Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Ahad, 24 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Cili

Pelbagai jenis cili padi
Cili yang dituai hari ini adalah dari variety cili padi, cili ungu dan cili wangi.  Oleh kerana cili wangi berbau harum selepas digoreng, saya gunakan cili yang dituai hari ini sebagai ramuan dalam chilly oil.  Minyak ini enak dimakan bersama mee goreng, spaghetti atau nasi goreng.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Jagung Manis

Buah jagung yang belum dituai.
Walaupun pokok jagung agak tinggi, ia tidak menggunakan ruang yang banyak dan sesuai ditanam di tepi rumah.  Buah jagung boleh dituai dalam masa 60 hari selepas disemai.

Buah jagung yang telah dimasak.
 Selepas dituai, kami terus merebus jagung yang ditanam sendiri.  Variety yang kami tanam mempunyai warna biji jingga kemerahan.  Rasa jagung tersebut manis berlemak, agak berbesa dari jagung pasaraya.  Mungkin kerana selepas dituai, ia terus direbus dan dinikmati.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Kacang Mata Hitam

Pod kacang mata hitam
Kacang mata hitam enak dimakan dalam pod apabila dipetik segar.  Rasanya seakan-akan kacang panjang dan enak digoreng (stirfry).  Ia berbuah dalam masa 6 hingga 8 minggu.  amat sesuai ditanam ditepi rumah atau dalam pasu.

Gambar Hari Ini -- Cili Wangi

Cili Wangi

Khamis, 21 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Bunga Telang

Bunga telang, enak dibuat ulam, dimakan bersama salad, dijadikan pewarna nasi kerabu atau pewarna sirap biru.
.

Gambar Hari Ini -- Cili Ungu

Cili Ungu

Rabu, 20 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Buah Markisa

Buah markisa, rasanya manis bercampur pahit-pahit oren segar.  Enak dimakan begitu sahaja atau dibuat jus.

Gambar Hari Ini -- Buah Markisa

Buah Markisa yang ranum, sedia untuk dipetik.

Selasa, 19 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini - Kacang Bendi

Bendi, apabila mula berbuah akan terus memberikan hasil yang tidak putus-putus.  elok dipetik sewaktu muda.

Gambar Hari Ini -- Muhammad Menanam Salad

Muhammad dengan chinese lettuce yang baru dialih ke dalam cawan gabus (recycled).


Muhammad dengan pokok chinese lettuce yang dialih seminggu sebelumnya.
"Tak sabar menunggu 2 minggu lagi untuk petik daun salad ni dan dimakan terus." kata Muhammad.

Gambar Hari Ini --

Kacang panjang, mula berbunga selepas sebulan disemai.

Isnin, 18 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini -- Pucuk Ubi Keledek

Daun ubi keledek, enak dicelor dan cicah sambal cili, juga enak dibuat sayur manis. 

Khasiat Ketumbar, Coriandrum sativum


Ketumbar (Coriandrum sativum) mengandungi bahan antikulat dan antibakteria semulajadi.  Tidak hairanlah jika orang roman zaman dahulukala menyapu daging dengan ketumbar supaya daging tahan lama. Keistimewaan ketumbar juga dimanfaatkan oleh orang Cina.  Herba ini digunakan untuk mengubat keracunan makanan. 

Ketumbar mengandungi minyak yang digunakan untuk meningkatkan selera makan, kurangkan kejang otot, dan disapu untuk melegakan sengal dan buasir.

Minyak ketumbar digunakan sebagai pewangi dalam pembuatan sabun, pewangi, potpourri, dan sebagai pewangi dalam arak.

Bagaimanapun, ketumbar paling banyak digunakan dalam masakan.  Daun ketumbar digunakan sebagai perisa dalam salad, sup, sambal, stok daging dan kari.

Ahad, 17 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini -- Daun Pudina, Mint

Daun pudina, enak dibuat ulam cicah sambal cili.

Khasiat Bawang, Alium cepa

Orang dulu-dulu mengatakan bawang (Alium cepa) mampu memanjangkan umur. Mungkin juga benar kerana bawang mempunyai banyak khasiat. Pokok bawang digunakan sebagai pelawas kencing, menyembuhkan luka, dan dapat menyembuhkan sakit tekak dan selesema.  Ketika zaman sekolah dulu, jurulatih kami menampal bawang lumat yang dicampur manisan kelapa untuk merawat luka.
Bebawang adalah bahagian pokok yang paling berkhasiat apabila dihiris dan ditambah ke salad. Bagaimanapun, memakan bawang mentah membuatkan mulut berbau.  Ini menyebabkan orang yang makan bawang mentah merasa kurang selesa.
Oleh sebab itu bawang lazimnya dimasak sebelum dimakan. Namun begitu ini akan merosakkan khasiat perubatan yang ada dalam bawang.
Dalam perubatan homeopati bawang digunakan untuk menyembuhkan bronchitis, rheumatism, hay-fever, dan sakit telinga.
Pati bawang dijual untuk menghilangkan kelemumur dan rambut gugur. Kulit bawang yang kering mengandungi pewarna yang digunakan untuk mewarnakan benang bulu biri-biri kepada warna merah atau coklat.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Tuaian Hari Ini

Bunga kekacang, pucuk ubi setela (yam), pucuk ulat bulu (passiflora), kangkung, kacang bendi.  Sedap dibuat ulam atau sayur air.  Bendi dicelor dan cicah sambal cili.

Menanam Mentimun, Cucumis sativus

MENTIMUN ADALAH BUAH sayur yang enak dijadikan ulam. Kebiasaannya mentimun dijadikan ulam nasi lemak dan dijeruk dalam cuka dan dihidanghan sebagai acar. Acar mentimun bukan sahaja popular di negara kita. Ia juga popular di Amerika dan Eropah. Terdapat berbagai jenis acar mentimun dibotolkan secara komersial.

Mentimun adalah sayur buah yang perlu dibantu pendebungaannya. Buahnya ketika muda agak berduri. Mentimun adalah pohon yang memanjat.

Tempat Yang Sesuai
Mentimun perlukan cuaca yang panas tetapi teduh (sheltered). Ia perlukan tanah yang kaya dengan baja, jadi tanah kompos (mulch) atau batas dengan saliran amat sesuai. Mentimun juga sesuai ditanam dalam bekas plastik atau pasu yang besar.

Bila Sesuai Ditanam?
Negara kita mendapat sinar suria sepanjang tahun. Bila-bila masa pun sesuai.

Cara Menyemai
Semai benih dalam pasu berisi kompos khas untuk benih sedalam 2 cm.  Letakkan 2 atau 3 benih dalam satu pasu dalam kedudukan menegak untuk kurangkan risiko benih mereput.  Untuk pastikan benih bercambah, kawasan tersebut perlu suhu sekirang-kurangnya 20 darjah Celsius.


Mengalih
Anak benih sedia untuk dialih selepas 4 minggu disemai. Letakkan pasu ditempat panas sebelum mengalih untuk menguatkan batang pokok. Apabila sedia, tanam dengan jarak 45 cm (18 inci). Hati-hati ketika mengalih kerana akar mentimun agak rapuh dan mudah rosak.

Penjagaan
Pokok mentimun menjalar dan memanjat.  Anda perlu letakkan kayu penyokong.  Elok kalau diletakkan seperti kayu khemah wigwam, trellis atau bingkai tali untuk membantu pokok memanjat. Cubit dan buang pucuk yang mencapai hujung kayu penyokong supaya pokok tumbuh merimbun.
Siram selalu, jangan biarkan tanah kering.  Apabila pokok mentimun mula berbuah, baja setiap dua minggu dengan baja cecair terutamanya jika tanam dalam bekas.



Menuai
Petik buah ketika masih muda, iaitu sebelum ia mencapai saiz yang rakan-rakan biasa beli di pasaraya. Jika buah bertukar kuning, ia akan melemahkan pokok. Tuai selalu supaya pokok menghasilkan buah yang banyak.

Masalah
Siput dan lintah bulan suka memakan anak pokok. Periksa celah-celah daun, batu atau kayu selepas hujan. Buang siput atau lintah bulan yang ditemui.
Jika tanah terlalu lembap, akar mungkin menjadi buruk. Pokok juga mungkin diserang mosaic virus. Jika terdapat daun yang menggerutu, potong dan bakar.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Menanam Terung

TERUNG ADALAH SAYUR buah yang berasal dari kawasan kita. Ada berbagai bentuk dan warna mengikut jenis. Ada yang bewarna hitam, biru tua dan putih. Ada yang berbentuk panjang, bujur dan bulat. Sayur ini sesuai ditanam di atas tanah atau dalam bekas. Ia perlukan cahaya matahari yang banyak. Elok ditanam dikawasan yang mendapat cahaya matahari pagi.

Waktu Menanam
Bila ditanam? Negara kita dirahmati dengan cahaya suria sepanjang tahun. Bila-bila masa pun boleh tanam terung.

Menyemai Benih
Jika guna benih yang di pek, sebelum semai, rendam benih dalam air suam untuk aktifkan benih supaya cepat bercambah. Simpan pasu semaian dalam tempat teduh dengan suhu antara 21 hingga 30 darjah Celsius sehingga benih bercambah. Kemudian alih pasu ke kawasan lembap hingga pokok tumbuh sekitar 5 cm. Kemudian asingkan pokok ke dalam pasu atau ke atas batas.

Bunga pertama akan tumbuh apabila pokok setinggi 8 hingga 10 cm. Jika tanam dalam pasu, alih pasu ke kawasan yang banyak matahari untuk teguhkan batang pokok.

Penjagaan
Siram pokok selalu dan jangan biarkan tanah terlalu kering. Jika tanam di atas atas, pastikan anda membuang rumpai di sekeliling pokok untuk mengelakkan persaingan untuk baja. Jika inginkan pokok yang merimbun, patahkan pucuk utama. Apabila buah mula tumbuh, baja 2 kali seminggu. Ikat kayu penyokong jika perlu.

Menuai
Petik buah terung ketika ia paling berkilau.  Apabila kulit makin kurang berkilau, isi terung akan terasa sedikit pahit.


Sabtu, 9 Oktober 2010

Gambar Hari Ini -- Semalu


Semalu
Kata Ralph Waldo Emerson, "A weed is a plant whose virtues have not yet been discovered."  Rumpai itu adalah pohon herbal yang belum ditemui khasiatnya.

Semalu tumbuh melata di negara kita, malangnya khasiatnya tidak diendahkan.  Saya terlihat iklan barang kosmetik dari Perancis.  Dalam produk tersebut bahan aktifnya telah diekstrak dari semalu.  Terpanggil pula saya untuk membaca lebih lanjut tentang semalu (daun, bunga, akar dan batang).  Rupa-rupanya semalu dah lama digunakan dalam perubatan.  Ia telah digunakan beribu tahun dalam perubatan India (Ayurveda) dan Cina.  Khasiatnya pun banyak.

--------------
Ada produk kosmetik yang menggunakan ekstrak dari semalu iaitu sebatian aktif phenol yang dikatakan mampu meningkatkan aras collagen, dengan itu mengekalkan keremajaan pemakai.

Tapi hati-hati, proses mendapatkan bahan aktif adalah melalui proses yang betul.  Biji dan bahagian lain dalam pokok ini juga mengandungi mimosine, bahan yang boleh menyebabkan rambut gugur.  Jadi, penawar ada, racun pun ada.

Ayurveda pula mencatatkan akar semalu yang pahit sebagai menyejukkan dan digunakan untuk mengubat penyakit kusta, disenteri, serta masalah rahim dan faraj, bengkak, melecur, asma serta keletihan.  Ada juga yang menggunakan pokok semalu untuk mengubat masalah mati pucuk. Yang peliknya, artikel yang sama juga menyarankan penggunaan semalu sebagai ubat kontraseptif iaitu untuk menghalang kehamilan.  Kalau boleh ubat masalah mati pucuk (kesuburan) macam mana pulak boleh digunakan sebagai kontraseptif.

Jumaat, 8 Oktober 2010

Gambar Hari Ini -- Buah Terung


Terung panjang
Terung enak dimakan kalau dipetik ketika kulit masih berkilau.  Buah ini masih kecil, mungkin dua minggu lagi sedia untuk dipetik.

Khamis, 7 Oktober 2010

Makhluk Perosak - Lintah Bulan

Lintah Bulan
Makhluk perosak ini kelihatan seperti seekor siput babi tetapi tanpa cangkerang.  Ia lebih ringan, jadi ia dapat mencapai pucuk yang tidak mungkin tercapai oleh siput babi. 
Ada idea bagaimana nak hapuskan makhluk ini?

Gambar Hari Ini -- Pokok Bangun-Bangun, Cuban Oregano

Pokok ini mempunyai daun yang tebal, rapuh dan berbulu.  Ia mengeluarkan bau seakan-akan oregano.  Ada yang samakan bau tersebut dengan bau ubat nyamuk.  Tidak hairan kalau orang pasar ada yang memanggilnya pokok ubat nyamuk.  Di negara kita, air rebusan daun bangun-bangun digunakan sebagai ubat batuk atau untuk melegakan sakit tekak.

Jumaat, 1 Oktober 2010

Penyakit Tanaman

Terimakasih Pok Ya kerana cadangkan thread untuk penyakit tumbuhan.  Iklim negara kita yang panas lembap bukan sahaja sesuai untuk tumbuhan tumbuh dengan subur.  Ia juga sesuai untuk makhluk perosak.  Haiwan seperti siput dan lintah bulan hidup dengan memakan pucuk dan benih tanaman.  Belalang dan ulat bulu gemar memakan pucuk sayur.  Kutu daun (aphid) dan beberapa jenis kekabuh menyedut cecair tumbuhan.  Lalat buah menyucuk buah jambu air, jambu batu, cili, tomato yang belum masak dengan  telurnya.  Apabila buah masak sahaja, ia tersedia dengan ulat (larva) lalat buah.  Terdapat juga jenis lalat yang memakan kobis, lobak, bawang dan lain-lain.  Tidak kurang juga masalah kulat yang mereputkan akar, ulat kekek (larva kekabuh) yang memakan akar dari dalam tanah, tikus yang memakan biji benih, dan kucing yang kencing dengan semburan beracun.

Semua masalah perosak ini pasti mengecewakan rakan-rakan dan boleh menghilangkan rasa seronok bertanam sendiri.  Mungkin seperti Pok Ya, ada yang akan mencari penyelesaian dengan menyembur racun. 

Pada pendapatb saya, kalau nak gunakan racun, elok lupakan sahaja bertanam sendiri dan beli saja sayur dari pasaraya atau pasar.  Apa-apa pun pasti ada jalan penyelesaiannya. 

Kepada rakan-rakan yang pernah menghadapi masalah dengan makhluk perosak atau tumbuhan berpenyakit boleh poskan thread tentang masalah atau cara menyelesaikan masalah tersebut tanpa penggunaan racun supaya dapat kita manfaatkan bersama.



Pokok terung yang saya tanam sudah berumur 10 minggu, mati setelah dikencing kucing jantan yang datang menanda kawasan. Bagaimanakah caranya untuk selesaikan masalah ini?

Gambar Hari Ini -- Bunga Kacang

Bunga Kacang Mata Hitam

Kacang yang ditanam sendiri bukan sahaja enak dimakan kerana ia lebih manis dari kacang yang dibeli di pasaraya atau pasar.  Bunga juga indah dipandang, menceriakan ruang kebun atau bekas anda.  Variety yang dipamerkan ini adalah jenis kerdil yang merumpun dan tidak memanjat.  Ia cantik kalau ditanam dalam pasu dan digantung di jendela.
Bunga, pucuk dan pod yang muda amat enak dicampur dengan sayur lain untuk dijadikan salad.  Dari waktu tanam hingga tuai, cuma 8 minggu.