Halaman

Cari Blog Ini

Sabtu, 30 April 2011

Timbunan Kompos Panas

Ada yang persoalkan penggunaan kompos yang dibuat dari keratan rumpai.  Benih-benih rumpai akan tersebar, hujah mereka.  Pada pendapat saya, sayang kalau dibuang rumpai tersebut.  Semua itu adalah baja percuma pemberian alam.  Hutan yang subur, tiada yang membaja.  Nutrien diperolehi dari daun-daun yang reput yang terurai menjadi humus.  Daun-daun tersebut mengembalikan semula nutrien yang diambil oleh pokok ke dalam tanah.

Apabila dikomposkan bahan organik (keratan rumpai dan sisa dapur), bahan tersebut akan diuraikan oleh hidupan kecil (anai-anai, semut, lipan, cacing, ulat gonggok) dan hidupan seni (bakteria dan kulat).  Aktiviti ini akan membebaskan haba.  Haba ini akan menyebabkan bakteria biasa mati dan akan digantikan dengan bakteria termofil, iaitu bakteria yang tahan haba.

Lebih besar timbunan kompos, lebih banyak haba yang dihasilkan.  Haba ini cukup untuk membunuh sisa-sisa benih rumpai dalam timbunan kompos. Suhu yang tinggi dalam timbunan kompos amat ketara di waktu pagi dan selepas hujan apabila udara sangat lembap.  Wap bercampur asap kelihatan keluar dari timbunan.

Sekiranya anda ingin pastikan kandungan kompos benar-benar 'masak', tutup timbunan kompos dengan plastik bewarna hitam.  Plastik hitam akan menyerap hampir semua cahaya yang jatuh ke atasnya dan menukarkannya kepada haba.  Haba tersebut akan membunuh benih rumpai dengan kadar yang lebih cepat.

Idea haba dalam timbunan kompos ada dimanfaatkan oleh haiwan.  Burung kuang tidak mengeram telurnya.  Selepas bertelur ia akan timbun telur tersebut dalam daun reput.  Haba yang terhasil ketika penguraian daun mengeramkan telur burung kuang.  Apabila tiba masanya, anak-anak burung kuang akan keluar dari timbunan daun reput.

Himpunan kompos beruap di waktu pagi yang lembap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan