Halaman

Cari Blog Ini

Ahad, 10 April 2011

Sayur Dan Baja

Sayur memerlukan lebih banyak baja jika dibandingkan dengan pokok bunga. Dengan terus membaja, anda kekalkan nutrien dalam tanah. Tanaman dalam tanah yang kaya dengan nutrien lebih subur dan sihat.

Ada dua cara untuk membaja tanah untuk tanaman sayur. Pertama adalah dengan menambah kompos atau tinja haiwan ternakan. Baja sebegini membaiki struktur tanah dan menambah nutrien. Cara kedua adalah dengan menggunakan baja kimia.  Baja kimia yang dimaksudkan adalah baja tak organik.

Baja kompos dan tinja haiwan ternakan adalah baja organik yang telah melalui proses penguraian atau pereputan. Jumlah yang digunakan adalah banyak kerana peratusan nutrien di dalamnya adalah kecil jika dibandingkan dengan baja kimia. Baja kompos dan tinja haiwan juga memecahkan tanah yang mampat dan menambah mutu struktur tanah. Tanah dapat mentimpan air dan udara. Faktor ini membantu akar tumbuhan untuk terus tumbuh dengan lebih jauh, membantu tumbuhan mendapatkan lebih air dan nutrien.

Tinja haiwan ternakan, misalnya tinja lembu dan kambing mengandungi bahan tumbuhan yang hampir terurai. Jika gunakan tinja yang disediakan sendiri, biarkan ia mereput terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan baja tersebut menyebabkan daun seperti terbakar kerana kandungan amonia di dalamnya.

Kompos adalah bahan dari tumbuhan yang mereput. Bahan tersebut diperolehi dari sisa dapur dan keratan rumpai. Lazimnya kompos kaya dengan makhluk halus yang dikenali sebagai mikroorganisma. Makhluk tersebut menguraikan tumbuhan mereput sehingga menjadi debu kehitaman. Ia kelihatan seperti serbuk kopi.

Keratan rumpai sesuai dijadikan kompos.


Jika anda buat kompos sendiri, anda dapat tahu jika ia sedia untuk digunakan. Kompos berbau tanah, tetapi bukannya bau busuk. Jika kompos yang anda bina berbau busuk, ini maksudnya kompos tersebut tidak mendapat udara yang mencukupi.

Anda juga boleh gunakan kompos cendawan, daun mereput atau sisa kopi dari kedai kopi. Kompos cendawan adalah sisa bahan untuk menanam cendawan.

Ada dua cara untuk membaja kompos atau tinja haiwan ternakan, iaitu gali dan masukkan ke dalam lubang atau taburkan di atas permukaan tanah. Kompos yang digunakan untuk menutup permukaan tanah, dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai mulch.

Jika anda masukkan kompos ke dalam tanah, biarkan ia mereput dan bercampur dengan tanah terlebih dahulu sebelum menanam. Bisanya makhluk dalam tanah akan memakan serta menguraikan bahan kompos tersebut.

Jika anda tutup permukaan tanah dengan kompos, biasanya ia akan ditarik masuk ke dalam tanah oleh cacing tanah.

Cara membuat kompos ada dibincangkan dalam posting terdahulu. Cara membuat kompos amat mudah. Anda juga boleh membeli tanah kompos dari nurseri atau pusat membeli belah.

Apa yang boleh ditambah ke dalam kompos?
1. Kulit buah, kulit sayur, serta buah-buah yang rosak dan tidak boleh dimakan.
2. Keratan rumpai, tetapi jangan terlalu tebal. Gaulkan dengan tanah.
3. Air tetapi jangan terlalu banyak kerana ini akan menghasilkan bau busuk.

Jangan tambah
1. Rumpai yang telah berbunga dan berbuah kerana benihnya akan tersebar.
2. Pokok yang diserang penyakit. Bakar bahagian pokok berpenyakit supaya penyakit tidak merebak.
3. Ranting atau dahan yang terlalu kasar kerana ia mengambil masa yang lama untuk mereput.
4. Daging, ikan atau sisa dapur yang telah dimasak kerana ini akan menyebabkan kehadiran lalat dan tikus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan