Sawi Hijau atau juga dikenali sebagai Sawi Bakso adalah sayur yang popular dalam masyarakat kita. Sawi digemari oleh semua kaum di negara kita. Oleh kerana sawi mudah layu, untuk mendapatkan sawi yang segar elok ditanam sendiri. Benih boleh diperolehi melalui blog ini.
Khasiat
Sawi kaya dengan Vitamin A, B dan C serta mineral seperti zat besi dan kalsium.
Persediaan Menanam
Sawi boleh ditanam di atas tanah (di atas batas) atau dalam bekas. Jika tanam di atas tanah, gemburkan tanah terlebih dahulu. Anda boleh tanam terus ke atas tanah atau dalam bekas semaian dan alih kemudian.
Menyemai
Gaulkan biji benih dalam pasir dengan kadar 1:6 iaitu satu bahagian biji benih, 6 bahagian pasir untuk menjarangkannya. Tabur campuran biji benih ke dalam alur di atas batas sedalam 5 mm. Jarakkan antara alur kira-kira 20 cm di atas batas. Tutup alur dengan tanah dan siram.
Menjarang
Selepas 2 minggu disemai, jarangkan semaian dengan jarak 15 cm antara cambahan. Cambahan yang dicabut boleh disemai ditempat lain. Jika anda ingin jadikan salad, potong cambahan yang ingin dimakan menggunakan gunting. Jangan cabut pokok kerana ini akan menyebabkan anak sawi bercampur tanah, sukar dibersihkan dan kurang enak dimakan sebagai salad.
Menyiram
Sawi Hijau perlukan banyak air. Siram dua kali sehari jika tiada hujan.
Membaja
Gunakan baja organik iaitu baja kandang atau baja tinja ayam, kambing atau lembu, atau baja kompos sebelum anak sawi dialih.
Merumput
Merumput apabila perlu untuk mengelakkan persaingan antara anak sawi dengan rumpai.
Menuai
Pokok Sawi Hijau sesuai dituai selepas 28 hingga 35 hari selepas disemai. Tuai sebelum pokok berbunga kerana jika berbunga, batang sawi menjadi berserat dan kurang enak dimakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan