Cabaran paling menarik jika tanam atas tanah di perkarangan
rumah ialah rumpai dan makhluk perosak. Kita boleh ambil jalan mudah
iaitu dengan menggunakan racun rumpai dan racun serangga. Tetapi apalah gunanya
tanam sendiri di perkarangan rumah dengan menggunakan racun, tuaian kita akan
sama dengan sayur/buah di pasar. Elok beli saja sayur di pasar, lagi
murah. Orang yang bertanam secara komersial, memang patut gunakan racun
kerana mereka tanam sejenis tanaman sahaja dan sememangnya mudah diserang
penyakit dan makhluk perosak. Lagupun pengguna sememangnya mahukan sayur
yang segar tanpa cela.
Saya sememangnya membiarkan rumpai tumbuh di sekeliling
rumah. Cuma saya biarkan jumlah dan ketinggiannya terkawal. ini
kerana saya gunakan kembali rumpai sebagai baja. Lagipun ada
rumpai yang mengeluarkan bunga yang cantik dan buah beri yang menarik burung ke
taman.
Malangnya rumpai membawa masalah lain. Selain
berebut ruang dan baja dengan tanaman utama, ia juga menjadi hos kepada makhluk
perosak. Misalnya pokok ulat bulu (Passiflora foetida) mempunyai
makhluk perosak yang sama dengan pokok peria yang saya tanam.
Rumpai juga membuatkan perkarangan rumah kelihatan kurang
enak dipandang. Anda akan mendapat masalah jika tinggal di kawasan
jiran yang menyibuk. Biasanya orang begini akan menggunakan authority untuk
mencapai niat buruk mereka. Jangan terkejut jika anda menerima notis
kompaun kacau ganggu dari pihak perbandaran kerana menanam pokok.
Antara rumpai yang menjadi masalah dalam perkarangan rumah
saya ialah:
1. Lalang. Tetap kembali walaupun dicabut
sekurang-kurangnya seminggu sekali. Kebaikannya ada, daun lalang yang
dipotong dikumpulkan untuk dijadikan kompos. Untuk mengawal lalang, saya
cabut hingga ke akar. sekiranya tidak sempat, potong tangkai
berbunga sebelum menjadi benih yang bernas. Bakar tangkai bunga
tersebut. Sebenarnya lalang yang tumbuh melata ada kebaikannya. Ia
membantu menutup tanah yang terdedah dan mengelakkan dari hakisan. Sekiranya anda seorang usahawan yang kreatif,
pasti anda dapat mencari kegunaan tumbuhan ini.
2. Semalu, Mimosa pudica. Rumpai
ajaib ini ada dijual di negara maju sebagai tumbuhan curio kerana
daunnya yang bergerak tertutup apabila tersentuh. Ciri ini menyebabkan
tumbuhan ini sukar dibuang sehingga habis. Ini kerana
apabila daunnya tertutup, saiznya akan menjadi lebih kecil dan
tersorok dalam rumpai yang lain. Semalu juga mempunyai duri yang
tajam yang menyukarkan anda mencabutnya. Bagaimanapun, semalu ada
gunanya. selain digunakan sebagai herbal perubatan, semalu adalah
tumbuhan kekacang yang membantu mengkayakan tanah dengan sebatian nitrogen,
sejenis nutrien yang amat diperlukan oleh tumbuhan. Saya cabut semalu
hingga ke akar menggunakan pengcungkil. Pastikan anda memakai sarung
tangan kain yang tebal sebelum memegang patang semalu.
3. Kacang penutup bumi. Pokok kacang ini
benar-benar menjadi masalah kepada saya kerana ia membiak dengan cepat.
Batangnya yang halus melilit batang serta ranting tanaman utama. Akarnya
yang panjang amat sukar dibuang semua. Akibatnya, tunas baru
akan tumbuh dari akar yang tertinggal. Tumbuhan ini juda ada
gunanya. Ia adalah tumbuhan yang membekalkan sebatian nitrogen ke dalam
tanah. Walaupun sukar dikawal saya pastikan ia tidak tumbuh sekitar 1
kaki dari tanaman utama.
Pokok Mamam Hantu, rumpai yang cepat membiak.
Ulat bulu yang hidup di atas rumpai pokok ulat bulu (Passiflora foetida). Ia juga memakan daun pokok peria. Perhatikan durinya yang tajam dan halus. Ia mengandungi bisa toksin yang memudaratkan.
Antara makhluk perosak yang mengganggu tanaman saya ialah
ulat bulu (gambar di atas), lalat buah (membiak dalam buah cili), tree shrew
(mencuri buah ciku), kupu-kupu putih (merosakkan pokok cili dan kacang), bena
(aphid yang mengambil cecair dari daun dan batang pokok kacang kelisa, kacang
panjang), kulat batang yang membunuh pokok roselle, belalang (memakan daun
sayur), dan anak dara cina (mengambil cecair dari batang dan daun pokok
roselle).
1. Ulat bulu yang mempunyai toksin amat
merbahaya. Saya tidak mengutipnya kerana bimbang tersuntik dengan
toksin. Saya bakar ulat ini menggunakan pemetik api panjang yang
digunakan di dapur. Ustaz saya marah bakar haiwan untuk membunuh.
Maaf ustaz, terpaksa.... Saya juga hanya melepaskan kucing keluar rumah
selepas pukul 10 pagi. Ini untuk mempastikan ia tidak keluar memburu
burung yang datang mengutip ulat dan benih rumpai yang banyak dalam perkarangan
halaman rumah.
2. Kupu-kupu putih bersaiz kecil. ia
menghasilkan larva kecil yang memakan permukaan daun menyebabkan daun menjadi
menggerutu. Kupu-kupu ini menyerang daun cili dan kacang kelisa.
Saya bakar sutera yang terhasil pada daun. Sutera ini melindungi larva
kupu-kupu tersebut.
3. Lalat buah baru menyerang dan banyak buah cili
gugur ke tanah. Saya telah kutip semua buah yang gugur dan buang semua
buah yang masih berada di atas pokok. Kesemuanya dibakar untuk
mengelakkan ulat larva menjadi lalat dewasa. Saya juga akan pasang
perangkap lalat buah menggunakan botol palstik dengan cecair umpan yang dibuat
sendiri. Ramuannya akan dibincangkan dalam posting blog ini.
4. Shrew ini seakan-akan tupai, tetapi sebenarnya ia
bukan tupai. Shrew kebiasaannya adalah sahabat kita kerana makanan
utamanya adalah serangga perosak (belalang). Kadang-kadang ia mencuri
buah yang ranum. Saya biarkan aja shrew bermain di taman kerana ia
sebenarnya sahabat tanamsendiri. Untuk mengelakkan ia mencuri lagi saya
akan pasang jaring sekeliling pokok yang mempunyai buah yang hampir ranum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan