Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Jumaat, 31 Disember 2010

Sahabat Tanam Sendiri -- Cacing Tanah, Earthworm

Cacing tanah membantu menggemburkan tanah apabila ia mengorek tanah ketika bergerak.  Ia juga mengurai daun-daun reput menjadikan tanah sangat subur. 

Khamis, 30 Disember 2010

Gambar Hari Ini -- Pokok Beri Ajaib, Miracle Berry, Miracle Fruit, Synsepalum dulcificum


Pokok beri ajaib berasal dari Afrika Barat. Buah Beri Ajaib mampu membuat buah yang merasa pahit dan masam terasa manis seperti gula-gula. Kesan rasa manis ini bermula kira-kira 20 hingga 30 minit selepas memakan Buah Beri Ajaib. Pokok Beri Ajaib juga dikenali sebagai Pokok Seribu Manis.

Rabu, 29 Disember 2010

Gambar Hari Ini -- Pokok Pandan, Pandanus amaryllifolius

Pokok pandan adalah pokok rumput besar yang mempunyai bau yang wangi. Ia digunakan dalam masakan Melayu terutamanya sebagai perisa kuih. Pandan juga digunakan sebagai pewangi atau bunga rampai (potpouri).

Gambar Hari Ini -- Serai, Cymbopogon citratus

Pokok serai berbentuk rumput yang panjang yang kelihatan seperti lalang. Daun dan batangnya berbau wangi dan boleh ditanam dalam pasu, bekas atau di atas tanah. Ia digunakan sebagai perisa dalam masakan Melayu, Siam dan Vietnam.

Makhluk Perosak -- Kulat

Pokok yang mati serang kulat.

Beberapa batang pokok roselle, bendi dan terung telah mati diserang kulat.  Sebagai penyelesaian, untuk mempastikan kulat tidak merebak ke pokok lain, pokok yang dijangkiti telah dikutip dan dibakar.

Gambar Hari ini -- Tarragon, Artemisia dracunculus



Tarragon (Artemisia dracunculus) adalah tumbuhan perennial yang mempunyai daun yang tirus dengan permukaan yang licin, tanpa bulu-bulu halus. Pokok ini menghasilkan bunga kecil yang berwarna kuning. Tarragon berasal dari kawasan dingin di Amerika, Asia dan Siberia. Perkataan tarragon adalah berasal dari perkataan perancis yang bermaksud "naga kecil."  Pokok dalam gambar di atas telah ditanam dari batang yang dibeli dari sebuah pasaraya.

Tanam sendiri -- Salad Pepperomia, Herba Sepit Ketam Vietnam, Pepperomia pellucida

Tumbuhan herba kecil yang berair dengan warna hijau terang ini mempunyai daun berbentuk jantung. Daun serta batangnya dimakan sebagai ulam dan amat sesuai dicampur dalam salad.

Pokok salad pepperomia mempunyai biji yang kecil yang mudah membiak. Ia sesuai ditanam dalam tanah yang lembap.

Cara Menanam
Gaulkan benih ke dalam segenggam tanah untuk jarakkan biji. Taburkan ke dalam bekas semaian atau terus ke atas batas. Ia juga amat sesuai ditanam dalam bekas atau pasu yang berisi tanah kompos.

Benih akan tumbuh dalam masa seminggu. Siram selalu.

Menuai
Petik daun serta batang apabila pokok mencapai 15 cm (6 inci). Potong kira kira 5 cm dari tanah supaya pokok tumbuh semula.

Penyakit:
Pokok ini amat tahan dan jarang diserang penyakit.

Pepperomia, mudah tumbuh.

Resepi -- Tumis Asam Pedas Telur Ikan Tenggiri dengan Bendi Tanamsendiri



Tumis asam Pedas Telur Ikan Tenggiri dan Bendi Tanamsendiri sesuai dijadikan lauk nasi.

Bahan-bahan

  1. 1/2 kilo telur ikan tenggiri
  2. 6 biji bendi muda Tanamsendiri
  3. 1/2 inci (1.5 cm) halia dilumatkan
  4. 1 sudu besar minyak masak kelapa sawit Malaysia
  5. 5 ulas bawang putih dilumatkan
  6. 2 biji bawang besar dikisar
  7. 3 sudu besar cili kering giling
  8. 5 tangkai daun kesom (water peppr) Tanamsendiri
  9. 1 sudu besar pati tamarin (asam jawa)
  10. 1 sudu teh gula
  11. 1/2 sudu besar garam
  12. 5 cawan air

 Cara Memasak

  1. Panaskan minyak masak kelapa sawit Malaysia ke dalam periuk saiz sederhana.
  2. Masukkan bawang putih dan halia, tumis sehingga wangi.
  3. Dengan berhati-hati, masukkan cili kering giling dan teruskan menumis sehingga wangi. 
  4. Masukkan bawang kisar dan teruskan menumis sehingga air bawang hampir kering.
  5. Tambahkan 5 cawan air.
  6. Masukkan daun kesom dan pati tamarin.
  7. Apabila masakan mendidih, masukkan telur ikan tenggiri.  Jangan masukkan sebelum mendidih kerana ini akan menguatkan rasa hanyir telur ikan.
  8. Kacau dengan berhati-hati.
  9. Apabila masakan mula mendidih masukkan bendi.
  10. Masukkan garam dan gula.
  11. Kacau dengan berhati-hati.
  12. Teruskan memasak 10 hingga minit selepas masakan mendidih.

