Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 20 Julai 2011

Nutrien Tumbuhan -- Bahagian 4 dari 20

Proses Nitrifikasi
Unsur nitrogen yang ada dalam bahan organik dalam tanah tidak boleh diserap secara terus oleh tumbuhan. Ia perlu diproses terlebih dahulu. Ini lazimnya dilakukan oleh oleh makhluk halus (mikroorganisma iaitu bakteria dan lain-lain). Lembapan dan haba amat penting untuk proses tersebut.

Proses nitrifikasi bermula apabila bakteria mula menghadam bahan organik untuk mendapakan tenaga dari karbohidrat dalam bahan tersebut. Dalam proses tersebut, protein dan asid amino yang ada dalam bahan organik dipecahkan menjadi ammonia (NH3) dan seterusnya menjadi ammonium (NH4). Ammonium boleh diserap oleh tumbuhan untuk menghasilkan protein. Proses ini tidak perlukan oksigen, jadi ia boleh berlaku dalam tanah lembap.

Kemudian ammonium yang tidak diserap oleh tumbuhan akan dimakan oleh bakteria yang lain dan memecahkannya kepada nitrit (NO2) dan kemudian kepada nitrat (NO3). Dalam proses ini oksigen diperlukan, jadi ia boleh berlaku dalam tanah yang kering.

Nitrat juga boleh diserap oleh tumbuhan. Malangnya ia boleh larut dalam air dan akan dilunturkan dari tanah jika berlaku hujan.


Mengapa Pokok Perlukan Nitrogen?
Pokok memerlukan nitrogen untuk pertumbuhan. 2% dari jisim pokok yang dikeringkan adalah terdiri dari unsur nitrogen. Unsur ini ada dalam daun hijau (disebut klorofil) dan penting untuk pertumbuhan daun. Ia juga diperlkan untuk membuat asid nukleik dan asid amino (untuk membina protin), serta mengawal pengambilan unsur kalium dan fosforus.

Kesan Kekurangan Nitrogen
Pokok yang kekurangan nitrogen tidak membesar dengan elok. Kalau pokok yang ditanam bantut, ia mungkin kekurangan unsur nitrogen. Satu lagi tanda kekurangan nitrogen ialah daun berwarna hijau muda dan mula menjadi kuning.

Kesan Terlebih Nitrogen
Terlebih pun tidak elok juga. Jika warna pokok yang anda tanam menjadi hijau tua serta kebiruan, itu tanda terlebih nitrogen. Pokok juga tumbuh dengan cepat menyebabkan batangnya lembut, tumbuh dengan tinggi dan mudah patah. Jika anda tanam pokok buah, pokok mungkin lambat berbuah kerana aktiviti tertumpu pada pertumbuhan daun.

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan