Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Selasa, 30 November 2010

Khasiat Biji Labu, pumpkin, Curcibita pepo

Labu dikatakan dapat membantu lelaki berumur 45 tahun.  Pada umur ini kelenjar prostate mula membengkak.  Ini menyebabkan terasa sakit untuk membuang air kecil.  Biji labu mengandungi beberapa jenis minyak, vitamin dan mineral yang dapat membantu orang lelaki. Ini kerana bahan-bahan tersebut amat berguna untuk sistem perkumuhan (urinary system) dan mengelakkan kelenjar prostate dari membengkak.

Kulit biji labu manis juga diproses dijadikan ubat.  Minyak dari biji labu pula digunakan sebagai ubat cacing.

Sekarang anda tahu...

Menanam Ketumbar, Coriander, Coriandrum sativum



Ketumbar adalah pokok herba daripada keluarga parsley.  Daunnya mempunyai rasa berempah dan ia  enak dimasak sebagai ramuan di dalam sup daging.  Anda boleh tanam sendiri menggunakan biji ketumbar. 

Aktifkan Benih
Rendam benih di dalam air suam selama 2 hingga 12 jam untuk aktifkan benih.

Cara Menanam

Semai biji terus ke dalam tanah atau ke dalam pasu/bekas, sedalam 1.5 hingga 3cm.  Jika ditanam atas tanah, jarakkan kira-kira 15 cm (6 inci).  Biji akan tumbuh dalam masa 2 hari.  Apabila tumbuh, siram selalu untuk mengelakkan tumbuhan dari berbunga ketika pokok masih muda (bolting) tetapi jangan sampai tanah berair kerana ini boleh menyebabkan akar reput.  Jika berbunga (bolting) saiz daun yang dihasilkan kecil.  

Jika anda dibiarkan tanpa memotong, pokok akan tumbuh sehingga hampir 1 meter tinggi dengan bunga yang berwarna putih.

Benih Ketumbar.  Benih ini bewarna kemerahan kerana telah dicelup antikulat oleh pengedar benih.

Anak pokok ketumbar yang ditanam di antara anak pokok selasih dalam patch herba.


Menuai
Potong daun bahagian bawah dan biarkan pokok terus tumbuh.  Anda juga boleh cabut seluruh pokok jika tidak mahu biarkan pokok terus tumbuh.  Bahagian akar juga boleh dimakan.  Sekiranya pokok berbunga, petik biji sebelum ia luruh ke tanah.

Pokok ketumbar, daun, batang, akar dan biji enak dimasak dalam sup dan makanan berempah.

 


Benih ketumbar ada dijual melalui blog ini.  Sila ke link ini.

Kunjungan Ke MAHA 2010



Alhamdulillah, semalam sempat juga saya berkunjung ke MAHA 2010.  Kami hanya sempat berada di sana selama 3 jam, jadi tidak banyak booth yang sempat kami kunjungi.  Walaupun begitu, banyak juga yang dapat dilihat. 

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya.  Misalnya dalam Dewan A, sebuah booth yang mempamerkan maklumat tentang penternakan ayam.  Mak oiii, saiz ayamnya besar seperti ayam belanda.  Untuk rakan yang menyambut hari natal, kalau ayam belanda terlalu mahal, panggang ayam ini aja, boleh juga dinikmati oleh semua ahli keluarga.



Sebelum ini saya teringin melihat sendiri dari dekat pokok loquat, yang mana buahnya dijual di pasaraya sehingga RM75 sekilo di musim perayaan Tahun Baru Cina.  Daun pokok ini bersifat antivirus (telah terbukti melalui kajian saintifik) dan digunakan dalam sirap ubat batuk serta lozen sakit tekak.  He he... Saya minta beli pokok ni.  Malangnya ia tidak dijual.



Satu khemah menjual pokok Johor.  Saiznya dah besar dan memang cantik.  Bila ditanya, ia hanya akan dijual di hari akhir expo.  Harganya... saya kira agak mahal.  Dia minta RM200 untuk satu pokok.  Kalau sempat ke sana di hari akhir, mungkin saya akan bawa pulang pokok ini.  My dream tree.

Dalam Dewan A, MARDI ada mempamerkan hasil penyelidikan mereka.  Antara yang menarik minat saya ialah hasil pemprosesan gentian tumbuhan untuk dijadikan bahan pakej menggantikan styrofoam.  Mesin pengupas kelapa dan mengasing biji jagung daripada empulurnya ada juga dipamerkan.

Batang kenaf diproses untuk dijadikan bekas menggantikan styrofoam.

Di luar dewan saya hanya sempat berkunjuung ke dua kelompok khemah.  Peminat orkid jangan ketinggalan ke MAHA 2010, kerana ada banyak pokok orkid dijual di sana dengan harga yang murah.



Kebanyakan gerai yang saya kunjungi ada menjual herba seperti pokok stevia (dengan harga RM8 - RM12), lavender,  ketumbar jawa, selasih, kemangi (basil), mint, sage, sambung nyawa, bangun-bangun, peria pantai serta banyak herbal perubatan.


Pokok Remayung Merah rupa-rupanya berasal dari negara kita.  Daun dan batangnya enak dibuat sayur.

Antara pokok yang jarang ditemui yang dijual di sana termasuk pokok sentul, keranji, kerkup (ceri kampung saya tu), pokok johor, pokok ajaib (miracle berry) dan banyak lagi.

Buah Kerkup, lazimnya rasa kelat.  Selepas digentel dan lemau akan terasa manis.


Dalam Dewan A, terdapat booth National Seed Organisation.  Di sana, MARDI ada dijual benih yang berkualiti tinggi.  Orang ramai berebut membeli benih sehingga tidak terlayan oleh kakitangan yang menjaga booth tersebut.  Saya sempat juga mencapai benih tomato dan kacang panjang renek.  Kacang ini amat istimewa kerana ia tidak memanjat.  InsyaAllah tidak perlulah saya memancang kayu bila tanam kacang panjang itu nanti.  Sebelum ini saya ada tanam kacang mata hitam dari jenis renek.   Ia lebih mudah diurus berbanding dengan jenis yang memanjat.  Jadi, lepas ini dapatlah saya tanam kacang panjang dalam pasu.  kalau berbuah akan saya simpan benih untuk kita kongsi bersama melalui blog ini.


Benih yang dipamerkan oleh NSO.  

Bagi yang meminati tanaman secara fertigasi, terdapat beberapa booth yang mempunyai maklumat tentang cara penanaman fertigasi.  Anda juga boleh dapatkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan.

Pokok Cili Kulai ditanam secara fertigasi.   

Pokok tomato juga ditanam secara fertigasi.

Untuk rakan-rakan yang minat tanam sendiri, jangan terlepas MAHA 2010.