Hidangkan bersama nasi ketika masakan masih panas.

Ahad, 26 Disember 2010

Rumpai dan Makhluk Perosak

Cabaran paling menarik jika tanam atas tanah di perkarangan rumah ialah rumpai dan makhluk perosak.  Kita boleh ambil jalan mudah iaitu dengan menggunakan racun rumpai dan racun serangga.  Tetapi apalah gunanya tanam sendiri di perkarangan rumah dengan menggunakan racun, tuaian kita akan sama dengan sayur/buah di pasar.  Elok beli saja sayur di pasar, lagi murah.  Orang yang bertanam secara komersial, memang patut gunakan racun kerana mereka tanam sejenis tanaman sahaja dan sememangnya mudah diserang penyakit dan makhluk perosak.  Lagupun pengguna sememangnya mahukan sayur yang segar tanpa cela.

Saya sememangnya membiarkan rumpai tumbuh di sekeliling rumah.  Cuma saya biarkan jumlah dan ketinggiannya terkawal.  ini kerana saya gunakan kembali rumpai sebagai baja.  Lagipun ada rumpai yang mengeluarkan bunga yang cantik dan buah beri yang menarik burung ke taman.

Malangnya rumpai membawa masalah lain.  Selain berebut ruang dan baja dengan tanaman utama, ia juga menjadi hos kepada makhluk perosak.  Misalnya pokok ulat bulu (Passiflora foetida) mempunyai makhluk perosak yang sama dengan pokok peria yang saya tanam.

Rumpai juga membuatkan perkarangan rumah kelihatan kurang enak dipandang.  Anda akan mendapat masalah jika tinggal di kawasan jiran yang menyibuk.  Biasanya orang begini akan menggunakan authority  untuk mencapai niat buruk mereka.  Jangan terkejut jika anda menerima notis kompaun kacau ganggu dari pihak perbandaran kerana menanam pokok.  

Antara rumpai yang menjadi masalah dalam perkarangan rumah saya ialah: 
1. Lalang.  Tetap kembali walaupun dicabut sekurang-kurangnya seminggu sekali.  Kebaikannya ada, daun lalang yang dipotong dikumpulkan untuk dijadikan kompos.  Untuk mengawal lalang, saya cabut hingga ke akar.  sekiranya tidak sempat, potong tangkai berbunga sebelum menjadi benih yang bernas.  Bakar tangkai bunga tersebut.  Sebenarnya lalang yang tumbuh melata ada kebaikannya.  Ia membantu menutup tanah yang terdedah dan mengelakkan dari hakisan.   Sekiranya anda seorang usahawan yang kreatif, pasti anda dapat mencari kegunaan tumbuhan ini. 

2. Semalu, Mimosa pudica.  Rumpai ajaib ini ada dijual di negara maju sebagai tumbuhan curio kerana daunnya yang bergerak tertutup apabila tersentuh.  Ciri ini menyebabkan tumbuhan ini sukar dibuang sehingga habis.  Ini kerana apabila daunnya tertutup, saiznya akan menjadi lebih kecil dan tersorok dalam rumpai  yang lain.  Semalu juga mempunyai duri yang tajam yang menyukarkan anda mencabutnya.  Bagaimanapun, semalu ada gunanya.  selain digunakan sebagai herbal perubatan, semalu adalah tumbuhan kekacang yang membantu mengkayakan tanah dengan sebatian nitrogen, sejenis nutrien yang amat diperlukan oleh tumbuhan.  Saya cabut semalu hingga ke akar menggunakan pengcungkil.  Pastikan anda memakai sarung tangan kain yang tebal sebelum memegang patang semalu.

3.  Kacang penutup bumi.  Pokok kacang ini benar-benar menjadi masalah kepada saya kerana ia membiak dengan cepat.  Batangnya yang halus melilit batang serta ranting tanaman utama.  Akarnya yang panjang amat sukar dibuang semua.  Akibatnya, tunas baru akan tumbuh dari akar yang tertinggal.  Tumbuhan ini juda ada gunanya.  Ia adalah tumbuhan yang membekalkan sebatian nitrogen ke dalam tanah.  Walaupun sukar dikawal saya pastikan ia tidak tumbuh sekitar 1 kaki dari tanaman utama. 

4.  Mamam hantu.  Ia seakan-akan sayur mamam yang popular dijual sebagai jeruk di Kemaman.  Mamam hantu kurang popular kerana rasanya yang pahit.  Ia juga dari jenis kekacang yang mampu membekalkan sebatian nitrogen ke dalam tanah.  Biasanya ia mudah dicabut kerana akarnya yang tohor.  Akan tetapi ia amat cepat merebak kerana ia cepat berbuah.  Oleh kerana jumlahnya yang banyak, saya kutip rumpai ini dan jeruk.  Untuk hilangkan rasa pahit, saya gunakan cuka asli dengan kuantiti yang banyak.  Ia enak dimakan bersama nasi.  





Pokok Mamam Hantu, rumpai yang cepat membiak.

Ulat bulu yang hidup di atas rumpai pokok ulat bulu (Passiflora foetida).  Ia juga memakan daun pokok peria.  Perhatikan durinya yang tajam dan halus.  Ia mengandungi bisa toksin yang memudaratkan.


Antara makhluk perosak yang mengganggu tanaman saya ialah ulat bulu (gambar di atas), lalat buah (membiak dalam buah cili), tree shrew (mencuri buah ciku), kupu-kupu putih (merosakkan pokok cili dan kacang), bena (aphid yang mengambil cecair dari daun dan batang pokok kacang kelisa, kacang panjang), kulat batang yang membunuh pokok roselle, belalang (memakan daun sayur), dan anak dara cina (mengambil cecair dari batang dan daun pokok roselle).

1.  Ulat bulu yang mempunyai toksin amat merbahaya.  Saya tidak mengutipnya kerana bimbang tersuntik dengan toksin.  Saya bakar ulat ini menggunakan pemetik api panjang yang digunakan di dapur.  Ustaz saya marah bakar haiwan untuk membunuh.  Maaf ustaz, terpaksa....  Saya juga hanya melepaskan kucing keluar rumah selepas pukul 10 pagi.  Ini untuk mempastikan ia tidak keluar memburu burung yang datang mengutip ulat dan benih rumpai yang banyak dalam perkarangan halaman rumah.

2.  Kupu-kupu putih bersaiz kecil.  ia menghasilkan larva kecil yang memakan permukaan daun menyebabkan daun menjadi menggerutu.  Kupu-kupu ini menyerang daun cili dan kacang kelisa.  Saya bakar sutera yang terhasil pada daun.  Sutera ini melindungi larva kupu-kupu tersebut.

3.  Lalat buah baru menyerang dan banyak buah cili gugur ke tanah.  Saya telah kutip semua buah yang gugur dan buang semua buah yang masih berada di atas pokok.  Kesemuanya dibakar untuk mengelakkan ulat larva menjadi lalat dewasa.  Saya juga akan pasang perangkap lalat buah menggunakan botol palstik dengan cecair umpan yang dibuat sendiri.  Ramuannya akan dibincangkan dalam posting blog ini.

4.  Shrew ini seakan-akan tupai, tetapi sebenarnya ia bukan tupai.  Shrew kebiasaannya adalah sahabat kita kerana makanan utamanya adalah serangga perosak (belalang).  Kadang-kadang ia mencuri buah yang ranum.  Saya biarkan aja shrew bermain di taman kerana ia sebenarnya sahabat tanamsendiri.  Untuk mengelakkan ia mencuri lagi saya akan pasang jaring sekeliling pokok yang mempunyai buah yang hampir ranum.



Sahabat Tanam Sendiri -- Kumbang

Kumbang membantu pokok menghasilkan benih yang bernas melalui pendebungaan

Gambar Hari Ini -- Kemangi, Basil

Kemangin, daunnya berbau harum, enak dibuat ulam atau dimasak.  Cara menanamnya juga mudah.

Sabtu, 25 Disember 2010

Tanam Sendiri -- Remayung, Basella, Climbing Spinach, Malabar Spinach

Remayung, Basella alba tumbuh segar di kawasan yang mempunyai cahaya matahari yang banyak.  Ia amat sesuai ditanam di tanah kompos yang kaya dengan organik.  Anda boleh tanam menggunakan biji atau batang.

Menanam Menggunakan Batang 
Bina batas dan tambahkan tanah kompos kira-kira 2 minggu sebelum menanam.  Kerat batang remayung sepanjang 15 cm (6 inci).  Buang daun.  Tinggalkan hanya bahagian tunas.
Bina lubang di atas batas sedalam 5cm (2 inci).  Tanam batang remayung ke dalam lubang tersebut.  Jangan cucuk batang remayung tanpa membuat lubang terlebih dahulu kerana ini akan merosakkan sel-sel pada batang remayung.  Jarakkan semaian kira-kira 45cm (1.5 kaki).  Siram dengan air. Apabila pokok mulai tumbuh, cucukkan pancang kayu setinggi 3 kaki untuk pokok memanjat.

Menanam Menggunakan Biji 
Bina batas dan tambahkan tanah kompos kira-kira 2 minggu sebelum menanam.  Tanam biji kira-kira 3 benih selubang sedalam 3cm (1 inci).  Jarakkan semaian kira-kira 45cm (1.5 kaki).  Siram dengan air. Apabila pokok mulai tumbuh, cucukkan pancang kayu setinggi 3 kaki untuk pokok memanjat.

Menuai
Potong batang kira-kira 30cm (1 kaki) dari tanah.

Bunga/Benih
Remayung akan berbunga apabila ia menerima kurang cahaya atau air.  Sekiranya anda ingin tuai benih, biarkan pokok berbunga dan berbuah.  Petik apabila buah masak (bewarna ungu) dan keringkan.  Simpan biji untuk ditanam kemudian.

Khasiat Remayung, Bayam Malabar, Basella

Terdapat dua jenis remayung iaitu remayung merah (batang berwarna ungu kemerahan) dan remayung hijau (batang bewarna hijau).  Pokok ini mempunyai daun berbentuk jantung.  Ia mampu tumbuh sehingga 10m panjang.  Remayung adalah tumbuhan memanjat.  Ia juga dikenali sebagai bayam malabar dan bayam memanjat.  Sebenarnya remayung bukannya dari jenis bayam. 

Remayung adalah sayur herbal yang berlendir yang sering menjadi masakan cina.  Ia lazimnya dibuat sup sayur atau dimasak bersama ketam.  Dalam kajian yang telah dibuat pada tikus makmal yang berpenyakit diabetis, remayung mampu mengubati buah pinggang, hati dan pankreas tikus yang telah rosak.

Sayur herbal ini amat sesuai dimakan oleh pesakit diabetis untuk membaiki buah pinggang, hati dan pankreas yang rosak.  Ia boleh dimakan mentah sebagai ulam atau dimasak.

Remayung Merah, Basella rubra

Gambar Hari Ini -- Remayung Merah, Basella rubra

Remayung merah, Basella rubra

Jumaat, 24 Disember 2010

Panduan Menanam Tauge, Jabatan Pertanian Negeri Perak

Untuk rakan-rakan yang inginkan maklumat cara menanm tauge secara komersial.  Laman dibangun oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak.  Pautan dicadangkan oleh Sdr Pok Ya kita.  Terima kasih Pok Ya.

http://www.pertanianperak.gov.my/jpp/index.php?option=com_content&view=article&id=438%3Apanduan-menanam-tauge&catid=68%3Amanual-tanaman

Kucing Musuh Taman

Sekiranya anda tanam sendiri, tentu anda tidak mahu gunakan racun kawalan makhluk perosak.  Haiwan perosak pasti akan mula berkunjung ke taman anda.  Ini tidak menjadi masalah kerana ia akan dikutip oleh burung yang singgah di taman ketika awal pagi.  Anda akan dapati ada sedikit daun berlubang dimakan ulat atau serangga, tetapi ulat atau serangga tersebut tidak lagi kelihatan.  Ini kerana ia telah habis dikutip oleh burung.

Malangnya jika ada kucing berkunjung ke taman, burung-burung akan bertempiaran lari.  Maka ulat dan serangga mula bermaharajalela.  Sekiranya anda memiliki kucing, lepaskan kucing lewat sedikit, iaitu pukul 10-10.30am, iaitu selepas burung-burung berkunjung mengutip ulat dan serangga.

Kucing juga akan 'melepas' dalam tanah yang anda telah gemburkan.  Ini amat bahaya kerana tinja kucing mengandungi kuman yang boleh menyebabkan penyakit dan menyebabkan pokok mati.  Untuk elakkan dari perkara ini berlaku, susun serpihan bata atau marmar supaya kucing tidak dapat menggali.  Satu lagi cara, siram pangkal pokok di kawasan tanah terdedah dengan baja yang diperbuat dari perut ikan yang dikisar (blend).  Kucing akan menjilat-jilat tanah atau pangkal pokok tersebut dan tidak akan 'melepas' dalam tanah tersebut. 

Khamis, 23 Disember 2010

Buku Untuk Dijual -- The Bread Bible

Buku tentang roti.  Mengandungi petua, sejarah, proses dan lain-lain yang berkaitan dengan roti.  Lebih dari 100 resepi dan 600 gambarfoto kualiti tinggi.  Buku dibeli untuk penulisan buku resepi.  Projek dah selesai.  Buku disimpan dalam bungkusan plastik.  Kedaan terbaik.

Harga dibeli RM120.  Ingin jual RM50 sahaja.  Cuma ada 1 naskah.

email: iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms 0172889364 untuk pesanan.

Buku untuk dijual -- Reader's Digest Perfect Poultry

Buku berkulit keras terbitan reader's Digest.  Keadaan buku terbaik (disimpan dalam plastik).  Mengandungi maklumat tentang pemakanan, diet, poultry (ayam, angsa, turkey dsb), herb, cara memasak ayam serta lebih dari 60 resepi lengkap dengan maklumat nutrisi.  Buku dibeli untuk projek buku memasak.  projek dah selesai...
Harga beli RM75, jual RM35, hanya ada 1 naskah!
email: iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms 0172889364 untuk pesanan.


Buku Untuk Dijual -- The Complete Garden Planner and Record Book

Buku berkulit keras dalam kedaan terbaik. Buku ini adalah buku rekod yang membantu anda merancang taman.  Walaupun buku ini direka untuk kawasan 4 musim, ia lengkap dengan panduan merancang taman, bajet, layout taman serta tip berkebun.  Buku mengandungi fotografi dengan nilai terbaik.  Amat sesuai diletak di ruang tamu.  pasti menjadi kebanggaan pemiliknya.  Harga asal RM75.00.  Saya jual RM35 sahaja.  Hanya ada 1 naskah. 

email: iskandar.abdulrashid@gmail.com atau sms 0172889364 untuk pesanan.



Makhluk Perosak -- Ulat Bulu

Ulat bulu

Rabu, 22 Disember 2010

Resepi Kacang Mata Hitam Rebus

Kalau zaman dahulu, musim tengkujuh agak murung.  Ini kerana bunyi hujan menitik di atas atap amat jelas dan semua aktiviti di luar rumah terbengkalai.  Biasanya waktu inilah ibu bapa menuai hasil tanaman mereka kerana bimbang rosak akibat berendam air hujan.  jagung, ubi kayu dan kacang rebus menjadi menu utama.

Untuk orang lama, bila musim tengkujuh aja, mereka akan terbuka selera untuk makan ubi kayu, jagung atau kacang rebus. Sekiranya anda ada menanam kacang mata hitam, inilah masanya untuk menikmati bersama keluarga.  Sekali rasa, mereka tidak akan lupa.  Makanan ini akan membuatkan anak-anak ingin kembali ke rumah setiap kali cuti semester jika mereka telah belajar di IPT.

Bahan-bahan:
Kacang mata hitam.
Garam, sesudu teh.

Cara memasak:
Basuh kacang mata hitam (jangan dikupas).
Rebus kacang mata hitam hingga mendidih. 
Teruskan hingga 5 minit.
Keluarkan kacang mata hitam.
Taburkan garam.

Cara makan:
Kupas pod kacang dan makan bijinya.

Kacang Mata Hitam Rebus - enak dimakan bersama keluarga ketika menonton tv.

Untuk rakan yang ingin tanam kacang mata hitam boleh dapatkan benih dari blog ini.  Kami ada menyimpan benih dari jenis rimbun dan tidak memanjat.  Ia amat sesuai ditanam dalam pasu di laman rumah.  Hubungi iskandar.abdulrashid@gmail.com  

Selasa, 21 Disember 2010

Semaian Baru -- Tomato, benih MARDI


Anak Tomato, benih yang dibeli dari booth MARDI ketika MAHA 2010

Isnin, 20 Disember 2010

Manfaat Kompos

Tumbuhan perlukan air, udara dan nutrien.  Kompos mengandungi ketiga-tiga bahan tersebut.




Sebelum mengalih pokok terung, batas ditutup dengan kompos separa masak (disebut sungkup atau mulch) untuk kekalkan lembapan dan udara dalam tanah. Kompos tersebut juga akan membekalkan nutrien secara sedikit-sedikit.

Semaian Baru -- Lobak Putih, Raphanus sativus

Anak Lobak Putih

Ahad, 19 Disember 2010

Bagaimana Menanam Halba?

Halba adalah herba rempah yang bermanfaat.  Daun digunakan sebagai herba dan bijinya sebagai rempah.  Ia amat berguna kepada ibu yang baru melahirkan anak.  Daun dan biji halba digunakan oleh ibu yang sedang menyusukan anak.  Ibu yang memakan daun atau biji halba akan menghasilkan lebih susu badan.

Halba ditanam dari biji.  Rendam biji selama 12 jam sebelum ditanam.  Biji akan bercambah.  Gunakan tanah kompos yang tidak menakung air.  Tanam biji sedalam 2 cm (3/4 inci).   Apabila pokok halba tumbuh, cabut pokok yang terlalu rapat untuk jarakkan kira-kira 5 cm (2 inci).  Daun halba seakan-akan rumput clover.  Buahnya adalah berbentuk kekacang.  Petik apabila buah bewarna kekuningan. 

Anda boleh dapatkan biji halba dari blog ini. 

Semaian Baru -- Jagung Manis

Anak jagung manis

Sabtu, 18 Disember 2010

Khamis, 16 Disember 2010

Rabu, 15 Disember 2010

Tanam Sendiri Kai Lan

Menanam Kailan
Kailan adalah makanan berkalori rendah yang kaya dengan vitamin, antioksidan, serat dan mineral. Ia amat baik untuk kesihatan. Ahli sains juga telah membuktikan sayuran dari jenis ini yang baru dipetik kaya dengan fitonutrien seperti thiocyanate, indole, sulforaphae, isothiocyanate dan flavonoid seperti beta carotene cryptoxanthin, lutein dan zeaxanthin. Dari kajian yang mereka lakukan, sebatian ini mampu mengubah secara positif utusan molekul reseptor untuk melindungi diri anda dari barah prostat, kolon, pundi kencing, pankreas dan payu dara. Sayuran kai lan yang segar kaya dengan Vitamin C yang baik untuk kulit dan melawan selesema. Vitamin A, juga sejenis antioksidan bercampur dengan pro-vitamins termasuk beta karotena, alpha karotena, zeaxanthin, mampu mengekalkan keremajaan kulit dan kesihatan mata. Ia mampu mengelakkan kerosakan mata pada warga emas.

Kai lan segar, banyak khasiatnya.


Nah tunggu apa lagi, mari kita tanam dan makan kailan segar tanpa racun perosak.

Di mana nak tanam?
Kailan boleh tumbuh sehingga paras pinggang, jadi tanam dalam tempat yang ada ruang yang mendapat cahaya matahari. Anda boleh tanam dalam bekas. Gunakan tanah kompos atau tanah yang mampu memegang air tetapi tidak menakung air. Saya gunakan tanah kompos yang diperbuat dari rumpai yang dipotong.

Bila nak tanam?
Negara kita panas sepanjang tahun, bila-bila pun boleh tanam.

Semai
Benih kailan amat kecil iaitu berbentuk bulat dengan jejari kira-kira 2mm. 
Semai dalam bekas semaian atau modul semaian sedalam 2 cm. Benih akan bercambah dalam masa 2 hari.


Benih kailan


Alih
Alih pokok selepas 6 hingga 8 hari. Hati hati ketika mengalih, jangan rosakkan akar. Jarakkan kira-kira 45 hingga 60cm (18 hingga 24 inci).


Anak Kailan, berumur seminggu

Penjagaan
Buang rumpai selalu. Siram tetapi jangan terlalu banyak. Baja dengan baja organik.

Tuai
Anda tidak perlu tuai seluruh pokok. Petik daun yang segar dan biarkan pokok terus tumbuh.


Tuai daun untuk hasil yang berterusan.


Penyakit
Kailan tahan penyakit. Bagaimanapun perhatikan kehadiran ulat. Jika ada, buang ulat tersebut. Kutu daun (aphid), lalat kobis, lintah bulan, lalat putih juga suka memakan daun kailan. Bahagian akar juga mungkin diserang kulat.  Kailan juga sering diserang belalang.  

Pokok Hasilkan Benih
Apabila pokok kurang disiram, ia akan keluarkan bunga.  Proses ini disebut "bolting."  Untuk dapatkan benih, biarkan ia terus tumbuh.  Apabila jambak buah kering, simpan benih untuk disemai lagi. 


Pokok kailan yang menghasilkan bunga.

Selasa, 14 Disember 2010

Alatan -- Pengorek

Pengorek tanah adalah alatan kecil yang amat berguna jika bertanam sendiri.  Ia digunakan untuk mengorek tanah, mengalih tanaman dan tanah dalam kuantiti yang kecil.  Terdapat pengorek tanah yang mempunyai pemegang yang diperbuat dari kayu.  Saya lebih gemarkan pengorek logam sepenuhnya kerana pemegang kayu akan reput selepas beberapa tahun terutamanya jika dibiarkan di tengah hujan.

Gambar Hari Ini -- Terung Panjang, Eggplant, Aubergine,

Terung panjang, paling enak dipetik ketika paling berkilau.

Khasiat Kai Lan, Chinese Kale, Brassica alboglabra

100g daun sayur kailan mengandungi
kalori 45 kCal
Air     88g
Protein  2.8g
Lemak  0.2g
Karbohidrat 8.1g
Kalsium 0.179g
Besi 0.002g
Beta-karotena 3 660 mikrogram
Vitamin B1 0.014g
Vitamin B2 0.017g
Niacin 0.001g
Vitamin C 0.107g

Isnin, 13 Disember 2010

Bagaimana Menanam Stevia?

Ada dua cara untuk tanam stevia; pertama dengan keratan batang, kedua dengan benih.

Benih stevia amat halus dan memakan masa yang lama untuk membesar, saya syorkan menanamnya dengan batang.  Potong induk pada ranting yang kuat dan berkayu.  Buang daun dan tinggalkan tunas sahaja.  Celup ke dalam cecair penggalak akar (rooting agent), jika ada.

Lakukan sebelah petang.  Ini untuk mengelakkan keratan layu kerana panas matahari.
Saya syorkan supaya gunakan tanah kompos yang dicampur tanah liat.  Saya pernah cuba dengan tanah bakar, tetapi tidak menjadi.  Siram sedikit untuk lembapkan tanah.  Gunakan kayu penyepit atau ranting untuk buat lubang kira-kira 1 cm sedalam 4 cm.

Cucuk keratan stevia dan tutup ruang lubang dengan tanah kompos.  Jangan mampatkan tanah kerana ini akan mengurangkan ruang udara dalam tanah.  Jangan cucuk keratan tanpa membuat lubang terlebih dahulu kerana ini akan mencederakan keratan.  Kekalkan kelembapan tanah tetapi jangan siram terlalu banyak air.

Simpan di tempat redup.  Apabila stevia mula membesar, alih bekas ke tempat panas sekali sekala untuk kuatkan pokok.  Apabila batang berkayu telah tumbuh alih ke tempat kekal atau ke pasu yang lebih besar.

Untuk rujukan bergambar, akan dimasukkan dalam artikel Tanamsendiri--Stevia.  :)  

Terung Bulat Sambal Berlada Norsiah

(Resepi sumbangan Norsiah (Mummyalyaa))
Bahan-bahan
1. 1 biji terung bulat (muda, warna hijau, petik ketika buah paling berkilau) dibelah memanjang menjadi 4
2. 2 biji cili api
3. 2 biji cili besar merah (petik sebelum memasak) dihiris.
3. Secubit belacan
4. 4 ulas bawang putih dikupas
5. Sebiji bawang besar
6. 6 ekor udang basah, dibuang kepala dan kulit
7. Bawang besar dikupas dan dihiris setebal 1/2 cm, (menjadi bentuk cincin)
8. Sesuku minyak masak (seeloknya minyak kelapa sawit dari Malaysia)
9. Sesudu kecil garam
10. Sesudu kecil gula
11. Sesudu sos tiram
12. Separuh limau nipis

Cara memasak
1. Tumbuk cili api, belacan dan bawang putih sehingga lumat, tapi jangan sampai hancur.
2. Tuang minyak masak ke dalam kuali dan panaskan kira-kira 1 minit.  Masukkan terung dan panaskan sehingga terung menjadi kuning.  Keluarkan terung dari kuali.
3. Kuatkan api dapur, menggunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bahan tumbuk (langkah 2) hingga garing/wangi. 
4. Masukkan udang dan biar sampai masak, apabila udang hilang kecerahannya dan bewarna putih.  
5. Taburkan garam dan gula.
6. Masukkan sos tiram dan kacau perlahan-lahan.
7. Picit limau nipis.
8. Kecilkan api.
9. Masukkan terung, kacau perlahan-lahan supaya ramuan menutupi terung.
10. Taburkan hirisan bawang besar.  Kacau hingga masak.
11. Tutup api dapur, dan taburkan cili besar.
13. Hidang bersama nasi.  Hidangan untuk 4 orang.


© Norsiah Badlishah, 2010 


Rose

Saya ada tanam rose depan rumah, pada mulanya dia sangat sihat dan bunganya cantik.. lama2 saya tgk daun dia makin kerinting dan hodoh.. apakah baja yang sesuai?

Gambar Hari Ini -- Kai Lan, Chinese Kale, Brassica alboglabra

Kai Lan, Chinese Kale, Brassica alboglabra
Sayur daun berwarna hijau tua kaya dengan vitamin A, B dan C.  ia juga kaya dengan mineral kalsium (baik untuk gigi dan tulang) dan iron (baik untuk darah).   Saya tanam sayur ni di antara pokok kacang kelisa (atas batas) dan dalam pasu.

Alatan Tanamsendiri -- Sarung tangan kain

Satu dari masalah tanam sendiri adalah tangan sentiasa luka,  mungkin kerana tergarik batu kecil dalam tanah ketika mengendali tanah atau terkena duri ketika merumput, terutamanya duri semalu.  Oleh kerana kita bermain dengan tanah, kalau terluka mudah terkena jangkitan kuman, terutamanya jangkitan Staphylococcus.  Masalah dapat diselesaikan mengggunakan sarung tangan kain.

Sabtu, 11 Disember 2010

Benih Yang Berterusan

Untuk orang yang bertanam sendiri di belakang rumah seperti kita, tidak perlu beli benih yang banyak.  Satu peket kecil seperti yang dijual di pasaraya dan nurseri sudah mencukupi.  Misalnya, salad cina.  Satu peket kecil kalau ditaman semua akan menghasilkan kira-kira 50 cambahan. 

Selepas "thinning," iaitu membuang cambahan yang terlalu rapat, mungkin tinggal dalam 30 anak pokok yang membesar hingga anda dapat tuai.  Ketika tuai, jangan diambil semua -- gunakan teknik petik dan makan.  Petik daun sahaja, tinggalkan pokok untuk terus tumbuh. 

Saya buat begini dan dapat petik salad setiap hari selama dua bulan.  Selepas dua bulan, pokok menjadi tinggi dan daun yang dihasilkan kecil bewarna hijau tua.  Ia pahit dan tidak lagi sesuai untuk dimakan.  Tidak lama kemudian bunga akan dihasilkan dan menghasilkan benih.  Satu pokok dapat hasilkan satu jambak bunga.  Satu jambak mengandungi 10 tangkai.   Setiap tangkai ada kira-kira 10 kuntum bunga.  Setiap kumtum ada kira-kira 30 biji yang bernas.  Nah kira sendiri.

1 jambak bunga = 15 tangkai/jambak X 10 kuntum/tangkai X 30 biji/tangkai
= 4500 biji

Itu baru dari 1 pokok.  Yang saya tanam ada kira-kira10 pokok salad dalam pasu yang sedang berbunga.  Ini semua hanya berasal dari secubit benih.  Alhamdulillah, makanan percuma kurniaan Yang Maha Esa.  Dapatlah kita berkongsi benih.
  

   Sejambak benih salad bakal membekalkan salad untuk santapan sepanjang tahun.

Gambar Hari Ini -- Bunga Markisa

Bunga Markisa

Khamis, 9 Disember 2010

Benih Untuk Dikongsi, Kangkung

Dapatkan benih kangkung, dengan mengirim nama dan alamat anda ke iskandar.abdulrashid@gmail.com
atau respons ke Comment/Ulasan posting ini.

Tanam Sendiri Kangkung, Ipomoea aquatica

Kangkung (Ipomoea aquatica) adalah tumbuhan dari keluarga kembang pagi. Ia ditanam secara berluasa di negara kita Malaysia, Indonesia, Burma, China, sesetengah negara di Afrika dan Australia.

Kangkung adalah tanaman sayur yang mudah ditanam sendiri.  Daun dan batang boleh dimasak atau dimakan mentah sebagai ulam atau salad.  Kangkung ini ditanam dengan mencucuk batang lebihan sayur yang dibeli dari pasar.


Tanaman ini banyak berjasa kepada manusia. Oleh kerana ia mudah tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi, kangkung menjadi makanan utama ketika Perang Dunia Kedua. Di China ketika itu, khabarnya ada yang menggantikan nasi. Walaupun ia tidak membekalkan tenaga sebanyak yang dibekalkan oleh nasi dan ubi kayu, ia mampu membekalkan khasiat yang diperlukan oleh badan. Ramai yang terselamat dari maut akibat kebuluran.

Dari maklumat bahan bacaan yang saya perolehi, 100g kangkung (daun dan batang) mengandungi khasiat berikut:

Tenaga, 29.0 kCal, air 90.0g, Protein 3.1g, lemak 0.2g, karbohidrat, 3.6g, Serat, 1.0g, Kalsium, 0.088g, Fosforus, 0.009g, Besi, 0.0052g, Natrium, 0.065g, Kalium, 0.078g, beta-karotena, 4760 mikrogram, Vitamin B1, 0.001g, Vitamin B2, 0.006g, Niacin, 0.006g, dan Vitamin C, 0.0485g.

Tidak hairanlah kangkung dikenali sebagai "Raja Sayur" di Internet.

Kangkung ada tumbuh dalam paya (kawasan berair) dan di atas tanah yang lembap. Ia memerlukan banyak air. Di rumah, ia boleh di tanam di atas tanah atau dalam bekas. Ia juga sangat popular di kalangan penanam kaedah hidrofonik di rumah kerana ia cepat tumbuh dan dapat dituai dalam masa yang singkat.

Jika rakan-rakan ingin didik anak-anak menanam sayur di rumah, kangkung adalah pilihan yang bijak kerana ia cepat tumbuh dan cepat dituai.

Kangkung perlukan banyak air, jadi saya sarankan rakan-rakan guna tanah yang mampu menyimpan banyak air, misalnya tanah kompos yang dicampur sabut. Saya gunakan tanah yang dicampur kompos yang saya buat menggunakan lalang yang separa reput. Jika gunakan tanah liat yang mampat, kangkung yang tumbuh agak berserat dan lambat membesar. Kangkung yang ditanam atas tanah kompos lebih rangup dan enak dimakan sebagai ulam atau salad.

Rakan-rakan boleh semai dari biji atau batang lebihan sayur yang dibeli di pasar.

Jika gunakan biji, tanam dalam lubang sedalam 3cm dan jarakkan kira-kira 10 hingga 15cm. Biasanya benih akan bercambah dalam masa 2 hari.


Benih kangkung



Menyemai
Jika tanam melalui batang, rakan-rakan boleh gunakan batang tanpa daun dengan panjang kira-kira 10cm. Pastikan tiada bahagian batang yang rosak (busuk) untuk elakkan jangkitan penyakit. Cucuk batang sedalam 5 cm. Tunas akan keluar dalam masa 2 hari. Sebenarnya kalau tanam melalui batang, anda dapat tuai dengan lebih cepat berbanding dengan tanam melalui biji.

Penjagaan
Di hari yang tidak hujan, siram dua kali sehari. Jika gunakan tanah yang digaul dengan kompos, tidak perlu pembajaan tambahan. Jika gunakan tanah tanpa ditambah kompos, baja seminggu sebelum disemai, dan selepas 3 minggu disemai.

Membaja
Baja apa yang sesuai? Jika anda ingin tanaman organik, baja tinja ayam, kambing atau lembu sesuai digunakan. Saya gunakan baja cecair, iaitu perut ikan yang dikisar. Untuk rakan-rakan yang ingin gunakan baja kimia, boleh gunakan baja 15;15:15 NPK. Larutkan satu sudu dalam 2 liter air (2 botol air mineral besar).

Merumput
Jika tanam dalam bekas, buang rumpai apabila kelihatan. Jika tanam atas tanah, merumput kira-kira seminggu sekali.


Jika tanam di atas tanah, perlu merumput selalu untuk elakkan persaingan baja.



Menuai
Potong bahagian pucuk selepas 4 hingga 6 minggu selepas ditanam. Tinggalkan tang kira-kira 5cm atas tanah dan biarkan ia tumbuh semula untuk dituai kira-kira 2 minggu kemudian.


Kangkung cepat membesar, selepas 4 minggu ia sedia untuk dituai.



Kangkung yang baru dituai enak rasanya.



Penyakit
Kangkung adalah tanaman yang tahan dan jarang terkena penyakit. Kadang-kadang terdapat tompok-tompok putih jangkitan kulat white rust (Albungo ipomoeae-panduratae). Petik dan bakar daun yang dijangkiti kulat. Masalah ini tidak ketara kerana lazimnya penyakit tersebut akan menyerang hanya selepas jangka masa pokok telah dituai. Ulat dan kumbang busuk suka memakan daun dan batang kangkung. Kutip dan buang jika temui ulat.

Masakan
Menunggu resepi istimewa dari rakan-rakan.   ;)

Gambar Hari Ini -- Bunga Kacang Botor

Bunga Kacang Botor, enak dibuat salad/ulam.

Selasa, 7 Disember 2010

Gambar Hari Ini -- Buah Petola Segi

Buah Petola Segi, loofa.  Enak dimakan ketika buah muda.  Boleh dibuat ulam atau dimasak bersama lada hitam.