Mustard buat sendiri di rumah (homemade) -- boleh adjust kehangatannya. Enak disapu ke hotdog dan burger. Ada banyak jenis mustard yang bergantung pada asal usulnya. kalau mustard cina, ramuan yang digunakan hanya serbuk sawi, biji sawi dan air. Kalau mustard Rome, jus anggur yang tidak diperam ditambah, kalau mustard amerika (honey mustard), madu ditambah sebagai ramuan. Kebanyakan mustard juga ditambah wine atau beer, kita akan gunakan cuka asli untuk menggantikan minuman beralkohol.
Rasa biji sawi yang kuat adalah disebabkan bbahan aktif yang ada dalam biji sawi tersebut. Ia bertindak balas pada suhu rendah. Sebab itu, cuka dan jus buah yang digunakan disejukkan terlebih dahulu, untuk menurunkan suhu ketika mencampurkan semua ramuan. Jika anda tidak mahukan mustard yang kuat, suamkan dahulu cuka dan jus anggur. Untuk laraskan rasa mustard mengikut citarasa anda, tambah cuka yang anda gunakan sehingga rasa yang diinginkan diperolehi. Resepi berikut adalah mengikut rasa yang saya gemari. Ia kuat sedikit berbanding mustard yang dijual secara komersial.
Bahan-bahan
4 sudu besar biji sawi direndam biar lembut dan kembang sedikit kemudian dilumatkan (gunakan alu dan lesung)
2 sudu besar cuka beras, iaitu cuka asli (disejukkan dalam peti sejuk)
2 sudu besar jus anggur (disejukkan dalam peti sejuk)
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil garam
Cara Membuatnya
Campurkan semua ramuan sehingga sebati. Jika inginkan mustard yang kurang pedas, gunakan cuka dan jus anggur yang disuamkan. Tambahkan cuka jika rasa biji sawi terlalu kuat.
Cara Menghidang
Masukkan ke dalam botol sos (jenis picit) dan hidangkan bersama hotdog, burger atau sanwic.