Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 26 Oktober 2011

Nutrien Tumbuhan – Bahagian 15 dari 20

Boron 
Boron berguna dalam aktiviti enzim, mengalih nutrient, membina protein, menyerap air, pembahagian sel, penghasilan debunga dan pembuahan. Ia memberi kesan terhadap penyerapan kalsium. Kesan Kekurangan Boron Kesan kekurangan Boron tidak kelihatan pada daun, jadi ia agak sukar dikesan secara kasar. Bagaimanapun ia mudah dikesan pada akar. Akar tumbuhan yang kekurangan Boron pecah atau retak dari dalam. Tanda-tanda lain termasuk tunas mati, pertumbuhan terbantut, batang dan ranting yang pendek dan daun utama erot. Cara terbaik untuk uji kehadiran Boron adalah melalui ujian tanah. Jika anda tanam kalian atau kobis, tumbuhan yang kekurangan Boron mempunyai agar yang gelonggong iaitu kosong di bahagian dalam. 

Terlebih Boron 
Kuantiti Boron yang banyak boleh berlaku secara semula jadi di kawasan tanah yang kering. Jika tanah terlalu berasid dan mempunyai kandungan organik yang rendah, Boron mungkin berlebihan iaitu dalam tanah pH antara 5.0 hingga 7.0. Mujurlah kawasan yang kering lazimnya beralkali. Masalah terlebih Boron jarang berlaku di Negara kita kerana kita menerima banyak hujan dan Boron mudah dibawa air. Terlebih Boron adalah toksik kepada tumbuhan. Ia menyebabkan pertumbuhan yang perlahan, pertumbuhan kurang galakj dan mudah diserang penyakit. Bahan organik membantu mengurangkan jumlah Boron.  

Sebab Kekurangan Boron 
Boron tidak boleh dicapai dalam tanah yang melebihi pH 7.0. Ini lazimnya berlaku jika anda terlebih menambah kapur ke dalam tanah. Ketidakseimbangan nutrient, iaitu terlebih kalsium di dalam tanah boleh memberi kesan terhadap penyerapan Boron. Ada tumbuhan yang menyerap banyak Boron dan jika tumbuhan yang sama ditanam secara berterusan akan menyebabkan kehabisan Boron di dalam tanah. Ini lazimnya berlaku dalam tanah berpasir dan tanah beris yang mudah dibawa air. 

Sumber Boron 
Boron terdapat di dalam bahan organik. Jadi, anda boleh tambah kuantiti Boron dengan secukupnya dengan menggunakan baja organik. Serbuk granite juga mengandungi Boron dan boleh digunakan. Anda boleh juga gunakan air basuhan kerana kebanyakan detergen mengandungi Boron. Bagaimanapun jumlahnya perlu dikawal kerana terlebih Boron adalah toksik kepada tumbuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan