya rendamkan peat pot ke dalam air suam selama 15 minit.  Peat pot dikeluarkan dari rendaman.  Ia amat lembut dan kembang tetapi langsung tidak kukuh.  Pot ini dipegang oleh kain kasa dan perlu dikendali dengan berhati-hati.



Peat pot direndam dalam air suam sehingga kembang selama 15 minit.

Peat pot yang kembang sedia untuk disemai benih.
 
Kemudian saya memasukkan 1 biji kacang pea garden dalam setiap peat pot.  Pot dilabel dan dibiarkan dalam suhu bilik.

Benih disemai dalam peat pot.

Bekas dilabelkan untuk rujukan dan maklumat dicatatkan dalam jurnal.

Tarikh: 8/10/11
Tiada tanda-tanda percambahan.

Tarikh: 9/10/11
9:00 am
Ada tanda percambahan.  Hujung akar keliatan keluar dari biji benih.


Tarikh: 10/10/11
9:00 am
Bahagian tunas mula keluar.

10 Oktober 2011, Hari ke 3



Tarikh: 11/10/11
8.30 am
Tunas tumbuh sepanjang 1.5 cm.  Hanya 3 dari 4 benih bercambah.

11 Oktober 2011, Hari ke 4



Tarikh: 12/10/11
10:00 am
Tunas tumbuh sepanjang 2 cm.  3 dari 4 biji bercambah.

12 Oktober 2011, Hari ke 5


Tarikh: 13/10/11
9.30 am
Tunas tumbuh sepanjang 3 cm.  3 dari 4 biji bercambah.  Pucuk daun kelihatan tetapi belum terbuka.  Akar telah keluar dari peat pot.  Kalau dikutkan pada panduan peat pot, mereka menyarankan agar cambahan benih dialih ke bekas yang lebih besar.  Saya akan tunggu sehungga daun terbuka untuk mengalih peat pot tersebut.

13 Oktober 2011, Hari ke 5


Hari ke 5, Akar keliatan keluar dari peat pot.

Tarikh: 14/10/11
8.00 am
Cambahan tumbuh sehingga 6 cm.  1 dari peat pot masih tidak menunjukkan percambahan.  Pucuk daun belum kembang.

Tarikh 15/10/11
3.00 pm
Cambahan tumbuh sehingga 12 cm. Set daun pertama telah mula berkembang. Benih yang belum bercambah juga menunjukkan aktiviti.  


Cambahan menunjukkan petumbuhan yang cepat.  Cambahan paling panjang mencecah 12 cm.

Daun pertama telah kembang.

Benih kacang yang belum bercambah menunjukkan ada aktiviti dan bakal bercammbah.

Tarikh: 16/10/11
6.00 pm

 Cambahan telah mencecah 16 cm.  Kelihatan daun telah kembang dan sulur paut pertama kelihatan.  Ini menandakan cambahan sedia untuk memanjat.  Saya ingin guna semula satu pot yang tidak bercambah tetapi terpaksa membatalkan niat tersebut.  Walaupun tiada cambahan muncul, benih tersebut sebenarnya tidak hampa.  kelihatan akar keluar dari kulit peat pot.

Cambahan telah mencapai 16 cm.

Sulur paut sulung (dibulatkan) telah keluar menandakan cambahan sedia untuk memanjat.

Satu daripada peat pot tidak menunjukkan cambahan.

Walaupun tiada cambahan, akar terjulur keluar dari peat pot menandakan ada aktiviti pertumbuhan.

Tarikh: 18/10/11
10.00 am

Pada hari ini 3 set daun telah tumbuh dan cambahan telah mencapai 20 cm.  Cambahan ini akan dialih ke dalam pasu dan akan diletakkan di tempat yang menerima lebih banyak cahaya matahari untuk mengukuhkannya.  

Tiga set daun telah tumbuh.

Semaian ini sedia untuk dialih ke dalam pasu yang lebih besar.

Benih ke empat yang lambat tumbuh juga telah menunjukkan pertumbuhan pucuk.
6.30 pm
Cambahan di alih ke dalam pasu menggunakan campuran baja cacing (vermiculite) yang disediakan sendiri dicampur tanah kompos komersial.  Peat pot yang mengandungi benih yang lambat bercambah dibuka untuk dikenal pasti punca benih lambat bertunas.  Benih telah bercambah tetapi tunasnya tersangkut pada kain kasa yang digunakan untuk mengikat tanah gambut menyebabkan benih kelihatan tidak bercambah.