Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Ahad, 30 Januari 2011

Kursus Fertigasi Cili Kulai

Ahad 30 Januari 2011, saya menyertai kursus fertigasi cili kulai anjuran Kolej Komuniti Kuala Langat.  Kursus diadakan di Ladang Pewaris Bumi hijau di Sijangkang, Teluk Panglima Garang.  Kursus dikendalikan oleh Sdr Norhashim Kamisan.  Banyak juga yang boleh diperolehi dari kursus tersebut.  Mungkin lepas ni cuba-cuba fertigasi di belakang rumah pula.
 
Cili sedang lebat berbuah.
Kebun cili, 4000 polibag seekar.

Sdr Norhashim sedang menjelaskan cara menyediakan baja fertigasi.

Nah tengok sendiri saiz cili yang dihasilkan.

Untuk rakan-rakan yang ingin mencuba tanam cili kulai, kami ada menjual benih Cili Kulai King.  Kalau mahu tanam cara biasa pun boleh.  Susah nak dapat benih ni, jadi jangan lepaskan peluang. 

Gambar Hari Ini -- Kacang Bendi

Kacang Bendi, tidak putus berbuah.  Tanam bendi, hasilnya lumayan.

Sabtu, 29 Januari 2011

Gambar Hari Ini -- Bunga Keledek

Bunga keledek

Gambar Hari Ini -- Bunga Kacang Buncis, Pole Bean

Bunga Kacang Buncis, Pole Bean

Benih F1 dari Taiwan.

Perangkap Lalat Buah

Perangkap lalat buah boleh dibuat dari botol air mineral.  Anda cuma perlu tebuk lubang pada sisi botol dan tolak bahagian yang ditebuk ke arah dalam supaya berbentuk seperti bubu.  Lalat yang masuk ke dalam botol tidak dapat keluar.




Persoalannya, cecair apakah yang perlu digunakan untuk menarik lalat buah untuk memasuki botol tersebut.  Ada artikel yang menyatakan lalat buah jantan tertarik kepada cecair methyl eugenol.  Cecair ini adalah cecair esther yang beraroma yang diperolehi dari minyak dari tumbuhan herbal dan rempah, misalnya bunga cengkih, basil (kemangin, selasih).  Ada yang mencadangkan supaya gunakan jus limau nipis. 

Untuk percubaan saya akan gunakan empat jenis cecair.  Cecair pertama, jus limau nipis, cecair kedua, esther campuran bunga cengkih, esther campuran kemangin, esther campuran daun salam dan esther campuran kulit kayu manis.  Saya akan hebahkan campuran yang dapat memerangkap jumlah lalat buah paling banyak dalam posting tentang perangkap lalat buah yang berikutnya.

Dari hasil eksperimen tersebut, saya akan gunakan cecair yang paling banyak memerangkap lalat.

Jumaat, 28 Januari 2011

Resepi -- Jejemput Lobak Putih

Jejemput Lobak Putih, enak dimakan cicah sos cili

Bahan-bahan
10 ulas bawang merah dikupas dan dimayang
1/2 cawan ikan bilis ditumbuk sedikit dalam lesung batu (mortar)
3 biji lobak putih tanamsendiri (200 g) dihiris nipis
4 cawan tepung gandum
2 cawan air masak
4 sudu (tablespoon) gula
2 sudu teh garam

2 cawan minyak masak (sawit, untuk menggoreng)
Sos cili

Cara memasak
Gaulkan semua bahan sehingga sebati.
Masukkan minyak masak dan panaskan menggunakan api sederhana.
Cedok ramuan dengan sudu (tablespoon) dan masukkan ke dalam kuali.  Ulangi hingga terdapat 10 ketul.
Goreng lebih kurang 5 minit.
Balikkan dan goreng sehingga warna keemasan (dalam 3 minit).
Keluarkan jejemput dari kuali dan teruskan menggorang bahan sehingga ramuan habis digoreng.

Hidangkan bersama cili sos.  Hidangan adalah untuk 4 orang.







Gambar Hari Ini -- Terung




Terung ada berbagai bentuk dan warna.  Setiap jenis ada kelebihannya.  Walaupun mempunyai nama yang sama, buah terung adalah berbeza dari segi tekstur dan rasa. 

Gambar Hari Ini -- Bunga Kacang Gelisa, Kelisa, Botol, Botor

Kacang gelisa sedang rancak berbunga dan berbuah di laman rumah.  Puas hati tanam kacang ni.  Hasilnya lumayan.

Tuaian hari ini -- Daun Bangun-Bangun

Daun bangun-bangun, dikeringkan dan dibuat teh.  Enak dan mempunyai kesan penenang.  Lepas minum teh bangun-bangun pasti lena tidur.


Kupang Dalam Cuka Asli

Bahan-bahan
8 keping kupang saiz besar (green mussel)
4 ulas bawang putih
4 sudu (tablespoon) cuka asli
1/2 sudu teh garam
1/2 bawang besar tanamsendiri
4 helai kucai atau daun bawang tanamsendiri

Cara memasak
Bahan Utama
Basuh kupang, cairkan jika guna kupang beku.  Jangan diasingkan dari cangkerang.  Letakkan dalam pinggan yang tahan mikrogelombang.
Kupas, basuh, belah dua dan lumatkan bawang putih. 
Masukkan bawang putih ke dalam kupang.
Masukkan ke dalam ketuhar mikrogelombang dan panaskan kuasa penuh selama 2 minit.
Terbalikkan kupang, dan panaskan 2 minit lagi.
Hiaskan dengan daun kucai atau bawang.

Cuka Untuk Dicicah
Masukkan cuka ke dalam piring kecil.
Hiriskan bawang merah dan campur ke dalam cuka.

Hidangkan untuk 2 orang.  Kupang dicicah ke dalam cuka sebelum dimakan.


 

Selasa, 25 Januari 2011

Mati pokok terung di serang makhluk perosak anak dara cina, Dysdercus cingulatus

Pokok terung mulai layu setelah diserang parasit red cotton bug (anak dara cina, Dysdercus cingulatus).  Makhluk perosak ini menghisap cecair nutrien melalui batang pokok terung.  Dua pokok yang sedang berbuah telah mati.  Masa untuk "strike back."

Makhluk Perosak -- Whitefly

Whitefly menyerang daun cili padi.

Isnin, 24 Januari 2011

Makhluk Perosak -- Kesan serangan lalat buah

Cili yang rosak akibat serangan lalat buah.  Buah ini mengandungi ulat iaitu larva (anak) lalat buah.  Tiba masanya untuk pasang perangkap lalat buah.

Gambar Hari Ini

Pokok kacang buncis, umur 6 minggu dan mula mengeluarkan putik bunga.  Hubungi iskandar.abdulrashid@gmail.com jika ingin dapatkan benih.

Masalah Eczema

Eczema adalah apabila kulit gatal-gatal, pecah dan bersisik disebabkan oleh makanan, make-up atau cuaca.  ia biasanya kesan alahan (allergy).

Cuba teh cina (teh oolong) setiap hari.
Minum 3 cawan teh oolong.  Kajian menunjukkan meminum 3 cawan teh oolong setiap hari dapat mengurangkan kesan eczema.  Dipercayai polyphenol yang terdapat dalam teh oolong bertindak sebagai antioksida yang mampu mengurangkan kesan tindakan alahan.

Teh oolong dapat menghindari penyakit alahan pada kulit (eczema)

Apa Nak Buat Jika Terkena Cirit Birit

Cirit birit adalah penyakit biasa orang bandar apabila makan di kedai yang baru.  Kedai yang dah biasa singgah bukannya bersih tetapi badan dah lali dengan kuman di situ.  :)

Bila terkena ceret beret (diarrhea)

Minum (banyak) air mineral, air biasa, teh herbal, bubur nasi, atau air garam (1 jag air, 1 sudu teh garam dan 1 sudu (tablespoon) gula) untuk mengganti air, garam dan mineral yang hilang.

Makan pisang, nasi, roti, ubi keledek, telur rebus.

Elakkan jus sitrus (limau, limau nipis), salad, buah, kopi (minuman berkafeina), sehingga ceret beret hilang.

Peringatan:  Satu dari punca ceret-beret bagi anak-anak kecil ialah terlalu banyak meminum jus buah.

Ahad, 23 Januari 2011

Khasiat Jus Lobak Putih

Jus lobak putih mampu memulihkan rasa sendat, buang angin, dan mampu mengubat jangkitan pada hempedu.  Ia lazimnya dicampur dengan sedikit madu.  Tambahkan sedikit jus limau nipis untuk menambah kandungan vitamin C.  Ini dapat membantu badan menyerap kalsium dengan lebih mudah.  Ada kawan saya yang mengidap batu karang mengamalkan meminum jus lobak putih setiap hari.  Katanya selepas meminum jus tersebut badannya merasa lega dan sekarang masalah batu karang yang dihadapinya semakin berkurang. 

Saya kurang pasti samada jus lobak dapat mengubat sakit batu karang karana belum temui maklumat dari hasil kajian yang boleh dipercayai kesahannya.  Semua testimoni yang saya terbitkan dalam blog ini (khasiat) adalah hasil bacaan dari jurnal dan laporan kajian saintifik.  Jika khasiat yang dihebahkan tidak bersandarkan kajian yang sah, saya tidak terbitkan.

Mungkin ada kebenarannya jus lobak putih mampu mengubat penyakit batu karang kerana lobak putih kaya dengan kalsium.  Ada orang kata, kalau kena batu karang, mesti kurangkan memakan makanan yang kaya dengan kalsium. 

Sebenarnya nasihat ini tidak betul.  Ini kerana sekiranya terkena sakit batu karang, anda perlu makan makanan yang kaya dengan kalsium.  Ini kerana kalsium dalam makana akan bergabung dengan oxalate dalam sistem penghadaman menghasilkan kalsium oxalate.  Ia menghalang oxalate dari diserap.  oxalate adalah bahan yang bergabung dengan kalsium dalam ginjal dan membentuk kalsium oxalate (batu karang).  Jadi kalsium membentuk yang bergabung dengan oxalate dalam sistem penghadaman membantu menghalang pembentukan batu karang dalam buah pinggang. 

Jadi kalau dipegang dari fakta ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa jus lobak yang kaya dengan kalsium mampu menghalang batu karang dari terbentuk dalam ginjal.  Jadi, amalan yang dilakukan oleh kawan saya itu memang benar-benar dapat memabantu memulihkan dirinya dari penyakit batu karang. 


Jus lobak putih yang dicampur jus limau nipis

Khamis, 20 Januari 2011

Serangga Perosak -- Anak Dara Cina, Red Cotton Bug, Dysdercus cingulatus

Makhluk perosak, Anak Dara Cina (Red cotton bug, Dysdercus cingulatus) sedang mengawan.  

Haiwan Perosak -- Anak Dara Cina, Red Cotton Bug, Dysdercus cingulatus

Jangan terpedaya dengan kecantikan serangga ini.  Ia hidup dengan memakan cairan pokok dari keluarga kekacang, Hibiscus dan Ipomeoea.  Pokok yang menjadi hosnya akan terbantut dan tidak lagi menghasilkan tuaian yang bermutu.  Di Terengganu, serangga ini dikenali sebagai Anak Dara Cina. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Red Cotton Bug.  Nama sainsnya, Dysdercus cingulatus.

Rabu, 19 Januari 2011

Mana-mana Pun Jadi

Ada rakan yang berminat bertanam sendiri tapi tiada ruang.  Gambar-gambar ini diambil di perkarangan Kediaman Institusi Pendidikan, di Tanjung Lumpur, Kuantan.  Tanaman diusahakan oleh Sdr Syeikh, cc sekolah SABS. Rajin bertanam, rezeki murah.


Pokok Terung dari jenis bulat hijau.


Pokok yang sedang berbuah. 


Bangunan kediaman tersebut juga di kelilingi pokok betik yang lebat berbuah.

Keledek dari jenis daun yang dibuat sayur.


Pokok ubi kayu dari jenis pucuk yang boleh dibuat ulam.

Pokok pisang dengan buah yang lebat.



Gambar Hari Ini -- Biji Ketumbar

Biji Ketumbar, Coriandrum sativum

Haiwan Perosak -- Ulat Kekek, Larva Pleocoma fimbriata

Ulat kekek adalah larva kekabuh Pleocoma fimbriata .  Ulat ini tinggal di dalam tanah dan mampu membunuh tumbuhan dalam masa yang singkat.  Pokok kelapa dan pokok betik yang besar mampu dibunuh dalam masa yang singkat.  Ulat ini adalah mimpi ngeri petani.

Selasa, 18 Januari 2011

Petua Memasak -- Zat Besi

Zat besi diperlukan oleh badan untuk membina sel darah merah.  Sekiranya anda kehilangan darah, misalnya cedera dalam kemalangan, menghidap penyakit barah, wanita yang mengeluarkan darah haid yang banyak, bersalin, mengawal makan kerana diet yang keterlaluan, atau wanita yang aktif sukan, warga emas, anda perlu ambil lebih makanan dengan zat besi.

Makan banyak daging, daging ayam, telur terutama kuning telur, kacang pea, kurma, kismis, roti yang diperkaya dengan zat besi, buah limau kerana Vitamin C membantu badan menyerap lebih banyak zat besi, serta sayuran hijau.

Jika anda memasak makanan yang masam atau berasid, misalnya tomato, masak dalam periuk besi.  120ml sos tomato yang dimasak dalam periuk besi mengandungi 1.2mg zat besi manakala sos tomato yang dimasak dalam periuk biasa mengandungi 0.7mg zat besi.   

Seeloknya elakkan dari mengambil pil zat besi, kecuali diarahkan oleh doktor.  Pengambilan zat besi yang berlebihan adalah merbahaya pada badan.

Gambar Hari Ini -- Bunga Keledek

Bunga keledek kelihatan seperti bunga seri pagi tetapi kembang sepanjang hari.

Gambar Hari Ini -- Bunga Sweet Basil

Bunga Basil.  Cantik dan enak dimakan bersama sanwic.

Resepi -- Kari Daging Gula Perang

Kari Daging Gula Perang

Bahan-bahan (Hidangan untuk 2 orang)

200g daging dipotong berbentuk kiub
1 ketul gula batu (perang) sebesar bola golf, dilumatkan
1 sudu rempah daging
1 sudu teh garam
1 cawan air masak
2 sudu minyak zaitun

1 labu bawang putih tanamsendiri dihiris
1 pelepah daun kari tanamsendiri



Cara Memasak
Gaulkan rempah, garam dan daging.
Larutkan gula batu menggunakan secawan air.
Masukkan minyak zaitun ke dalam kuali dan panaskan menggunakan api sederhana.
Tambahkan bawang putih dan tumis sehingga berbau wangi. Pastikan bwang putih tidak terlalu garing.
Tuangkan daging ke dalam kuali dan kacau. Kuatkan api.
Apabila daging berubah warna menjadi pucat, tambahkan daun kari yang diasingkan dari pelepah. Kacau sehingga bau daun kari menjadi semerbak.
Tuangkan larutan gula dan kacau sehingga mendidih.
Kecilkan api dan teruskan memanas selama 5 minit.


Tutup api dan hidangkan segera bersama nasi.

Tanam Sendiri--Kucai, Chinese Chive, Alium tuberosum

Kucai tumbuhan dari keluarga bawang (Alium) yang banyak ditanam di Malaysia, Filipina dan negara asia tenggara yang lain hinggalah ke Cina, Jepun, india dan Mongolia.  Daunnya yang panjang dan pipih mempunyai rasa yang kuat seakan-akan rasa bawang putih.  ia digunakan sebagai perisa dan giasan pada masakan.
Walaupun benih ada banyak dijual di nurseri dan pasaraya, kucai lebih cepat kalau ditanam menggunakan rizom (bebawang) berbanding dengan benih.  Ia tumbuh merumpun dengan ketinggian 20 hingga 40cm.  Di negara Cina dan Jepun, orang menanamnya menggunakan biji benih.

Tanah
Kucai tumbuh segar dalam tanah gambut yang kaya dengan bahan organik.  Ada juga orang yang tanam kucai dalam tanah pasir bekas lombong bijih timah selepas tanah digaul dengan tinja ayam dan kapur.  Anda boleh tanam kucai dalam bekas.  ia sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai ruang tanah yang luas.

Semai
Semai bebawang kucai atas batas atau dalam bekas menggunakan tanah yang kaya dengan bahan organik.  Jarakkan 15cm (6 inci).

Siram
Siram tiap-tiap hari dalam masa seminggu selepas menyemai.  Selepas seminggu, siram 2 hari sekali.

Merumput
Buang rumpai yang tumbuh sekeliling pokok kucai untuk elakkan persaingan baja.

Penyakit
Pokok ini jarang diserang penyakit.  Ini mungkin kerana rasanya yang kuat, seakan-akan bawang putih.

Tuai
Kucai boleh dituai selepas 12 minggu ditanam.  Jangan cabut pokok.  Potong bahagian daun sahaja dan biarkan kucai tumbuh semula.

Isnin, 17 Januari 2011

Ada yang bertanya, apakah khasiat kacang bendi?

Sedang bertanya, belek-belek, mencari jawapan untuk dikongsi.  Kebanyakan laman web atau blog tempatan mengaitkannya dengan kecantikan, mungkin kerana kacang ini berlendir.  Malangnya khasiat yang dinyatakan tidak bersandarkan kajian.  Terpaksalah belek buku.  Khabarnya, dari 100 bahagian buah kacang bendi (Hibiscus esculentus) yang boleh dimakan mengandungi:

31.0 kCal tenaga, 90.5g air, 1.7g protein, 0.1g lemak, 5.9g karbohidrat, 1.0g serat, 0.8g abu, 77.0mg kalsium, 32.0mg Fosforus, 1.3mg zat besi, 30.0mg natrium, 80.0mg kalium, 200.0 mikrogram beta-karetena, 0.1mg vitamin B1, 0.2mg Vitamin B2, 0.7mg niasin, dan 19.3 mg.




Kacang bendi adalah sumber folate dan serat.  Ia juga mengandungi vitamn C, B6, thiamin, magnesium dan kalium.  Kacang bendi adalah sayur yang rendah lemak dan kalori.  Sayur ini digunakan untuk memekatkan lauk terutamanya kari.

Ada orang kurang menggemari kacang bendi kerana ia berlendir.  Sebenarnya kalau kena cara memasak, kacang bendi amat enak.  Lagipun ia amat berkhasiat.

Satu hidangan kacang bendi (1/2 cawan) mengandungi 30% dari khasiat pemakanan yang disyorkan oleh RDA.  Ia adalah sumber antioksidan, vitamin A, C dan kalium, iaitu elektrolit yang diperlukan untuk imbangan cecair badan dan mengirim utusan melalui saraf, pergerakan otot dan metabolisma.  Tak hairanlah ada tapak web yang mengaitkan kacang bendi dengan kesihatan otak.  :)

Sebenarkan cecair berlendir dalam kacang bendi bukannya suatu yang tidak elok.  Cecair tersebut mengandungi pektin dan serat yang larut dalam air.  Pektin membantu mengurangkan kolesterol dalam darah dengan mengganggumenyerapan cecair hempedu dalam usus dan memaksa hati menggunakan lebih banyak kolesterol untuk membina hempedu.

Jumlah serat yang banyak membantu aliran penghadaman dengan mengelakkan ceret beret dan sembelit.  Ah, ketika memasak jangan dipotong kacang bendi untuk mengelakkan kehilangan cecair.  kalau boleh masak kacang bendi dengan bahan berasid, misalnya buah tomato untuk mengurangkan lendir.

Jadi benarlah apa yang diwarwarkan dalam web yang saya baca, kacang bendi kekalkan keremajaan (antioksidan), baik untuk kulit, mengelakkan selesema (vitamin C), baik untuk otot dan otak, melawaskan penghadaman, serta mengurangkan kolesterol.  Apa ditunggu lagi...

Saya sendiri suka celur kacang bendi dan cicah sambal cili ketika makan nasi.

Tuaian Hari Ini -- Kacang Botor, Botol, Kelisa, Gelisa

Kacang Botor enak jika dimakan ketika muda (sekitar 10cm (4 inci)).  Saya gemar memakannya dengan mencicah kuah rojak yang dijual di kedai runcit.

Jumaat, 14 Januari 2011

Tanam Sendiri--Cili, Capsicum annum

Semua jenis cili, lada, cabai adalah dari keluarga kapsikum.  Cili ada berbagai saiz.  Misalnya, cili capsicum bersaiz besar berbentuk loceng manakala cili kulai bersaiz besar dan lonjong.  Cili padi pula bersaiz kecil juga berbenuk lonjong.

Menyemai
Cili amat sesuai di tanam di negara kita kerana ia memerlukan iklum yang panas dan lembap.  Gunakan tanah yang yang kaya dengan organik.  Semai benih dalam bekas semaian.  Apabila saiz pokok tumbuh setinggi 4cm (1 1/2 inci) cabut pokok yang rapat, asingkan dalam bekas atau pasu kecil bersaiz 6 hingga 9 cm (3 hingga 3 1/2 inci).  Apabila pokok semakin membesar, kira-kira 8 hingga 10 cm (3 1/2 hingga 4 inci) alih ke dalam pasu yang lebih besar iaitu 21 hingga 23 cm (8 hingga 9 inci).



Mengalih
Sekali sekala alih pasu ke tempat panas untuk kuatkan pokok muda.  Apabila batang pokok cili kelihatan kukuh, alih ke atas batas.  Jarakkan pokok kira-kira 50 cm (20 inci).  Anda juga boleh tanam cili dalam pasu yang besar. 

Penjagaan
Siram selalu.  Untuk elakkan tanah menjadi terlalu kering, tutp tanah dengan rumput separa reput.  Pasang pancang kayu untuk pastikan pokok tidak patah atau tumbang.


Pokok cili padi yang menghasilkan buah yang banyak.

Menuai
Untuk pastikan pokok berbuah dengan banyak, petik cili ketika masih muda dan bewarna hijau.  Jika inginkan cili yang lebih pedas dan manis, tunggu buah merah sebelum dipetik.

Masalah
Daun cili manis sedikit.  ia amat digemari makluk perosak.  Bena (aphid), ulat bulu, lalat buah dan whitefly sering menyerang pokok cili.  Kutip makhluk perosak apabila anda menemuinya.  Pastikan anda pakai sarung tangan.

Khamis, 13 Januari 2011

Khasiat Terung, Solanum melongena

Dari 100g bahagian yang boleh dimakan, buah terung mengandungi

32 kCal tenaga
91.2g air
1.7g protein
0.1g lemak
1.0g serat
5.6g karbohidrat
15mg kalsium
20.0mg fosforus
90 mikrogram beta-karoteina
18.4mg Vitamin C

Isnin, 10 Januari 2011

Tanam Sendiri--Terung, Solanum melongena

Terung, sayur buah yang popular dalam masyarakat kita.  Buahnya enak dimakan muda bewarna putih, ungu tua atau hitam dengan bentuk panjang, bujur atau bulat telur.  Terung adalah dari keluarga yang sama dengan kentang iaitu keluarga Solanum.  Pokok terung perlukan banyak cahaya dan sesuai ditanam dalam bekas.  Bagi rakan-rakan yang tiada ruang atas tanah, terung sesuai ditanam di dalam pasu yang besar.

Buah terung yang dipetik muda enak dimakan. 

Tempat
Terung perlukan banyak cahaya dengan tanah yang subur.  Ia sesuai ditanam dalam tanah yang kaya dengan organik. pH 5.5 hingga 6.5.

Cara Menyemai Benih
Rendamkan benih dalam air suam sehari sebelum menyemai untuk menpercepatkan percambahan iaitu bermalam.  Tanam dalam dulang semaian atau bekas kecil menggunakan tanah organik.  Tanam sedalam 2 cm.  Tutup dengan plastik hitam selama 2 hari kerana benih terung akan bercambah dalam gelap sepenuhnya.  Benih terung akan bercambah dalam masa 1 hingga 2 minggu.

Mengalih Anak Benih
Alih anak benih apabila ia tumbuh setinggi 8 hingga 10 cm (3 hingga 4 inci) ke dalam bekas besar atau ke atas batas.  Jika inginkan pohon yang rimbum, patahkan pucuk yang utama.  Jika tanam atas batas, jarakkan pokok kira-kira 60 hingga 75 cm (24 hingga 30 inci).

Penjagaan
Merumput  dan siram selalu.  Jangan biarkan tanah kering tapi jangan pula sampai air bertakung.  Tambah baja setiap 2 minggu.  Gunakan baja organik.


Penjagaan pokok terung tidak cerewet.  Ia boleh ditanam dalam bekas dan diletak di tepi rumah.


Pokok terung ini dibaja menggunakan baja organik menggunakan kompos dari bahan dapur.

Menuai
Petik buah ketika ia paling berkilau.  Apabila buah kurang berkilau, ia semakin pahit dan kurang enak dibuat ulam.


Petik buah terung ketika ia paling berkilau.

Masalah
Perhatikan pokok, ia mungkin diserang bena (aphid), whitefly dan ulat bulu.  Buang haiwan perosak jika temui.

Jumaat, 7 Januari 2011

Daging Goreng dengan Sambal Cili Tanamsendiri Bercendawan

Bahan-bahan
1 sudu (tablespoon) minyak masak (sawit)
4 keping steak (rib-eye), kira-kira 200g setiap satu
30g mentega
8 ulas bawang merah tanam sendiri dibersihkan dan dibelah 4
2 ulas bawang putih dilumatkan (ketuk dengan pisau)
1/4 cawan cuka asli (cuka tuak kelapa atau nipah)
1/2 cawan stok lembu
6 keping cendawan kering
2 sudu daun sup tanamsendiri dipotong lumat
4 cili besar merah tanam sendiri dibelah dua dan dibuang biji
1 sudu teh garam

Sambal Cili Tanamsendiri
Kisar cili besar tanamsendiri bersama bawang putih garam dan cuka asli.

Bahan utama
Panaskan minyak masak dalam kuali besar.
Masukkan steak daging dan panaskan dalam api sederhana sehingga masak.  Jangan telalu garing.  Balikkan daging, pastikan ke dua-dua belah daging masak.  Keluarkan daging dari kuali dan simpan dalam pinggan.

Masukkan mentega dan bawang merah tanamsendiri ke dalam kuali yang sama dan panaskan sehingga bewarna cokelat.

Masukkan stok daging, sambal cili tanamsendiri dan panaskan sehingga mendidih.  Kecilkan api, tutup kuali dan teruskan mendidih dalam api perlahan selama 10 minit.

Masukkan cendawan dan daun sup dan kacau sehingga cendawan menjadi lembut.  Gunakan api kecil.

Siramkan ke atas daging dan hidangkan segera.  Hidangan adalah untuk 4 orang.

Khamis, 6 Januari 2011

Tentang Tanah

Tentang Tanah
TANAH ADALAH BAHAGIAN lapisan luar bumi. Ia terhasil dari hakisan lapisan induk iaitu lapisan batu. Tanah penting dalam Tanamsendiri kerana ia adalah media untuk menanam pokok.  Tanah adalah bahan semulajadi yang lazimnya dipecahkan kepada 3 lapisan iaitu lapisan permukaan (hasil dari hakisan), lapisan bawah (lapisan terkumpul) dan lapisan induk (batu). Lazimnya lapisan permukaan diseliputi lapisan organik atau humus yang terbentuk dari penguaraian tanaman dan haiwan yang telah mati.

Apabila dibincangkan tentang tanah, ada tiga ciri dibincangkan iaitu ciri fizik, kimia dan biologi.

Ciri Fizik
Ciri fizik termasuk warna, tekstur, struktur, kedalaman, dan keupayaan menyimpan air.

Ciri Kimia
Ciri kimia termasuk kesuburan tanah, iaitu kandungan nutrien, dan keasidan.

Ciri Biologi
Ciri biologi termasuk kandungi bahan organik dan organisma dalam tanah.

Bersambung...

Khasiat Kacang Kelisa, Gelisa, Botor, Botol, Phosphocarpus tetragonolobus

100g kacang gelisa mengandungi

23 kCal tenaga
92g air
2.2g protein
0.2g lemak
3.1g karbohidrat
2.1g serat
36mg kalsium
31mg fosforus
0.8mg zat besi
beta karotena, niasin, Vitamin B1, B2 dan Vitamin C.

Rabu, 5 Januari 2011

Resepi--Steak Salmon Cili Jeruk



Steak Salmon Cili Jeruk Tanamsendiri

Bahan-bahan
Sekeping steak salmon
1 sudu teh sebuk kemangin tanamsendiri
1/4 sudu teh garam
3 ulas bawang putih
1 sudu cili jeruk tanamsendiri
1 tangkai daun pudina tanamsendiri

Cara memasak
Letakkan steak salmon ke dalam pinggan tahan mikrowave.
Taburkan garam ke atas steak salmon.
Ketuk bawang putih dengan pisau pemotong daging dan tabur di atas steak salmon.
Masukkan salmon ke dalam mikrowave.
Panaskan salmon selama 3 minit pada kuasa sederhana.
Apabila selesai, taburkan serbuk basil, daun pudina dan cili jeruk tanamsendiri.
Hidangkan.

Khasiat Lobak Putih, Chinese Radish, Raphanus sativus

100g lobak putih mengandungi

13 kCal Tenaga
95.2g air
0.7g protein
0.1g lemak
2.4g karbohidrat
1.1g serat
38mg kalsium
15mg forforus
0.9mg zat besi
52mg natrium
71mg kalium
Vitamin B1, B2, Niasin dan Vitamin C

Selasa, 4 Januari 2011

Mee Ikan Tongkol dengan Lemon dan Salad Cina

Mee Ikan Tongkol dengan Lemon dan Salad Cina
Bahan-bahan
1. 1 ketul ikan tongkol (400g)
2. 1/2 sudu teh garam
3. 500g mee kuning
4. 2 sudu minyak masak, saya gunakan minyak sawit Malaysia
5. 2 ulas bawang putih dicincang
6. 2 biji cili kering bersaiz sederhana dipotong nipis
7. Jus lemon diperah dari sebiji lemon
8. 100g daun salad cina tanamsendiri yang muda
Cara
1. Rebus ikan tongkol, tambah garam.
2. Keluarkan ikan tongkol.
3. Masukkan mee ke dalam air rebusan ikan tongkol dan rebus mee hingga masak.
4. Keluarkan air rebusan dan kembalikan mee ke dalam periuk yang sama.
5. Sementara itu, tumis bawang putih dan cili kering dalam minyak masak.  Masukkan ikan tongkol dan teruskan hingga berbau harum.
6. Pecah-pecahkan isi ikan tongkol kepada kepingan kecil dan nipis.
7. Masukkan semua tumisan ke dalam periuk yang berisi mee yang masih panas.  Gaulkan.
8. Masukkan salad cina tanamsendiri dan gaulkan dengan berhati-hati.
9. Hidangkan untuk 4 orang.

Tanamsendiri -- Kacang Kelisa, Kacang Botol, Phosphocarpus tetragonolobus

Buah kacang kelisa yang muda enak dimakan sebagai ulam, salad, dicicah kuah rojak, atau digoreng.  Pokok kacang kelisa adalah tumbuhan memanjat dengan melilit.  Pucuk kacang juga enak dimakan, biasanya digoreng atau dimasak sebagai sayur air.

Pokok kacang kelisa tumbuh subur dalam tanah berpasir, gambut dan tanah kompos.  ia sesuai ditanam di atas tanah (atas batas) dan dipasang kayu pancang sebagai tiang sokongan.  Pokok ini memerlukan ruang yang banyak kerana ia tumbuh merimbun. 

Menyemai
Tanam dua biji selubang dengan lubang sedalam 3 cm. Jarakkan kira-kira 60-80cm antara biji.  Biji akan tumbuh dalam masa 2 minggu.  Siram selalu.  Pilih pokok yang lebih segar dan patahkan pokok yang satu lagi.  Selepas 2 atau 3 minggu, pasang pancang kayu supaya pokok boleh memanjat.  Sambungkan antara pancang kayu menggunakan tali rafia. 

Buah
Pokok akan mula mengeluarkan bunga selepas 8 minggu.  Bunga kacang kelisa bewarna biru.  Petik kacang ketika masih muda, ketika isi masih rapuh.  Pokok akan menghasilkan buah yang banyak selama 16 minggu.

Masalah
Daun sering diserang bena (aphid).  Sembur bena dengan air yang kuat.


Buah kacang kelisa enak dimakan ketika muda.

Khasiat Kangkung, Kangkong, Water Convolvulus, Ipomoea aquatica

Kangkung mempunyai banyak khasiat.  Berikut adalah antara khasiat kangkung.
100g bahagian kangkung yang boleh dimakan mengandungi

29 kCal tenaga
90.9g air
3.1g protein
0.2 lemak
3.6g karbohidrat
1.0g serat
88mg kalsium
9 mg fosforus
5.2mg zat besi
65mg natrium
78mg kalium
48.5 vitamin C
niasin, vitamin B1, B2, dan beta karotena

Kangkung adalah sayuran utama ketika Perang Dunia Kedua terutamanya di Negara Cina.  Ketika itu bekalan makanan terputus.  Kangkung adalah tanaman yang mudah tumbuh dan cepat dituai.  Ia telah menyelamatkan ramai orang dari maut akibat kebuluran.

    Kangkung digelar raja sayuran kerana mudah ditanam dan berkhasiat.

Ahad, 2 Januari 2011

Kandungan Buah Peria, Momordica charantia

100g bahagian buah peria yang boleh dimakan mengandungi
Tenaga 16KCal
Air 94.5g
Protein 9.8g
Karbohidrat 2.9g
Serat 2.9g
Kalsium 56mg
Phosphorus 10mg
Zat besi 6.1mg
Natrium 17.0mg
Kalium 116mg
Beta-carotene 140mikrogram
Vitamin B1 0.08mg
Vitamin B2 0.07mg
Vitamin C 53mg

Peria, pahit tapi berkhasiat.


Gambar Hari Ini -- Pokok Salam, Bay, Laurus nobilis

Daun Salam, sup menjadi amat enak apabila dicampur.

Tanam Sendiri -- Peria, Momordica charantia

PERIA ADALAH TUMBUHAN memanjat yang dipercayai berasal dari Afrika. Ada yang berkata ia berasal dari Brazil. Kini peria ditanam di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, China, dan Kepulauan Caribbean. Buah peria bewarna hijau dan bertukar menjadi kuning apabila masak. Rasanya pahit. Ada dua jenis peria, iaitu yang bersaiz besar dan bersaiz kecil. Peria bersaiz kecil dikenali sebagai peria katak.

Persediaan Tanah
Cangkul tanah untuk membuat batas. Ini membantu menggemburkan tanah dan membekalkan udara ke dalam tanah. Campurkan dengan tanah kompos. Jika tanam dalam pasu besar, gunakan tanah kompos.

Menanam
Rendam biji dalam air selama 6 jam. Tanam benih ke dalam lubang sedalam 5cm (2 inci). Jika tanam di atas batas, jarakkan benih kira-kira 50cm (20inci). Siram setiap hari. Benih akan bercambah dalam masa 3 hingga 4 hari.

Semaian peria.



Apabila anak pokok mengeluarkan sulur paut, iaitu sedia untuk memanjat, pasangkan pancang kayu. Ikat pukat atau ikat tali seakan-akan bentuk pukat untuk membantu pokok peria memanjat.

Membaja
Baja menggunakan baja organik selepas 5 minggu.

Merumput
Buang rumpai yang tumbuh berdekatan dengan pangkal pokok untuk mengelakkan persaingan merebut nutrien.

Berbunga
Pokok peria akan berbunga selepas 40 hari disemai. Terdapat dua jenis bunga. Bunga betina mempunyai putik buah dipangkalnya.

Buah
Petik buah ketika kulitnya berkilau sebelum ia masak.

Penyakit
Lalat buah suka bertelur dalam buah. Ini menyebabkan buah berulat. Balut buah dengan kertas.