Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Khamis, 25 Ogos 2011

Buah Seribu Manis

Buah Seribu Manis
Buah Seribu Manis menjadi kesukaan burung.  Apabila buah ranum petik dengan segera atau buah tersebut akan menjadi habuan burung.

Buah seribu manis, atau diterjemah secara terus dari Bahasa Inggeris beri ajaib (miracle berry), nama sains  Synsepalum dulcucum bukannya pemanis seperti gula.  Ia membuatkan makanan lain yang dimakan selepas memakan buah tersebut terasa manis.  Gigit dan biarkan buah berada di atas lidah selama beberapa minit.  Selepas itu jika anda memakan buah lain, misalnya limau nipis tidak lagi merasa masam tetapi sangat manis.
Makanan yang anda kecap semuanya akan terasa manis sehingga 6 jam selepas memakan buah  seribu manis.

Khamis, 18 Ogos 2011

Tuaian Hari Ini -- Anak Sawi, Salad dan Bayam

Anak sawi, salad dan bayam yang disemai dua minggu yang lalu dituai untuk dijadikan salad berbuka puasa.  Enak dimakan bersama kuah rojak buah.

Anak sawi, bayam, salad dan lain-lain sayur bukan sahaja enak dibuat salad atau ulam.  Campuran anak sayuran tersebut juga enak dijeruk bersama bawang putih. 

Tuaian Hari Ini -- Sawi untuk Sayur Kicap buat Berbuka Puasa

Ramuan utama sayur kicap.  enak, rapuh, segar.

Gambar Hari Ini -- Bunga Matahari, Sunflower

Bunga matahari, sunflower
Bunga matahari tunduk sehari selepas hujan lebat.

Rabu, 17 Ogos 2011

Gambar Hari Ini -- Bunga dan Putik Pemayung

Bunga dan putik remayung merah.  Buah remayung yang matang berwarna ungu.

Selasa, 16 Ogos 2011

Gambar Hari Ini -- Bunga Jantan Labu Manis

Bunga jantan menghasilkan debunga untuk disenyawakan pada bunga betina.  Bunga betina yang disenyawakan akan menjadi buah labu manis.

Gambar Hari Ini -- Bunga Betina Labu Manis

Bunga betina labu manis menghasilkan buah jika disenyawakan dengan debunga dari bunga jantan.

Bunga betina mudah dikenali.  Ia mempunyai buah saiz kecil pada pangkal bunga.
Bunga ini mesti disenyawakan (fertilise) melalui proses pendebungaan (pollination). Jadi, bunga jantan dan bunga betina mesti mekar pada masa yang sama.  Pendebungaan dilakukan oleh serangga. Untuk mempastikan pendebungaan berlaku, saya telah mendebungakan bunga betina secara manual. 

Isnin, 15 Ogos 2011

Tanam Sendiri -- Bayam Malabar, Remayung Merah, Basella rubra

Remayung merah boleh ditanam menggunakan keratan batang atau benih. Jika tanam dengan batang, ia akan tumbuh dan membesar dengan cepat jika dibandingkan jika ditanam dengan biji benih. Jika dibiarkan menjalar, remayung merah akan memanjat dengan melilit batangnya ke objek yang dipanjat.

Pokok remayung yang disemai dari benih.
Pokok remayung merah yang ditanam di atas tanah.  Di pangkalnya kelihatan pokok labu manis.

Putik buah remayung merah bewarna hijau.  Apabila matang ia akan berwarna ungu.

Ahad, 14 Ogos 2011

Nutrien Tumbuhan -- Bahagian 7 dari 20

...Fosforus, sambungan

Lazimnya hanya sedikit fosforus ditemui dalam bentuk larutan (ion) dalam tanah, iaitu 1 hingga 2 ppm iaitu bahagian dalam sejuta bahagian. Fosforus yang ada itu pasti akan diserap oleh tumbuhan dengan kadar yang segera. Jadi tumbuhan akan hanya dapat menyerap lebih fosforus jika terdapat fosforus baru meresap berdekatan dengan akar tumbuhan tersebut, atau pun akar terpaksa tumbuh menjalar lebih jauh untuk mendapatkan fosforus yang jauh dari tumbuhan tersebut.

Pastikan tumbuhan mendapat fosforus secukupnya terutamanyaketika tumbuhan masih muda. Tumbuhan liar biasanya mendapatkan bantuan organisma lain, iaitu kulat cendawan untuk mendapatkan fosforus kerana akar (yang disebut haifa) tumbuh jauh berselirat mampu mencapai fosforus yang dari tumbuhan induk. Sebagai upah, kulat atau cendawan tersebut mendapat makanan dari tumbuhan induk. Hubungan sehidup sebegini disebut simbiosis.

Lazimnya, akar tumbuhan merebak jauh dari tumbuhan untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi. Sekiranya menyemai tumbuhan baru di tempat yang sebelum ini telah mengandungi tumbuhan, elok bekalkan fosforus ke dalam tanah. Anda boleh gunakan baja, atau sekali sekala siram dengan air basuhan pakaian kerana sabun mengandungi fosfat, iaitu sebatian fosforus.

Bersambung...

Menyemai Benih Tetapi Tidak Tumbuh -- Bahagian 4 dari 6

Kaedah Menyimpan Biji Benih
Simpan biji benih di dalam bekas yang kedap udara dan kering di tempat yang sejuk jika ingin biji benih tahan lama. Kalau ingin simpan benih sehingga waktu menyemai berikutnya, memadai menyimpan dalam bekas yang kering pada suhu bilik. Jika ingin simpan biji benih lama, elok gunakan kaedah yang lebih baik.

Cara simpan biji benih yang paling elok adalah dalam pek aluminium sebagaimana dibekalkan oleh pembekal benih komersial. Sebaik sahaja pek dibuka, jangka hayat biji benih akan mula menurun sehingga anda tutup semula pek menggunakan pita pelekat (masking tape).
Biji benih tahan lebih lama jika disimpan dalam peti sejuk pada suhu 2 hingga 10 darjah Celsius. Jika disimpan dalam peti sejuk, pastikan bekas kedap udara untuk mengelakkan lembapan dari memasuki bekas melalui udara. Boleh letakkan jel silika untuk menyerap lembapan. Atau letakkan setengah cawan beras ke dalam bekas.

Bekas untuk menyimpan biji benih.  Beras digunakan untuk menyerap lembapan.


Cara terbaik untuk simpan biji benih ialah keringkan biji benih tersebut, simpan dalam bekas kedap udara bersama jel silika atau setengah cawan beras dan bekukan. Lebih sejuk tempat simpan, lebih lama jangka hayat biji benih. Pastikan biji benih benar-benar kering kerana jika masih mengandungi air, ia akan membeku dan membunuh biji benih tersebut.

Bersambung...

Sawi boleh dituai secara kerat dan tumbuh semula

Sawi Hong Kong ditanam dalam pasu.

Sawi yang ditanam dalam pasu sesuai dijadikan salad atau ulam.  Ia rangup dan enak.  Kalau dikerat dan ditinggalkan batang kira kira 3 cm, tunas baru akan tumbuh semula.

Batang sawi yang ditinggalkan dalam pasu dengan harapan pokok akan tumbuh semula.
Sawi hong kong selepas 2 hari dipotong menunjukkan tunas baru yang mula membesar.

Sawi bunga selepas 2 hari dipotong menunjukkan tunas baru yang mula membesar.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Gambar Hari Ini -- Bunga Pokok Ulat Bulu, Passiflora foetida

Bunga pokok ulat bulu, Passiflora foetida

Menyemai Benih Tetapi Tidak Tumbuh -- Bahagian 3 Dari 6

Menyimpan Biji Benih
Kebiasaannya, benih yang dibeli atau diperolehi adalah lebih dari benih yang diperlukan untuk sekali semaian. Lebihan benih perlu disimpan untuk semaian yang akan datang. Kalau membeli lebih dari satu jenis benih, maka lebih banyaklah jenis biji benih yang perlu disimpan. Untuk pastikan biji benih masih bernas iaitu mampu bercambah ketika semaian yang akan datang, biji benih perlu disimpan dengan cara yang betul.

Negara kita Malaysia mempunyai iklim khatulistiwa, iaitu panas dan lembap. Kedua-dua ciri ini amat elok untuk percambahan biji benih. Malangnya ciri-ciri ini juga menyingkatkan jangka hayat biji benih.

Mengapa demikian? Izinkan saya jelaskan.

Panas dan lembap mencepatkan proses metabolik, iaitu proses mengambil makanan dari simpanan dalam biji benih dan menukarkannya kepada tenaga supaya dapat digunakan oleh biji benih untuk bercambah. Proses ini juga kenali sebagai respirasi. Oleh kerana makanan simpanan dalam biji benih digunakan lama kelamaan simpanan tersebut tidak mencukupi untuk cambahan supaya dapat tumbuh dengan sihat dan sempurna.

Biji benih sedia menyerap lembapan dan udara untuk respirasi dari persekitaran. Jika anda simpan biji benih dalam bekas kedap udara, atau di dalam bekas yang kering, proses respirasi dapat dikurangkan dan jangka hayat biji benih dapat dikekalkan.

Begitu juga dengan suhu yang tinggi. Ia mampu meningkatkan kadar respirasi di dalam biji benih. Bagi setiap peningkatan suhu sebanyak 13 darjah Celsius, jangka hayat biji benih disingkatkan sebanyak separuh. Ini adalah untuk suhu yang melebihi 0 darjah Celsius dan terdapat lembapan. (Sumber rujukan: Organic Gardener's Handbook oleh Frank Tozer, Breen Man Publishing terbitan 2008.)

Jadi jika anda inginkan benih yang tahan lama, simpan di dalam tempat yang sejuk dan bebas dari lembapan. Pek benih yang disimpan dalam aluminium foil tahan sangat lama hinggalah pek tersebut dibuka.

Bersambung...

Gambar Hari Ini -- Kai Lan yang Disemai Dalam Pasu

Kai lan yang disemai dalam pasu.

Sekiranya anda tidak mempunyai ruang di halaman rumah, kai lan juga sesuai ditanam dalam pasu.

Jumaat, 12 Ogos 2011

Gambar Hari Ini -- Anak Salad Summer Green Selepas Hujan

Semaian Salad summer Green selepas hujan.
Sepatutunya benih yang baru disemai diletakkan di tempat yang tidak terdedah kepada hujan kerana cambahan yang masih lembut akan rosak jika terkena hujan lebat.  Cara terbaik adalah menutup tumbuhan dengan sungkup plastik (plastic mulch).  Semaian ini terdedah kepada hujan.  Nasib baik tidak rosak.

Khamis, 11 Ogos 2011

Buah Betik dan Roselle Tanamsendiri Jadi Hantaran

Seminggu sebelum ramadhan kami sekeluarga berkunjung ke rumah bakal menantu untuk tujuan merisik.  Satu dari dulang hantaran diisi dengan buah-buahan.  Terlintas untuk masukkan sekali buah betik sulong yang sedang ranum.  Petik terus ke dulang hantaran.  Roselle digunakan sebagai penyeri.

Beberaa hari kemudian ada terima maklum balas, bakal bsan bertanya di mana beli betik kerana rasanya manis.  Betik tanam sendiri organik, memang manis dan enak.  Berbaloi sebagai hantaran.

Merisik bakal menantu; betik dan roselle menjadi hantaran.

Betik sulong menjadi pengisi dulang hantaran.

Gambar Hari Ini -- Pelbagai Bunga Di Halaman Rumah


Rabu, 10 Ogos 2011

Cara Buat Sabun Sendiri -- 4

Nilai SAP adalah jumlah alkali yang diperlukan untuk meneutralkan asid lemak. SAP adalah singkatan saponification atau saponifikasi. Oleh kerana minyak mempunyai keasidan yang berbeza, setiap jenis minyak mempunyai nilai SAP yang tersendiri. Nilai SAP pula ada dua, iaitu untuk natrium hidroksida (untuk buat sabun pepejal) dan kalium hidroksida (untuk buat sabun cecair).
Misalnya, minyak kelapa mempunyai nilai SAP (natrium hidroksida) ialah 0.19. Untuk minyak sawit, nilai SAP ialah 0.14.

Cara pengiraannya begini.
Kalau anda gunakan 300g minyak sawit, anda perlukan (300 X 0.14)g natrium hidroksida.
Jadi, setiap 300g minyak sawit, anda perlukan 42g natrium hidroksida yang dilarutkan di dalam air suling.


Bersambung...

Tuaian Hari Ini -- Terung Panjang

Terung panjang

Terung panjang, enak dibuat ulam. Pokok terung hanya mampu tampung 2 biji bagi setiap ranting.  Pastikan ranting diikat pada pancang kayu untuk mengelakkan ranting patah.

Selasa, 9 Ogos 2011

Ahad, 7 Ogos 2011

Menyemai Benih Tetapi Tidak Tumbuh -- Bahagian 2 Dari 6

Benih amat sensitif dan mudah mati jika tidak disimpan dengan cara yang betul atau disalah kendali.  Ketika mengambil kursus cili fertigasi, fasilitator ada memesan jika merokok jangan pegang biji benih secara terus kerana bahan kimia yang terlekat pada tangan (nikotina dan sebagainya) mampu membunuh benih.  (Fasilator tersebut adalah seorang perokok) Jika merokok, basuh tangan dengan sabun sebelum memegang benih.

Setelah kembali dari kursus saya ada bertanya pada pengedar biji benih tentang perkara tersebut.  Dia juga mengesahkan tentang perkara tersebut.  Merokok boleh membunuh biji benih. ;P
Katanya lagi, begitu juga dengan wangi-wangian.  Jika tapak tangan terkena minyak wangi, basuh dengan sabun terlebih dahulu sebelum mengendali biji benih.

Kesimpulannya jika anda ingin mengendali biji benih, pastikan tapak tangan anda bebas dari bahan kimia.

Sabtu, 6 Ogos 2011

Menyemai Benih Tetapi Tidak Tumbuh -- Bahagian 1 Dari 6

Kadang kala menyemai benih pun macam aktitivi cuba jaya terutamanya kepada orang yang baru belajar menanam.  Kalau kena cara, semai pagi, petang dah bercambah.  Silap cara, anak pokok yang diharapkan tidak muncul-muncul.  Bila dikorek tanah, terjumpa benih yang disemai tetapi benih tersebut dah reput.

Cara menyemai sebenarnya tidaklah sukar.  Buat lubang yang cetek (tohor) dan masukkan benih.  Jadi mengapa ada orang menyemai tetapi benih tidak bercambah?  Dari pengalaman saya, jenis tanah yang digunakan memainkan peranan yang penting.  Orang baru lazimnya suka beli tanah di pasaraya.  Ada bebarapa jenis tanah (medium) yang dijual di sana.  Sebenarnya ada antara tanah yang dijual tidak mengandungi tanah langsung.  Mereka gunakan bahan organik yang telah dibakar, atau sabut yang digaul dengan bahan organik yang telah dibakar.  Bahan ini berbeza dari tanah biasa.  Ada medium yang sesuai untuk pokok yang dah besar, tetapi langsung tidak sesuai untuk menyemai benih.

Maksud saya, sifat medium ini berbeza.  Ada tanah atau medium yang masam (berasid), ada pula tanah masin (beralkali).  Kalau orang sains, mereka ukur sifat masam atau masin tanah menggunakan ukuran pH.  Saya cuba elakkan penggunaan takrif ini dalam posting awal tentang tanah dalam tanamsendiri.com kerana sasaran pembaca saya ialah penanam secara hobi.  Siapalah yang ada memiliki meter pH atau kit menguji tanah.  pH akan saya perkenalkan bila berbincang tentang tanah secara lebih mendalam dalam posting yang akan datang.

Jika ingin menyemai benih, elakkan menggunakan tanah hitam (abu hasil pembakaran bahan organik) atau tanah sabut yang digaul dengan bahan organik yang dibakar.  Memang benar tanah sebegini mampu menyimpan air dan kaya dengan bahan organik, tetapi tanah sebegini tidak sesuai untuk percambahan benih.  Kalau benih bercambah pun, cambahan tersebut akan reput kerana lembapan.

Jadi, untuk menyemai, elakkan menggunakan tanah yang dijual dengan nama "tanah hitam" atau yang menggunakan "teknologi kompos segera" (bakarlah tu...).

Tanah ini tidak sesuai untuk menyemai.

Kalau ingin beli tanah untuk menyemai, beli tanah campur.  Biasanya tanah ini mengandungi tanah bakar, tanah liat dan sedikit pasir.  Dari pengalaman saya, benih yang disemai dengan tanah campur cepat bercambah. Lagipun tanah ini dijual dengan harga yang murah.

Terdapat juga tanah khas untuk menyemai yang dijual secara komersial.  Lazimnya tanah tersebut kaya dengan bahan organik dan telah dicampur bahan kimia anti kulat untuk mempastikan benih yang disemai tidak rosak kerana diserang kulat.  




Tanah ini sesuai untuk menyemai benih.

Benih herba dill dalam peket kecil yang dijual di pasaraya yang dikatakan sukar bercambah tumbuh dalam masa 2 hari selepas disemai dalam tanah campur.

Saya juga pernah menggunakan tanah biasa yang dikorek di perkarangan rumah untuk menyemai.  Kalau bimbangkan benih rosak kerana dimakan kulat, cambahkan benih terlebih dahulu.  Biasanya benih kacang mudah berkulat kalau disemai dalam tanah biasa.  Dalam posting seterusnya, saya akan tunjukkan cara untuk cambahkan benih tanpa menggunakan tanah.

Jumaat, 5 Ogos 2011

Gambar Hari Ini -- Buah Roselle

Buah Roselle

Photo of the Day - Roselle Fruits, Hibiscus sabdariffa

Khamis, 4 Ogos 2011

Tanam Sendiri --Pudina

Daun pudina lebih cepat dapat dituai jika ditanam dengan keratan batang kalau dibandingkan dengan menanam dari benih.  Saya telah membeli dua genggam pudina dari Pasar Kajang.  Bahagian pangkal batang di potong dan batang tersebut dicucuk ke dalam tanah organik dalam bekas.
Hari pertama, daun mula layu.  Hari ke dua, daun mula menjadi hitam tetapi kelihatan tunas baru tumbuh.  60% dari batang yang dicucuk mula kering dan mati.  40% mula menunjukkan percambahan dan terus membesar melalui tunas yang baru.

Pudina enak dibuat ulam, teh dan sirap.  Saya gemar memakannya sebagai ulam bersama nasi.  Cicah sambal cili, amat enak.  Kalau dibuat sirap pun enak.  Minum bersama ais.  Kalau dibuat teh, melegakan.  :)

Tunas pudina mula keluar selepas 5 hari disemai.


Pudina selepas 2 minggu disemai.

Menyemai Salad

Selain dari semaian atas tanah, saya juga menyemai beberapa jenis salad dan sawi dengan padat di dalam beberapa buah pasu.  Saya gunakan tanah campur yang kaya dengan bahan organik.  Beberapa jenis sawi pendek dan salad digaulkan dan ditabur ke dalam pasu.  Kemudian saya taburkan tanah dengan rata setebal 2 cm untuk menutup tanah.  Kemudian air disiram.
Selepas tiga hari, kelihatan tumbuh dengan rapat.  Pokok dibiarkan membesar dengan rapat dan akan dituai kira-kira 14 hari selepas disemai. Pasu disiram 2 kali sehari untuk mempastikan pokok mendapat air secukupnya.  Jika anda tidak mempunyai masa untuk menyiram, gunakan pasu bersaiz besar yang dipenuhkan dengan tanah campur.  Pasu yang besar dapat menyimpan lebih banyak air berbanding dengan pasu kecil dan tidak perlu disiram dengan kerap.

Beberapa jenis sawi dan salad ditanam dengan rapat dalam pasu.

Pasu yang mengandungi campuran sawi selepas 2 minggu disemai.

Gambar Hari Ini -- Bunga Matahari

Bunga Matahari

Photo of the Day - Sunflower

Nutrien Tumbuhan -- Bahagian 6 dari 20

Fosforus
Nutrien ini lazimnya boleh didapati dalam tanah.  Namun begitu kadang-kadang ia tidak dapat diserap oleh tumbuhan kerana fosforus bergabung dengan besi dan aluminium untuk membentuk fosfat.  Fosfat tidak larut dalam air dan tidak dapat diserap oleh tumbuhan.
Kalau anda gunakan baja komersial yang mudah larut dalam air sekalipun, hanya 15 ke 20% fosforus sahaja diserap oleh tumbuhan.  Dari pembacaan yang saya buat, 90% dari fosforus yang ada dalam tanah tidak dicapai oleh tumbuhan, 9% sukar dan capai dan hanya 1% sahaja sedia dicapai oleh tumbuhan.
Agak sukar untuk menguruskan fosforus kerana ia sedia ada dalam tanah tetapi tidak dapat diserap oleh tumbuhan.  Jadi, kita bukannya perlu tambah fosforus ke dalam tanah kerana is sedia ada.  Kita perlu fikirkan bagaimana tumbuhan dapat menyerap fosforus yang sedia ada dalam tanah.
Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah, tanah yang anda gunakan untuk menanam mungkin kaya dengan fosforus tetapi pokok yang anda tanam mungkin masih menunjukkan tanda-tanda kekurang fosforus kerana ia gagal menyerap fosforus dari tanah.
  Fosforus dibebaskan ke dalam tanah daripada fosfat yang larut sedikit dalam air melalui proses luluhawa sebagai ion, iaitu sebatian yang mempunyai cas elektrik.  Apabila fosforus diserap oleh tumbuhan, ia akan dikitar semula oleh makhluk halus (mikroorganisma) dalam tanah dan bahan organik.  Hampir separuh dari fosforus yang sedia diserap oleh tumbuhan adalah berada dalam bahan organik.

Bersambung...

Rabu, 3 Ogos 2011

Menyemai Kai Lan

Pilih kawasan dengan tanah yang kaya dengan organik dan sentiasa lembap tetapi tidak menakung air.  Lembap maksudnya disiram setiap hari atau apabila perlu.  Seeloknya pilih kawasan yang mendapat cahaya suria di waktu pagi.
Bina batas supaya tanah digembur dan mengandungi udara.  Semai benih dalam lubang sedalam 2 cm.  Apabila semaian membesar, jarangkan kira-kira 10 cm antara pokok.  Saya sengaja tanam rapat kerana ingin tuai anak kailan ketika menjarang.  Anak kai lan enak dibuat salad.  InsyaAllah lagi dua minggu dapatlah menikmati anak kai lan ketika berbuka puasa.
Pokok selebinhnya akan dibiarkan membesar dan akan dituai menggunakan kaedah kerat dan tumbuh semula. 

Anak kai lan berumur satu minggu.

Anak kai lan berumur satu minggu.

Anak kai lan berumur 2 minggu.

Kailan hari ke 18.

Gambar Hari Ini -- Sawi Hong Kong

Sawi Hong Kong

Photo of the Day - Mustard

Selasa, 2 Ogos 2011

Menyemai Kangkung

Bila diperhatikan, sayur yang ditanam sekeliling rumah tidak cukup untuk menampung kegunaan di bulan puasa.Terfikir untuk semai lebih banyak sayur, tetapi kena hati-hati memilih.  Jenis sayur yang dipilih mestilah dari jenis yang cepat matang.  Apa lagi kalau tidak raja kepada segala sayuran -- kangkung.

Selepas tiga hari disemai, kelihatan anak-anak kangkung menonjol di atas batas.    InsyaAllah dapatlah makan kangkung ketika berbuka.  Banyak jenis masakan boleh dibuat dari sayur ini.

Cambahan kangkung selepas 3 hari disemai.

Gemburkan dulu tanah sebelum menyemai.  Kangkung cepat membesar kalau ditanam di atas tanah yang digemburkan.  Saya tanam kangkung di atas batas.  Semai biji benih ke dalam lubang sedalam 3 cm.  Jarangkan semaian kira-kira 15 hingga 20 cm antara pokok.  Saya semai 3 benih satu lubang.  Dua dari pokok akan dicabut muda untuk dibuat ulam kira-kira 2 minggu selepas disemai.

Pokok akan dituai secara kerat dan tumbuh semula selepas 3 minggu disemai.  Dalam bulan biasa, pokok dituai kira-kira 4 hingga 6 minggu selepas disemai.

Kangkung pada hari ke 10.

Kangkung pada hai ke 14.

Salad Cina Kerat Tumbuh Lagi

Ketika menuai salad cina, boleh cabut seluruh pokok.  Tetapi kalau buat begitu, kita hanya dapat makan sekali sahaja.  Saya lebih gemar hanya memotong daun yang ingin dimakan.  Namum begitu, kadangkala saiz pokok yang ditanam kecil.  Maklum sajalah tanam cara organik, pokok yang tumbuh tidak sebesar pokok yang ditanam menggunakan baja komersial.  Saya cuba dengan mengerat batang kira-kira 2 cm dari aras tanah.  Batang yang tinggal disiram seperti biasa.  Alhamdulillah, tunas baru tumbuh dan menghasilkan pokok yang baru.  Dapat nikmati hasilnya sekali lagi.

Salad cina yang tumbuh semula selepas induk dituai dengan mengerat batang.

Salad cina yang tumbuh lagi selepas 2 minggu dikerat.

Tuaian Hari Ini -- Betik dan Sayur

betik, daun moringa (kelor), kacang botol

Isnin, 1 Ogos 2011

Benih Untuk DiKongsi -- Kobis Cina Ong King, Sayur Putih, Baka F1, 202

Untuk bulan Ogos 2011, tanamsendiri akan berkongsi benih Kobis Cina Ong King, Sayur Putih, baka f1, 202.  Sayur ini mempunyai daun kerinting.  Selain dari dituai matang, sayur ini enak dituai ketika masih muda dan dimakan sebagai salad. Untuk dapatkan benih secara percuma, kirimkan nama dan alamat melalui emel ke iskandar.abdulrashid@gmail.com.