Halaman

Cari Blog Ini

Sabtu, 13 Ogos 2011

Menyemai Benih Tetapi Tidak Tumbuh -- Bahagian 3 Dari 6

Menyimpan Biji Benih
Kebiasaannya, benih yang dibeli atau diperolehi adalah lebih dari benih yang diperlukan untuk sekali semaian. Lebihan benih perlu disimpan untuk semaian yang akan datang. Kalau membeli lebih dari satu jenis benih, maka lebih banyaklah jenis biji benih yang perlu disimpan. Untuk pastikan biji benih masih bernas iaitu mampu bercambah ketika semaian yang akan datang, biji benih perlu disimpan dengan cara yang betul.

Negara kita Malaysia mempunyai iklim khatulistiwa, iaitu panas dan lembap. Kedua-dua ciri ini amat elok untuk percambahan biji benih. Malangnya ciri-ciri ini juga menyingkatkan jangka hayat biji benih.

Mengapa demikian? Izinkan saya jelaskan.

Panas dan lembap mencepatkan proses metabolik, iaitu proses mengambil makanan dari simpanan dalam biji benih dan menukarkannya kepada tenaga supaya dapat digunakan oleh biji benih untuk bercambah. Proses ini juga kenali sebagai respirasi. Oleh kerana makanan simpanan dalam biji benih digunakan lama kelamaan simpanan tersebut tidak mencukupi untuk cambahan supaya dapat tumbuh dengan sihat dan sempurna.

Biji benih sedia menyerap lembapan dan udara untuk respirasi dari persekitaran. Jika anda simpan biji benih dalam bekas kedap udara, atau di dalam bekas yang kering, proses respirasi dapat dikurangkan dan jangka hayat biji benih dapat dikekalkan.

Begitu juga dengan suhu yang tinggi. Ia mampu meningkatkan kadar respirasi di dalam biji benih. Bagi setiap peningkatan suhu sebanyak 13 darjah Celsius, jangka hayat biji benih disingkatkan sebanyak separuh. Ini adalah untuk suhu yang melebihi 0 darjah Celsius dan terdapat lembapan. (Sumber rujukan: Organic Gardener's Handbook oleh Frank Tozer, Breen Man Publishing terbitan 2008.)

Jadi jika anda inginkan benih yang tahan lama, simpan di dalam tempat yang sejuk dan bebas dari lembapan. Pek benih yang disimpan dalam aluminium foil tahan sangat lama hinggalah pek tersebut dibuka.

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan