Ahad lepas ke pekan Kajang, jenguk-jenguk apa yang ada kat pasar sambil-sambil hantar kereta untuk dibasuh. Seperti biasa di kaki lima depan pasar terdapat beberapa orang penjaja meniaga hasil titik peluh mereka. Ada yang jual anak pokok bangun-bangun, racun cicak, kayu keramat, dan Mr Lee, menjual ikan hiasan untuk akuarium. Saya selalu juga siggah di gerai Mr Lee, berborak tentang breeding ikan. Belum pernah beli anak ikan dari Mr Lee.
Pagi tersebut dia tawarkan 4 ekor anak patin, dengan harga RM6. Tiada akuarium, saya balas. Mana-mana pun boleh bela, pujuk Mr Lee. Ikan patin, lepas 3 bulan boleh makan. Dalam berseloroh, saya berkata, anak ramai, empat ekor mana cukup. Berapa you ada, hantar ke rumah saya.
Pagi Isnin Mr Lee telefon, mau hantar anak patin. Saya termenung, mana nak letak anak ikan patin yang bakal dihantar Mr Lee. "Tangki air yang lama tu mungkin berguna," isteri memberi saranan. Kita boleh tampal dengan penampal zink kalau bocor. Kami mula membersihkan 2 tangki lama dan menampal bahagian yang bocor. Pukul 12.30 pm Mr Lee tiba dengan 230 ekor anak patin dan 6 ekor anak koi singapura.
Alamak, nasib baik ada tangki lama. Mr Lee membantu menyediakan cecair anti klorin dan menjelaskan cara memberi makanan. Katanya, saya boleh breed ikan ni. Kalau breed, boleh bekalkan kepada dia. Lama juga Mr Lee tersangkut kat laman rumah kami. Dia berjanji akan kembali dengan 2 tangki dan 2,000 ekor ikan keli. Alamak Mr Lee, kami barbeku ikan keli 10 ekor aja sekali barbeku. Kalau 2,000 ekor, berapa kali mau barbeku. Mr Lee pujuk, tak apa, kalau menjadi tolak semula pada saya, boleh jual kat pasar. OK lah tu, tapi tangki jangan besar sangat. Itu patch heba saya. Nanti tak ada tempat tanam herba. :)
Nasib baik sekarang dah musim cuti sekolah, anak-anak pun turun ke halaman rumah membantu kami melepaskan ikan ke dalam tangki. Elok juga, kalau tidak masih-masing terlekat depan komputer main game. Puteri pun bukan main semangat lagi menolong.
 |
Menyediakan kolam menjadi family affair di musim cuti sekolah. |
 |
Puteri bersemangat mengisi air ke dalam tangki. |
 |
Anak patin di atas tapak tangan Muhammad. Hati-hari sirip patin tajam! |
 |
Tangki dah hampir penuh. Terima kasih Puteri. |