Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Jumaat, 30 September 2011

Tuaian Hari Ini -- Terung Panjang dan Pucuk labu Manis

Pucuk labu manis dan terung panjang.

Alhamdulillah. Untuk tambahan lauk hari ni dapatlah makan sayur air dan ulam terung panjang yang muda. Kena dengan sambal belacan... Tak dapat diulaskan keenakannya.

Harvest of the day -- Brinjals (eggplant, aubergine, melongene (Solanum melongena)) and pumpkin (Cucurbita) shoots. 

Gambar Hari Ini -- Bendi

Pokok bendi dengan buah yang matang untuk dijadikan benih.  Dulu saya tidak pernah terfikir panjang sebiji bendi boleh mencecah satu kaki.

Khamis, 29 September 2011

Tanam Sendiri Tarragon, Artemisia dracunculus

Pokok tarragon mudah tumbuh di negara kita, Malaysia.

Tarragon adalah tumbuhan herba yang mudah tumbuh.  Daunnya terasa manis dan wangi berempah.  Tarragon digunakan sebagai perisa ayam dan ikan dalam masakan Perancis.

Tempat
Pilih kawasan yang terima cahaya matahari sepenuhnya.  Tarragon sesuai ditanam dalam tanah gambut atau gembur yang tidak menakung air.  Ia juga sesuai ditanam di kawasan berpasir kerana tarragon tahan kering.

Memilih Jenis Tarragon
Sebenarnya ada bebebrapa jenis pokok tarragon.  Pilih pokok tarragon perancis dan bukannya tarragon russia.  Ini kerana tarragon russia rasanya tawar tidak seperti tarragon perancis yang wangi dan manis.  Jika anda tidak pasti, picit dan hidu daun tarragon.  Pilih pokok yang mempunayi bau yang kuat.

Menanam Tarragon
Semai tarragon dari keratan batang.  Jangan semai dengan benih kerana ia mengambil masa yang lama untuk tumbuh dan membesar.  Anda tidak perlu membaja dan jangan siram menggunakan air yang terlalu banyak.  Tarragon sesuai ditanam di kawasan yang kering.  Apabila pokok tarragon terlalu tua iaitu 2 hingga 3 tahun, tanam semula.  Anda boleh gunakan keratan ranting pokok yang tua untuk tanam semula.

Menuai
Daun tarragon digunakan sebagai perisa makanan terutamanya daging ayam dan ikan.  Kerat daun dan ranting muda.  Untuk simpan daun tarragon keringkan di tempat teduh.




Gambar Hari Ini -- Buah Remayung, Bayam Malabar, Basella rubra



Buah Remayung Merah, Bayam Malabar atau Basella rubra.
Photo of the Day -- Malabar Spinach fruits, Basella rubra.  You may propagagte Malabar Spinachs using cuttings or using seeds.

Tanam Sendiri Serai, Lemongrass, Cymbopogon citratus

Serai adalah tumbuhan dari keluarga rumput yang tumbuh merimbun dalam kelompok.  Tumbuhan ini dipercayai berasal dari sri Lanka dan kini ditanam di negara kita Malaysia serta negara jiran termasuk Thailand,Indonesia dan Filipina.  Serai juga ditanam di negara-negara Afrika dan Amerika Selatan.

Serai juga dikenali sebagai Fevergrass dan West Indian Lemon.  Ia mempunyai aroma limau nipis atau lemon.

Daun serai digunakan sebagai teh dan batang serai digunakan sebagai perisa makanan dan minuman.  Oleh kerana batang serai liat dan bergentian, batang serai dihiris halus atau dilumatkan sebelum digunakan.  Minyak dari serai digunakan sebagai essential oil dan juga sebagai bahan dalam pembuatan Vitamin A.  Minyak serai juga digunakan sebagai pewangi yang digunakan dalam sabun dan pencuci.

Serai mengandungi protein, lemak, karbohidrat, kalsium dan zat besi.

Tanah
Serai sesuai ditanam ketika musim hujan menggunakan tanah kebun yang kaya dengan bahan organik dan tidak menakung air.  Anda tidak perlu membuat batas.  Serai juga sesuai ditanam di dalam bekas.

Menyemai
Gunakan batang serai yang telah dipotong daunnya.    Siram tanah supaya lembap tetapi jangan sampai bertakung.  Kemudian gemburkan tanah.  Semai di waktu petang untuk elakkan terik matahari ketika tengahari..  Cucuk 2 hingga 3 batang serai ke dalam tanah yang telah digemburkan sedalam 8 cm.

Batang serai yang sedia untuk disemai.
Semaian serai.

Pada peringkat awal, batang serai kelihatan mula kering.  Pucuk baru akan mula tumbuh dalam masa satu minggu selepas semaian.  Pokok serai akan membiak melalui rizom dan membentuk kelompok atau himpunan pokok.

Menuai
Serai sedia dituai selepas 12 minggu disemai.  Kerat bahagian pangkal pokok untuk mendapatkan batangnya.  Potong dan buang bahagian daun. 

Potong bahagian pangkal.

Tanam Sendiri Bendi, Okra, Lady's Finger, Hibiscus esculentus

Bendi yang juga dikenali sebagai kacang lendir kerana ia mempunyai lendir apabila dipotong adalah tumbuhan yang berasal dari Sri Lanka.  Kini bendi ditanam di seluruh dunia terutamanya di kawasan tropika.  Bendi juga dikenali sebagai okra, gumbo, lady's finger.  Nama latinnya ialah Hibiscus ensculentus.

Kacang bendi mempunyai khasiat yang banyak iaitu tenaga, protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, fosforus, besi, natrium, beta karotena, vitamin B1, B2, niasin, dan Vitamin C.  Kebiasaannya bendi tidak digemari kerana ia berlendir dan berserat.  Itu adalah bendi yang dijual di pasaraya.  Bendi berserat kerana ia dipetik apabila saiz telah besar dan lama disimpan sebelum tiba kepada pelanggan.  Jika anda tanam sendiri, anda akan dapati bendi sangat enak dimakan terutamanya apabila dipetik muda dan terus dimasak.

Bendi sesuai ditanam di atas tanah atau dalam bekas atau pasu yang besar.  Bendi perlukan banyak cahaya matahari.  ia tidak memerlukan banyak air.  Jadi, bendi mudah diselenggara jika anda menanam secara hobi dan sibuk dengan tugas harian.

Bunga bendi berwarna kuning dengan bahagian tengah berwarna hitam.  Bentuk bunga adalah sama dengan bunga raya.  Bunga bendi sangat cantik, oleh itu bendi juga sesuai ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga Bendi cantik menjadikan pokok bendi sesuai dijadikan pokok hiasan.
Penyediaan Tanah
Tanam bendi di kawasan tanah gembur atau lom yang kaya dengan bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.  Anda perlu bina batas.  Tambahkan baja organik kira-kira 2 minggu sebelum menyemai.  Jika tanam dalam bekas, gunakan tanah yang kaya dengan organik.

Benih
Benih bendi bewrna hitam atau kelabu tua.  Saiz benih beni adalah kira-kira 0.5 cm dan berbentuk bulat.  Terdapat beberapa jenis bendi.  Semua mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Benih bendi berbetuk bulat dengan garispusat  5 mm setiap satu.
Menyemai
Rendam benih bermalam atau 1 hingga empat jam di dalam air suam untuk aktifkan benih dan cepatkan proses percambahan.  Benih bendi akan bercambah antara 5 hari hingga 2 minggu selepas disemai. Tanam 2 biji benih ke dalam lubang sedalam 3 cm dan jarakkan antara lubang kira-kira 40 hingga 60 cm (1.5 hingga 2 kaki).

Merumput
Anda perlu merumput jika perlu untuk pastikan tiada rumpai berdekatan pokok terutamanya ketika 2 bulan pertama.

Siram
Di musim kering, siram sekurang-kurangya sekali sehari terutamanya di waktu pagi.

Baja
Sekiranya anda tanam dalam tanah yang kaya dengan organik, anda tidak perlu menambah baja.  Jika pokok kelihatan terbantut, baja dengan baja organik (misalnya tinja ayam) kira-kira 2 minggu sekali.

Makhluk Perosak
Bendi kadang-kadang diserang ulat pengorek buah.  Kutip buah yang dijangkiti  dan bakar.  Bendi juga sering diserang ulat beluncas terutamanya pada daun.  Kutip ulat dan musnahkan jika ditemui.  Daun juga mungkin diserang kulat.  Jika ini berlaku, potong daun yang diajngkiti dan bakar.

Buah
Bendi akan mula berbunga dan berbuah kira-kira 8 hingga 12 minggu selepas disemai.  Pokok akan terus berbuah sekurang-kurangnya selama 2 bulan.

Menuai
Untuk rasa yang paling enak, petik buah apabila ia mencapai panjang 5 cm atau 2 inci.  Bendi saiz ini lembut dan enak dimakan.  Anda juga boleh makan bunga bendi sebagai salad atau ulam.  Jangan biarkan buah bendi matang di pokok kecuali jika anda ingin dapatkan benih.  Ini kerana jika buah matang di pokok, pokok tersebut tidak akan menghasilkan buah yang banyak.



Buah bendi yang muda enak dimakan kerana ia lembut dan kurang berlendir.



Bendi baka singa mempunyai saiz yang besar.  Bagaimanapun petik buah ketika ia masih kecil untuk memastikan isi bendi lembut.

Jangan biarkan bendi matang di atas pokok kerana apabila buah matang, pokok akan kurang berbuah.  Buah ini dibiarkan matang kerana ia ingin dijadikan benih.

Rabu, 28 September 2011

Gambar Hari Ini -- Buah Markisa

Buah Markisa
Photo of the Day -- Passionfruits.

Roselle Rebah Ke Tanah

Apabila tiba masa berbuah,Roselle berbuah dengan banyak.  Setiap ketiak daun akan menghasilkan bunga yang akan bertukar menjadi buah.  Jika buah tidak dituai,batang roselle yang kecil tidak akan mampu menahan berat buah.  Pokok akan rebah ke tanah.  Untuk selesaikan masalah ini anda perlu ikat batang roselle ka kayu penyokong. saya gunakan buluh untuk menyokong pokok oselle yang sedah berbuah.  Buah juga dituai sekurang-kurangnya sekali seminggu.  Saya tuai buah roselle dua kali seminggu.  Ini juga dapat pastikan kami tidak akan putus bekalan sirap dan jem roselle. :)

Roselle yang tidak diikat pada kayu penyokong rebah ke tanah kerana tidak dapat menahan berat buah.

Roselle Kneeled to the Ground 
When the time comes, a roselle plant will bear fruits, a lot of fruits.  You must support the plant with a stake because the small soft stem of a roselle plant cannot support the heavy weights of the fruits.  You need to harvest the crops at least once a week.  If failed to do so the stem will snall and the roselle plant will kneel to the ground.

Benih Untuk Dijual -- Jagung Manis Silver Strike, baka F1, 2328

Jagung Manis Silver Strike, baka f1, 2328 (Kehabisan stok)

5 pek RM10.00
Setiap pek mengandungi 10 benih.

Benih jagung Silver Strike baka hibrida F1, 2328


Benih ini tidak sesuai ditanam dalam pasu kecil kerana saiz pokok yang tinggi.  Kalau ingin tanam dalam pasu, elok gunakan pasu yang besar.  Sebaiknya tanam di atas batas.

Untuk pembelian benih, sila deposit ke mana-mana akaun berikut:
Iskandar ab Rashid
Affin 205470241951, atau
BSN Giro 1010929000080825, atau
Bank Islam 12092020181754

atau

Zaitun Ismail
CIMB
12750009113528

Hikmat bin Iskandar
Maybank
166010049300

Kemudian emel iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms 0172889364 dan nyatakan maklumat tentang bayaran, jenis benih serta nama dan alamat penerima benih.

Benih Baru Bulan Ini

Pada bulan ini saya telah mendapatkan beberapa benih sayur dan tumbuhan yang baru.  Benih ini diperolehi dari penjaja benih di ruang letak kereta pasar Chukai, Kemaman iaitu di Terengganu.  Benih-benih tersebut akan dijual melalui blog ini setelah saya uji tahap percambahannya.  Saya akan hanya menjual benih yang mempunyai kadar percambahan 90% ke atas.  Benih tersebut adalah dari negara jiran iaitu Thailand.

Antara benih yang saya perolehi ialah sweet pea, garden pea, cleome iaitu pokok mamam, terung panjang (saiz buah lebih kecil dari jenis yang saya tanam sekarang), hairy basil iaitu kemangin, labu manis, sawi, dan cili kuning 929.  Saya juga ada memperolehi benih pokok bunga iaitu petunia, coneflower, Cosmos bipinnatus, balung ayam, chinese-forget-not, Chrysanthemum, dan Gomphrena globosa.

Selain dari itu saya juga ada menerima benih baru yang memang telah diuji dan akan ditambah ke dalam senarai benih yang saya jual.  Benih yang saya maksudkan ialah benih jagung manis silver strike baka F1 2328, brokoli, cauliflower, petola, labu manis berbentuk butternut yang dikenali sebagai Fajar (baka f1 1122), tembikai batu, tembikai wangi, betik dan butternut.   

Benih yang telah diperolehi di Kemaman.


Saya juga memesan benih bunga matahari bersaiz besar dan masih lagi dalam perjalanan.  Diharapkan akan terima dalam seminggu ini kerana inilah masa yang sesuai untuk menanam tanpa perlu menyiram setiap hari.  :)

Diharap kita akan dapat lebih pilihan benih dari tanamsendiri.com untuk kita cuba dan nikmati hasilnya.

Untuk bulan Oktober, benih kongsi ialah Nai You Pak Choy Extra Dwarf.  Sawi jenis ini mempunyai batang putih dengan saiz pokok yang kecil iaitu kira-kira 15 cm sahaja.  Sawi ini enak dimasak atau dimakan sebagai salad.
 

Selasa, 27 September 2011

Pokok Kemunting, Rose Myrtle

Pokok Kemunting sedang lebat berbuah.

Rupa-rupanya kemunting juga akan mula berbuah apabila hujan selepas musim kering.  Pokok yang saya tanam buat masa ini semuanya berbuah lebat, tapi belum sedia untuk dipetik.  Masalahnya apabila buah ranum, maka akan datanglah beberapa kawanan burung terutamanya merbah putih mengutip buah.  Buah ini juga menjadi kesukaan kanak-kanak kerana berinya kelat manis, terutamanya anak kecil saya.  Nampaknya bila pokok hampir ranum nanti saya akan letakkan netting supaya tidak dimakan burung.

Dulu pokok kemunting ada di mana-mana terutama di kawasan tanah beris.  Ia tumbuh melata di kawasan pesisiran pantai.  banyak tumbuh di kawasan sungai Ular, Cherating, Chendor, Chukai, Teluk Mengkuang dan sepanjang pantai di Terengganu, Pahang, johor dan Kelantan.  Sekarang dah kurang kerana pokok ini tumbuh liar.  kebanyakan kawasan dah dibangunkan.

Bila pulang ke kampung untuk cari induk pokok, saya dapati hanya di kawasan Bukit Takal aja yang masih banyak.  Kawasan lain pokok kemunting hanya tinggal sedikit sahaja.  Di sebelah pantai barat semenanjung amat kurang.  Kalau ada pun, di nurseri sahaja.  Mahal harganya.

Tuaian Hari Ini -- Kacang Botor

Kacang botor enak kalau dipetik muda.  Kacang botor sesuai dibuat ulam atau digoreng bersama bawang putih.

Nutrien Tumbuhan -- Bahagian 9 dari 20

Sebab Kekurangan Fosforus 
Fosforus sememerangnya jarang ditemui dalam tanah. Nutrien ini lazimnya ditemui dalam tanah yang mempunyai keasidan yang terhad iaitu pH 5.5 hingga 6.5 dan sukar diserap oleh tumbuhan.

Dalam tanah beralkali, fosforus sebati dengan unsur kalsium dan magnesium. Dalam tanah yang berasid pula (pH 6.0 ke bawah), unsur fosforus bergabung dengan aluminium atau besi. Jadi kalau ingin pastikan tumbuhan dapat serap fosforus, pastikan tanah hampir neutral. Kita akan bincangkan tentang keasidan tanah dan cara mengendalinya dalam posting yang akan datang.

Ketakseimbangan nutrien juga boleh menghalang tumbuhan dari menyerap fosforus. Misalnya jika telalu banyak zink dalam tanah, tumbuhan tidak dapat menyerap fosforus.

Sumber Fosforus 
Penanaman tumbuhan yang mempunyai akar yang menjelajah jauh ke dalam tanah dapat membantu pengambilan fosforus. Bagaimanapun sumber yang paling mudah ialah batu fosfat yang mengandungi 20 hingga 30% fosforus. Ia patut dilumatkan dan ditabur di atas tanah. Oleh kerana fosforus sukar mengalir ke serata kawasan di dalam tanah, elok kalau dapat digaulkan di dalam tanah. Ini kalau tumbukan kecil. Kalau anda tanam pokok besar, elok letakkan debu batu fosfat ke dalam lubang yang digali berdekatan dengan pokok. Tinja kelawar, tinja cacing tanah, dan tinja burung yang memakan bijirin juga kaya dengan fosforus. Sebab tulah kalau anda gunakan baja tinja kelawar anak pokok akan membesar dengan cepat. Sumber fosorus yang lain termasuk serbuk tulang, ikan bilis hancur dan air basuhan (detergen yang diperkaya dengan fosfat). Anda juga boleh gunakan baja kompos yang dibuat dari rumpai yang hancur.

Khamis, 22 September 2011

Kisah Surirumah Menanam Kobis

Ketika zaman kanak-kanak (tahun 70an, ya Millenia yang lalu) saya dibesarkan di kampung nelayan.  Tanah di kampung kami adalah tanah beris dan haiwan ternakan lebih banyak dari bilangan penduduk kampung yang ramai.  Saya adalah sebahagian dari komuniti yang taksub recycle.  Kami recycle to the next level.

Masalah kambing dan ayam, apa saja yang kami tanam itulah yang haiwan tersebut teringin.  Kalau tanam pokok beracun sekalipun,kalau kambing tahu kami yang tanam, kambing akan makan.  Lepas tu berbuih mulut, stoned.

Ayam pulak bukan setakan cambahan, benih pun dikais.  macam orang dulu-dulu kata, "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," kais batas yang ku semai sawi, perut kenyang,tembolok besar.

Tapi itu tidak mematahkan semangat surirumah untuk bertanam.  Lazimnya mereka akan bina para separas tingkap dapur dan akan tanam dalam bekas, biasanya tin susu bersaiz besar yang ditebuk di bahagian bawah.  Biasanya mereka tanam pokok kesum, pokok kari, pokok bawang, serai dan bermacam-macam herba.  Macam orang Perancis juga surirumah kampung saya ni.

Tapi kali ini ada yang istimewa, mereka dapat benih pokok kobis dari kedai sinsei.  Jadi berkongsi sedikit seorang dapatlah dalam 5 biji benih kobis yang halus dan mereka tanamlah dengan penuh teliti.

Ketika di perigi (ni pusat network surirumah zaman itu, mereka tak gosip gosip tapi berbincang nak improve keluarga) saya dengar perbualan mereka, tentang progress pokok tersebut dan pokok memang cepat besar. Tapi satu yang menghairankan mengapa pokok kobis kelihatan seperti pokok kailan?

Jadi mereka mulalah device cara untuk jadikan kobis, kobis.  Ada yang ikat bahagian pucuk dengan tali rafia, ada yang telengkupkan tempurung kelapa, ada yang bungkus pokok dalam plastik.

Perbincangan demi perbincangan, kobis di tanam, kailan pula yang menjadi.  Saya juga kehairanan pada ketika itu.  Kesimpulannya,kat kampung saya (Kampung Tuan, Cukai, Kemaman) jangan cuba-cuba tanam kobis,tak kan menjadi.

Sekarang baru saya tahu.  Kobis kailan dan sepupu sepepeh adalah dari keluarga yang sama iaitu Brassica.  Kobis tidak akan membentuk jantung kalau di tanam di kawasan rendah (lowland) apa lagi kampungku di muara sungai.  Kalau tanam juga,gunakan benih dari variety kawasan rendah (lowland), pun masih degil tak menjadi.  Tunggu 3 bulan baru menjadi sikit-sikit.

Tapi tak mengapa, daun kobis terbuka masih sedap dimasak, digoreng bersama mee.  Kami dapat juga menikmati kobis tersebut tapi bukanlah yang padat macam kobis di pasaraya.  Nasib baik surirumah di zaman itu tekal, kobis tak menjadi hanya masalah kecil dalam kehidupan yang serba kekurangan.  Lain hari tanam lobak pula.  Tapi mana nak dapat benih lobak di zaman itu.

Rabu, 21 September 2011

Masa yang Elok Untuk Menanam Semula

Dua bulan yang lalu, cuaca panas terik.  Hujan pun jarang-jarang aja.  Kalau menanam di atas tanah, cerewet juga sebab setiap hari kena pastikan pokok disiram.  Ini amat leceh kalau kita bekerja dan terpaksa keluar awal ke tempat kerja.  Bila melihat pokok kekeringan, kita sendiri pun akan ladi patah semangat.

Sekarang, cuaca dah mula berubah.  Setiap petang hujan turun dengan lebat.  Pada pendapat saya, inilah masa untuk mula memegang cangkul semula.  Kalau tanam di atas tanah, tidak perlu fikir tentang menyiram.  Cuma pastikan tanah mempunyai saliran yang baik, kecuali kalau ingin tanam kangkung. :)  Anak pokok juga perlukan perlindungan.  Saya pasangkan netting halus untuk lindungi anak pokok.

Masalah saya, ketika cuti raya saya tidak merumput kerana balik kampung.  Sekarang, bukan setakat rumput dan rumpai -- kawasan rumah saya dah bersemak macam belukar.  Cuaca pula dah cantik, hujan setiap hari.  Itu yang rumpai bertukar jadi semak.  Sebelum menanam kena bersihkan kawasan rumah dulu.  Macam mana nak mula ni....   Adoi....

Saya tidak akan meracun kerana rumput yang dipotong boleh dijadikan baja.  Mesin rumput pun tidak lagi sesuai digunakan kerana akar yang dalam akan menyebabkan rumpai tumbuh semula dengan cepat kerana air mencukupi.

Jadi, saya akan cuba dengan mencabut rumpai.  Untuk itu, saya perlukan sarung tangan yang tebal dan pencungkil.

Ahad, 18 September 2011

Resepi: Ayam Belanda Panggang, Roasted Turkey

Hujung minggu sebelum balik kampung untuk cuti beraya, isteri dan anak-anak ke Nilai untuk membeli pakaian beraya. Tinggal saya seorang di rumah diberi tugas menyediakan hidangan berbuka puasa. Ada 6 jam sebelum berbuka. Janji saya, semua yang dimasak (kecuali beras, rempah, garam dan gula) akan diambil dari halaman rumah.
Nasib baik saya ada bela ayam itik, kalau tidak semua makan sayurlah untuk berbuka. Ya saya ada bela beberapa ekor ayam gajah (ada panggil ayam gergasi), itik, ayam api dan ayam belanda. Setelah diteliti, hari ini ayam belanda akan masuk periuk.
Sembelih ayam belanda agak sukar terutamanya apabila sembelih seorang diri. Setelah berjaya diuruskan, saya terpaksa habiskan masa kira-kira 1 jam mencabut bulu dan membersihkan ayam belanda tersebut. Hasilnya cukup untuk makan 12 orang dewasa serta remaja yang kuat makan, dan akan ada baki untuk sanwic malam keesokan hari. Untuk malam ini, saya perlu masak ayam belanda, nasi untuk disumbat ke dalam ayam belanda ketika memanggang dan kuah atau gravy untuk disiram ke atas daging aya belanda ketika hidangan.
Hidangan minuman tidak dibincangkan dalam posting ini. Oleh kerana kuah memerlukan stok ayam belanda, saya akan memasak ayam belanda dua kali. Kali pertama untuk cepatkan proses memerap dan mendapatkan stok, kali kedua untuk memanggang.


Tentang Ayam Belanda (Turkey)
Kebiasaannya untuk daging harian, kita akan memaasak ayam. Namun begitu kadang-kadang ia diselang selikan dengan jenis poultry yang lain, misalnya itik, angsa, burung puyuh atau ayam belanda. Untuk keluarga kami, saya akan masak itik atau ayam belanda apabila memanggil semua anak-anak pulang untuk makan.
Khasiat ayam belanda adalah seakan-akan sama dengan ayam. Cuma ia lebih kaya dengan vitamin B12, niasin dan zink.
Kebiasaannya jarang orang masak ayam belanda. Saya memasaknya setahun sekali aja, atau mungkin dua kali. Lazimnya sekali dalam bulan puasa apabila semua anak-anak berkumpul dan di akhir tahun ketika musim perayaan. Bukan apa, hujung tahun hari hujan, tiada aktiviti lain. Masak ayam belanda perlukan masa yang panjang untuk persediaan.
Di negara kita, ayam belanda popular sebagai hidangan di hari natal. Waktu itu ayam belanda hidup yang matang mencecah RM300 seekor. Pet store yang jual ayam belanda sanggup beli hingga RM250 seekor untuk dijual semula. Pada hari-hari biasa dia beli hanya RM100 hingga RM150 seekor. Saya bela untuk makan sendiri sahaja. Lagipun cuma bela dalam 5 ekor dalam satu masa. Ruang tak cukup untuk bela banyak. Ayam belanda kuat makan. Lagipun, daging ayam belanda halal ada dijual di pasaraya. Seekor harganya dalam lingkungan RM100 hingga RM120 sahaja.
Kalau begitu mengapa beli ayam belanda hidup kalau yang telah disembelih diproses dan dibekukan lebih murah. Khabarnya, ayam belanda yang baru disembelih lebih enak. Mengapa hidangkan ayam belanda bila anak-anak semuanya pulang? Ayam belanda saiznya besar. Kalau ayam belanda yang saiznya 5kg (macam yang saya dah sembelih), ia cukup untuk hidangan 12 orang.

Panduan saiz dan jumlah hidangan adalah seperti berikut.
2 1/4 hingga 3 1/5 kilogram (5 - 7 lb) cukup untuk hidangan 6 hingga 9 orang dewasa.
3 3/5 hingga 4 kilogram (8 - 9 lb) cukup untuk hidangan 10 hingga 11 orang dewasa.
4 1/2 hingga 5 kilogram (10 - 11 lb) cukup untuk hidangan 12 hingga 14 orang dewasa.
5 2/5 hingga 6 kilogram (12 - 13 lb) cukup untuk hidangan 16 hingga 18 orang dewasa.
6 1/5 hingga 7 3/5 kg (14 - 17 lb) cukup untuk hidangan 20 hingga 24 orang dewasa.
8 hingga 9 kg cukup untuk hidangan 26 hingga 30 orang dewasa.

Jadi ayam belanda yang saya sembelih, dagingnya seberat 5 1/4 kg, cukup untuk hidangan 16 orang. Tapi kalau perhatikan gaya anak-anak remaja makan, 12 orang aja boleh habiskan semua ni....

Memerap

Untuk perap dan dapatkan stok ayam belanda anda perlukan pengisar dan periuk tekanan tinggi atau periuk biasa saiz yang besar.

Bahan Untuk Perap
5 batang serai tanam sendiri atau satu genggam tarragon tanam sendiri,
3 biji bawang besar dikupas dan dipotong kecil
2 labu bawang putih dikupas
1 sudu besar rampah kari
1 biji tomato dipotong
3 biji cili padi (atau cili wangi)
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula melaka
1/2 cawan air masak

Cara Menyediakan
1. Campurkan semua ramuan perap ke dalam pengisar.
2. Kisar semua ramuan sehingga lumat.
3. Sapukan separuh daripada ramuan pada kulit ayam belanda.
4. Simpan ramuan yang selebihnya di dalam peti sejuk.
5. Masukkan ayam belanda ke dalam periuk takanan tinggi.
6. Masukkan secawan air masak.
7. Tutup rapat dan panaskan menggunakan api sederhana. Teruskan memanas selama sepuluh minit selepas stim keluar.
8. Tutup api dan biarkan selama setengah jam. Asingkan air dalam periuk. Air ayam belanda akan digunakan sebagai stok.
9. Jika gunakan periuk biasa, tambahkan 2 cawan air dan panaskan selama 45 minit menggunakan api sederhana.

Apabila selesai, asingkan air ayam belanda dari isinya. Pastikan daging ayam belanda kering dan sedia untuk disumbat. Air ayam belanda akan digunakan sebagai ramuan kuah (gravy).



Ayam belanda disapu rempah sebelum dimasak dalam periuk tekanan.

Stuffing
Untuk sumbat ke dalam badan ayam belanda saya gunakan nasi. 

Bahan
1 cawan beras wangi
1 cawan beras siam red
1/4 cawan pulut hitam
1 cawan beras herbalponni
1 sudu besar mentega
1 sudu teh garam
5 cawan air

Cara Menyediakan
1. Campur beras wangi, siam red, pulut hitam dan herbal ponni guna nisbah 1 cawan: 1 cawan: 1/4 cawan: 1 cawan ke dalam periuk. 
2. Campurkan 5 cawan air dan panaskan.
3.  Apabila nasi hampir masak, masukkan 1 sudu mentega dan 1 sudu garam dan teruskan pemanasan.  Tujuan mentega dan garam dimasukkan adalah supaya nasi tidak melekit.
4.  Apabila nasi masak,masukkan ke dalam ruang dalam badan ayam belanda.


Nasi untuk di sumbat ke dalam ayam belanda.

Kuah (Gravy)
Selepas dapat air rebusan ayam belanda, bolehlah masak kuah (gravy).

Bahan untuk Kuah
2 sudu besar minyak masak
1 mangkuk air rebusan ayam belanda
3/4 cawan tepung gandum
1 cawan bawang kisar
1 cawan tomato kisar
1 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 cawan air



Cara Menyediakan
1.  Panaskan 2 sudu besar minyak masak, 
2.  Kemudian tambah satu mangkuk air rebusan ayam belanda. 
3.  Teruskan mengacau ramuan.   Kemudian tambah 1 cawan tepung gandum. Jangan berhenti kacau. 
4.  Bila campuran bewarna perang tua, tambahkan 1 cawan bawang kisar. 
5.  Kemudian tambahkan 1 cawan tomato kisar, 1 sudu besar garam, 1 sudu besar serbuk lada hitam dan 2 cawan air. 
6. Teruskan kacau hingga gravy pekat dan kecilkan api. 

Hidangkan bersama ayam belanda panggang.


Gravy atau kuah menggunakan stok dari ayam belanda.

Sumbatkan nasi ke dalam badan ayam belanda dan balut dengan kertas aluminium.

Ayam belanda dibaluk dalam kertas aluminium untuk mengelakkan dari renting ketika membakar memanggang).

Panggang ayam belanda.

Memangggang ayam belanda, tebuk bahagian bawah balutan beberapa kali menggunakan garfu untuk alirkan keluar lemak yang cair.

Ayam belanda sedia  untuk dihidangkan.


Ayam belanda panggang sedia untuk dipotong (carve) dan dihidangkan bersama kuah (gravy).

Hiris daging ayam belanda dan hidangkan.  Tuangkan kuah ke atas daging.  Nah lihatlah hasilnya.  Enak.


Hidangan pada ayam belanda.

Khamis, 15 September 2011

Nutrien Tumbuhan -- Bahagian 8 dari 20

Kesan Kekurangan Fosforus
Fosforus adalah unsur yang terdapat dalam sebatian yang digunakan untuk menyimpan dan menghasilkan tenaga iaitu ATP dan ADP. Bahan ini penting ketika proses fotosntesis, iaitu proses membuat makanan menggunakan air dan karbon dioksida dalam kehadiran sinar suria.

Tumbuhan juga gunakan fosforus dalam proses pembahagian sel. Jadi bahan ini amat diperlukan dalam anak pokok. Kalau kekuranngan fosforus, pertumbuhan pokok akan terbantut. Bahagian bawah daun akan kelihatan ungu atau biru. Jika pokok sedang berbuah, putik buah akan luruh jika pokok kekurangan fosforus.

Kalau tanah kekurangan fosforus, anda boleh gunakan baja kelawar (guano), baja cacing (worm cast) atau baja tinja ayam. Kepala bilis juga kaya dengan fosforus. Air basuhan juga kaya dengan fosforus kerana detergen memang diperkaya dengan bahan tersebut. Sebab itulah pokok yang tumbuh di kawasan yang terdapat air basuhan pakaian tumbuh dengan subur dengan saiz daun yang besar.

Selasa, 13 September 2011

Gambar Hari Ini -- Bunga Telang, Clitoria ternatea

Bunga Telang, Clitoria ternatea
Bunga telan amat popular di Pantai Timur.  Ia digunakan sebagai pewarna nasi kerabu dan beberapa jenis kuih.  Orang siam gunakan bunga telang untuk buat sirap biru.  Bunga telang adalah pokok nadir iaitu tidak ditanam secara komersial, jadi benihnya tiada dijual dikedai.  Ia hanya boleh didapati di blog ini. :)  Stok benih adalah terhad, jika ingin dapatkan, pesan sekarang.

Maklumat tentang pesanan benih bunga telang.

Gambar Hari Ini -- Bunga Pelican, Aristolochia grandiflora

Bunga Pelican (Aristolochia grandiflora) kelihatan seperti Rafflesia.  Ia mekar dengan bau yang kuat untuk memerangkap serangga.  Pikok ini memanjat dan mempunyai daun, tidak seperti Rafflesia yang hanya mempunyai bunga dan akar.  Pokok ini lazimnya sukar didebungakan kerana ia memerlukan jenis serangga yang khas untuk membantu pendebungaan.  Jadi, kebiasaannya pokok ini dibiakkan dengan menanam keratan batang.

Bunga Pelican, Aristolochia grandiflora


Bunga Pelican, Aristolochia grandiflora

Khasiat Delima, Pomegranate, Punica granatum

Di zaman dahulu delima dikaitkan dengan kesuburan. Wanita yang inginkan anak tetapi tidak dapat hamil memakan buahnya dengan harapan akan hamil. Setakat mana kesanannya saya tidak dapat sahkan. Perlukan lebih banyak rujukan. Dari bahan bacaan saya orang sekarang ada meminum bahan yang dibuat dari bijinya yang dicampur dengan arak untuk kesuburan.

Akar, kulit batang dan ranting mengandungi alkaloid yang mampu melumpuhkan cacing pita. Ekstrak dari pokok ini diikuti dengan minuman untuk kosongkan usus (purgative) mampu mengeluarkan cacing pita dari sistem pencernaan. Kulit batang pokok delima juga mampu mengubati ceret beret dan digunakan untuk mengubati disenteri. Pokok ini berasal dari Asia dan kini juga ditanam di kawasan subtropika.

Delima, Punica granatum

Isnin, 12 September 2011

Cara Buat Sabun Sendiri -- 6

Superfattening adalah teknik untuk menambah lemak kepada sabun supaya kurang trace and sabun mempunyai ciri melembab atau moisterising.  Ada dua cara boleh digunakan iaitu tambah sedikit minyak atau kurangkan sedikit alkali (lye).
Apabila saya katakan tambah sedikit minyak, maksudnya anda lebihkan sedikit minyak iaitu mengikut kiraan peratus dari sukatan.  Oleh kerana sabun telah melengkapi proses saponifikasi, sedikit lebihan minyak tidak akan memberi kesan terhadap proses tersebut dan ia mengekalkan ciri serta sifat sabun tersebut.  Lebihan minyak tersebut akan menambahkan ciri melembapkan (moisterising) dalam sabun.
Mengurangkan alkali bermaksud mengurangkan sedikit jumlah lye yang digunakan mengikut peratus sukatan dengan itu menyebabkan sebahagian dari minyak tidak dineutralkan melalui proses saponifikasi dan mengekalkan ciri melembapkan.

Tanam Sendiri -- Daun Sadri, Daun Sup, Flat-leaved Parsley, Italian Parsley

Daun sadri mempunyai daun seakan-akan daun celery mempunyai rasa rempah yang kuat dan manis. Daun sadri kaya dengan vitamin A dan C, karotina dan zat besi. Pokok ini sesuai ditanam di atas tanah atau di dalam pasu.
Elok juga kalau ditanam dalam pasu dan letak di tepi tingkap di dapur. Boleh dipetik dan terus d masak. Pokok ini memerlukan tanah yang kaya dengan bahan organik dan berudara. Kalau tanam dalam bekas pastikan kedalaman bekas melebihi 20 cm atau 8 inci.

Menyemai 
Benih daun sadri mengambil masa yang lama untuk bercambah iaitu antara 3 hingga 5 minggu. Untuk mencepatkan proses percambahan, rendam benih dalam air suam sebelum menyemai. Semai benih dalam lubang sedalam 6 mm (1/4 inci). Jarakkan benih 15 cm (6 inci) antara pokok. Semai di tempat panas atau di tempat teduh tetapi menerima cahaya pagi.

Menuai
Tuai daun yang besar di bahagian bawah pokok terlebih dahulu. Jika ingin tuai daun yang banyak sekaligus, kerat batang kira-kira 1 inci dari tanah. Tunas yang baru akan tumbuh.

Ahad, 11 September 2011

Cara Buat Sabun Sendiri -- 5

Trace atau Kesan.  Trace adalah istilah yang lazimnya digunakan untuk menjelaskan rupa sabun yang dihasilkan.  Ketika membuat sabun anda akan mengacau larutan sehinggalah ia menjadi likat dan akhirnya memjadi pepejal.  Corak hasil dari cara anda kacau larutan akan kelihatan dalam sabun yang dihasilkan.  Corak ini dipanggil trace.

Gambar Hari Ini -- Buah Labu Manis

Kami hanya menanam lima pokok labu kerana kekurangan ruang.  Pokok labu memerlukan banyak ruang.  Apabila pokok dah besar, kami kerat 4 pokok untuk dijadikan sayur.  Hanya satu pokok, iaitu pokok yang paling subur dibiarkan membesar.  Oleh kerana bunga betina mesti disenyawakan, kami lakukan pendebungaan secara manual untuk mempastikan bunga tersebut lekat kerana bilangan bunga adalah terhad.  Bahagian pucuk pokok dikerat supaya semua zat yang dihasilkan dihantar ke buah.  Pokok labu berbuah selepas 3 bulan disemai.
Selain dari buah, pucuk labu boleh dibuat sayur.  Sayur labu enak dimakan.  Buah labu pasti juga enak.  Saya suka makan sayur labu lemak kuning.  Ketika kanak-kanak dulu, emak suka buat kaya.  manis dan enak.  Akasyah pula suka labu manis yang direbus dan dicicah gula.  Apa-apa pun, labu manis memang enak.

Untuk dapatkan benih labu baka ini, klik di sini.

Akasyah dengan buah labu manis pertamanya.

Sabtu, 10 September 2011

Resepi -- Tabasco Sauce dan Salsa Picante

Sos tabasco adalah sos cili padi yang masam yang enak dijadikan perisa piza, spaghetti dan mee goreng.  Ia mudah dibuat.  Bahan asasnya ialah cili padi, cuka dan garam.  Anda perlukan juicer untuk buat sos ini.  Bahan sampingan dari proses membuat sos tabasco ialah hampas cili yang anda boleh buat sambal yang dikenali sebabi salsa picante.  Sambal ini enak dicicah cip yang dibuat dari jagung, misalnya nachos dan cip tortila. Saya cuba dengan kerepek ubi, enak juga makan-makan sambil menonton tv. Saya tidak gunakan cili padi kerana sos ini akan dimakan oleh anak-anak, jadi saya gantikan dengan kapsikum, iaitu cili besar yang manis.

Sos Tabasco

Bahan-bahan,

1 cawan cili kapsikum tanamsendiri (kalau ingin sos yang pedas boleh guna ciri merah atau cili padi),
1 sudu teh garam,
1 botol cuka.

Alatan
Juicer,
Botol minuman ringan dengan penutup kicap/cuka.


Bahan untuk dibuat sos tabasco.

Cara membuat
1. Masukkan cili ke dalam juicer dan dapatkan air cili.  Dari 1 cawan cili anda akan dapat 100 hingga 150 ml jus cili.
2. Tambahkan 1 sudu teh garam ke dalam jus cili.
3. Tambahkan cuka (seeloknya cuka beras) sihingga menjadi 500 ml.
4.  Kacau sehingga semua garam larut.
5. Tuangkan ke dalam botol dan tutup dengan penutup kicap atau cuka.
6. Labelkan dan simpan dalam peti sejuk.


Jus lada.

Hidangkan bersama piza, spaghetti atau mee goreng.

Sos tabasco sedia untuk dinikmati bersama pizza, spaghetti... Dengan mi goreng pun sedap.



Salsa Picante
Bahan-bahan,

1. Pati cili, baki dari ramuan sos tabasco,
2. Satu biji tomato tanamsendiri bersaiz besar dilumatkan,
3. Satu sudu besar gula,
4. 1/2 sudu teh garam,
5. 3 sudu teh sos tabasco.


Alatan
Pengisar (blender) atau alu dan lesung.

Tomato

 Cara membuat
1. Potong tomato dan buang biji.
2.  Campurkan tomato dan pati cili dan lumatkan.
3.  Tambahkan 1 sudu besar gula, 1/2 sudu garam dan 3 sudu sos tabasco.
4.  Kacau sehingga semua gula terlarut.

Sejukkan dan hidangkan bersama cip yang dibuat dari jagug atau ubi, misalnya Nachos, cip Tortilla atau kerepek ubi.




Salsa picante, enak dibuat sambal untuk cicah snek dari jagung, misalnya nachos dan tortilla chips.


Khamis, 8 September 2011

Seminggu Ditinggalkan Ketika Balik Kampung

Masalah bila menanam sendiri tetapi tidak tinggal di kampung ialah apabila tinggalkan rumah lama dari biasa, terutamanya ketika pulang ke kampung berhari raya.  Dahulu, ketika berjiran dengan jiran berketurunan cina, mudah.  Cuti raya saya cuma pesan pada jiran tersebut dan serahkan kunci.  Ketika di kampung, jiran tersebut akan datang dan tolong siram pokok serta beri makan pada kucing dan binatang kesayangan yang lain.  Sekarang, bila cuti raya, jiran terdekat semuanya juga pulang berhari raya.  Semua rumah yang terdekat sepi.
Jadi terpaksalah gunakan plan B.  Semua haiwan kesayangan (pet) iaitu sugar glider dan hedgehog dibawa ke kedai pet untuk dijaga.  Anggapkan pet pergi bercuti di hotel pet.  Kucing kena jaga rumah, diberikan makanan extra.
Ayam belanda, burung api, itik, semuanya bertembolok.  Bagi makanan extra pasti dihabiskan dalam satu hari.  Untuk pastikan ternakan tersebut tidak kebuluran, saya lepaskan dari reban supaya dapat meratah tanaman, dan diharapkan mereka akan pilih rumpai sahaja. Mungkin saya bermimpi, :)  Haiwan ternakan pasti akan pilih apa yang ada dalam pasu dan di atas batas.

Selepas seminggu kami kembali ke  rumah.  Inilah hasilnya.  Rumpai tumbuh dengan gembira hingga ke paras lutut.  Lihatlah patch rosemary kami.  Memang jelas, haiwan ternakan tidak menjamah rumpai dan rumpai mula berpesta.  Nampaknya hujung minggu nanti saya terpaksa bekerja keras menyelesaikan isu rumpai. 


Patch Rosemary penuh rumpai.

Buah-buahan juga berpesta tumbuh bebas.  Buah markisa ini berbuah di luar pagar, hanya 2 inci dari tanah.  Buah akan diikat ke pagar supaya kelihatan lebih menarik dan lebih bersih.

Buah Merkisa tumbuh di luar pagar.
Pokok bayam yang tidak disiram dengan teratur mula tergugat.  Untuk pastikan spesiesnya kekal dihalaman rumah, bayam mula berbunga dan menghasilkan benih.  Bila pokok bayam berbunga, daun yang dihasilkan kecil dan berserat, tidak lagi enak dimakan.

Sawi Merah berbunga (bolting).
Yang pasti, ayam belanda dan ternakan lain tidak kelaparan sepanjang ketiadaan kami.  Lihatlah patch bawang kami.  Gersang.  Tiada sedikitpun kesan bawang ditinggalkan.  Habis bekalan ramuan cucor bawang kami.  :)

Patch Bawang, kosong
Bukan itu sahaja.  Sawi, bak choy dan kobis cina juga menjadi santapan haiwan ternakan kami.  Keadaan pasu yang sebelum ini teratur dan penuh dengan sayuran yang subur kelihatan seperti ditinggalkan berkurun lamanya.  Pandai haiwan ternakan pilih makanan.Tak mengapa, nanti boleh semai semula.
 
Pasu Sawi, bertaburan
Bunga telang juga berebut ruang dengan lalang.  Namun ia tetap berbunga menawarkan salad bunga yang enak.

Bunga Telang
Bendi meninggalkan buah yang tua seperti torpedo sedia untuk membuat serangan.  Buah dah liat dan tidak lagi enak dimakan.  Mujurlah pokok tidak merajuk dan masih subur.  Masih juga menawarkan bunga yang mekar. Roselle pula merajuk kerana buah yang ditawarkan tidak dipetik.  Seluruh pokok menjadi tua dan mati.  InsyaAllah akan disemai lagi.


Bunga Bendi
Pokok remayung merah pula tumbuh subur dengan gembira.  Buah yang ranum menawarkan bekalan benih yang tidak putus-putus.

Pokok Remayung
Pokok kacang botor juga mula berbunga dengan lebat walaupun seminggu tidak disiram.  Mungkin dah matang dan boleh mencari air sendiri.  :)

Pokok Kacang Botor berbunga
Pokok buah, seperti delima, markisa, bidara, belimbing, seribu manis dan kemunting terus berbunga dan berbuah.  Alhamdulillah, syukur.

Buah Delima
xx
Buah Markisa
Pokok Pelican juga berbunga dengan lebat sepanjang ketiadaan kami.  Ia mengeluarkan bau busuk untuk memerangkap serangga.  Maklum sajalah tuan tak ada di rumah untuk membaja.  Terpaksa cari makanan sendiri.

Bunga Pelican, Aristolochia grandiflora
Daunnya juga mula perayap ke ruang terlarang.  Bahagian longkang juga diteroka.  Tiada peluang dilepaskan.
Pokok Pelican
Pokok cili wangi seperti merajuk kerana tidak mendapat air yang teratur.  Mutu pokok mula merosot.


Cili Wangi
Pokok bayam dalam pasu mati kekeringan.  Namun begitu ia bukannya berputus asa.  Benih disebarkan di seluruh ruang dalam bekas. 
Bayam Putih
Ketika kami pulang, benih bayam dan disemai sendiri oleh induknya tumbuh memenuhi ruang dalam bekas.  Beginilah tumbuhan apabila ditinggalkan sepanjang cuti raya.  :)  Ada banyak isu perlu diselesaikan supaya di waktu akan datang tiada pokok akan merajuk.

Anak bayam putih