Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 30 Mac 2011

Tuaian Hari Ini -- Sayur Campur

Kailan, sawi hong kong (baby), kangkung, ubi keledek, cukup untuk dijadikan salad dan goreng.  Menyelerakan.

Isnin, 21 Mac 2011

Tuaian Hari Ini -- Bangun-bangun, Cuban Oregano

Bangun-bangun yang dikutip dari patch bersaiz 2m x 2m.  Pokok ini perlu dikerat selalu supaya merimbun. Daun bangun-bangun direbus untuk minuman, diamalkan oleh kaum etnik India untuk mengubat anak-anak yang sakit asma.  Daun ini enak kalau dibuat teh, kerana memberi menenangkan.  Elok diminum untuk mengurangkan stress dan sebelum tidur kalau menghadapi masalah susah tidur.  Pokok induk untuk patch ini telah saya beli dari penjaja di pintu masuk Pasar Kajang.

Daun bangun-bangun akan dikeringkan untuk dibuat teh.



Pokok setelah dikerat yang ditanam dalam patch 2m x 2m.

Sabtu, 12 Mac 2011

Makhluk Perosak -- Hama

Daun terung mula kerinting. Ini tanda daun mula diserang makhluk perosak.   

Pokok terung yang mula berbunga diserang makhluk perosak menyebabkan daun menjadi kerinting.

Setelah diperiksa daun yang kerinting didapati ia telah dijangkiti hama. Hama tersebut telah dibawa oleh semut yang menternak untuk mendapatkan cairan yang dihasilkan oleh hama tersebut, seperti manusia menternak lembu dan kambing untuk susu. Semut kadang-kadang dianggap rakan tanamsendiri kerana memakan ulat dan makhluk perosak yang lain. Namun begitu semut boleh menjadi musuh apabila ia menternak makhluk perosak seperti hama.



Semut menternak hama untuk mendapatkan cairan dari hama tersebut.

Jumaat, 11 Mac 2011

Tentang Menanam Salad

Salad ada berbagai jenis.  Asasnya, ada empat jenis salad utama.  Tiga jenis adalah yang membentuk jantung, atau kepala di bahagian tengah pokok.
1. Butterhead membentuk jantung yang bulat dan lembut dengan daun yang  berkedut.
2. Cos dan semicos membentuk jantung yang bujur dengan daun yang panjang dan rangup.
3. Crisphead mempunyai jantung yang bulat dengan daun yang rangup.
4. Loose leaf tidak membentuk jantung.  Jenis ini boleh ditanam untuk kerat dan tumbuh semula.

Salad mudah ditanam jika anda semai terus ke atas tanah.  Saya perhatikan, banyak saad mati selepas di alih jika mengalih di waktu pagi kerana salad yang baru dialih tidak tahan panas.  Jika perlu alih, lakukan di sebelah petang.  Jangan tanam sekali gus.  Tanam secara sedikit sedikit dalam suatu sela masa supaya anda dapat tuai daun salad secara berterusan.

Saya gemarkan salad cina kerana ia tahan penyakit.  Bagaimanapun salad cina yang mendapat terlalu banyak cahaya matahari bergetah dan pahit rasanya.  Salad ini adalah dari jenis loose leaf.  Ada buku yang syorkan salad dari variety Summer Green.  Jika rakan-rakan ingin cuba, bulan Mac ini saya edarkan benih salad cina secara percuma.  Benih salad Hawaii dan Loose leaf summergreen (Selada) juga ada dijual.

Salad cina adalah dari jenis loose leaf yang sesuai untuk kerat dan tumbuh semula.  Gambar menunjukkan salad berumur 1 bulan.


Salad Hawaii adalah dari jenis semi cos yang membentuk jantung bujur.  Gambar menunjukkan salad berumur 2 minggu.

Salad Hawaii berumur 4 minggu ditanam dalam pasu.

About Planting Lettuce
Basically there are four main types of lettuces. Three of the main types produce heart-shaped center.

1. Butterhead types produces soft round heart-shape with crikled leaves.
2. Cos and semicos contains a long conical head.
3. Crisphead consists of tight, crisp, dense head.
4. Loose leaf does not contain a heart. You may harvest the whole plant or cut the leaves using cut and comeback technique. 

It is easy to plant lettuce if you plant straight in the soil. If you need to transplant lettuce, do it in the evening to avoid scorching heat during the mid day. Do not plant the whole batch at one time. Plant batch by batch to ensure continuous lettuce supply.

I like Chinese Lettuce because it easily can withstand plant diseases. However, the plant produces bitter-tasting latex if planted in direct sunlight. Blanch the plant at least one week before harvesting by placing the plant away form direct sunlight.

Khamis, 10 Mac 2011

Benih Untuk Dijual -- Adakah benih boleh dicampur?

Adakah benih yang ingin dibeli boleh dicampur?

Ya boleh. Rakan-rakan hanya perlu sms (0172889364) atau emel benih yang dikehendaki, maklumat bayaran serta nama dan alamat penerima benih.

Benih tanamsendiri yang diperolehi dari tanaman kami sediri tidak ditreat dengan antifungal dan hanya sesuai jika ingi ditanam segera. Benih dipek secara manual di rumah, bukannya secara komersial. Setiap batch benih telah diuji dan akan tumbuh dengan kadar yang cepat jika disemai dengan cara yang betul. Sekiranya benih yang ditanam gagal bercambah setelah disemai dalam masa sebulan dari tarikh benih diterima, rakan-rakan boleh kembalikan lebihan benih untuk diganti dengan benih lain.

Tujuan saya jual benih yang dipek sendiri adalah untuk berkongsi benih serta mencari baka yang terbaik untuk tanam suka-suka di tepi rumah serta berkongsi idea. Oleh kerana saya membeli benih dalam kuantiti yang banyak, saya dapat berkongsi dengan rakan-rakan.  Dulu saya beli benih yang dipek kecil, malangnya benih tersebut susah tumbuh dan kalau tumbuh, kualiti kurang memuaskan. Mungkin kerana benih tersebut terdedah pada cuaca serta suhu yang tidak menentu ketika dipamerkan untuk dijual.  

Selain dari itu, saya sedang menulis satu siri buku yang khas ditujukan pada hobbyist untuk bertanam sendiri di tepi rumah atau dalam bekas.  Siri tersebut mengandungi mengandungi 15 judul, 1 judul 1 jenis sayur. Siri tersebut dijangka akan terbit pada bulan Jun 2011.

Benih yang ada,
baka tanamsendiri:
1. Kacang botol (terhad, cuma tinggal 50 pek)
2. Roselle (terhad, cuma tinggal 50 sahaja)
3. Bunga Telang
4. Salad Cina
5. Labu manis
6. Kangkung
7. Remayung merah (terhad, cuma ada 50 pek)
8. Kacang mata hitam baka renek (50 pek)


Baka Hibrida
1. Lobak putih/lobak kampung
2. Bendi Singa 979
3. Ketumbar (Slow bolting) 506
4. Sawi Hong Kong 007
5. Bayam Putih Daun Bulat 423
6. Sawi Pak Choi/bak choi
7. Kacang Buncis
8. Salad Hawaii 7799
9. Salad Loose Leaf Summer Green 2288
10. Kobis Cina 663
11. Kai Lan 55
12. Kai Lan (Edisi Khas) 117
13. Kacang Panjang Silver White 399

Akan datang
1. Terung panjang saiz besar
2. Tomato
3. Peria besar
4. Peria katak
5. Cili Bangi baka Taiwan
6. Mentimun
7. Labu air

Rabu, 9 Mac 2011

Tuaian Hari Ini -- Kangkung, Ipomoea aquatica

Kangkung yang dituai 4 minggu selepas disemai

Kangkung tanamsendiri secara organik, tanpa racun. Goreng sambal belacan, pecal, yong tau foo, celur cicah belacan... Macam-macam cara makan kangkung.

Selasa, 8 Mac 2011

Bak Choi Berumur 4 Minggu

Sayur bak choi atau pak choiadalah antara sayur kegemaran ramai.  Ia enak digoreng bersama kicap, di buat sayur air dengan lada hitam atau distim dan dimakan cicah sambal.  Saya suka yang digoreng kicap.

Sayur ini sesuai ditanam jika ingin mendidik anak-anak bertanam sayur kerana ia mudah ditanam dan cepat membesar.  Kalau menjadi, bak choi boleh dituai dalam masa 4 minggu.

Saya pastikan tanah yang digunakan kaya dengan bahan organik.  Jadi sebelum semai, saya gaulkan tanah dengan lalang separa reput.  Saya juga campurkan kepala ikan bilis lebihan memasak.  Tanah tersebut dibiarkan dahulu kira-kira tiga hari.  Ada buku mencadangkan dua minggu tetapi saya bukan jenis org yang penyabar.  Dua minggu terlalu lama.  :)

Benih direndam dalam air suam selama 4 jam untuk mencepatkan proses percambahan.  Benih yang timbul dibuang kerana benih tersebut telah menjadi antah (mati).  Kemudian saya keluarkan benih dari rendaman.  Untuk jarakkan semaian, saya gaulkan benih dengan tanah terlebih dahulu kemudian baru ditabur ke tanah dan ke dalam pasu.  Air disiram menggunakan spray untuk mempastikan benih tidak di bawa air.  Untuk semaian atas tanah, saya tutup tanah dengan plastik penutup hitam.  Ini untuk mengelakkan tanah dijadikan tempat kucing melepaskan hajat dan mengelakkan benih dikutip oleh burung merpati dan burung ciak.   Ia juga dapat melindungi benih dari hanyut dibawa air ketika hujan lebat.

Untuk pokok dalam pasu, saya tutup dengan papan.  Tujuannya untuk mengelakkan benih dibawa air ketika hujan lebat.  Benih akan tumbuh dalam masa 48 jam.

Selepas seminggu saya akan jarakkan cambahan dengan mencabut pokok yang terlalu rapat.  (Cambahan yang dicabut boleh dimasak seperti taugeh.  rasanya rangup dan enak.)  Cambahan dijarakkan kira-kira 3cm.  Benih disiram 2 kali sehari untuk mengelakkan tanah kering.

Selepas dua minggu, saya jarakkan pokok sehingga 30cm.  Ketika ini cambahan telah mempunyai 3 hingga 4 set daun.  Saya pilih pokok yang membesar dengan cepat sahaja.  Pokok yang bantut dicabut.  sekiranya saya ingin alih ke dalam pasu, inilah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.  Untuk tanaman dalam pasu, saya akan cabut dan tinggalkan satu atau dua cambahan sahaja.  Ketika ini saya akan baja pokok menggunakan air perut ikan.

Dalam minggu yang berikutnya saya akan merumput dan mempastikan tanah tidak terlalu kering.  biasanya saya akan siram sebelah pagi.  Sekiranya hari terlalu kering, saya akan siram dua kali sehari, sekali waktu pagi dan sekali waktu tengahari.  Ini untuk mengelakkan pokok dari tumbuh bunga.  sekiranya tumbuh bunga, daun tidak akan membesar.

Pokok sedia dituai pada minggu keempat.  Saya tidak tunggu pokok terlalu besar untuk mempastikan bak choi yang dituai kekal lembut dan rangup.  Saya pernah cuba pek benih yang dihadiahkan oleh mertua, benih dari Cameron Highland.  Mungkin benih tersebut dah lama atau terdedah tempat panas, benih tidak bercambah.  Bak Choi yang rakan-rakan lihat ini adalah baka Taiwan.     


Menanam sayur sendiri dapat mendidik anak-anak tentang nilai-nilai murni.


Bak Choi dalam pasu.  Boleh dibuat hiasan atas meja, cuma pastikan pokok mendapat cahaya matahari yang banyak.

Bak Choi/Pak Choi tumbuh subur atas tanah yang kaya dengan organik yang digemburkan. 

Tuaian Hari Ini -- Kai Lan, Chinese Kale

Kai Lan, Chinese Kale
Kai lan yang dituai hari ini berumur 6 minggu.  Untuk makan tengahari, kai lan goreng ikan masin.  Pasti enak.
Saya perhatikan saiz kai lan kali ini berbeza sebab saya sedang mencuba beberapa jenis baja dari hasil buangan dapur.  Sebenarnya saya tidak menentang penggunaan baja komersial atau baja kimia.  Cuma tujuan saya bertanam sendiri adalah untuk mencari cara yang paling efisien untuk kurangkan belanja menghasilkan sayur dan guna semula bahan buangan dapur untuk kurangkan pembaziran.

Jadi perut ikan, kepala ikan bilis, sayur rosak, daun kering bukan lagi sampah untuk saya.  Sekiranya menggunakan detergen yang biogradable, boleh juga digunakan air basuhan pakaian untuk siram pokok (tapi jangan terkena daun atau buah).  Ini kerana detergen mengandungi fosfat yang juga diperlukan oleh tumbuhan.

