Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Ahad, 18 September 2011

Resepi: Ayam Belanda Panggang, Roasted Turkey

Hujung minggu sebelum balik kampung untuk cuti beraya, isteri dan anak-anak ke Nilai untuk membeli pakaian beraya. Tinggal saya seorang di rumah diberi tugas menyediakan hidangan berbuka puasa. Ada 6 jam sebelum berbuka. Janji saya, semua yang dimasak (kecuali beras, rempah, garam dan gula) akan diambil dari halaman rumah.
Nasib baik saya ada bela ayam itik, kalau tidak semua makan sayurlah untuk berbuka. Ya saya ada bela beberapa ekor ayam gajah (ada panggil ayam gergasi), itik, ayam api dan ayam belanda. Setelah diteliti, hari ini ayam belanda akan masuk periuk.
Sembelih ayam belanda agak sukar terutamanya apabila sembelih seorang diri. Setelah berjaya diuruskan, saya terpaksa habiskan masa kira-kira 1 jam mencabut bulu dan membersihkan ayam belanda tersebut. Hasilnya cukup untuk makan 12 orang dewasa serta remaja yang kuat makan, dan akan ada baki untuk sanwic malam keesokan hari. Untuk malam ini, saya perlu masak ayam belanda, nasi untuk disumbat ke dalam ayam belanda ketika memanggang dan kuah atau gravy untuk disiram ke atas daging aya belanda ketika hidangan.
Hidangan minuman tidak dibincangkan dalam posting ini. Oleh kerana kuah memerlukan stok ayam belanda, saya akan memasak ayam belanda dua kali. Kali pertama untuk cepatkan proses memerap dan mendapatkan stok, kali kedua untuk memanggang.


Tentang Ayam Belanda (Turkey)
Kebiasaannya untuk daging harian, kita akan memaasak ayam. Namun begitu kadang-kadang ia diselang selikan dengan jenis poultry yang lain, misalnya itik, angsa, burung puyuh atau ayam belanda. Untuk keluarga kami, saya akan masak itik atau ayam belanda apabila memanggil semua anak-anak pulang untuk makan.
Khasiat ayam belanda adalah seakan-akan sama dengan ayam. Cuma ia lebih kaya dengan vitamin B12, niasin dan zink.
Kebiasaannya jarang orang masak ayam belanda. Saya memasaknya setahun sekali aja, atau mungkin dua kali. Lazimnya sekali dalam bulan puasa apabila semua anak-anak berkumpul dan di akhir tahun ketika musim perayaan. Bukan apa, hujung tahun hari hujan, tiada aktiviti lain. Masak ayam belanda perlukan masa yang panjang untuk persediaan.
Di negara kita, ayam belanda popular sebagai hidangan di hari natal. Waktu itu ayam belanda hidup yang matang mencecah RM300 seekor. Pet store yang jual ayam belanda sanggup beli hingga RM250 seekor untuk dijual semula. Pada hari-hari biasa dia beli hanya RM100 hingga RM150 seekor. Saya bela untuk makan sendiri sahaja. Lagipun cuma bela dalam 5 ekor dalam satu masa. Ruang tak cukup untuk bela banyak. Ayam belanda kuat makan. Lagipun, daging ayam belanda halal ada dijual di pasaraya. Seekor harganya dalam lingkungan RM100 hingga RM120 sahaja.
Kalau begitu mengapa beli ayam belanda hidup kalau yang telah disembelih diproses dan dibekukan lebih murah. Khabarnya, ayam belanda yang baru disembelih lebih enak. Mengapa hidangkan ayam belanda bila anak-anak semuanya pulang? Ayam belanda saiznya besar. Kalau ayam belanda yang saiznya 5kg (macam yang saya dah sembelih), ia cukup untuk hidangan 12 orang.

Panduan saiz dan jumlah hidangan adalah seperti berikut.
2 1/4 hingga 3 1/5 kilogram (5 - 7 lb) cukup untuk hidangan 6 hingga 9 orang dewasa.
3 3/5 hingga 4 kilogram (8 - 9 lb) cukup untuk hidangan 10 hingga 11 orang dewasa.
4 1/2 hingga 5 kilogram (10 - 11 lb) cukup untuk hidangan 12 hingga 14 orang dewasa.
5 2/5 hingga 6 kilogram (12 - 13 lb) cukup untuk hidangan 16 hingga 18 orang dewasa.
6 1/5 hingga 7 3/5 kg (14 - 17 lb) cukup untuk hidangan 20 hingga 24 orang dewasa.
8 hingga 9 kg cukup untuk hidangan 26 hingga 30 orang dewasa.

Jadi ayam belanda yang saya sembelih, dagingnya seberat 5 1/4 kg, cukup untuk hidangan 16 orang. Tapi kalau perhatikan gaya anak-anak remaja makan, 12 orang aja boleh habiskan semua ni....

Memerap

Untuk perap dan dapatkan stok ayam belanda anda perlukan pengisar dan periuk tekanan tinggi atau periuk biasa saiz yang besar.

Bahan Untuk Perap
5 batang serai tanam sendiri atau satu genggam tarragon tanam sendiri,
3 biji bawang besar dikupas dan dipotong kecil
2 labu bawang putih dikupas
1 sudu besar rampah kari
1 biji tomato dipotong
3 biji cili padi (atau cili wangi)
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula melaka
1/2 cawan air masak

Cara Menyediakan
1. Campurkan semua ramuan perap ke dalam pengisar.
2. Kisar semua ramuan sehingga lumat.
3. Sapukan separuh daripada ramuan pada kulit ayam belanda.
4. Simpan ramuan yang selebihnya di dalam peti sejuk.
5. Masukkan ayam belanda ke dalam periuk takanan tinggi.
6. Masukkan secawan air masak.
7. Tutup rapat dan panaskan menggunakan api sederhana. Teruskan memanas selama sepuluh minit selepas stim keluar.
8. Tutup api dan biarkan selama setengah jam. Asingkan air dalam periuk. Air ayam belanda akan digunakan sebagai stok.
9. Jika gunakan periuk biasa, tambahkan 2 cawan air dan panaskan selama 45 minit menggunakan api sederhana.

Apabila selesai, asingkan air ayam belanda dari isinya. Pastikan daging ayam belanda kering dan sedia untuk disumbat. Air ayam belanda akan digunakan sebagai ramuan kuah (gravy).



Ayam belanda disapu rempah sebelum dimasak dalam periuk tekanan.

Stuffing
Untuk sumbat ke dalam badan ayam belanda saya gunakan nasi. 

Bahan
1 cawan beras wangi
1 cawan beras siam red
1/4 cawan pulut hitam
1 cawan beras herbalponni
1 sudu besar mentega
1 sudu teh garam
5 cawan air

Cara Menyediakan
1. Campur beras wangi, siam red, pulut hitam dan herbal ponni guna nisbah 1 cawan: 1 cawan: 1/4 cawan: 1 cawan ke dalam periuk. 
2. Campurkan 5 cawan air dan panaskan.
3.  Apabila nasi hampir masak, masukkan 1 sudu mentega dan 1 sudu garam dan teruskan pemanasan.  Tujuan mentega dan garam dimasukkan adalah supaya nasi tidak melekit.
4.  Apabila nasi masak,masukkan ke dalam ruang dalam badan ayam belanda.


Nasi untuk di sumbat ke dalam ayam belanda.

Kuah (Gravy)
Selepas dapat air rebusan ayam belanda, bolehlah masak kuah (gravy).

Bahan untuk Kuah
2 sudu besar minyak masak
1 mangkuk air rebusan ayam belanda
3/4 cawan tepung gandum
1 cawan bawang kisar
1 cawan tomato kisar
1 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 cawan air



Cara Menyediakan
1.  Panaskan 2 sudu besar minyak masak, 
2.  Kemudian tambah satu mangkuk air rebusan ayam belanda. 
3.  Teruskan mengacau ramuan.   Kemudian tambah 1 cawan tepung gandum. Jangan berhenti kacau. 
4.  Bila campuran bewarna perang tua, tambahkan 1 cawan bawang kisar. 
5.  Kemudian tambahkan 1 cawan tomato kisar, 1 sudu besar garam, 1 sudu besar serbuk lada hitam dan 2 cawan air. 
6. Teruskan kacau hingga gravy pekat dan kecilkan api. 

Hidangkan bersama ayam belanda panggang.


Gravy atau kuah menggunakan stok dari ayam belanda.

Sumbatkan nasi ke dalam badan ayam belanda dan balut dengan kertas aluminium.

Ayam belanda dibaluk dalam kertas aluminium untuk mengelakkan dari renting ketika membakar memanggang).

Panggang ayam belanda.

Memangggang ayam belanda, tebuk bahagian bawah balutan beberapa kali menggunakan garfu untuk alirkan keluar lemak yang cair.

Ayam belanda sedia  untuk dihidangkan.


Ayam belanda panggang sedia untuk dipotong (carve) dan dihidangkan bersama kuah (gravy).

Hiris daging ayam belanda dan hidangkan.  Tuangkan kuah ke atas daging.  Nah lihatlah hasilnya.  Enak.


Hidangan pada ayam belanda.

3 ulasan:

  1. aduhai....sedapnyer....terliur sungguh..

    BalasPadam
  2. Memang puas hati memasak malam tu. Lepas berbuka, anak-anak macam ular sawa kekenyangan.

    BalasPadam
  3. walau pun masih kanak kanak saya sudah pandai meratah ayam belanda sampai habis . habis mak abah saya suruh saya buat sorang-sorang. tapi saya tak boleh makan dah.

    BalasPadam