Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Selasa, 8 Mac 2011

Bak Choi Berumur 4 Minggu

Sayur bak choi atau pak choiadalah antara sayur kegemaran ramai.  Ia enak digoreng bersama kicap, di buat sayur air dengan lada hitam atau distim dan dimakan cicah sambal.  Saya suka yang digoreng kicap.

Sayur ini sesuai ditanam jika ingin mendidik anak-anak bertanam sayur kerana ia mudah ditanam dan cepat membesar.  Kalau menjadi, bak choi boleh dituai dalam masa 4 minggu.

Saya pastikan tanah yang digunakan kaya dengan bahan organik.  Jadi sebelum semai, saya gaulkan tanah dengan lalang separa reput.  Saya juga campurkan kepala ikan bilis lebihan memasak.  Tanah tersebut dibiarkan dahulu kira-kira tiga hari.  Ada buku mencadangkan dua minggu tetapi saya bukan jenis org yang penyabar.  Dua minggu terlalu lama.  :)

Benih direndam dalam air suam selama 4 jam untuk mencepatkan proses percambahan.  Benih yang timbul dibuang kerana benih tersebut telah menjadi antah (mati).  Kemudian saya keluarkan benih dari rendaman.  Untuk jarakkan semaian, saya gaulkan benih dengan tanah terlebih dahulu kemudian baru ditabur ke tanah dan ke dalam pasu.  Air disiram menggunakan spray untuk mempastikan benih tidak di bawa air.  Untuk semaian atas tanah, saya tutup tanah dengan plastik penutup hitam.  Ini untuk mengelakkan tanah dijadikan tempat kucing melepaskan hajat dan mengelakkan benih dikutip oleh burung merpati dan burung ciak.   Ia juga dapat melindungi benih dari hanyut dibawa air ketika hujan lebat.

Untuk pokok dalam pasu, saya tutup dengan papan.  Tujuannya untuk mengelakkan benih dibawa air ketika hujan lebat.  Benih akan tumbuh dalam masa 48 jam.

Selepas seminggu saya akan jarakkan cambahan dengan mencabut pokok yang terlalu rapat.  (Cambahan yang dicabut boleh dimasak seperti taugeh.  rasanya rangup dan enak.)  Cambahan dijarakkan kira-kira 3cm.  Benih disiram 2 kali sehari untuk mengelakkan tanah kering.

Selepas dua minggu, saya jarakkan pokok sehingga 30cm.  Ketika ini cambahan telah mempunyai 3 hingga 4 set daun.  Saya pilih pokok yang membesar dengan cepat sahaja.  Pokok yang bantut dicabut.  sekiranya saya ingin alih ke dalam pasu, inilah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.  Untuk tanaman dalam pasu, saya akan cabut dan tinggalkan satu atau dua cambahan sahaja.  Ketika ini saya akan baja pokok menggunakan air perut ikan.

Dalam minggu yang berikutnya saya akan merumput dan mempastikan tanah tidak terlalu kering.  biasanya saya akan siram sebelah pagi.  Sekiranya hari terlalu kering, saya akan siram dua kali sehari, sekali waktu pagi dan sekali waktu tengahari.  Ini untuk mengelakkan pokok dari tumbuh bunga.  sekiranya tumbuh bunga, daun tidak akan membesar.

Pokok sedia dituai pada minggu keempat.  Saya tidak tunggu pokok terlalu besar untuk mempastikan bak choi yang dituai kekal lembut dan rangup.  Saya pernah cuba pek benih yang dihadiahkan oleh mertua, benih dari Cameron Highland.  Mungkin benih tersebut dah lama atau terdedah tempat panas, benih tidak bercambah.  Bak Choi yang rakan-rakan lihat ini adalah baka Taiwan.     


Menanam sayur sendiri dapat mendidik anak-anak tentang nilai-nilai murni.


Bak Choi dalam pasu.  Boleh dibuat hiasan atas meja, cuma pastikan pokok mendapat cahaya matahari yang banyak.

Bak Choi/Pak Choi tumbuh subur atas tanah yang kaya dengan organik yang digemburkan. 

10 ulasan:

  1. Apa kah tips tips menanam bok choy? saya cuba menanamnya dari benih tapi setiap kali ianya akan mati semasa di peringkat anak pokok.

    BalasPadam
  2. Is, bila masa sesuai untuk pindah ke dalam pasu?? Biasanya saya biarkan dia compete sesama sendiri, dan akhirnya hanya menghasilkan pokok bersaiz kecil!!tak ada rasa seronok untuk tuai!!

    BalasPadam
  3. Sdr Hafiz, saya kurang pasti mengapa cambahan mati. Satu kemungkinan ialah baja.
    Di peringkat anak,elakkan meletakkan baja. Bahagian batang yang lembut akan melecur kerana ekso-osmosis. Baja tinja pula mungkin menyebabkan batang pokok dijangkiti penyakit.
    Elok gaulkan baja sekurang-kurangnya 3 hari sebelum menyemai benih. Ada buku yang syorkan 2 minggu sebelum menyemai.
    Selepas cambahan berumur 2 minggu barulah tambah baja, jika perlu. Lazimnya jika gunakan tanah yang kaya dengan organik, tidak perlu tambah baja.
    Terlalu banyak air juga boleh membunuh cambahan. Siram hingga tanah lembap tetapi jangan sampai air bertakung.

    BalasPadam
  4. Sdri Cikgu Math, jarangkan cambahan kira-kira 1 inci untuk mengurangkan persainagan baja, air dan cahaya. Pada umur 2 minggu, jarakkan hingga 1 kaki (30 cm).

    Kalau ingin alih ke dalam pasu, inilah masa yang sesuai (2 minggu). Alih di waktu petang untuk mengelakkan cambahan layu terkena panas.
    Pastikan tanah tidak dimampatkan. Tanah mampat kurang udara dan menyebabkan pokok tidak membesar sebagaimana yang diinginkan. Kalau ingin daun besar lagi, siram sedikit air basuhan pakaian (jika gunakan detergen biodegradable) tapi pastikan air siraman tidak terkena daun. Basahkan tanah sahaja. Fosfat dalam detergen dapat membantu daun membesar. Saya pernah guna air dari washing machine, pokok jadi macam dalam cerita Jack and the beanstalk. :) Saya sendiri guna perut ikan yang diblend dan dicampur air.

    BalasPadam
  5. Bak choi yang ditanam sendiri yang berumur 4 minggu enak dimakan sebagai ulam. Ia rapuh dan mempunyai rasa yang tidak kuat kecuali jika ditanam dalam tanah liat, rasanya lebih kuat.

    BalasPadam
  6. salam, dah 2 mggu tp mash kecil sgt. btg halus panjang cam jarum dan daun sehelai. mcm mana nk alih ke pasu..sensitif benar. takut patah....
    terbantut ke pokok sawi saya nih?

    BalasPadam
  7. Cuba letakkan di tempat yang banyak cahaya untuk kuatkan batang anak pokok. Mungkin kurangb cahaya, jadi anak benih tumbuh panjang untuk dapatkan cahaya yang terang. Bila anak benih kuat baru alih.

    BalasPadam
  8. is..contoh detergent yg biodable? brand aper

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kebanyakan detergen yang dijual adalah biodegradable.

      Padam
  9. Cantiknya..anak saya umur 5 tahun..sebok minta nak tanam pokok..bagus juga kalau dapat tanam sayur2 mcm ni..dah masa pun x lama..kanak2 mesti suka tgk hasil pon cepat..

    Very nice entry n details..

    Www.adaa-inspiration.com

    BalasPadam