Kadang kala menyemai benih pun macam aktitivi cuba jaya terutamanya kepada orang yang baru belajar menanam. Kalau kena cara, semai pagi, petang dah bercambah. Silap cara, anak pokok yang diharapkan tidak muncul-muncul. Bila dikorek tanah, terjumpa benih yang disemai tetapi benih tersebut dah reput.
Cara menyemai sebenarnya tidaklah sukar. Buat lubang yang cetek (tohor) dan masukkan benih. Jadi mengapa ada orang menyemai tetapi benih tidak bercambah? Dari pengalaman saya, jenis tanah yang digunakan memainkan peranan yang penting. Orang baru lazimnya suka beli tanah di pasaraya. Ada bebarapa jenis tanah (medium) yang dijual di sana. Sebenarnya ada antara tanah yang dijual tidak mengandungi tanah langsung. Mereka gunakan bahan organik yang telah dibakar, atau sabut yang digaul dengan bahan organik yang telah dibakar. Bahan ini berbeza dari tanah biasa. Ada medium yang sesuai untuk pokok yang dah besar, tetapi langsung tidak sesuai untuk menyemai benih.
Maksud saya, sifat medium ini berbeza. Ada tanah atau medium yang masam (berasid), ada pula tanah masin (beralkali). Kalau orang sains, mereka ukur sifat masam atau masin tanah menggunakan ukuran pH. Saya cuba elakkan penggunaan takrif ini dalam posting awal tentang tanah dalam tanamsendiri.com kerana sasaran pembaca saya ialah penanam secara hobi. Siapalah yang ada memiliki meter pH atau kit menguji tanah. pH akan saya perkenalkan bila berbincang tentang tanah secara lebih mendalam dalam posting yang akan datang.
Jika ingin menyemai benih, elakkan menggunakan tanah hitam (abu hasil pembakaran bahan organik) atau tanah sabut yang digaul dengan bahan organik yang dibakar. Memang benar tanah sebegini mampu menyimpan air dan kaya dengan bahan organik, tetapi tanah sebegini tidak sesuai untuk percambahan benih. Kalau benih bercambah pun, cambahan tersebut akan reput kerana lembapan.
Jadi, untuk menyemai, elakkan menggunakan tanah yang dijual dengan nama "tanah hitam" atau yang menggunakan "teknologi kompos segera" (bakarlah tu...).
 |
Tanah ini tidak sesuai untuk menyemai. |
Kalau ingin beli tanah untuk menyemai, beli tanah campur. Biasanya tanah ini mengandungi tanah bakar, tanah liat dan sedikit pasir. Dari pengalaman saya, benih yang disemai dengan tanah campur cepat bercambah. Lagipun tanah ini dijual dengan harga yang murah.
Terdapat juga tanah khas untuk menyemai yang dijual secara komersial. Lazimnya tanah tersebut kaya dengan bahan organik dan telah dicampur bahan kimia anti kulat untuk mempastikan benih yang disemai tidak rosak kerana diserang kulat.
 |
Tanah ini sesuai untuk menyemai benih. |
 |
Benih herba dill dalam peket kecil yang dijual di pasaraya yang dikatakan sukar bercambah tumbuh dalam masa 2 hari selepas disemai dalam tanah campur. |
Saya juga pernah menggunakan tanah biasa yang dikorek di perkarangan rumah untuk menyemai. Kalau bimbangkan benih rosak kerana dimakan kulat, cambahkan benih terlebih dahulu. Biasanya benih kacang mudah berkulat kalau disemai dalam tanah biasa. Dalam posting seterusnya, saya akan tunjukkan cara untuk cambahkan benih tanpa menggunakan tanah.