Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Sabtu, 30 April 2011

Gambar Hari Ini -- Temu Pauh, Mango Ginger, Curcuma amada

Sebenarnya saya tidak pernah tahu tentang pokok ini sehingga ke Pasar Kajang.  Rizom seperti halia tetapi mempunyai rasa dan bau seperti buah pauh yang hampir ranum.  Temu pauh yang diricik enak dimakan.  Rasanya seakan-akan rasa kerabu mangga.
Saya tidak dapat beli banyak rizom temu pauh kerana kuantiti yang jual hanya sedikit, "Orang kampung hantar..." kata makcik penjual sayur.

Baki rizom yang ada saya semai ke atas batas.  Alhamdulillah sebahagiannya tumbuh.  Nanti dapatlah nikmati temu pauh lagi bila pokok mula membiak...

Pokok Temu Pauh

Timbunan Kompos Panas

Ada yang persoalkan penggunaan kompos yang dibuat dari keratan rumpai.  Benih-benih rumpai akan tersebar, hujah mereka.  Pada pendapat saya, sayang kalau dibuang rumpai tersebut.  Semua itu adalah baja percuma pemberian alam.  Hutan yang subur, tiada yang membaja.  Nutrien diperolehi dari daun-daun yang reput yang terurai menjadi humus.  Daun-daun tersebut mengembalikan semula nutrien yang diambil oleh pokok ke dalam tanah.

Apabila dikomposkan bahan organik (keratan rumpai dan sisa dapur), bahan tersebut akan diuraikan oleh hidupan kecil (anai-anai, semut, lipan, cacing, ulat gonggok) dan hidupan seni (bakteria dan kulat).  Aktiviti ini akan membebaskan haba.  Haba ini akan menyebabkan bakteria biasa mati dan akan digantikan dengan bakteria termofil, iaitu bakteria yang tahan haba.

Lebih besar timbunan kompos, lebih banyak haba yang dihasilkan.  Haba ini cukup untuk membunuh sisa-sisa benih rumpai dalam timbunan kompos. Suhu yang tinggi dalam timbunan kompos amat ketara di waktu pagi dan selepas hujan apabila udara sangat lembap.  Wap bercampur asap kelihatan keluar dari timbunan.

Sekiranya anda ingin pastikan kandungan kompos benar-benar 'masak', tutup timbunan kompos dengan plastik bewarna hitam.  Plastik hitam akan menyerap hampir semua cahaya yang jatuh ke atasnya dan menukarkannya kepada haba.  Haba tersebut akan membunuh benih rumpai dengan kadar yang lebih cepat.

Idea haba dalam timbunan kompos ada dimanfaatkan oleh haiwan.  Burung kuang tidak mengeram telurnya.  Selepas bertelur ia akan timbun telur tersebut dalam daun reput.  Haba yang terhasil ketika penguraian daun mengeramkan telur burung kuang.  Apabila tiba masanya, anak-anak burung kuang akan keluar dari timbunan daun reput.

Himpunan kompos beruap di waktu pagi yang lembap.

Patch Baru 1m x 1m

Ada rakan pengunjung yang terfikir kami ada ruang yang besar untuk menanam sayur.  Sebenarnya ruang laman rumah kami sama aja dengan ruang laman orang lain.  Rumah di taman perumahan di Lembah Kelang... mana ada ruang menanam yang luas.  Yang nampak luas tu sebenarnya sebab kami menanam secara intensif.  Banyak sayur di tanam dalam dalam ruang yang kecil.
Ramai yang kurang senang dengan cara menanam begini, sebab nampak tidak terurus... "Banyak nyamuk", tohmah mereka.  Nyamuk membiak dalam air bertakung, bukan celah-celah tanaman sayur.  Bertanam secara intensif memang popular di UK.  Pihak bekuasa ada mengagihkan lot sementara untuk menanam.  Jadi dapatlah rakyat mereka keluarkan peluh menyangkul. 

Kami baru clear patch untuk tanam herba, kira-kira 1m X 1m.  Kami gunakan baja organik, iaitu kompos yang telah masak -- rumpai yang terurai sehingga menjadi serbuk perang kehitaman sebagai baja.  Saya berniat untuk tanam lemon balm.  Itu baru niat.  Pokok apa yang ingin disemai belum dipastikan lagi.  :)

Patch baru, sedia untuk tanam herba.


tanamsendiri.com

Tanamsendiri.blogspot.com kini boleh dicapai melalui tanamsendiri.com

Siri buku berkaitan menanam sendiri di halaman rumah (untuk hobbyist) juga sedang dalam cetakan.  Buku ini lain dari buku yang sedang berada dalam pasaran kerana maklumat yang diberikan diperolehi secara 'hands-on'dan benih dibekalkan bersama benih.  Saya berharap buku ini akan dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan yang minta berkebun walaupun ruang halaman rumah tidak luas.  Antara tajuk dalam siri ini ialah:

1. Jom Tanamsendiri Lobak Putih
2. Jom Tanamsendiri Kangkung
3. Jom Tanamsendiri Bendi
4. Jom Tanamsendiri Kailan

5. Jom Tanamsendiri Cili
6. Jom Tanamsendiri Terung
7. Jom Tanamsendiri Sawi 'Pak Choy'
8. Jom Tanamsendiri Bayam

9. Jom Tanamsendiri Salad
10. Jom Tanamsendiri Kacang Gelisa
11. Jom Tanamsendiri Kacang Panjang
12. Jom Tanamsendiri Kacang Mata Hitam

13. Jom Tanamsendiri Kacang Buncis
14. Jom Tanamsendiri Sawi Hong Kong
15. Jom Tanamsendiri Mentimun

Isnin, 25 April 2011

Tuaian Hari Ini -- Kacang Bendi

Bendi baka singa
Kacang bendi baka singa lebih panjang dan tetap lembut.  Walaupun pokok ditanam secara organik, tuaian tetap besar.  Kacang bendi baka ini juga lebih pucat jika dibandingkan dengan jenis yang dijual di pasar.  Apa-apa pun, bendi tetap enak di celur dan makan sebagai ulam atau dibuat kari.

Benih bendi baka ini ada dijual melalaui Tanamsendiri.

Tuaian Hari Ini -- Mentimun

Tuaian pertama kami.
Baka yang kami tanam menghasilkan tuaian yang jauh lebih besar dari baka biasa, walaupun ditanam secara organik. Isinya lebih manis kerana dipetik dan terus makan.  Mentimun ini berakhir menjadi sebahagian dari isi sanwic ayam, bersama sawi organik.
Apa yang pelajari dari buah pertama ini, pokok mentimun perlukan banyak air terutamanya ketika berbuah.  Pokok ini mati selepas satu hari yang panas tanpa disiram padahal hari sebelumnya hujan lebat.

Sabtu, 23 April 2011

Gambar Hari Ini -- Buah (beri) Kemunting

Kemunting tidak dikomersialkan.  Dulu adalah di jual di pasar di pekan-pekan kecil di pantai timur.  Sekarang kemunting tidak lagi tumbuh melata kerana tanah-tanah kosong dah naik bangunan.  Buah ni manis-manis kelat.  Rasanya unik dan ada potensi dibangunkan.  Jem, sos, serbuk, namakan aja.... Memang enak sebagai ramuan masakan, contohnya untuk stuffing ayam panggang. Mmmmm...

Beri kemunting sedang ranum.

Gambar Hari Ini -- Mentimun

Mentimun

Selasa, 19 April 2011

Bendi Baka Singa

Kacang bendiperlu dipetik muda kerana kacang yang tua bergentian dan tidak sesuai untuk dimakan.  Kebiasaannya saiz bendi yang masih lembut sepanjang 15 cm.  Bendi baka singa yang saya tanam mempunyai panjang 27 cm dan masih lembut dan enak.  Pokok ini ditanam menggunakan baja organik (kompos rumpai).  Kebiasaan buah atau sayur yang menggunakan kompos tidak mempunyai saiz yang besar tetapi lebih rangup dan enak.  Bayangkan kalau saya gunakan baja kimia, barangkali apakah saiz bendi tuaian saya....
Bendi baka Singa

Ahad, 17 April 2011

Ayam dan Burung Untuk Melawan Rumpai

Sekiranya menanam di keliling rumah, rumpai adalah masalah utama jika anda tidak menggunakan racun.  Ada pakar yang mengatakan hampir 20% kandungan tanah yang subur adalah benih rumpai.  Kalau ini benar, ayam, ayam belanda, angsa (goose), ayam api semangnya gemar memakan benih.  Mungkin dengan membela haiwan ini dapat mengurangkan jumlah benih rumpai dan dapat mengurangkan masalah rumpai.
Bagaimanapun ayam belanda dan angsa juga suka memakan daun, termasuk sayur.  Jika anda ingin bela ayam dan angsa lepas kawasan rumpai sahaja.  Jadi anda perlu pagar kawasan sayur.

Saya telah mencuba melepaskan 9 ekor anak ayam dan dua ekor anak  ayam api.  Walaupun buat masa ini kesannya tidak ketara, saya harap ia dapat membantu mengurangkan masalah rumpai.


Ayam api suka memakan benih.  Ia amat sesuai digunakan untuk melawan rumpai.

Tanam Sendiri -- Mentimun, Cucumis sativus

Mentimun atau timun batang adalah sayur buah yang popular di Malaysia.  Buah yang belum ranum dimakan mentah sebagai ulam.  ia adalah ulam yang mesti dihidangkan bersama nasi lemak ketika sarapan.  Selain dari ula, mentimun juga popular dijeruk atau dijadikan acar.  Mentimun yang ranum popular dimasak sebagai sup oleh kaum cina.
Sekiranya bertanam di atas tanah, geburkan tanah terlebih dahulu.  Anda boleh juga tanam dalam pasu yang besar menggunakan tanah yang dicampur sabut yang kaya dengan baja organik.

Membaja
Gunakan baja yang kaya dengan organik.  Gaulkan dengan tanah 1 atau 2 minggu sebelum menanam. 

Menyemai
Semai dalam lubang sedalam 3 cm dan jarakkan kira-kira 60 cm.  semai 2 biji dalam satu lubang.  Selepas dua minggu, buang anak pokok yang lebih kecil.

Menyiram
Pokok perlukan banyak air terutamanya ketika sedang berbunga dan berbuah. Bagaimanapun jangan siram sehingga air bertakung.  Untuk kekalkan lembapan tanah, tutup tanah dengan sungkup (lalang atau jerami padi).

Merumput 
Merumput secara manual.  Jangan gunakan racun rumpai.  Pertumbuhan pokok mentimun akan terbantut jika terkena racun rumpai.

Mencantas
Buang pucuk yang tumbuh di bahagian bawah pokok.  In akan mengelakkan pokok menjadi terlalu rimbun dan menambah lembapan dalam udara.  Udara yang lembap menjadi punca pokok dijangkiti kulat.

Memasang Pancang Kayu
Pokok mentimun adalah pokok memanjat.  Anda perlu gunakan kayu atau ranting untuk pokok mentimun memanjat. Anda juga boleh biarkan pokok mentimun merayap di atas tanah.  Apabila berbuah letakkan jerami atau habusk kayu di bawah buah untuk elakkan buah rosak kerana terkena tanah.

Pokok berumur 10 minggu yang ditanam antara pokok kacang bendi.

Haiwan Perosak
Haiwan perosak utama pokok mentimun ialah serangga pemakan daun, Aulacophora (Chrysomelid).  Serangga ini aktif di waktu pagi.  Lalat buah pula menjadi masalah apabila pokok mula berbuah.  Biarkan burung bermain di taman sekitar rumah kerana burung memakan serangga yang memakan daun.  Masalah lalat buah boleh diatasi dengan membungkus buah mentimun yang kecil dengan kertas suratkabar dan memasang perangkap lalat buah menggunakan cecair metil eugenol.  (Kertas umpan lalat buah ada dijual melalui blog http://www.tanamsendiri.com)

Bunga mentimun tumbuh di antara batang dan tangkai daun.


Menuai
Buah dapat dituai selepas 5 minggu menyemai.

Buah mentimun yang masih muda.

Rabu, 13 April 2011

Benih Untuk Dijual -- Salad Selada, Loose Leaf Summer Green, Baka F1 2288

Benih Salad (Selada) Summer Green
Salad Selada Loose Leaf Summer Green, baka F1, 2288.
Satu pek mengandungi 1/4 sudu teh.
5 pek dijual dengan harga RM10.00

Untuk pembelian benih, sila deposit ke mana-mana akaun berikut:
Iskandar ab Rashid
Affin 205470241951, atau
BSN Giro 1010929000080825, atau
Bank Islam 12092020181754

atau

Zaitun Ismail
CIMB
12750009113528

atau

Abdul Rahman bin Iskandar
Maybank
162441150114
Kemudian emel iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms 0172889364 dan nyatakan maklumat tentang bayaran, jenis benih serta nama dan alamat penerima benih.

Gambar Hari ini -- Bakawali Kembang

Gambar hari ini tiada kaitan dengan sayur atau buah-buahan.  Bunga bakawali dikatakan kembang mekar sekali sahaja ketika bulan terang.  Malam ini bulan sememangnya terang dan bunga bakawali di laman rumah mula kembang mekar dan mengeluarkan bau yang harum.  Malangnya mekar bakawali hanya sekejap, tidak sampai satu malam.  Jika terlepas pandang, hanya akan dapat melihat bakawali yang telah kecut dan tidak berbau.

Bunga bakawali kembang malam.

Ahad, 10 April 2011

Sayur Dan Baja

Sayur memerlukan lebih banyak baja jika dibandingkan dengan pokok bunga. Dengan terus membaja, anda kekalkan nutrien dalam tanah. Tanaman dalam tanah yang kaya dengan nutrien lebih subur dan sihat.

Ada dua cara untuk membaja tanah untuk tanaman sayur. Pertama adalah dengan menambah kompos atau tinja haiwan ternakan. Baja sebegini membaiki struktur tanah dan menambah nutrien. Cara kedua adalah dengan menggunakan baja kimia.  Baja kimia yang dimaksudkan adalah baja tak organik.

Baja kompos dan tinja haiwan ternakan adalah baja organik yang telah melalui proses penguraian atau pereputan. Jumlah yang digunakan adalah banyak kerana peratusan nutrien di dalamnya adalah kecil jika dibandingkan dengan baja kimia. Baja kompos dan tinja haiwan juga memecahkan tanah yang mampat dan menambah mutu struktur tanah. Tanah dapat mentimpan air dan udara. Faktor ini membantu akar tumbuhan untuk terus tumbuh dengan lebih jauh, membantu tumbuhan mendapatkan lebih air dan nutrien.

Tinja haiwan ternakan, misalnya tinja lembu dan kambing mengandungi bahan tumbuhan yang hampir terurai. Jika gunakan tinja yang disediakan sendiri, biarkan ia mereput terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan baja tersebut menyebabkan daun seperti terbakar kerana kandungan amonia di dalamnya.

Kompos adalah bahan dari tumbuhan yang mereput. Bahan tersebut diperolehi dari sisa dapur dan keratan rumpai. Lazimnya kompos kaya dengan makhluk halus yang dikenali sebagai mikroorganisma. Makhluk tersebut menguraikan tumbuhan mereput sehingga menjadi debu kehitaman. Ia kelihatan seperti serbuk kopi.

Keratan rumpai sesuai dijadikan kompos.


Jika anda buat kompos sendiri, anda dapat tahu jika ia sedia untuk digunakan. Kompos berbau tanah, tetapi bukannya bau busuk. Jika kompos yang anda bina berbau busuk, ini maksudnya kompos tersebut tidak mendapat udara yang mencukupi.

Anda juga boleh gunakan kompos cendawan, daun mereput atau sisa kopi dari kedai kopi. Kompos cendawan adalah sisa bahan untuk menanam cendawan.

Ada dua cara untuk membaja kompos atau tinja haiwan ternakan, iaitu gali dan masukkan ke dalam lubang atau taburkan di atas permukaan tanah. Kompos yang digunakan untuk menutup permukaan tanah, dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai mulch.

Jika anda masukkan kompos ke dalam tanah, biarkan ia mereput dan bercampur dengan tanah terlebih dahulu sebelum menanam. Bisanya makhluk dalam tanah akan memakan serta menguraikan bahan kompos tersebut.

Jika anda tutup permukaan tanah dengan kompos, biasanya ia akan ditarik masuk ke dalam tanah oleh cacing tanah.

Cara membuat kompos ada dibincangkan dalam posting terdahulu. Cara membuat kompos amat mudah. Anda juga boleh membeli tanah kompos dari nurseri atau pusat membeli belah.

Apa yang boleh ditambah ke dalam kompos?
1. Kulit buah, kulit sayur, serta buah-buah yang rosak dan tidak boleh dimakan.
2. Keratan rumpai, tetapi jangan terlalu tebal. Gaulkan dengan tanah.
3. Air tetapi jangan terlalu banyak kerana ini akan menghasilkan bau busuk.

Jangan tambah
1. Rumpai yang telah berbunga dan berbuah kerana benihnya akan tersebar.
2. Pokok yang diserang penyakit. Bakar bahagian pokok berpenyakit supaya penyakit tidak merebak.
3. Ranting atau dahan yang terlalu kasar kerana ia mengambil masa yang lama untuk mereput.
4. Daging, ikan atau sisa dapur yang telah dimasak kerana ini akan menyebabkan kehadiran lalat dan tikus.

Jumaat, 8 April 2011

Baja Serta Kegunaannya

Terdapat dua kategori baja utama, iaitu
1. Baja organik
2. Baja kimia

Baja Organik
Baja organik termasuk sisa/tinja haiwan dan sisa tumbuhan. Kedua-dua jenis baja ini mudah didapati di negara kita. Anda boleh membuat sendiri baja ini menggunakan sisa dapur.

Rumpai yang reput sesuai digunakan sebagai baja organik.  Ia juga mampu membaiki struktur tanah.


Baja organik amat berguna sebagai perapi tanah. Ia amat penting untuk memulihkan struktur tanah serta menambah mutu nutrien. Lazimnya jumlah nutrien dalam baja organik kurang dari nutrien dalam baja kimia, jadi kuantiti baja organik yang ditambah ke dalam tanah adalah besar berbanding dengan baja kimia.

Baja organik sisa/tinja haiwan yang lazim digunakan ialah tinja lembu, tinja kambing, tinja ayam, sisa ikan, serbuk udang dan serbuk darah/tulang.

Tinja ayam dijual dalam bentuk pelet.

Baja organik sisa tumbuhan pula termasuk keratan rumpai dan sisa pertanian termasuk jerami padi, kulit buah-buahan, sabut kelapa dan sabut tandan sawit. Lazimnya bahan ini dikomposkan terlebih dahulu untuk menguraikan bahagian nutrien yang kompleks.

Secara peribadi, saya gunakan sisa dapur dan keratan rumpai. Sisa dapur yang lazim digunakan ialah perut ikan yang dilumatkan (blend), kepala ikan bilis, serta kompos dari keratan rumpai. Ini untuk mengelakkan perbelanjaan tambahan ketika menanam sendiri. Satu dari faedah menanam sendiri ialah menjimatkan perbelanjaan dapur. Jika saya beli baja kimia, tujuan penjimatan tidak akan tercapai. Bagaimanapun saya tidak menentang penggunaan baja kimia kerana ia membantu menghasilkan tuaian yang besar dan cepat.

Baja Kimia
Terdapat empat jenis baja kimia, iaitu
1. Baja langsung(straight fertiliser),
2. Baja campuran,
3. Baja sebatian, dan
4. Baja foliar

Baja langsung adalah bahan kimia yang kaya dengan nutrien untuk tumbuhan. Lazimnya baja ini termasuk baja nitrogen, fosfat, kalium dan magnesium.


Baja campuran mengandungi dua atau lebih baja terus. Lazimnya nisbah campuran nutrien adalah bergantung kepada keperluan tumbuhan. Sifat nutrien dalam ramuan baja tidak berubah kerana kandungan nutrien tidak bertindak balas secara kimia. Masalah dengan baja campuran ialah saiz bintil baja adalah berbeza menyebabkan bintil yang lebih halus jatuh ke bahagian bawah bekas. Jadi kendalian baja adalah lebih rumit.

Baja sebatian adalah campuran baja yang telah dibintilkan (granulated) supaya baja yang mempunyai saiz berbeza tidak terasing sebagaimana dalam baja campuran. Baja sebatian lebih mudah dikendali kerana kandungan nutrien adalah lebih sekata. Lazimnya baja yang diimpot disebatikan secara kimia.

Baja foliar adalah baja yang boleh larut dalam air. Larutan baja disembur ke daun tumbuhan. Baja sebegini boleh juga ditambah ke tanah. Baja sebegini lazimnya lebih mahal dan dijual di nurseri dan pusat membeli belah untuk digunakan pada pokok bunga.

Rabu, 6 April 2011

Gambar Hari Ini -- Tomato

Tomato
Benih pkok ni dibeli dari booth Mardi ketika MAHA2010 dulu.  Baru sempat tuai 3 biji.  Rasa OK, maklumlah petik terus makan.  Buah rimbun hingga pokok tunduk ke tanah.  Perlu diikat pada kayu penyokong.

Jumaat, 1 April 2011

Benih Untuk DiKongsi -- Bayam Putih Daun Bulat

Untuk bulan ini (April 2011), Tanamsendiri ingin berkongsi benih bayam putih daun bulat.  Pada rakan yang minat menanam yang sudi menerima, boleh kirimkan nama dan alamat ke emel iskandar.abdulrashid@gmail.com atau respons pada posting ini.

Bayam sedia dituai 4 minggu selepas disemai.

Terdapat 100 benih yang dipek khas untuk dikongsi secara percuma. Jangan segan untuk dapatkan benih tersebut. 1 pek cukup untuk tanam satu batas sepanjang 3 meter, atau 3 bekas panjang.

Benih bayam