Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Isnin, 28 Februari 2011

Resepi -- Mustard Buat Sendiri

Mustard buat sendiri di rumah (homemade) -- boleh adjust kehangatannya.  Enak disapu ke hotdog dan burger.  Ada banyak jenis mustard yang bergantung pada asal usulnya.  kalau mustard cina, ramuan yang digunakan hanya serbuk sawi, biji sawi dan air.  Kalau mustard Rome, jus anggur yang tidak diperam ditambah, kalau mustard amerika (honey mustard), madu ditambah sebagai ramuan.  Kebanyakan mustard juga ditambah wine atau beer, kita akan gunakan cuka asli untuk menggantikan minuman beralkohol.   

Rasa biji sawi yang kuat adalah disebabkan bbahan aktif yang ada dalam biji sawi tersebut.  Ia bertindak balas pada suhu rendah.  Sebab itu, cuka dan jus buah yang digunakan disejukkan terlebih dahulu, untuk menurunkan suhu ketika mencampurkan semua ramuan.  Jika anda tidak mahukan mustard yang kuat, suamkan dahulu cuka dan jus anggur.  Untuk laraskan rasa mustard mengikut citarasa anda, tambah cuka yang anda gunakan sehingga rasa yang diinginkan diperolehi.  Resepi berikut adalah mengikut rasa yang saya gemari.  Ia kuat sedikit berbanding mustard yang dijual secara komersial.


Bahan-bahan
4 sudu besar biji sawi direndam biar lembut dan kembang sedikit kemudian dilumatkan (gunakan alu dan lesung)
2 sudu besar cuka beras, iaitu cuka asli (disejukkan dalam peti sejuk)
2 sudu besar jus anggur (disejukkan dalam peti sejuk)
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil garam

Cara Membuatnya
Campurkan semua ramuan sehingga sebati.  Jika inginkan mustard yang kurang pedas, gunakan cuka dan jus anggur yang disuamkan.  Tambahkan cuka jika rasa biji sawi terlalu kuat. 

Cara Menghidang
Masukkan ke dalam botol sos (jenis picit) dan hidangkan bersama hotdog, burger atau sanwic.

Benih Untuk DiKongsi -- Salad Cina

Untuk bulan Mac Tanamsendiri akan berkongsi 100 pek benih salad cina (Chinese lettuce) hasil kutipan benih tanam sendiri. 1 pek seorang sahaja.  Tawaran sehingga 31 Mac atau sehingga kehabisan stok.  Untuk pesan 5 pek, harganya ialah RM10.00.

Untuk pesan benih percuma, tinggalkan nama dan alamat melalui ulasan atau emel iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms nama dan alamat ke 0172889364.  

Walaupun pokok masih muda, daun salad cina boleh dipetik untuk dijadikan salad.  Biasanya selepas anda mula memetik daun, pokok akan membesar dengan lebih cepat.

Gambar Hari Ini -- tulsi, tulasī, atau Holy Basil (Ocimum tenuiflorum)


Tulsi, Tulasī, atau  Holy Basil (Ocimum tenuiflorum)
Pokok herba ini adalah dari jenis kemangin/selasih yang mempunyai bau (wangi) yang kuat. Daun tulsi dibancuh sebagai teh herba atau dijadikan perisa dalam masakan daging. Dari beberapa kajian, daun tulsi dikatakan boleh dibuat ubat untuk pesakit diabetes kerana keupayaannya untuk mengurangkan aras glukosa dalam darah.  Daun tulsi juga dikatakan dapat menurunkan aras kolesterol dalam darah.
Saya tanam pokok tulsi di antara pokok cili untuk menghalau serangga perosak.  Sejak kehadiran pokok tulsi, pokok cili tidak lagi diserang lalat buah.  Bagaimanapun whitefly masih tetap ada.

Sabtu, 26 Februari 2011

Tuaian Hari Ini -- Ubi Keledek, Ipomoea batatas

Rezeki tersepak -- Hari ini menggembur batas untuk menanam sayur yang baru.  Rupa-rupanya banyak ubi keledek menunggu.  Ini sahaja yang larat dikutip hari ini.  Besok sambung menyangkul dan mengutip ubi yang tak disangka-sangka membesar dalam batas.

Selasa, 22 Februari 2011

Gambar Hari Ini -- Lobak Putih, Sedia Untuk Dituai

Lobak putih, sedia untuk dituai.

Kawalan Makhluk Perosak, Cili Yang Lebih Sempurna

Dalam posting beberapa minggu yang lepas, saya telah berjanji untuk mencari ramuan yang sesuai untuk menarik minat lalat buah dan memerangkapnya ke dalam botol. Saya telah memasang beberapa perangkap menggunakan campuran dengan harapan dapat menangkap lalat buah yang menghantui buah cili, buah petola segi dan buah bidara di perkarangan rumah.  Malangnya tiada lalat buah di perangkap.  Namun begitu, tiada lalat buah menyerang buah cili dan buah lain.  Ada antara ramuan dalam perangkap lalat buah yang telah saya gunakan telah menakutkan lalat buah.  Ini juga berita gembira kerana hasil cili yang saya tanam kini sempurna tanpa kecacatan.  Sekarang saya perlu cari, ramuan mana yang menakutkan lalat buah.  Atau mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan tiada lagi lalat buah kelihatan di perkarangan rumah.

Cili yang Sempurna Tanpa Serangan Lalat Buah

Ahad, 20 Februari 2011

Gambar Hari Ini -- Pokok Kacang Gelisa

Pokok Kacang Gelisa berbunga lebat kalau subur.  Bunga biru lembut menghasilkan buah yang rangup.  Petik ketika muda kerana kacang yang tua keras dan bergentian.  Pokok ini memanjat dan memerlukan ruang yang banyak.  Pokok ini tidak sesuai di tanam dalam pasu.

Tuaian Hari Ini -- Kacang Gelisa, Daun Selon, Bayam Ungu, Daun Kangkung, dan Cili Muda

Hari ini teringin nak makan sayur dengan kuah rojak.  Gabungan sayur dan buah sayur di atas amat enak dimakan mentah bersama kuah rojak.

Sabtu, 19 Februari 2011

Gambar Hari Ini -- Anak Sawi Pak Choi

Sawi Pak Choi berumur 2 minggu.  Akan dituai ketika muda dan lembut dalam masa 2 minggu lagi.

Semaian Baru -- Kacang Panjang Renek Baka Mardi

Semaian Kacang Panjang Renek Baka Mardi.  Kacang panjang ini tidak memanjat dan berbentuk rimbun.  Ia sesuai ditanam dalam pasu yang besar.  Gambar menunjukkan semaian berumur 4 hari selepas bercambah.

Gambar selepas 8 minggu.  Perhatikan buah yang sedia untuk dipetik.

Semaian Baru -- Roselle Benih Sendiri

Hari ini semai 1 tray benih roselle dari stok benih sendiri.  InsyaAllah benih akan tumbuh dalam masa 2 hingga 4 hari.  Rakan-rakan buka boleh perolehi benih dari batch ini dengan memesan dari saya di iskandar.abdulrashid@gmail.com.  Cuma tinggal 100 pek sahaja lagi iaitu untuk 20 pesanan.  Satu pesanan bernilai RM10.  Jangan lambat memesan.

Hari 2, benih mula tumbuh. 

Hari 4

Benih roselle boleh diperolehi dari tanamsendiri.com melalui link ini.

Resepi -- Jeruk Cili Padi Tanam Sendiri

Untuk rakan-rakan yang tanam sendiri sayur sudah tentu sedia maklum, ketika pokok berbuah dengan banyak kita akan mendapat banyak lebihan makanan.  Kalau ingin dimakan semuanya pasti akan membosankan.  Hasil tuaian tersebut boleh dikongsi bersama kawan-kawan, namun begitu pasti juga akan ada lebihan.  Satu dari cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan mengawet hasil tuaian.  Ada berbagai cara untuk mengawet.  Cara yang paling mudah ialah dengan menjeruk.  Bahan yang palin popular untuk jeruk ialah cili padi.  Dengan menjeruk, anda dapat kurangkan rasa pedas cili dan ia enak dipakan bersama nasi, nasi goreng dan mee goreng.

Pastikan bekas simpan jeruk dibersihkan dan dilalukan dengan air panas untuk membunuh kuman dan hama supaya bahan awet tidak berkulat dan tahan lebih lama.

Bahan-bahan
1 labu (8 ulas) bawang tanam sendiri, dikupas, basuh dan dibelah dua.
10 biji bawang merah tanam sendiri, dikupas, basuh dan dibelah dua.
2 cawan cili padi dipotong dengan tangkai.
2 sudu besar garam
1 botol cuka asli
1 sudu besar gula

 

Ramuan tambahan dalam jeruk cili padi iaitu bawang putih dan bawang merah.

Cili padi, dituai bersama tangkai

Cara Menyediakan
Bilas bawang putih, bawang merah dan cili  dengan air panas. 
Masukkan bawang putih, bawang merah dan cili padi ke dalam bekas bertutup.
Masukkan satu sudu besar garam.  Masukkan air dan rendam selama 6 jam.  Tujuan merendam air garam ialah untuk mengeluarkan air dari bawang putih, bawang merah dan cili padi. 
Tuangkan air garam. 
Masukkan cuka asli sehingga 3/4 bekas.
Masukkan 1 sudu besar garam dan 1 sudu besar gula.
Tutup bekas dengan kemas dan goncangkan supaya semua cili padi berendam cuka.  
Apabila bahan-bahan menjadi pudar, ia sedia untuk dimakan.

Bahan-bahan sedia untuk dijeruk.

Jeruk cili padi, enak.

Rabu, 16 Februari 2011

Melawan Makhluk Perosak dan Rumpai -- Burung Ciak


Ni kira "wishful thinking" lah. Kalau kita dapat latih burung ciak, ayam, burung merpati, dan berbagai burung lagi yang singgah kat taman kita untuk makan ulat serta benih rumpai sahaja, alangkah eloknya.  Malangnya, selain dari ulat dan benih rumpai, burung ciak juga mengutip benih yang saya semai serta buah kemunting yang sedang ranum.  Apa-apapun burung ini tetap akan menjadi tamu saya kerana ia sememangnya mampu mengurangkan jumlah ulat dan lalat putih yang menyerang pokok sayur dan cili.
Untuk selamatkan benih semaian, saya akan semai dalam bekas terlebih dahulu dan simpan di tempat yang selamat.  Untuk beri kemunting, saya dah pesan kelambu pelindug.  extrme, tetapi harap akan membuahkan hasil.

Sabtu, 12 Februari 2011

Tuaian Hari Ini -- Ubi Keledek, Sweet potato, Ipomoea batatas

Ubi keledek, Ipomoea batatas, tanam sendiri tepi rumah.  Segar, manis, enak dan yang paling best, bebas racun kimia.

Tanam Sendiri -- Bayam Putih Daun Bulat, Amaranthus

Bayam mempunyai tekstur dan rasa seakan-akan spinach.  Ia adalah dari keluarga Amaranthus.  Terdapat beberapa jenis benih bayam yang terdapat di pasaran.  Benih yang saya semai adalah bayam hijau berdaun bulat.  Pada pek benih, bayam tersebut dinamakan bayam putih daun bulat.  Saya elakkan bayam daun merah kerana dari pengalaman saya, bayam merah mengambil masa yang lebih lama untuk matang.  Saya ingin tuai bayam ketika masih muda untuk menikmati teksturnya yang lembut.
Persediaan
Bayam sesuai ditanam dalam tanam yang kaya dengan organik serta berpasir sedikit.  Ia juga boleh ditanam dalam tanah gambut dengan syarat air tidak bertakung.  Bajak atau cangkul tanah supaya gembur untuk sediakan ruang udara yang mencukupi.  Anda boleh gunakan daun atau rumput yang dipotong yang telah reput.  Boleh juga gunakan pelet tinja ayam, kambing atau lembu.  Tabur dan biarkan mereput kira-kira 2 minggu.
Anda juga boleh tanam dalam pasu, seeloknya pasu panjang dan gantung pada bingkai jendela menggunakan besi yang dibuat khas untuk menggantung.  Gunakan tanah yang kaya dengan organik.  
Menyemai
Benih bayam sangat halus.  Gaulkan dengan pasir untuk jarakkan benih dan tabur ke atas batas atau ke dalam bekas.  Siram dengan berhati-hati.  Benih akan bercambah selepas 2 atau 3 hari.
Menjarang
Cabut  cambahan yang terlalu rapat dengan menjarakkan pokok antara 8 hingga 10 cm.
Menyiram
Bayam perlukan banyak air.  Di musim kering, siram 2 kali sehari.  Jika bekerja, anda boleh siram secara automatik menggunakan timer.
Merumput
Merumput untuk membuang rumpai jika perlu untuk mengelakkan persaingan air, baja dan cahaya.

Makhluk perosak
Ulat bulu amat gemarkan daun bayam.  Perhatikan tanda-tanda daun rosak.  Kutip ulat dan bunuh.

Bayam sedia untuk dituai.


Menuai
Bayam boleh dituai selepas 2 hingga 3 minggu disemai, iaitu apabila ia mencecah 20 hingga 25 cm tinggi.

Khamis, 10 Februari 2011

Tuaian Hari Ini -- Cili Muda

Cili dipetik awal untuk mengelakkan serangan lalat buah.  Cili dibuat jeruk.

Rabu, 9 Februari 2011

Selasa, 8 Februari 2011

Gambar Hari Ini -- Kacang Buncis

Suhu Tanah

Tahukah rakan-rakan di negara kita, suhu optima tanah untuk menanam sayur ialah 25 hingga 35 darjah celsius?  Tanah yang terdedah mempunyai suhu sehingga melebihi 45 darjah celsius.  Suhu dapat diturunkan ke tahap optima dengan menanm pokok penutup bumi atau tutup tanah terdedah dengan daun dan ranting reput (mulch).

Rabu, 2 Februari 2011

Kacang Bendi Kering

Hari ni jalan-jalan sambil memerhati produk pertanian yang menarik yang dijual di pasaraya.  Beberapa produk menarik perhatian saya.

1.  Putik kacang bendi saiz 3 cm yang telah dikeringkan diikat seperti gelang menggunakan benang kasar.  Putik dijual bersama resepi.  Jumlah keseluruhan kira-kira 150g (segenggam) dijual dalam kotak yang menarik dengan harga RM33.50.  Produk Tunisia.
2. Daun pokok anggur dijeruk dalam cuka dan garam.  Produk dijual dalam balang kaca bersaiz balang jem.  Produk dijual dengan harga RM25.00.
3.  Gherkin (mentimun muda) bersaiz 5 cm dijeruk dalam cuka dan garam dijual dalam balang bersaiz balang jem.  Putik mentimun saiz ini belum sempat diserang makhluk perosak.  Gherkin ditanam secara organik dan dijual dengan harga RM18.90.

Mahu tanam apa secara organik dan dijual sebagai makanan kesihatan?  Tepuk dada tanya selera.  :)

Selasa, 1 Februari 2011

Benih Untuk Dikongsi -- Lobak Putih

Tawaran berakhir pada 28 Februari atau sehingga kehabisan stok.  Kirim nama dan alamat melalui emel epada iskandar.abdulrashid@gmail.com.  Masih ada 100 pek lagi benih lobak putih untuk dikongsi secara percuma.



Lobak putih selepas 10 minggu disemai.