Saya perhatikan, apa-apa baja yang digunakan semuanya ok, tapi kalau tanah mampat (mungkin terpijak selepas digembur), tanaman akan bantut kerana tanah kurang udara.  Akar perlukan oksigen untuk respirasi.  Jangan lupa, tumbuhan juga benda hidup.  Ia juga bernafas (respirasi).
Kalau tanam dalam pasu dan guna tanah yang kaya dengan bahan organik, tanaman pertama tak perlu tambah baja.

Air juga perlu cukup.  Kalau dibiarkan kering beberapa hari kai lan akan mula berbunga (bolting) dan daun yang dihasilkan kecil.

Sekiranya rakan-rakan inginkan benih kai lan, boleh pesan dari kami.  Benih ayang ada adalah dari baka 55 yang dikatakan tumbuh dan membesar dengan cepat dan tahan penyakit.  5 pek cuma RM10.

Jumaat, 4 Mac 2011

Kai Lan Kerat Tumbuh Lagi

Lama juga dapat makan kai lan dari batch ni.  Petuanya, jangan cabut pokok.  Kerat pada batang kira-kira 8 cm dari tanah dan biarkan daun tumbuh semula.  Alhamdulillah kali ni serangan serangga perosak tidak banyak.  Rebusan daun tulsi yang diletak dalam botol terbuka berjaya menghalau banyak jenis serangga.

Untuk kekalkan kesuburan tanah, saya gaulkan tanah dengan daun lalang yang direputkan.  Tanah dengan campuran daun reput kaya dengan bahan organik dan mempastikan tanah mengandungi oksigen kerana tanah tidak mampat dengan kehadiran daun reput.

Ada rakan yang timbulkan isu bakteria dan kulat dalam tanah.  Pada pendapat saya, sekiranya kita bertanam untuk komersial seperti petani memanglah kita perlu risau tentang perkara itu semua sebab kita mesti hasilkan tuaian yang besar dan banyak.  Kalau tuaian bersaiz kecil, petani akan rugi kerana berbelanja besar untuk racun dan baja.  Untuk tanam di rumah, kita lebih pentingkan rasa dan khasiat dan kita tidak gunakan racun.  Mikroorganisma dalam tanah tidak semuanya jahat.  Ada yang baik.  Misalnya bakteria pengikat nitrogen membantu mengayakan tanah dengan baja nitrat.  Kulat membantu pereputan bahan organik dan membekalkan baja yang elok untuk tanaman.

Kale yang dalam gambar ini adalah yang tumbuh semula selepas dikerat.  Saya gunakan baka 55.

Kailan kerat dan tumbuh lagi.

Selasa, 1 Mac 2011

Resepi -- Minyak Cili Wangi/Cili Padi

Minyak cili wangi/padi -- Boleh dimasukkan ke dalam botol dan dihidangkan bersama mee goreng, spaghetti dan pizza.  Mmmmm.....

Bahan-bahan
3 cawan minyak zaitun
1 cawan cili wangi atau cili padi
4 ulas bawang putih dikupas dan dipotong separuh.
1 sudu madu
1 sudu rempah campuran (rempah daging)
1 sudu garam

Cara penyediaan
1. Gaulkan rempah dan garam ke dalam cili wangi.
2. Tuangkan 2 cawan minyak zaitun ke dalam kuali.
3. Panaskan minyak zaitun menggunakan api kuat.
4. Masukkan bawang putih dan goreng sehingga berbau wangi.
5. Masukkan cili wangi yang telah digaul dengan rempah.
6. Apabila cili wangi mula meletup, tutup kuali.
7. Kurangkan api sehingga separuh dan teruskan memasak selama 2 minit.
8. Buka tutup kuali dan tambahkan 1 cawan minyak zaitun.
9. Teruskan pemanasan selama 2 minit.
10. Tutup api dan tambahkan 1 sudu madu.  
11. Dengan berhati-hati kacau hingga madu rata.  Biarkan hingga sejuk.
12. Tuangkan minyak ke dalam botol.
13. Hidangkan bersama mee goreng, spaghetti atau pizza.




Gambar Hari Ini -- Cili Wangi

Cili wangi, kembali berbuah elok setelah lalat buah menghilang.